Eging… diistilahkan sebagai mengilat atau mencandat sotong dari daratan. Dalam diam tak diam teknik pancingan yang popular di Jepun ini semakin menambat hati pemancing tanah air. Tapi best ke casting sotong terutamanya spesies mengabang ni?
“Feel dia tak sama macam ikan. Ini adalah delicate game, yang ada keunikan sendiri. Kita bukan nak rasa perlawanan semata-mata, tetapi juga menguji teknik memujuk sang mabang dan mendaratkannya. Kalau sekadar nak rasa fight, baik pergi main belanak.”
GREENBLUE IKHWAN
“Lokasi berpotensi nak main sotong ni ni di belakang muzium, kat hujung batu kawasan port orang park sampan, area jeti batu Tanjung Balau.”
Farin Samsudin
“Orang Terengganu kata kuat jenggi… hahaha. Memang berhantu main sotong ni. Kalau tak percaya bolehlah cuba.”
Ads
AHMAD FADZIL RAWI
“Masa duduk Labuan dulu pernah tengok orang bawak naik 1 kilo lebih punya saiz. Time kita pergi hampeh tak dapat. Lokasinya dekat Pulau Enoe hujung dekat Petronas. Situ ada lampu-lampu tepi tebing. Sekarang tak tau la boleh masuk lagi ke tak.”
SAMS MIEY
“Menyotong memang best! Sebab ia sentiasa strike… hahaha. Kalau asyik membangau jadi tak best la pulak.”
JANG AJANG
Ads
“Best ke tak best kena try dulu sekurang-kurangnya sekali. Kalau dah strike baru boleh tau kesannya macam mana.”
MOHD RIDZUAN
“Tak tau nak cerita macam mana. Biar gambar je la yang berbicara. Ini merupakan yang agak killer di sini baru-baru ini.”
SUWARDI AZMI
“Kena yang kasar memang syok layan lebih-lebih lagi kalau guna set ultra light. Kalau nak syok lagi pakai set yang khas untuk eging la.”
Ads
CHEK ZAMZURI
“Eging daratan ni ada keunikan dan kepuasan tersendiri yang sukar untuk dibanding dengan memancing ikan.”
MOHD ZULKIFLY MOHD JALIL
“Kalau ikutkan hati rasa macam nak letak sotong dalam frame je sotong ni sebab colorful. Sampaikan nak makan pun macam tak sampai hati.”
AHMED ALBAB
“Dia punya tarik je dah macam candat lekat kat tali unjam. Tu yang seronok buat berdebar-debar tu.”
MAT ALI
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kegemaran memancing yang sudah tertanam di jiwanya sejak berusia 10 tahun itu membolehkan Yusof mendapat gelaran Raja Sembilang kerana beliau memang penganyir dan pakar memancing ikan bermisai dan bersengat ini.
Tanpa mahu merahsiakan kepakaran luar biasa itu, Yusof secara spontan berkata, apa bidang sekalipun seseorang itu mestilah berilmu selain daripada kemahiran semula jadi.
“Saya mengaku, mempelajari segala petua dan cara-cara memancing sembilang ini daripada seorang tua di kampung saya, tetapi sekadar kegunaan sendiri saja…” Senyumnya menampakkan keikhlasan.
Bagaimanapun beliau terpaksa berpegang kepada segala janjinya iaitu tidak boleh makan ikan berkenaan (sembilang) tetapi sekadar memancingnya saja dan jika hasil tangkapan itu lumayan hendaklah dibahagi-bahagikan kepada mereka yang memerlukannya.
Jika beliau melanggar pantang larang ini, ia akan menyebabkan hasil tangkapan spesies berkenaan tidaklah sebanyak mana kebiasaan yang diperolehi tetapi sekadar untuk sekeluarga saja. Yusof tidak menyimpan rahsia cara mengenali lubuk sembilang.
“Pemancing perlu memerhatikan buih-buih yang mungkin dapat dilihat pada permukaan air ketika air besar.
Jika buih-buih kelihatan sudah pasti kawasan itu mengandungi banyak sembilang dan tidak akan menghampakan selain ikan ini mudah dipancing ketika air mula pasang dan pada waktu surut.”
“Pemancng juga mudah memancing ikan jika air teres iaitu ketika air surut mirip kepada lopak-lopak air kawasan menghampiri persisiran pantai.”
Yusof juga mempamerkan jari dan sebahagian daripada lengannya sambil tersenyum berkata, “Lihat tangan dan jari ini sudah lali dan kebas kerana bisa ikan sembilang.”
Pemancing tentu lebih maklum, sengat sembilang bisanya bukan kepalang menjalar hingga ke jantung dan jika rawatan segera tidak diberi pemancing pasti pengsan malah lebam seluruh badan.
“Tangan saya ni… tebal kulitnya, bahagian jari ni sudah kematu terkena sengat. Saya kurang pasti ada yang mengatakan bisa ikan ini akan susut selepas tujuh kali air pasang dan surut.
Tetapi bagi saya cara menghilangkan biasanya mudah aja iaitu gigit saja ekor ikan ini sekuat-kuatnya, hingga bisa beransur susut.”
Saya membetulkan kedudukan dua joran yang sudah siap landing di pinggir air. Di dada langit, bulan mengambang penuh. Awan pada malam itu tidak sepekat mana. Angin pula bertiup sepoi-sepoi bahasa, cukup untuk menjadikan badan dan mata saya segar sepanjang malam.
Dalam kelam malam itu, jangkaan saya baru memasuki sebelas malam, air di lombong nampak berkilau disimbah cahaya bulan. Kelibat deburan ikan bermain-main di dalam air kelihatan, membuatkan hati saya agak gembira melihatnya.
Saya melabuhkan punggung di satu kawasan lapang yang sedikit berpasir. Tidak jauh daripada saya, dalam jarak 50 meter, Nasrul dan kawan baiknya Bahtiar juga sedang tenang menunggu umpan diragut oleh sang mangsa.
Sejak petang tadi, kami bertiga memang sudah berjanji untuk memancing di lombong terbiar berdekatan dengan kawasan Sidam Kiri ini.
Dikatakan sekarang adalah musim ikan kaloi dan haruan. Setakat dua, tiga kilo beratnya sudah menjadi perkara biasa penduduk sekitar mendapatnya. Itu yang menyebabkan saya, Nasrul dan Bahtiar geram mendengar cerita-cerita begitu. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk memancing di sebelah malam.
Dengan berbekalkan umpan anak ikan, katak, cengkerik dan cacing, kami bertiga mencuba nasib di lombong seluas dua ekar ini. Tidak jauh dari saya duduk, ada sebatang pokok sena yang berdiri gagah. Daripada cerita orang-orang tua, pokok sena itu sudah tumbuh sejak beratus tahun lamanya.
Umur sebenar pokok itu tidak diketahui, cuma apa saja cubaan untuk menumbangkan pokok itu pasti tidak berhasil. Pasti ada rintangannya. Jentolak rosak, pemandu jentolak jatuh sakit, hujan ribut dan sebagainya. akhirnya pokok sena yang mempunyai banyak akar berjuntaian itu dibiarkan begitu saja kerana dikatakan berpuaka.
Sesekali mata saya pasti melirik ke situ. Sebagai pemuda yang dilahirkan dalam zaman merdeka dengan usia baru mencecah usia 25 tahun, saya kurang percaya dengan cerita-cerita misteri begini. Dalam zaman yang serba moden ini mana ada hantu atau jembalang.
Semuanya mainan perasaan manusia itu semata-mata apatah lagi saya merupakan graduan dalam tahun akhir bidang kejuruteraan awam di sebuah universiti awam di Kuala Lumpur. Joran saya bergerak. Sekali sentap, mangsa sudah kelihatan.
Seekor ikan kalui sederhana besar mungkin dalam 300 gram menggelepar lemah di permukaan air. Saya mengucapkan syukur, Alhamdulillah ini rezeki pertama setelah lima belas minit menunggu.
Dari jauh, saya lihat Bahtiar dan Nasrul juga sedang sibuk menaikkan joran masing-masing. Ini bermakna rezeki kami agak murah pada malam itu.
Setelah memasang umpan anak katak pada mata kail (dengan harapan kali ini haruan pula yang akan menyambarnya) tiba-tiba mata saya melihat dua ekor ikan kecil sebesar ikan puyu berwarna putih bermain-main di gigi air dengan jinak sekali.
Seperti dua orang budak kecil yang bermain kejar-kejar sambil mengacah sesama sendiri. Saya jadi terpesona dan khayal melihat gelagat dua ekor ikan kecil berwarna putih itu. Di dada langit, bulan semakin mengambang penuh. Cahayanya jatuh berkilauan di atas permukaan lombong yang luas.
Kalau tadi, terdengar suara cengkerik bersahutan dari hutan kecil di sebelah kini suasana sudah bertukar menjadi senyap sepi. Hanya deru angin yang semakin sejuk terasa. Saya pula seolah-olah ditarik perasaan untuk cuba menangkap dua ekor ikan kecil berwarna putih itu.
Gelagat Bahtiar Dan Nasrul tidak saya pedulikan lagi. Begitu juga dengan dua joran yang saya letakkan tadi (sebenarnya umpan saya sedang dimakan ikan). Apa yang bermain di dalam fikiran saya hanyalah untuk menangkap dua ekor ikan kecil berwarna putih yang saya rasa sungguh aneh dan istimewa sekali.
Ketika itulah, tanpa saya sedar, kaki saya sudah mula melangkah ke gigi air lombong tempat dua ekor ikan putih bermain-main tadi. Semakin saya dekat, semakin ikan itu bermain dengan riang seolah-olah mencabar saya untuk menangkap mereka.
Perasaan saya menjadi semakin geram dan tidak sabar. Dalam otak hanya satu yang saya fikirkan, saya mesti berjaya menangkap kedua-dua ikan putih ini untuk ditunjukkan pada kawan-kawan dan sanak saudara.
Setiap kali saya cuba menangguk dua ekor ikan putih itu (dengan tangguk yang saya bawa) pasti terlepas. Ikan-ikan itu pula tidaklah berenang terlalu jauh daripada saya tetapi entah mengapa saya masih gagal untuk menangkapnya.
Pada masa yang sama, saya tidak sedar bahawa saya bukan lagi berada di gigi air, tetapi saya sudah berjalan jauh ke depan dengan air kini separas dada saya!
“Iqbal…Iqbal….” Sayup-sayup saya terdengar suara memanggil tetapi keasyikan saya pada kedua-dua ekor ikan putih itu menyebabkan saya sudah tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling saya.
Tiba-tiba saya terdengar laungan azan. Agak sayup dan sayu pada pendengaran saya. Bukan sekali malah tujuh kali. Ketika itulah ikan putih tadi ghaib dan saya seolah-olah baru tersedar akan kedudukan saya yang berdiri di tengah lombong terbiar itu!
Nasrul datang berenang mendapatkan saya dengan mulutnya terkumat-kamit membaca ayat Qursi. Saya seperti dipukau hanya membiarkan tangan saya ditarik ke tepi tebing. Dengan dibantu oleh Bahtiar, saya didudukkan dan diberi minum air kosong. Selepas itu barulah fikiran saya menjadi waras dan boleh berfikir.
Kejadian ini berlaku beberapa tahun lepas. Walaupun diuji begitu, saya tidak serik untuk ke lombong itu lagi. Setiap kali turun ke Teluk Intan, saya pasti akan memancing di situ. Cuma kali ini saya memancing pada sebelah siang sahaja. Sebelum waktu Maghrib tiba, saya pasti akan angkat kaki dari situ.
“Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang disebut dengan Ar-Rayyan, yang pada hari Kiamat tidak akan ada orang yang masuk ke syurga melewati pintu itu kecuali orang-
orang yang berpuasa. Tidak akan ada seorangpun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka.”
Lalu dikatakan kepada mereka; “Mana orang yang berpuasa?”
Maka orang yang berpuasa berdiri menghadap.
“Tidak akan ada seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Apabila mereka telah masuk semuanya, maka pintu itu ditutup dan tidak akan ada lagi seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut”.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...