Ramai sedia maklum tentang ‘kesan’ Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada masyarakat akibat wabak Covid-19.

Kesan ini turut dirasai oleh golongan pemancing di Malaysia yang terhalang untuk keluar memancing seperti biasa. Secara spesifik, mungkin dari segi mental dan fizikal.

 

Terdapat perkongsian di laman sosial menunjukkan tahap ‘gian’ pemancing. Ada yang berpura-pura bersiap untuk memancing, tetapi apabila sampai di pintu pagar, mereka berpatah balik.

 

Ada juga yang memacak rod di beranda rumah, hanya sekadar mendapatkan feel memancing. Malah, ada yang menggigil sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Selain joran yang sudah mula berhabuk dan bersawang.

 

Apa Khabar Pemancing Semasa PKP?

 

Beruntunglah pemancing yang mempunyai kolam, parit, paya, tali air, bendang, sungai atau muara di kawasan rumah mereka.

Ada pemancing yang sedih kerana terpaksa membatalkan trip memancing, walaupun telah membuat tempahan awal. Syukurlah, kesemua wang tempahan telah dikembalikan semula oleh pengusaha bot dan homestay.

 

Ada juga pemancing yang terpaksa menjual peralatan memancing mereka, mungkin bagi mengimbangi perbelanjaan.

Sebagai rakan, perkara terbaik adalah dengan membeli peralatan memancing yang dijual. Selepas keadaan kembali normal, peralatan memancing mungkin boleh ditebus semula, terutama bagi koleksi kesayangan mereka.

 

Dalam situasi PKP begini, pemancing boleh menjadi sensitif dan terganggu emosi, terutama bagi pemancing tegar.

Menurut Prof. Robert Arlinghaus, hidup manusia seolah-olah tidak bermakna tanpa aktiviti memancing (sila lihat rujukan 1). Malah, terdapat segelintir pemancing di negara maju yang melahirkan rasa kecewa apabila mereka dihalang dari memancing akibat Covid-19.

 

Apa Khabar Pemancing Semasa PKP?

 

IKLAN

Akan tetapi di Malaysia, kebanyakan pemancing merupakan individu yang terkenal dengan sifat ‘tenang dan cool’. Justeru, sensitif dan terganggu emosi ini seharusnya bersifat sementara dan boleh dikawal.

 

Apa yang boleh dilakukan semasa PKP?

 

Pemancing boleh menyelenggara, membaik pulih serta mengemas kini susun atur peralatan memancing. Mana yang talinya sudah putus, atau peralatan yang sudah usang dan berkarat, mungkin boleh digilap atau diganti dengan yang baharu.

Diharap, persiapan sebegini dapat melancarkan trip memancing akan datang, selepas tamat PKP nanti.

 

Cadangan lain adalah dengan menggunakan applikasi memancing di dalam telefon pintar. Walaupun ianya hanyalah sekadar simulasi (game) dan jauh dari realiti, namun idea ini dapat membantu pemancing melepaskan rindu strike, sekali gus mengimbangi emosi pemancing sewaktu PKP.

 

Apa Khabar Pemancing Semasa PKP?

 

Selain, pemancing juga disaran menonton video teknik memancing, terutamanya dari negara maju. Carilah teknik dan tip yang berkaitan dengan memancing secara mampan, iaitu yang berkaitan dengan teknik menjaga alam sekitar dan sumber perikanan. Contohnya mendalami idea dan teknik yang betul tentang tangkap-dan-lepas (catch-and-release).

 

IKLAN

Malah, pemancing yang pandai bercerita atau mempunyai pengalaman luas, boleh berkongsi maklumat di alam maya. Mereka boleh merakam video, kemudian memuat naik di laman sosial.

Mungkin, cara paling mudah adalah dengan bersiaran secara langsung (cth: facebook live). Sudah pasti perkongsian dapat memberi manfaat kepada pemancing lain, terutama yang baru berjinak-jinak dengan dunia memancing. Maklumlah, di waktu PKP begini, semuanya berlaku secara atas talian.

 

Apa Khabar Pemancing Semasa PKP?

 

Kesan PKP kepada ‘lubuk’ memancing

 

Bagaimana pula dengan lubuk memancing? Pernahkah anda terfikir apa yang terjadi pada sumber perikanan, terutamanya di lubuk yang banyak menerima ‘tekanan’ selama ini?

 

Dipercayai kebanyakan lubuk kini sedang mengalami proses pemulihan. Ini kerana lubuk-lubuk ini tidak lagi menerima gangguan daripada manusia. Ikan kecil yang selalu dijadikan umpan akan dapat terus membesar, manakala ikan besar yang seringkali dijadikan sasaran, akan dapat menghasilkan benih baharu.

 

‘Habitat’ akuatik semula jadi juga dilaporkan mengalami kesan positif. Air mula menjadi jernih dan tumbuhan mula membiak, menjadikan habitat semakin sesuai untuk didiami oleh pelbagai spesies ikan.

 

IKLAN

Perkara ini dilihat mirip teknik pengurusan perikanan yang dinamakan close-season (penutupan-bermusim) dan closed-area (penutupan-kawasan). Kesannya, sumber perikanan kembali pulih dan lubuk dapat dibuka semula kepada pemancing apabila tiba waktunya (sila lihat rujukan 2).

 

Apa Khabar Pemancing Semasa PKP?

 

Duduk di rumah

 

Walau apapun yang terjadi, pemancing adalah antara golongan yang paling sabar dalam menempuhi dugaan PKP. Seperti yang disarankan oleh kerajaan, adalah penting bagi pemancing untuk duduk di rumah bersama keluarga tersayang.

Sekali gus dapat menzahirkan sifat mulia pemancing, yang mungkin tidak sempat dizahirkan sebelum ini. Sudah pasti, ada hikmah disebalik setiap yang berlaku.

 

Oleh:

Dr. Izharuddin Shah Kamaruddin

Pensyarah Kanan, Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian,

Universiti Putra Malaysia.

 

 

Rujukan

 

  1. Temuramah Prof. Robert Arlinghaus (Perikanan Rekreasi)

https://www.sciencemag.org/news/2019/03/qa-why-fishery-managers-need-overhaul-recreational-fishing-rules#

 

  1. Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO)

http://www.fao.org/3/y3427e/y3427e05.htm

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI