Selain nama sembilang atau semilang, terdapat juga sesetengah orang memanggil spesies ini dengan nama gemang atau sembilang gemang. Namun terdapat juga pendapat atau pertikaian tentang nama ikan ini.
Ada yang mengatakan sembilang dan gemang merupakan dua spesies ikan yang berbeza sementara, satu pendapat lagi mengatakan kedua-dua nama tersebut merupakan spesies yang sama di mana gelaran gemang lebih merujuk kepada spesies sembilang yang besar.
Secara peribadi, penulis lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan sembilang dan gemang merupakan spesies ikan yang sama dan nama gemang merujuk kepada ikan yang bersaiz besar. Sebagaimana spesies sebarau atau Hampala macrolepidota, rata-rata kaki pancing menggelar ikan ini sebarau namun jika spesimen bersaiz besar, gelarannya berubah menjadi badong.
Begitu pun, penulis tidak pula mengatakan pandangan yang mengatakan sembilang dan gemang ialah dua spesies berbeza adalah salah sama sekali.
Sebenarnya, pertikaian gelaran nama ikan seperti ini bukannya isu besar, malah bagi penulis tidak ada yang salah kerana gelaran nama biasa atau common name sesuatu spesies biasanya bergantung kepada demografi sesuatu kawasan. Malah, common name ini bukanlah antara langkah pengelasan saintifik dalam proses mengenal pasti spesies ikan (fish identification).
Kesimpulannya, nama gelaran boleh menjadi lebih daripada satu tapi merujuk spesies ikan yang sama atau sebaliknya nama yang sama tapi mahu merujuk spesies berlainan. Bagi penulis sendiri isu pertikaian nama gelaran ikan bukanlah hal besar dan terpulang kepada pemancing itu.
Sebaiknya, jika anda mahu mengenal pasti sesuatu spesies ikan dengan tepat, anda boleh merujuk kepada kaedah pengelasan secara saintifik.
Apa kata netizen?
“Sembilang dan gemang adalah spesies yang berbeza. Saya pernah memperoleh dua spesies ini dalam skala saiz yang sama. Terdapat sedikit perbezaan pada bentuk kepala dan saiz kedua ikan ini. Selain daripada itu ia sangat mirip dan hampir sama saja jika ditengok sekali imbas. Sayangnya saya tidak dapat untuk membuktikannya dalam bentuk foto kerana tidak membawa handphone berkamera ketika itu.”
- OYABUN
“Pada saya sembilang terbahagi kepada dua iaitu sembilang dan sembilang karang atau usat. Kalau sembilang bersaiz biasa atau kecil, ia dipanggil sembilang tetapi kalau bersaiz kasar ia akan dipanggil gemang. Setakat ini saya tidak nampak apa perbezaan antara sembilang dan gemang.”
- HAFIZUL AMRI
“Apa yang saya tau ikan gemang dan sembilang ialah ikan yang berbeza. Di tempat saya kalau ikan sembilang tu ialah ikan keli air tawar. Ikan gemang pula ialah ikan keli air masin. Dari dulu lagi orang kampung panggil macam tu.”
- FADZLI KADIR
“Memang susah nak buktikan secara saintifik sebab tak ada saintis nak buat kajian pasal ikan sembilang. Tapi saya sangat pasti sembilang dan gemang adalah dua spesies berbeza. Paling nyata adalah pada bahagian ekor. Ekor sembilang lebih tirus dan meruncing hingga ke hujung sementara gemang pula bulat pada hujung.”
- SIFU JOHN