Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, angin kencang Timuran dengan kelajuan melebihi 60 kilometer sejam (km/j) dengan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter dijangka melanda perairan Condore, Reef North, Layang-Layang, barat Palawan, Tioman, barat Labuan, Reef South dan Bunguran sehingga Ahad ini.
Situasi sama turut dijangka berlaku di perairan Labuan, pedalaman dan pantai barat Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang serta Johor Timur.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” kata kenyataan itu.
Ads
Sementara itu, angin kencang Timuran berkelajuan 50 hingga 60 km/j dengan ketinggian ombak mencecah sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan timur Samui sehingga Ahad ini.
Ads
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” kata kenyataan itu.
Ads
Dalam pada itu, angin kencang Timuran dengan kelajuan 40 hingga 50 km/j dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan barat Samui dan Sulu sehingga Ahad ini iaitu keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. – Bernama
Korang pernah memancing ikan ketam? Bagi yang tidak pernah mencuba pasti menganggapnya sesuatu yang kelakar. Malah ramai yang tidak mengetahui bahawa ketam sudah boleh dipancing dengan menggunakan joran dan kekili.
Hasrat untuk mencuba dan merasai sendiri keunikan pancingan ketam yang kian popular ini sebenarnya sudah lama terpendam. Jaring-jaring ketam pemberian seorang rakan pengusaha jaring ketam juga sudah berbulan-bulan tersimpan dalam bekas peralatan memancing. Justeru, apabila peluang itu menjelma, kami bertiga segera bertolak dari Shah Alam ke Teluk Gong, Melaka.
Dalam perjalanan ke Teluk Gong itu masing-masing dah pasang macam-macam angan-angan. Paling tak sabar nak rasa kemanisan ketam BBQ.
Setibanya di Teluk Gong, hari sudah lewat senja. Berikutan kesuntukan masa untuk mencari spot berpotensi mendorong kami untuk memilih spot yang boleh diakses dengan kenderaan paling hampir dengan pantai.
Ia bagi memudahkan urusan logistik kerana kami mendirikan khemah, barbeku dan memancing ketam hingga ke pagi. Lagi pun kalau kenderaan jauh dari tapak perkhemahan nanti jiwa macam tak tenteram pulak sepanjang tempoh memancing.
Hampir jam 8.30 malam kami mula melontar jaring ketam dengan berumpankan ikan selayang sejauh yang mampu ke laut. Kira-kira 15 minit kemudian mula mengarau pancing walaupun tiada sebarang petanda pada hujung joran. Tiada sebarang ketam yang tersangkut pada jaring.
Tidak lama kemudian kami tarik pula pancing kedua. Kali ini dapat dirasakan jaring sedikit berat dan ternyata beberapa ekor ketam tersangkut pada jaring. Namun kesemuanya bukan ketam sasaran, sebaliknya ketam kuning atau ketam ragi.
Setelah beberapa kali sekadar mendaratkan ketam ragi dan menghadapi kesulitan untuk meleraikannya daripada jaring serta merasai sendiri kepaduan kuasa sepitnya, hampir saja membuatkan kami hilang rasa teruja. Namun kami segera belajar. Kami beranjak tempat dan melontar umpan lebih jauh.
Tidak lama kemudian barulah dapat melihat getaran pada hujung joran dan apabila ditarik, dua ekor ketam bunga betina tersangkut kemas pada jaring. Seronok melihat ketam bunga melekat pada jaring memang sukar untuk digambarkan. Seolah-olah misi dah tercapai sepenuhnya.
Baru beberapa ekor ketam bunga didaratkan, air laut pula surut sepenuhnya. Memburukkan lagi keadaan, spot pilihan kami rupanya kawasan berbeting. Hendak berpindah spot terasa malas pula untuk berkemas segala peralatan pancing dan perkhemahan.
Sementara menanti air kembali pasang, kami teruskan juga memancing sambil tidur-tidur ayam. Sekitar jam tiga pagi barulah ketam bunga muncul kembali apabila kawasan berbeting dipenuhi air pasang.
Biarpun hasil memancing ketam dalam percubaan pertama kami ini tidaklah seberapa namun banyak perkara yang dapat kami pelajari.
Selain dari harus lakukan tinjauan spot ketika air laut surut, peralatan yang lebih sesuai untuk memancing ketam, kami juga baru tahu ketam kuning atau ketam ragi yang anggap sebagai pengacau, walaupun tidak banyak isinya tapi rasanya agak manis.
Agak banyak juga dapat dan kesemuanya dicampak kembali ke laut kecuali seekor sahaja yang kami ambil dan dibakar begitu sahaja. Saat itu barulah rasa menyesal pulak buang ketam-ketam ragi itu tadi.
Kunjungan kami ke utara tanah air bagi trip memancing kali ini adalah hasil kerjasama Shahril dengan bantuan tekong tersohor, Mad Krie. Hasrat mencari ikan-ikan pelagik yang sedap isinya ini telah lama kami rindukan rasa tarikannya.
Aktiviti awal pagi dimulakan dengan unjunan apollo mencari umpan. Tekong menyuruh untuk mencari borek. Borek merujuk kepada ikan termenung borek. Ikan borek adalah salah satu umpan paling digemari pelagik utama yang kami cari iaitu tenggiri.
Sedang masing-masing sibuk mencari borek, keheningan pagi dipecahkan dengan jeritan drag Daiwa Exceler milik Shahril.
“Negro hitam!” kata tekong.
Kami segera faham apa yang dimaksudkan oleh tekong. Apa lagi kalau bukan si layaran punya angkara. Hampir habis tali dalam gelendong dihenjutnya. Saya bergegas ke belakang bot membantu tekong mengawal ikan. Beberapa gelekan akrobatiknya gagal untuk meloloskan dirinya yang terjerat.
Mood pagi diserikan dengan sesi foto ringkas ikan ikonik ini beramai-ramai. Walaupun ikan ini dianggap pengacau terutamanya oleh pemancing tenggiri , namun keseronokan menariknya memang dinantikan. Ikan ini kami lepaskan semula.
Kami meneruskan aktiviti mencari cencaru kuda pula. Acara wajib mengunjun apollo yang memang tak boleh dilepaskan di unjam. Jeps pula lebih selesa menggunakan micro jig. Teknik berbeza namun target yang sama.
Suasana mula riuh apabila cencaru kuda mula menyerang. Saiznya pula agak kasar. Walaupun sekali yang naik seekor dua sahaja sudah cukup memadai kerana saiznya yang agak kasar. Jika lambat menaikkannya kadang kala bersimpul apollo dibuatnya.
Sekejap sahaja tong Coleman kami dipenuhkan dengan ikan ini. Saya juga berjaya menaikkan cencaru bersaiz hampir dua jengkal dewasa. Agak kuat tarikannya. Selain cencaru , kerisi juga banyak bermain di sekitar unjam.
Selepas beberapa jam menunggu, tenggiri mula menjengah umpan kami. Teknik hanyutan belon mula menampakkan hasil. Jeritan drag disambut sejurus tekong mengatakan mangsa adalah tenggiri. Kawalan berhati-hati dari Zubir yang membantu tekong akhirnya menghasilkan rezeki yang bersaiz sederhana.
Ikan mula bermain disekitar bot. Kami terus menunggu sambil terus mengunjun apollo. Memang seronok melayan apollo secara berjemaah di atas bot. Jeps pula yang gemar menggunakan teknik micro jig mendapat bonus sejurus jignya disambut ikan belitung.
Namun alun yang agak kuat menghadkan aktiviti kami. Manakan tidak, saya sendiri beberapa kali hampir terjun ke laut bahana alun kuat ini. Dua ahli komplot juga terpaksa berehat lantaran sedikit pening dek alun yang kuat ini.
Sebelah petang sekali lagi drag menjerit menandakan seekor lagi tenggiri menghentam umpan borek. Saiz kali ini agak kasar membuatkan kami lebih gembira. Selain ikan target, ikan gerut-gerut juga berjaya kami dapati di sini. Asalkan rajin dalam memancing, pasti akan ada hasilnya.
Seperti mana-mana trip, kami juga tak terlepas dari mengalami situasi rabut. Ini juga terjadi pada kami bila mana beberapa sambutan kasar yang didapati berjaya meloloskan diri. Selain faktor kesilapan, faktor nasib juga sebagai penentu. Perkara ini biasa kata tekong.
Untuk trip kali ini sahaja hampir enam kali tenggiri gagal dinaikkan. Namun kami puas hati kerana masih ada spesis lain sebagai penggantinya. Syukur… peti Coleman dapat juga dipenuhkan dengan pelbagai ikan hinggakan berlebihan. Tuas Payar memang terbaik.
Sekiranya anda berhasrat memancing dalam suasana santai dan damai tetapi dalam masa yang sama dapat tidak menang tangan menarik ikan, maka anda perlu menyenaraikan Kolam Pancing Harmony Klang dalam kamus memancing anda.
Melangkah masuk ke kolam pancing komersial air tawar berkeluasan satu ekar yang terletak di Rantau Panjang, Klang yang berlandskapkan kawasan kebun kelapa dan pokok buah-buahan, anda akan disajikan dengan sebuah kolam yang pada mata kasar seperti biasa-biasa sahaja.
Kolam berukuran 100 meter panjang dan 40 meter lebar, dengan kedalaman sekitar satu hingga tiga meter itu seperti tiada bezanya dengan kolam-kolam pancing lain. Namun di dalam tersebut tersembunyi lebih 10 tan ikan khususnya spesies patin yang sentiasa kelaparan.
Dengan saiz kolam yang tidak besar dan terdapat lebih 10 tan ikan yang sentiasa kelaparan itulah menjadi jaminan setiap pemancing yang mengambil pakej memancing RM 30 untuk tempoh lapan jam tidak akan kumpau atau gagal menarik walau seekor ikan.
“Kami tidak akan biarkan pemancing bangau (tak dapat tarik ikan) dan sedia memberi tunjuk ajar termasuklah menyediakan umpan supaya pemancing boleh pacak-pacak. Malah ada pemancing yang berjaya pacak sehingga 50 ekor dalam tempoh 8 jam. Pacak sampai lebam merupakan objektif utama Kolam Harmony Klang.” Ujar Zuvainy Saari yang merupakan pengurus kolam setelah kolam diambil alih pengurusannya oleh Kolam Pancing Harmony Puchong.
Zuvainy sendiri merupakan seorang pemancing kolam berkemahiran menyediakan umpan dan pernah memenangi pertandingan memancing berstatus mega. Justeru beliau amat memahami sifat pemakanan ikan-ikan di kolam seliaannya.
Memancing di Kolam Harmony Klang ini bukan sekadar untuk pacak-pacak sahaja. Dengan membayar yuran memancing para pemancing turut berpeluang memenangi ganjaran lebih RM1000 sekiranya tangkapan tersenarai pada papan ranking ikan terberat bulanan.
Malah pemancing turut berpeluang menerima bonus RM1000 sekiranya berjaya mendaratkan ikan patin dan karak (siamese carp) melebihi 13 kilogram. Soal berat ikan melebihi 13 kilogram bukanlah suatu yang mustahil kerana terdapat banyak ikan besar bersaiz hingga 16 kilogram.
Anda juga tidak perlu merangka masa tertentu untuk memancing kerana Kolam Harmony Klang beroperasi setiap hari. Kolam dibuka jam satu petang hingga tiga pagi dari Isnin hingga Khamis. Jumaat pula beroperasi dari jam tiga petang hingga tiga pagi.
Sabtu dan Ahad pula dibuka seawal sepuluh pagi hingga tiga pagi. Pihak kolam turut menyediakan sesi pertandingan pada setiap hari Isnin malam Selasa khusus buat pemancing yang meminati pancingan seumpamanya. Syarat-syarat atau peraturan memancing turut mesra pemancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...