Memancing ikan di laut atau air masin ternyata jauh lebih mudah penyediaan umpannya. Banyak hidupan di sekelilingnya boleh dijadikan umpan sama ada dalam keadaan hidup mahupun sudah mati. Malah, yang terjual di pasaraya juga boleh dijadikan umpan.

 

Jika hendak dihitung sememangnya tidak terkira jumlahnya. Namun kami sediakan 20 jenis umpan yang agak popular untuk dijadikan umpan dan ikan sasaran umpan tersebut.

 

UDANG HIDUP

 

Di perairan cetek kurang dari 10 meter dan ekstuari, udang hidup merupakan umpan yang sangat berkesan untuk semua jenis ikan pemangsa seperti siakap, siakap merah, kerapu, tebal pipi, jenahak dan lain-lain lagi.

 

SOTONG HIDUP

 

Jika di tengah laut, tiada umpan lain yang mampu menandingi sotong hidup bagi menjerat ikan-ikan gred A seperti ikan merah, jenahak, kerapu serta tenggiri.

 

UMPUN-UMPUN

 

Umpan yang cukup sininom bagi pancingan pesisir pantai. Walaupun ia cukup popular bagi memancing gelama namun ikan daun baru, tebal pipi, tetanda dan jenahak turut sam boleh dipancing.

 

UDANG KOPEK

 

Walaupun sudah mati atau hanya dibeli di pasar malam, udang laut masih boleh dijadikan umpan berkesan. Malah ia lebih berkesan jika dikupas atau kopek kulitnya. Ikan daun baru, sembilang, bolos, gelama dan lain-lain boleh dipancing dengan umpan udang kopek.

 

HIRISAN SOTONG

 

Baik di pesisir hingga ke laut dalam, hirisan sotong segar merupakan umpan pilihan bagi memburu pelbagai spesies berharga seperti jenahak, merah, kerapu atau ibu kerisi.

 

BELANAK

 

IKLAN

Boleh dianggap sebagai umpan terbaik bagi pancingan pantai atau pesisir. Sekiranya ingin memancing siakap, pari, kerapu atau jenahak maka jangan lupakan ikan belanak ini.

 

TAMBAN

 

Umpan yang sangat berharga jika digunakan ketika ia masih hidup. Apa saja ikan pelagik atau pemangsa seperti tenggiri, talang, senangin atau jenahak jarang melihat saja umpan tamban melintas di depan matanya.

 

KEMBUNG

 

Ramai yang berasa sayang untuk menggunakan umpan ini ketika ia masih hidup. Tetapi jika inginkan strike dari layaran, tenggiri atau barracuda maka cangkuklah ikan kembung ini pada mata kail.

 

SELAYANG

 

Antara umpan hidup yang popular di perairan Laut China Selatan. Malah jika digunakan ketika ia masih segar ia turut berpeluang untuk memikat kerapu, merah, aruan tasik dan lain-lain lagi.

 

KURITA

 

Boleh dikatakan umpan yang wajib ada bagi pancingan bottom di perairan Pelabuhan Klang. Sasaran tentu saja ikan jenahak, merah, kaci, kerapu, mahupun pari.

IKLAN

 

UDANG LIPAN

 

Ia sangat berkesan ketika ia masih hidup untuk menjerat kerapu, jenahak, merah, gerut-gerut serta pari terutamanya di perairan Selat Melaka.

 

KETAM NIPAH

 

 

Bila sebut saja umpan ketam atau ketam nipah pasti nama ikan ketarap atau bayan akan terkait dengan sendirinya. Namun ikan lain seperti kuku dan kerapu turut membaham umpan ini.

 

TONGKOL

 

Umpan yang sinonim untuk pancingan laut dalam bagi memburu ikan-ikan monster seperti ruby snapper, kertang, yu kemejan dan lain-lain lagi.

 

CABUK

 

IKLAN

Cabuk atau ikan parang yang manis isinya ini cukup digemari oleh kebanyakan ikan seperti tenggiri, ebek, malong, pari dan lain-lain lagi.

 

TELUR BELANGKAS

 

Umpan yang cukup sinonim untuk memburu keluarga pak misai seperti sembilang, duri dan juga belukang.

 

KUPANG

 

Antara umpan yang popular bagi pancingan di kelong. Ikan sasaran pula merupakan ikan yang sering berlegar di kawasan kelong seperti gerut-gerut, sembilang, duri dan lain-lain lagi.

 

IKAN JENJULUNG

 

Jika di estuari atau pancingan muara, ikan jenjulung ini sememangnya umpan killer bagi memancing siakap merah. Namun ikan lain seperti todak dan barracuda turut membaham umpan ini.

 

KERANG

 

Seperti mana telur belangkas juga, kerang merupakan umpan alternatif untuk memancing spesies pak misai.

 

UMANG-UMANG

 

Dari dulu sehingga kini ia merupakan umpan pilihan untuk memancing sembilang atau gemang. Namun ikan lain seperti gelama, gerut-gerut dan kitang turut berminat kepadanya.

 

SESIRAT

 

Walaupun ia dianggap sebagai pengacau umpan dan boleh menyebabkan ikan-ikan lain lari namun sesirat juga merupakan umpan yang terbukti berkesan bagi memancing pari.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI