Jika anda ingin menguji kecekapan mengendalikan peralatan sederhana (aksi ringan dan sederhana) dengan kekuatan maksimun 15lb, cubalah memancing ikan berkuasa torpedo ini. Henjutan dan rembatan yang dibuat ke atas set pancing membuatkan otot-otot lengan kejang seketika menahan asakan ikan yang cukup padu.
Bertarung dengan spesies pelagik berlainan dengan bukan demersal kerana spesies pelagik mampu memberi tentangan di permukaan. Kadang-kadang ia turut melakukan aksi akrobatik ke udara.
Bertarung dengan ikan berbadan tegap dan sasa, anda perlu sabar melayan kehendak dan arah renangan ikan. Berikan sedikit tekanan dan henjut pada kekuatan satu pertiga daripada kekuatan tali yang digunakan.
Ikan tongkol cepat letih walaupun kuat pada permulaan dan biasanya kurang dari 10 minit ia mula mengikut arah tali masuk ke gelendung kekili. Masa itu anda tidak perlu gopoh memujuknya ke arah bot, layan dengan sabar sehingga ia benar-benar keletihan ke sisi bot.
Perambut sepanjang pangkal lengan (2-3 kaki) dengan kekuatan 30Ib hingga 50lb disyorkan. Jangan terlalu panjang perambut kerana ia menyukarkan anda membuat balingan kekawasan ikan bermain.
Tidak perlu dawai, tanduk, ladung maupun pemberat. Ikat mata kail bersaing 1/0, 2/0, 3/0, 4/0 hingga 5/0 samada jenis mata kail octopus (untuk umpan hidup) dan mata kail o’shounessey (umpan mati).
Umpan mengikut susunan bilis segar, anak tamban, selar, kembung, selayang dan tamban baru. Saiz ikan umpan itu jangan terlalu besar, paling baik 1 hingga 2 jari dewasa. Tidak kisah sama ada umpan hidup mahu pun mati dengan syarat ia segar.
Teknik Memancing Ketika Bot Bersauh
Cucukkan mata kail pada umpan anak ikan di bawah perut, atas lateral line, pangkal ekor atau mulut sekiranya menggunakan umpan hidup. Jika menggunakan umpan ikan segar, cangkukkan dalam mulut, mata dan dekat insang.
Jika menggunakan bilis, masukkan mata kail melalui mata bilis sama ada seekor atau berangkai. Bilis juga digunakan sebagai bahan ‘rasuah’ untuk mengundang kehadiran tongkol dekat dengan lokasi bot.
Labuhkan umpan mengikut arus tanpa pemberat. Biarkan ia hanyut ke arah unjam atau kawasan yang dikenal pasti adanya kumpulan tongkol sedang bermain.
Untuk hasil yang lebih efektif, umpan yang dilabuhkan (hanyut) hendaklah sesekali dihenjut perlahan untuk menarik perhatian mangsa.
Jika mampu membuat balingan (bait casting), pastikan lontaran tidak mencederakan ikan hidup yang digunakan.
Sentiasa memeriksa keadaan umpan jika anda memancing berdekatan dengan unjam (umpan sering dikacau sotong dan anak ikan).
Hanyutkan umpan pada kedalaman 10meter bawah permukaan hingga ke permukaan air. Lihat kesannya samada umpan dirembat di bawah permukaan atau di pertengahan air.
Teknik memancing ketika bot berhanyut
Teknik ini lebih mudah dan berkesan. Ia lebih produktif di mana hasil melebihi seekor setiap kali dinaikkan. Ia dipanggil menunda atau mengolok aya istilah Pantai Timur.
Mata apollo berangkai biasanya 20-100 mata dilabuhkan di belakang bot yang sedang bergerak merentasi kawasan yang dikenal pasti adanya tongkol.
Aya juga boleh dipancing dengan teknik moden iaitu mengilat dan jigging. Untuk mengetahui gewang atau jig yang sesuai bolehlah bertanya secara terus kepada tekong kerana tekong lebih mengetahui dan berpengalaman berbanding pemancing.
Biasanya udang galah lebih mudah dipancing dengan menggunakan sampan atau perahu disebabkan mudah untuk beralih tempat dan mencari lubuk.
Malangnya tidak semua pemancing yang mampu memiliki atau pun menyewa sampan.Pilihan yang ada hanyalah memancing dari tebing-tebing sungai, jeti-jeti kecil, pelantar, pontun dan jambatan yang merentangi sungai.
Bagi pancingan tebing, jeti atau jambatan ini beberapa perkara perlu difahami iaitu pengaruh perubahan suhu dan air kepada udang galah; umpan-umpan yang menjadi
kegemaran udang di lokasi tersebut; jenis perambut yang terbaik untuk diguna pakai; dan lokasi dan bentuk aliran air yang disukai udang galah.
Harus difahami bahawa udang galah bergerak dalam kumpulan dan adalah jenis haiwan akuatik yang tidak berhenti makan, mereka adalah spesies yang pelahap.
Mereka makan tanpa mengira waktu atau keadaan air. Cuma yang perlu kita ketahui ialah bila dan di mana kumpulan udang galah ini galak dan rakus memakan umpan.
Pengaruh dan perubahan suhu dan air memainkan peranan yang paling penting kepada kerakusan udang galah memakan umpan.
Suhu air yang sejuk akan membuatkan udang galah tidak galak memakan umpan. Keadaan ini akan membuatkan udang galah lebih suka berpindah ke tempat-tempat yang lebih panas suhu airnya.
Udang galah lebih galak memakan umpan pada ketika air beralih surut sehinggalah air surut sepenuhnya. Pada ketika air pasang penuh udang galah sukar dipancing kerana ia lebih suka memburu di bawah timbunan kayu dan akar-akar nipah di kawasan bertebing.
Pada ketika air mulai surut udang galah akan keluar memburu di kawasan pertengahan sungai. Musim terbaik untuk memburu udang galah ialah pada ketika musim panas atau permulaan kemarau.
Udang galah juga menjadi galak jika cuaca panas selepas dua atau tiga hari hujan turun. Masa terbaik pula ialah ketika awal pagi hingga sebelum tengah hari, lewat petang hingga ke awal malam.
Mencandat sotong memang seronok. Lebih-lebih lagi kalau dapat sotong torak atau mengabang bersaiz kasar. Bila candat mengena sotong bersaiz kasar, barulah syok sedikit melayannya. Memang tersenyum sampai ke telinga apabila melihat saiz sotong yang berjaya didaratkan.
Tetapi ramai juga yang berasa seronok ketika melayan tarikannya saja. Bila time pengagihan hasil, ramai yang memilih sotong bersaiz kecil. Alasannya, sotong torak atau mengabang bersaiz kasar ni dia punya liat mengalahkan tiub basikal.
Memang tidak dinafikan sotong torak atau mengabang bersaiz besar (melebihi berat 500gm dan ke atas) dagingnya agak liat atau keras sedikit. Tapi sebenarnya ada cara untuk melembutkannya sebelum ia dimasak.
Cara-cara melembutkan daging sotong
Salah satu daripadanya adalah dengan dengan membelah dua badannya dan ketuk dagingnya (jangan sampai hancur) sebelum potong mengikut saiz dan resipi apa dikehendaki.
Apabila memasak sotong sebaiknya elak daripada memasaknya terlalu lama. Sotong yang dimasak agak lama akan menyebabkan dagingnya menjadi liat.
Selain itu elok amalkan memasak dengan bantuan wap pemanas atau stim. Penggunaan stim membolehkan daging sotong.
Jika menggoreng atau menumis sotong, gunalah penutup agar wap panas yang terkumpul itu membolehkan isi sotong masak dengan lebih cepat dan sempurna.
Mengukus sotong terlebih dahulu sebelum dijadikan menu utama juga mampu melembutkan daging sotong.
Elakkan memasak sotong dengan resipi masam kerana masakan masam seperti tomyam akan menyebabkan dagingnya semakin mengecut, memendek dan liat.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...