Kebanyakan pemancing tidak menyedari perbezaan ini dan memanggil kedua-duanya sebagai ebek saja.
Ebek yang dimaksudkan ialah ikan ebek kapak dan ebek bulat. Ebek kapak merupakan spesies Alectis indica manakala spesies ebek bulat pula merupakan spesies A. ciliaris.
Taksonomi Ebek Bulat
Kingdom:Animalia
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Perciformes
Family: Carangidae
Genus: Alectis
Species:A. ciliaris
Binomial name: Alectis indica (Bloch, 1787)
Sama tapi tak serupa
Perbezaannya pula dapat dilihat melalui bentuk badannya mana ebek kapak mempunyai bentuk badan yang lebih bersudut terutama pada bahagian kepala. Sementara kepala ebek bulat pula lebih membulat.
Dan ebek kapak juga mempunyai tompok hitam pada bahagian operkulum atas berhampiran dengan sirip pektoral sedangkan tanda hitam ini tidak hadir sama sekali pada ebek bulat sama ada spesimen juvenil atau dewasa.
Ebek bulat juga mempunyai badan yang lebih padat dan tebal berbanding ebek kapak. Ebek bulat mampu membesar panjang sehingga 150cm dan berat maksimum 30kg.
Sementara ebek kapak pula lebih panjang sehingga 165cm dan berat maksimum pula sekadar 25kg.
Selain itu sirip kaudal ebek bulat lebih panjang selain mempunyai sirip anal yang lebih panjang berbanding ebek kapak. Walaupun pada spesies dewasa, juraian sirip ini masih kelihatan pada ebek bulat.
Dalam pancingan, ebek bulat agak cerewet dengan umpan tiruan dan lebih mudah dinaikkan dengan menggunakan umpan sotong atau udang hidup manakala ebek kapak pula lebih mudah terpedaya dengan unjunan besi atau pancingan dasar.
Ikan belukang, adalah dari jenis catfish atau ikan bermisai yang lazimnya boleh didapati di tepi pantai berlumpur dan kuala sungai. Ikan dengan nama umum sagor catfish, sagor sea-catfish atau Sunda sea-catfish ini tergolong dalam keluarga besar Ariidae, dalam genus Hexanematichthys dengan nama saintifiknya Hexanematichtys sagor.
Taburan ikan belukang amat meluas meliputi pesisir Lautan Hindi, bermula dari pantai-pantai di wilayah India, Pakistan, Sri Lanka, Asia Tenggara hingga ke Malaysia, Indonesia dan Filipina.
Ikan belukang hidup di laut berlumpur berdekatan pantai dan di estuaria (badan air setengah tertutup di wilayah pesisir dengan satu sistem sungai atau lebih yang mengalir masuk ke dalamnya, serta terhubung bebas dengan laut terbuka.
Kebanyakan muara sungai ke laut membentuk estuaria namun tidak demikian jika bermuara ke danau, waduk atau ke sungai yang lebih besar). Sagor catfish ini sering merayau sama ada ke hulu atau ke hilir hingga ke sempadan air pasang tinggi.
Daripada aspek morfologi, ikan belukang merupakan ikan bersaiz sederhana. Memiliki badan licin tanpa sisik. Ia mampu membesar panjang sehingga 45 cm namun kebanyakan spesimen yang ditemui sekitar 30 cm sahaja.
Ikan belukang memiliki bentuk kepala memipih datar ke arah muncung, dilengkapi dengan tiga pasang sesungut. Sepasang sesungut yang paling panjang berada pada rahang atas, panjang mampu mencapai pertengahan sirip pektoral atau lebih.
Bahagian atau sisi atas kepala ikan belukang terbentuk keping-keping tulang umpama perisai yang berpola kasar permukaannya. Lekuk fontanel yang memanjang di tengah dahi di antara dua belah mata. Bentuk arah kepala belakang membundar, dan bentuk sirip anal umpama saya kupu-kupu.
Ikan belukang dibarisi gigi berbentuk kerucut dan tersusun dalam barisan melintang pada empat plag yang berderet di langit-langit mulut (palatum), plag gigi yang sebelah depan (plag maksilar) melengkung sempit dari sisi ke sisi.
Pada siri sirip dorsal dan kedua-dua sirip pektoral ikan ini masing-masing memiliki duri atau patil yang bergerigi dan berbisa. Sisi atas dan samping atau tepi badan ikan berwarna keabu-abuan gelap kecoklatan atau kebiruan, sisi bawah atau abdomen berwarna putih susu, lazimnya hadir 10 atau lebih garis-garis melintang putih keperakan, kebiruan, atau kehijauan. Semua siripnya berwarna kusam kehitaman, hanya bahagian filamen dari sirip dorsal yang berwarna terang.
Daripada aspek ekonomi, ikan belukang bukanlah ikan yang bernilai tinggi sekali gus menjadikannya ikan yang kurang di pasaran. Justeru ia tidak ditangkap secara komersial dan tiada sebarang ancaman kepupusan terhadap spesies ini.
Sementara dari sudut perikanan rekreasi pula, ikan belukang lebih dianggap sebagai ikan pengacau yang menghabiskan umpan. Namun spesimen yang kasar berupaya menghadirkan keseronokan dalam sesi memancing dan bernilai amat tinggi jika hadir di meja timbang sesuatu pertandingan memancing.
Ikan baung merupakan spesies ikan bermisai yang cukup popular di kalangan pemancing tempatan. Keasyikan melayan tarikan demi tarikan spesies ini terutama waktu malam atau selepas hari hujan (air keruh) cukup mengasyikkan hingga tidak sedar masa berlalu dengan pantas.
Biarpun tarikannya tidak seganas pemangsa lain, namun baung tetap mempunyai tarikan tersendiri lebih-lebih lagi kepada penggemar menu masak lemak cili padi.
Spesies Hemibagrus nemurus atau lebih kita kenali sebagai ikan baung kuning merupakan satu spesies ikan air tawar yang datang dalam keluarga ikan bermisai (catfish).
Bagi kebanyakan kaki pancing di Malaysia, spesies baung kuning bukanlah pilihan ikan target utama jika dinilai dari segi kekuatan tentangan di hujung mata pancing, namun jika dijadikan lauk dan dihidangkan di antara ikan air tawar yang lain, pasti ikan baung kuning antara target utama lauk yang mahu dicapai.
Biarpun tentangan spesies baung kuning tidak seganas ikan pemangsa lain, namun memancing ikan baung kuning juga mempunyai daya penariknya tersendiri. Rata-rata pemancing jika menyertai trip trekking ke sungai pegunungan sering kali menyediakan set dan umpan khas untuk melayan baung sepanjang malam.
Jika di tasik besar menaiki boathouse pula seperti Tasik Kenyir atau Tasik Banding, tidak sah jika waktu malam tak dihabiskan dengan melayan si pemakan dasar ini sambil meneguk kopi panas dan bersantai bersama rakan-rakan.
Ternyata, biarpun bukan di kalangan spesies ikan trofi, spesies baung kuning masih tetap merupakan antara spesies ikan kegemaran kaki pancing. Jadi tidak hairanlah jika dikatakan spesies baung ini antara ikan air tawar yang cukup dikenali dalam arena pancing tempatan.
Bagi pola taburan spesies bermisai ini, kebanyakannya boleh ditemui di kebanyakan kawasan sungai. Kebanyakan spesies ini boleh ditemui di kawasan air tawar di Kepulauan Jawa, Semenanjung Malaysia, Sumatera dan juga kepulauan Borneo. Selain itu, spesies ini juga banyak ditemui kebanyakan sungai utama di Asia Tenggara seperti Sungai Mekong dan Sungai Chao Phraya.
Habitat bagi spesies ini pula ialah kawasan sungai atau tasik air tawar. Spesies ini juga mampu hidup dalam keadaan badan air yang kurang berkualiti atau tercemar. Ini menunjukkan spesies baung mempunyai kadar toleran kepada kualiti air yang rendah.
Baung kuning juga mendiami kawasan sungai yang berarus perlahan atau kawasan badan air tetap di mana hampir ketiadaan arus. Ini termasuk kawasan seperti sungai dan tasik yang mengalami perubahan kedalaman air dengan populasi spesies lain yang akan bermigrasi ketika musim banjir sebelum kembali kepada sungai utama sekitar bukan November hingga Disember.
Di Malaysia, spesies baung kuning cukup popular terutama di kebanyakan sungai pegunungan, bahagian pertengahan sistem sungai (kecuali berhampiran muara) dan juga kawasan tasik air tawar utama di Malaysia.
Pemancing tempatan juga tahu bahawa keadaan air yang keruh selepas hujan merupakan waktu sesuai untuk memancing spesies ini. Selain itu, waktu malam juga menjadi waktu yang paling terbaik untuk memancing baung.
Spesies daripada genus Hemibagrus ini merupakan ikan bermisai (barbel) yang mempunyai kepanjangan sekitar 8 cm. Spesimen sering ditemui di sepanjang subcontinent perairan India, Asia Tenggara dan Asia Timur. Spesies ini merupakan ikan yang tidak bersisik dan mempunyai badan yang agak licin.
Bahagian kepalanya agak mendatar ke bawah hingga ke bahagian mulutnya. Bahagian kepalanya juga mempunyai rangka tengkorak yang agak keras untuk melindungi kepalanya. Badannya mempunyai bentuk agak memanjang. Bahagian badannya mempunyai warna yang agak kekuningan bergantung kepada persekitaran kawasan air.
Spesies ini mempunyai barbell atau misai yang digunakan untuk memburu. Mereka mengesan mangsa atau makanan melalui filament barbel ini dan tidak menggunakan mata terutama dalam keadaan air yang keruh.
Spesies ini juga mempunyai kesemua sirip utama pada seekor ikan malah mempunyai sirip adipos iaitu sirip berdaging yang hadir di bahagian atas berhampiran kaudal pedunkel yang agak panjang.
Bagi diet spesies baung, ikan ini menjadikan ikan kecil, serangga air, udang dan cacing sebagai diet utamanya. Baung juga bersifat kewilayahan dan mempunyai naluri untuk menyerang hendap mangsanya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...