Taman Negara Kuala Tahan (Sungai Tahan) Dibuka Untuk Aktiviti Memancing

59

 

Secara peribadi sudah beberapa kali saya memancing di Taman Negara Kuala Tahan. Kalau tak silap pada perkiraan kali terakhir saya memasuki dan memancing di Taman Negara Kuala Tahan ialah pada 2012 yang lalu. Jika tidak silap juga ketika itu Taman Negara Kuala Tahan di Sungai Tahan dibuka untuk aktiviti memancing bagi tempoh sebulan sahaja.

 

Saya juga pernah memancing secara bermalam dan balik hari di sungai Tahan tersebut namun tiada sebarang hasil yang boleh dibanggakan. Sebabnya bukan kerana ikan terutamanya kelah di sana sudah sukar untuk diperolehi tetapi disebabkan faktor cuaca. Boleh dikatakan kesemua trip memancing saya ke sungai Tahan itu disusuli oleh cuaca buruk.

 

Namun, apabila pihak Taman Negara Pahang mengisyhtiharkan bahawa aktiviti memancing di Sungai Tahan akan dibuka kepada umum. Aktiviti ini bermula pada 16 Mei dan 17 Mei ini (setiap RABU dan KHAMIS) dengan beberapa syarat dan peraturan, saya yakin impian saya untuk menjinakkan dua spesies utama di Sungai Tahan iaitu kelah dan tapah memperlihatkan sinarnya.

 

Cuma amat mengecewakan aktiviti CASTING pula diharamkan atas faktor keselamatan. Berikut merupakan syarat dan peraturan yang ditetapkan…

 

 

Syarat Memancing di Sungai Tahan, Taman Negara Pahang

 

Pemancing, pemandu bot dan juruhaluan bot diwajibkan mendaftarkan diri di Kaunter Penguatkuasaan sebelum memulakan aktiviti memancing.

Pemancing, pemandu bot dan juruhaluan bot perlu mengambil Permit Masuk (RM1), Lesen Memancing (RM10/rod) dan Lesen Mengambil Gambar (RM5/kamera) terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti memancing di Kaunter Penerangan Taman Negara Pahang, Kuala Tahan.

 

 

 

Syarat-Syarat Lain:

 

Terbuka kepada semua Warganegara dan Luar Negara.

Aktiviti memancing dibuka setiap hari Rabu dan Khamis. Sebarang perubahan waktu memancing adalah tertakluk kepada pihak Pengurusan Taman Negara Pahang.

Masa aktiviti memancing bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang sahaja.

Kawasan aktiviti memancing yang dibenarkan adalah dari Kuala Tahan ke Jeram Bahala sahaja.

Aktiviti memancing ini hanya boleh menggunakan bot sahaja. Trekking ke kawasan memancing adalah tidak dibenarkan.

Jumlah bot yang dibenarkan ialah 10 bot sehari dan seorang pemancing boleh mengambil Lesen Memancing maksima dua (2) lesen sahaja. Tempoh sah lesen memancing hanya satu (1) hari sahaja.

Sebuah bot boleh membawa maksima empat (4) orang pemancing sahaja dan pemandu bot dan juruhaluan mesti bersama dengan pemancing sepanjang aktiviti memancing.

Aktiviti memancing kaedah ‘casting’ tidak dibenarkan bagi tujuan keselamatan pelancong/pemancing lain.

 

Peralatan yang dibenarkan:

 

Peralatan untuk memancing sahaja (mata kail, tangsi, batu ladung, joran, reel dan lain-lain peralatan yang menggunakan kaedah pancing yang ditetapkan oleh Penguasa)

 

Peralatan yang dilarang dibawa:

 

  • Peralatan perkhemahan
  • Parang
  • Peralatan memasak
  • Jala/jaring
  • Tajur/taut/rawai/sauk
  • Bubu/lukah
  • Panah/senapang ikan/cermin/senjatapi
  • Tuba/racun
  • Alatan yang menggunakan arus letrik

 

DILARANG mengganggu, mencederakan, mengambil atau membunuh hidupan liar dan serangga di dalam Taman Negara.

DILARANG merosak, memotong, memindah, mengubah, memusnah pokok, batu, papan tanda atau tempat perlindungan hidupan liar.

DILARANG membuang sampah mahupun puntung rokok di dalam kawsan Taman Negara. Semua sampah hendaklah dibawa balik dan dibuang ke tempat pembuangan sampah semasa keluar.

DILARANG memasang unggun api di dalam kawasan Taman Negara.

DILARANG membawa, memiliki, mengedar dadah atau meminum minuman keras/ beralkohol di dalam kawasan Taman Negara.

 

 

Tambahan:

 

Pemeriksaan barang terhadap pemancing diwajibkan sebelum dan selepas aktiviti memancing.

Hanya bot yang berdaftar dengan Jabatan Perhilitan sahaja dibenarkan untuk membawa pemancing di dalam kawasan Taman Negara Pahang.

Pemancing perlu membawa permit dan lesen setiap masa semasa menjalankan aktiviti bagi memudahkan tujuan pemeriksaan Jabatan.

Pihak Jabatan Perhilitan berhak memeriksa bot pada bila-bila masa.

Pihak Jabatan Perhilitan berhak meminda syarat dan peraturan memancing pada bila-bila masa atau membatalkan aktiviti memancing ini pada bila-bila masa dan tertakluk kepada keadaan semasa.

Tempahan memancing dan bot memancing hanya boleh dibuat melalui Persatuan Bot Dalaman Taman Negara, Kuala Tahan sahaja.

Pemancing, pemandu bot dan juruhaluan diwajibkan memakai ‘life jacket’ sepanjang aktiviti memancing.

Pemancing diwajibkan mengisi dan melengkapkan Borang Pelepasan Tanggungjawab (Lampiran I) di Kaunter Penguatkuasaan sebelum menjalankan aktiviti memancing.

Semua jenis ikan dibenarkan untuk dipancing. Ikan Kelah yang beratnya 1 Kilogram hingga 4 Kilogram sahaja dibenarkan. Ikan Kelah yang beratnya kurang dari 1 Kilogram atau melebihi 4 kilogram hendaklah dilepaskan kembali di tempat ianya ditangkap.

Pemancing diwajibkan mengisi Borang Daftar Aktiviti Memancing (Lampiran II) di Rakit Jabatan Perhilitan apabila siap memancing untuk tujuan rekod inventori pihak Taman Negara Pahang.

Kelulusan adalah tertakluk kepada Penguasa Taman Negara Pahang.

DENDA

Sesiapa yang didapati memancing di dalam kawasan Taman Negara Pahang tanpa permit atau tidak mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan adalah melakukan kesalahan mengikut Enakmen Taman Negara (Pahang), 1939 dan Keadah 11, Kaedah-kaedah Taman Negara Pahang.

Oleh itu, mereka yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit (RM 5,000) atau penjara selama tempoh dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Terbuka Kini Memancing Kelah Kuala Tahan

Tinggalkan Komen