Sepanjang pantai ABF yang ditambak telah menjadikan ia sebagai port memancing yang popular di kalangan penduduk setempat (Bintulu). Lebih kurang 20 minit perjalanan, saya menuju port tersebut dengan 1001 harapan.
Sampai sahaja, sudah ada sahabat-sahabat caster yang mencuba nasib dan tanpa membuang masa saya pun menyediakan set casting dengan gewang kegemaran. Gewang Zerek Live Shrimp 89mm/7gm jadi taruhan.
Lemparan demi lemparan dengan karauan yang perlahan dan sedikit henjutan lembut pada joran tetiba…. BOOMMMM! Satu sambaran yang cukup ganas dn disertai larian yang cukup padu menuju ke laut terbuka.
Ternyata mangsa kali ini bukanlah lawan set yang saya gunakan. Ia memaksa saya buat adjustment pada drag system yang mana hanya 50-60% saja saya gunakan.
Selebihnya dikawal secara manual supaya senang saya kawal apabila mangsa tekan minyak atau brake.
Larian ini hampir saja menghabiskan tali sepanjang kurang lebih 200meter. Melihatkan keadaan ini, saya memberanikan diri untuk buat 2 kali henjutan pada joran. Satu keajaiban berlaku… mangsa buat u-turn dan terus menuju ke tebingan yang berbatu.
Ads
Keadaan semakin tidak terkawal apabila beberapa kali mangsa hampir sahaja berjaya masuk ke struktur. Setelah berjaya memujuk mangsa keluar, mangsa terus berlegar-legar ke kiri kanan dan sesakali ia menjunam seolah-olah ingin menanamkan diri di dasar.
Selain dari tebingan yang berbatu, di sepanjang tebingan juga terdapat banyak tiang serta pukat yang sengaja ditinggalkan oleh sipemukat. Saya pasti mangsa ini ialah kerapu naga
atau tong gas iaitu si pencukai pada sehabat-sahabat caster sebelum ini. Saya bertekad untuk memenangi perlawanan ini.
Lebih kurang 50minit yang meletihkan akhirnya senyuman mula terpancar apabila ia mula menunjukkan diri dan ikut sahaja kehendak saya. Dalam hati berkata… saya berjaya!
Dengan jarak Lebih kurang 4-5meter, depan mata mangsa terdampar kaku. Saya dapat melihat dengan jelas dan seakan-akan tidak percaya dengan apa yang saya lihat.
Ads
Ia menyebabkan saya ‘gila sekejap’. Tanpa saya sedari yang saya telah pun duduk di atas mangsa. Seekor ikan kerapu… kerapu naga… tong gas. Tanpa henti saya memanjatkan rasa syukur… terima kasih ya Allah.
Dengan bantuan sahabat Jeff Caster, kami mengangkat ikan tersebut naik ke tebing dan setelah diitimbang… saya terpaku dengan angka yang terpampang. Wow… 37.22kg! Rekod peribadi tercipta… landbase casting.
Banyak lagi perkara yang berlaku yang saya tak dapat nak terjemahkan dengan kata-kata. Macam magical pun ada… Apa-apa pun itulah rezeki dari-Nya.
Walaupun dah terkangkang mata ia masih lagi mampu menahan asakan. Kalau sudah tertulis ia rezeki saya. Berat rasmi menggunakan timbang peraih ikan ia seberat 38.30kg.
Terletak 30km di luar pantai barat laut tanah besar Semenanjung Malaysia, Pulau Langkawi adalah sebuah kepulauan daripada 99 pulau-pulau (tambahan 5 pulau sementara yang didedahkan semasa air surut) di Laut Andaman.
Pulau Langkawi secara rasmi dikenali sebagai Langkawi Permata Kedah pada 15 Julai 2008 oleh Sultan Abdul Halim bersempena Sambutan Jubli Emas baginda.
Keluasan Kepulauan Langkawi adalah sekitar 47,848 hektar di mana di pulau utama adalah Pulau Langkawi itu sendiri seluas 32,000 hektar merangkumi tanah rata dan dataran aluvium diselangi dengan rabung batu kapur.
Dua pertiga dari pulau ini didominasi oleh hutan dilindungi gunung, bukit dan tumbuh-tumbuhan semula jadi.
Pelbagai cara untuk ke Pulau Langkawi sama ada menggunakan khidmat Feri Langkawi dari jeti Kuala Perlis, Kuala Kedah serta Pulau Pinang dengan kadar murah ataupun melalui
udara dengan tersedianya kadar tambang murah oleh Air Asia yang hanya mengambil masa 45 minit penerbangan sahaja dari LCCT.
Dari terminal jeti Kuah terdapat perkhidmatan teksi ke Pantai Cenang dengan kadar tetap RM24 manakala dari lapangan terbang adalah RM18.
Di Pantai Cenang banyak terdapat tempat penginapan dari hotel bertaraf bintang hinggalah ke homestay yang selesa dengan kadar serendah RM50 semalam.
Untuk trip santai ini, kami memilih untuk terbang dan menginap di sebuah home stay di sekitar Pantai Chenang.
Kami tiba di Lapangan Terbang Kuah dan disambut oleh Eddie Haniz, rakan pengilat yang telah tiba awal sehari.
Setelah mendaftar masuk bilik, petang itu kami dibawa warming up untuk mengilat secara landbase di tebing berbatu sekitar Pantai Chenang dan kawasan pemecah ombak sebelum boating keesokan harinya.
Tiada sebarang strike yang kami perolehi sepanjang petang tersebut kerana kami lebih kepada aktiviti santai sahaja.
BERMULANYA AKSI SEBENAR
Tibanya kami di jeti nelayan Teluk Baru, Tekong Beq telah menunggu kami seawal pagi lagi bersama tekong Ishak.
Sebelum kami dibawa mengilat di sekitar taburan pulau di Langkawi, tekong Beq singgah untuk mengilat sebentar di tepi tiang jeti Star Cruise namun tiada sebarang sambaran.
Kemudian barulah kami menuju ke sebuah pulau berdekatan. Pada awalnya, kami dihiburkan dengan sambaran dari pelbagai spesies kerapu cilik yang mengendap di celah-celah batu.
Setelah beberapa ketika, barulah Ijoi berjaya mendarat seekor ikan kunyit bersaiz hidangan.
Di Pulau Tanjung Sawa pula, gewang Rapala Shadrap saya disergap kasar oleh penghuni berbatu. Siakap merah berskala 1kg yang menyambar rupanya dan selamat didaratkan.
Tekong memberitahu agak sukar untuk memperolehi siakap merah di sini, maka menambahkan lagi keterujaan saya kerana berjaya mendaratkannya.
Di Pulau Rebak Besar, joran saya sekali lagi direntap kasar dan kali ini seekor kerapu bersaiz agak baik pula berjaya saya perolehi.
Sudah dua lesen spesies air masin saya perolehi tidak sampai separuh hari mengilat, ini menambahkan lagi semangat kami untuk terus menduga penghuni-penghuni di sini.
Sebelum nerhenti rehat tengah hari, kami dibawa ke jeti Star Cruise semula untuk mencuba kaedah light jigging pula.
Seekor kerapu comel menggunakan udang Zerek 12 gram dan seekor GT remaja menggunakan jig 20 gram sahaja yang berjaya dinaikkan.
DIBULI GT
Pada sebelah petangnya, angin bertiup agak kuat dan sedikit menyukarkan kami untuk mengilat.
Banyak juga pulau yang kami duga namun tiada yang sudi menyambar gewang yang dihulur, hanyalah 2-3 ekor kerapu cilik.
Hampir gelap, kami dibawa ke tebing berbatu di Tanjung Malai berhampiran dengan jeti Star Cruise sekali lagi.
Bot tekong Ishak berjaya menaikkan seekor GT kecil. Sedang leka memainkan gewang, joran Ijoi terus sahaja disentap amat kuat.
Sistem tegangan kekili yang dikunci hampir 100% seumpama tidak berfungsi kerana peragut gewang terus-menerus memecut laju mengeluarkan tali dari gelendong Daiwa Aggrest kepunyaannya.
Akhirnya, walaupun setelah berhempas pulas menahan asakan pemangsa, namun nasib dan rezeki tidak berpihak kepada kami kerana penghuni dasar berjaya menyusup masuk ke
celah batu serta mengorbankan gewang Rapala Clankin Minnow berwarna ‘Glass Ghost’ kesayangan Ijoi.
Dari segi lariannya, tekong menjangkakan GT bersaiz kasar yang punya angkara kerana waktu-waktu sebelum gelap memang banyak GT akan berlegar di kawasan tersebut.
Kami pulang dengan sedikit hampa kerana tidak berjaya memperolehi GT yang menjadi target utama kami.
AKSI TERAKHIR
Sebelum Pulang Pada hari yang kami jadualkan untuk pulang, tekong Beq menghubungi saya dan beria mengajak kami mengilat sekali lagi pada sebelah petang kerana tidak berpuas hati kami tidak menaikkan GT Langkawi.
Setelah selesai membeli belah cenderahati di pekan Kuah, saya dan Ijoi turun sekali lagi bersama tekong Beq.
Apa yang menariknya, 2 jam yang singkat inilah kami dihidangkan dengan sambaran GT yang bertalu-talu di sekitar Pulau Batu Merah.
Pada awalnya, sekawan talang sedang galak menghambur anak ikan di permukaan air. Popper dan pencil kami hanya diekori sahaja tanpa sebarang sambaran.
Di satu sudut gua berbatu di dalam air, lontaran pertama Ijoi dan saya terus mendapat sambaran.
Lontaran kedua Ijoi juga sekali lagi disambar oleh GT di spot yang sama sebelum gewang Rapala BX Minnow saya dicukai oleh GT kasar yang berjaya menyusup masuk ke celah gua berbatu dan memutuskan tali utama 20lb saya.
Setelah itu, kami bertukar lokasi berhampiran pulau yang sama juga. Kali ini pencil Duo Realis Ijoi pula yang mendapat sambaran dan tiga ekor lagi GT berjaya didaratkan.
Sekali lagi saya tewas di sini setelah tidak dapat mengekang larian GT yang amat kasar saiznya dan mengorbankan seketul lagi gewang.
Walau apa pun, kami tidak menang tangan selama 1 jam melayan aksi-aksi kemesraan serta keramahan luar biasa GT pada petang itu dan faktor air yang cantik petang tersebut mungkin banyak mempengaruhi mood pemakanan ikan.
Walaupun kami hanya dapat mengilat selama lebih kurang 2 jam sahaja sebelum gelap, namun kami amat teruja dengan hasil yang diperolehi petang itu.
POTENSI
Secara keseluruhannya kami berpuas hati dengan hasil yang diperolehi sepanjang trip ini walaupun tidak berjaya mendaratkan GT bersaiz kasar.
Namun, sambaran-sambaran daripada GT berskala 1-2kg amat menghiburkan yang kebanyakannya rakus meligan gewang selaman cetek berwarna natural dan cerah.
Tidak keterlaluan saya katakan taburan pulau di Langkawi amat berpotensi dan penghuni tebing berbatunya masih banyak terutamanya spesies GT, kerapu, siakap merah serta bandang.
Dengan promosi yang cukup baik, Langkawi bukan lagi sekadar lokasi pelancongan bagi membeli-belah bebas cukai, namun boleh menjadi salah satu lokasi mengilat spesies air masin terbaik di negara kita.
Dalam pada masa yang sama, sentiasalah mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara.
Hormatilah hak pemancing lain dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil saling berkongsi ilmu dengan
menyebarkan pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama. Tiada ruginya.
Ternyata banyak keunikan yang ditawarkan oleh Rakit Wak Kahar ini. Selain terkenal sebagai rumah rakit yang terbesar di Sungai Danga dan Sungai Melayu, ia juga menjadi antara rumah rakit yang termurah dan paling berbaloi dikunjungi oleh kaki pancing.
Dengan bayaran tambang bot pergi balik RM8.00 sahaja, pemancing boleh memancing di sini mengikut tempoh masa yang anda suka kerana tiada had masa dan tiada caj bayaran untuk memancing dikenakan di sini.
Kemudahan yang ada juga cukup lengkap. Kedai makan (beroperasi siang hari sahaja), tandas, umpan dan bermacam lagi turut tersedia di sini. Bagi yang inginkan bilik menginap, kadar sewa bilik di sini juga cukup berpatutan iaitu RM40 untuk 1 malam.
Untuk memancing di sini jangan risau jika terputus bekalan umpan. Ini kerana ikan-ikan yang ada di rakit ini ternyata lebih menggemari umpan kupang yang mana ia turut dijual di sini.
Namun sebagai alternatif tambahan, pemancing juga bolehlah membawa bekalan umpan lain seperti udang, sotong dan umpun-umpun jika mahukan lebih variasi.
Antara ikan-ikan popular yang sering dinaikkan oleh kaki pancing yang berkunjung ke sini ialah daun baru, ebek, semilang, duri, kapas, siakap, kerapu dan tanda.
Namun yang paling popular tentulah ikan daun baru yang mana ia sering dijadikan ikan target bagi kaki pancing yang menggemari teknik bottom dengan menggunakan umpan hirisan kupang.
Jika kena pada musimnya iaitu ketika air sejuk, kaki pancing mampu menaikkan berpuluh-puluh ekor daun baru di rumah rakit ini.
Ternyata keunikan yang ada di rakit ini tidak terhad kepada itu sahaja. Sejak akhir-akhir ini, rakit ini mula mendapat perhatian daripada kalangan kaki jigging Selatan tanah air.
Jika sebelum ini kerap kali kita dengan pancingan jigging dari atas bot, namun ternyata di rumah rakit ini aplikasi micro jigging boleh diguna pakai untuk memburu spesies pemangsa seperti ebek, kerapu, jenahak dan bawal pinang yang banyak bermain di sekitar rakit.
Aplikasi teknik ini mula diguna pakai sejak 8 tahun yang lalu, walaupun pada awalnya masih belum ramai yang berani mengaplikasi teknik mikro jigging di sini.
Namun, bila melihat sendiri hasil yang semakin memberangsangkan, lebih ramai kaki pancing mula menggemari untuk mengaplikasikan teknik ini dan tidak hairanlah pertandingan micro jigging yang berkonsepkan tahunan sering menjadikan rakit ini sebagai lokasi utama penganjuran.
Melihat kepada sambutan yang luar biasa dari kaki pancing, ternyata Wak kahar kini mula membayangkan untuk menaik taraf rakit yang sedia ada ini.
Jika sekarang ia mampu memuatkan 50-60 pemancing pada satu-satu masa, Wak Kahar bercadang untuk membesarkan lagi rakit ini agar mampu memuatkan lebih ramai kaki pancing dan pada masa yang sama akan meningkatkan lagi fasiliti dengan membina sebuah restoran dan kawasan memancing yang lebih selesa.
Terdapat pelbagai sungai yang boleh dikunjungi di sepanjang Sungai Tembeling antaranya Sungai Terrengan, Keniam, Sat dan Sephia. Sungai keniam merupakan salah satu cabang sungai yang terdapat di Sungai Tembeling yang terletak di Taman Negara Kuala Tahan, Pahang.
Sungai Keniam amat terkenal dikalangkan peminat atau pemancing ikan air tawar dan kaki trekking. Apa yang menarik tentang Sungai Keniam ini ialah sungai ini masih kaya dengan populasi ikan air tawar paling mahal di Malaysia iaitu ikan kelah merah.
PERANCANGAN
Walaupun hasil Sungai Keniam dikatakan tidak semeriah dulu dan sukar diperolehi, ikan kelahnya tetap masih ada. Dalam merealisasikan memperoleh ikan idaman ini, saya telah mengaturkan satu trip seramai 24 orang ke Sungai Keniam selama 4 hari 3 malam.
Untuk ke sana tidaklah terlalu sukar, kami hanya perlu membuat tempahan bot yang banyak terdapat di Kuala Tahan. Tanpa perlu bersusah payah, hanya taip sahaja perkhidmatan sewa bot ke Taman Negara di Google, pasti memberi pelbagai maklumat tentang pelbagai pilihan pakej untuk ke sana berserta nombor telefon orang yang perlu dihubungi.
Selain itu, pelbagai peralatan perkhemahan dan keperluan makanan perlu kami sediakan sebagai persiapan ke sana. Memandangkan Sungai Keniam amat terkenal di kalangan pemancing sungai pergunungan, lokasi ini pasti dilawati oleh pemancing setiap minggu. Oleh kerana itu, pihak Taman Negara Pahang mewajibkan setiap pengunjung yang hendak ke sana memohon permit.
Antara permit yang perlu dipohon ialah permit sewa tapak perkhemahan dan permit memancing. Ini kerana pihak Taman Negara Pahang akan memantau setiap kemasukan pengunjung di sepanjang sungai yang terdapat di Sungai Tembeling supaya kejadian over fishing tidak berlaku serta menjamin populasi ikan-ikan yang terdapat di sungai-sungai ini.
Pengunjung juga dilarang keras membawa sebarang jaring atau jala, bom ikan, tuba dan senapang ikan ke sana. Jika masih terdapat pengunjung yang berdegil membawa peralatan yang dilarang ini, tindakan tegas akan diambil serta merta oleh pihak Taman Negara.
LATA SAID
Selepas membuat pendaftaran di pos Taman Negara Pahang, kami bergerak menongkah arus Sungai Tembeling untuk ke lokasi yang dirancang. Sebelum itu, kami telah berbincang bersama pengusaha bot tentang lokasi perkhemahan kami nanti. Di Sungai Keniam terdapat beberapa tapak perkhemahan yang di sediakan untuk pengunjung antaranya ialah di Lubuk Rinching, Lubuk Rawa dan Lata Said.
Kami telah memutuskan untuk menginap di Lata Said memandangkan kawasan ini ialah lubuk paling berpotensi mendapat ikan sasaran. Perjalanan untuk ke sana memakan masa selama 3 jam perjalanan menaiki bot dari jeti Kuala Tahan. Selepas 1 jam perjalanan, kami sempat singgah di Kampung Pagi untuk membeli sebarang keperluan tambahan.
Tiba sahaja di Sungai Keniam, kelihatan perjalanan kami menjadi lebih mencabar. Kekipas bot terpaksa ditukar kepada saiz lebih kecil kerana setiap bot akan melalui ruang sempit yang penuh dengan batu-batuan yang banyak terdapat di sepanjang sungai. Sekali sekala kami terpaksa mengerah tulang empat kerat kami membantu boatman menolak bot apabila berada di kawasan cetek yang tidak mampu dilalui oleh bot.
SANG BADONG
Selepas melepasi beberapa cabaran, akhirnya kami tiba di Lata Said. Dengan segera kami mengangkat segala kelengkapan kami di tapak perkhemahan. Selepas menyediakan khemah, kami sudah tidak sabar-sabar lagi untuk memancing. Yuhilmi yang mencuri-curi memancing ketika kami sibuk menyediakan khemah terus mendapat sambaran sebarau yang layak digelar sang badong.
Sang Badong yang mempunyai berat hampir 3kg ini menyambar sesudu Abu Island miliknya dan lokasin tangkapan hanya di depan tapak perkhemahan kami. Ia pasti menggujakan kami untuk memancing. Baru depan tapak perkhemahan kami sudah boleh mendapat Sang Badong, ini belum lagi kami singgah ke lubuk-lubuk lain yang berpotensi.
Hari pertama kami di Keniam, banyak kami habiskan masa memancing di lubuk-lubuk berhampiran dengan tapak perkhemahan kami. Beberapa ekor tengas bersaiz juvenil berjaya kami perolehi. Apabila malam menjelma, kami berpesta pula dengan ikan baung yang rakus menyambar umpan cengkerik yang kami bawa. Kebanyakan baung akar yang kami perolehi sebesar saiz 3-4 jari orang dewasa sahaja. Sudah pasti hasil tangkapan kami pada hari pertama ini dijadikan hidangan makan malam kami.
MENONGKAH ARUS
Pada hari kedua, awal-awal pagi lagi boatman menyarankan kami supaya berpecah kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama akan berjalan kaki meredah hutan rimba untuk naik lebih jauh ke hulu untuk memancing ikan. Kumpulan kedua akan menaiki bot menuju lubuk-lubuk di bawah seperti Lubuk Rawa atau Lubuk Rinching.
Sambil menuju ke lubuk tersebut, kami boleh mengilat sepanjang perjalanan di atas bot. Saya sendiri bercadang untuk mengikuti kumpulan trekking. Perjalanan ke lubuk yang dicadangkan oleh boatman mengambil masa 1 jam. Sepanjang perjalanan, kumpulan kami terpaksa menongkah arus sebanyak tiga kali untuk ke seberang sungai.
Menurut boatman, lubuk ini merupakan syurga buat ikan kelah dan tengas jika kena dengan masanya. Dengan segera kami terus melabuhkan umpan sawit yang dibawa dengan harapan mendapat lesen ikan idaman. Tanpa menunggu lama rod milik Cho’ort terus melengkung tanda telah disambar oleh ikan. Ikan kelah bersaiz 1kg berjaya dinaikkan.
Sekali-sekala kelihatan hamburan air berdekatan lokasi kami memancing tanda sang sebarau sedang galak menyambar anak-anak ikan. Lantas rod casting dicapai dan lontaran spoon dibuat ke arah kawasan hamburan tadi. Serta-merta sesudu Abu Island II disambar oleh sang sebarau seberat 750gram.
Selepas beberapa jam bertandang di sini, kami mula bercadang untuk pulang ke kawasan perkhemahan. Sempat juga boatman yang menjadi guide kami mencari cacing sungai sebagai persediaan untuk memancing malam dan hari seterusnya.
Apabila malam menjelma, kami hanya bersantai-santai di kawasan perkhemahan kami sambil memancing. Perbincangan tentang rancangan esok lebih diberi tumpuan. Selain itu bagi yang berhati waja, mereka meneruskan memancing di lokasi yang berhampiran hingga lewat malam.
LUBUK RAWA
Hujan pada lewat malam membuatkan kami liat untuk bangun awal. Tetapi semangat hendak memancing masih membara di dalam diri kami. Turunnya hujan, membuatkan air yang jernih di Sungai Keniam menjadi keruh. Hari ini saya bercadang untuk bertandang di Lubuk Rawa untuk memancing. Seperti semalam, umpan dasar yang kami gunakan ialah umpan biji sawit. Selain itu buah ara masak yang banyak terdapat di sana juga digunakan sebagai umpan.
Air sungai yang keruh dan berarus laju membuatkan ikan menjadi sukar dipancing. Hanya lampan, anak tenggalan, baung dan beberapa ikan kecil yang berjaya kami perolehi. Hingga ke lewat petang kami memancing tanpa sebarang hasil yang boleh dibanggakan.
KELAH MASAK TEMPOYAK
Alhamdulilah, hasil yang diperolehi mereka amat membanggakan jika dibandingkan dengan hasil tangkapan kami di Lubuk Rawa. Ikan kelah dan tengas banyak diperolehi mereka. Selain itu, baung akar juga banyak diperolehi menggunakan umpan cengkerik dan cacing sungai.
Ikan yang diperolehi segera diuruskan oleh tukang masak kami. Memang menggiurkan bila mana tukang masak memberitahu akan masak menu masakan gulai tempoyak. Memang tidak mampu kami tolak jika menu masakan terkenal negeri Pahang terutamanya apabila masakan ini melibatkan ikan kelah.
Ikan selebihnya akan kami bakar sebagai hidangan sampingan. Pucuk paku liar dan pucuk hutan menjadi hidangan sayur dan ulam-ulaman. Selain itu siput sungai yang dikutip oleh boatman menjadi salah satu hidangan istimewa kami. Beginilah keistimewaan apabila berkhemah di dalam hutan, setiap hidangan masakan seboleh-bolehnya diambil daripada sumber alam semula jadi.
Selepas selesai makan, kami meneruskan usaha memancing pada malam terakhir ini. Terasa amat rindu dengan suasana damai dan hening apabila berada di dalam hutan. Udara segar dan pemandangan indah amat berbeza dengan hiruk pikuk di bandar. Sekurang-kurangnya trip singkat ini telah banyak menghilangkan stress.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...