Pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina Februari lalu membuatkan saya sedikit bosan. Bukan apa, aktiviti memancing di Pulau Ketam, Klang seperti dirancang awal terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir disebabkan keadaan cuaca buruk.

 

Hujan turun setiap hari tidak kira pagi, petang atau malam. Keadaan laut yang bergelora membuatkan kami sedikit cuak untuk meneruskan rancangan.

Akhirnya, saya terpaksa akur dengan permintaan isteri untuk pulang ke kampungnya di Sidam Kiri, Kedah.

 

Bila sampai di rumah Tok, baru saya terfikir akan kawasan paya yang terletak hanya 400meter sahaja.

Petang itu juga saya mengajak Bad dan Khalid untuk meninjau lokasi kawasan. Bad dan Khalid merupakan anak buah isteri yang baru berusia 16 dan 17 tahun.

 

Saya menyusuri kawasan paya yang dipenuhi dengan pokok kiambang dan pokok kangkung serta ternampak kudap ikan di permukaan air begitu rancak.

Mengikut pengalaman saya, kudap berkenaan adalah milik sepat siam. Ikan sepat siam ini sedap dibuat goreng berlada.

Tumbuk cili api kampung dengan bawang besar dua tiga ulas, fuhhh… rasanya sungguh enak sekali terutama jika dimakan dengan nasi panas.

 

Tapi kalau dapat banyak, ikan sepat siam ini boleh dijadikan ikan pekasam. Silap-silap saya boleh jadi tauke pekasam bila pulang ke Kuala Lumpur nanti.

 

“Bagaimana bang? Kita nak pancing ke… menjala, tahan lukah, pasang bubu atau memukat aje?” Tanya Khalid sambil memandang tepat ke arah saya.

 

“Kita pancing dengan menjalalah,” jawab saya pendek. Sebenarnya dalam bonet kereta saya dah lengkap semuanya!

 

“Abang Sony, saya ada joran panjanglah. Mata kail pun saya dah ada. Kita kena guna yang paling kecil kerana ikan sepat ni kecik jer mulutnya,” tambah Bad pula. Saya mengangguk.

Terlupa saya, budak-budak kampung ini memang dah biasa memancing ikan sepat siam di sini. Sekarang kerja kami tinggal mencari umpan sahaja.

 

IKLAN

Dengan menggunakan parang, saya mendapatkan hampir satu tempurung cacing pisang khusus untuk memikat sepat siam di batang pokok pisang yang telah ditebang

bersebelahan rumah Tok serta tidak dilupakan cacing tanah yang dikorek di kawasan agak lembap. Sekarang misi boleh bermula!

 

Memancing ikan sepat siam ini tidak sama seperti memancing ikan lain hatta puyu sekalipun. Ikan ini amat gemar memakan lumut, rumpair dan serangga kecil. Saya memerhatikan dahulu kawasan permukaan air di paya ini.

 

Apabila ternampak muncung kecil ikan ini berhampiran pokok kiambang, saya menghulurkan tali pancing ke situ.

Saya duduk mendiamkan diri kerana saya tahu ikan sepat siam sensitif dengan bunyi bising.

 

Baru sejam duduk di tepi paya, hampir 20 ekor ikan sepat siam ini tumpas di tangan saya. Gembira rasanya. Saya memandang Khalid dan Bad yang duduk tidak jauh dari situ.

Mereka juga sedang khusyuk melayan aksi ikan-ikan ni berentap. Bukan ikan sepat siam sahaja yang menjadi mangsa umpan saya, haruan, keli dan belut juga turut memakan umpan. Wah, macam pesta pula rasanya di tepi paya besar ini.

 

Disebabkan seronok mendapat ikan, saya tidak perasan hari sudah pun remang-remang senja. Burung pun sudah mula terbang pulang ke sarang.

Saya, Bad dan Khalid seperti ‘sayang’ mahu meninggalkan kawasan paya itu. Tidak seorang pun daripada kami bertiga yang mahu mengajak pulang.

 

IKLAN

Masing-masing asyik melayan joran yang dimakan umpan selang tidak sampai sepuluh minit. Sayup-sayup saya terdengar bunyi beduk dipalu dari surau berdekatan menandakan waktu Maghrib sudah tiba.

 

Serentak saya memandang ke arah tempat Bad dan Khalid duduk. Bagai terhenti denyutan jantung saya apabila melihat mereka berdua tiada.

Baldi berisi ikan dan joran terletak elok di atas tanah. Saya cuba memanggil nama mereka berdua namun tiada sahutan.

Pelik bin ajaib, baru seminit dua tadi saya nampak mereka berdua ada di situ tetapi sekarang sudah ghaib entah ke mana.

 

Hati saya mula rasa cemas. Mungkin mereka berdua sudah pulang ke rumah sebaik sahaja terdengar bunyi beduk diketuk tadi?

Tapi tak mungkin mereka tinggalkan saya begitu saja tanpa memberitahu. Ah, pening saya dibuatnya. Saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah.

 

Sampai sahaja di rumah, terus saya bertanya kepada isteri tentang Khalid dan Bad. Puas kami berdua mencari, bayang mereka berdua memang langsung tiada.

 

Saya berwuduk dan terus mengerjakan solat Maghrib. Selepas solat, barulah saya menceritakan apa yang berlaku kepada ayah mertua saya, Haji Mat Zain.

Kami mengumpulkan jiran saudara yang terdekat dan gerakan mencari mula dilakukan. Kawasan paya itu agak gelap pada waktu malam.

Kami memanggil nama Khalid dan Bad berulang-ulang kali namun kelibat bayangnya pun langsung tidak kelihatan.

IKLAN

 

Sebelum itu, saya berpesan kepada isteri untuk cuba mencarinya di rumah kawan-kawan rapatnya namun hampa. Bad dan Khalid tiada di situ.

Ikhtiar terakhir kami lakukan ialah memanggil Haji Harun dari kampung sebelah.

 

Haji Harun merupakan guru tahfiz di sebuah madrasah di situ. Lama Haji Harun duduk bertafakur sambil bibirnya membaca ayat-ayat suci Al Quran dengan suara yang perlahan.

Tiba-tiba saya lihat air di permukaan paya mula berombak kecil, seolah-olah ada orang yang sedang meranduk atau berenang di dalamnya. Hati saya bergetar.

 

Antara rasa takut dan seram serta rasa ingin tahu yang amat sangat apakah yang akan berlaku seterusnya. Tiba-tiba saya terdengar bunyi seperti suara ungka yang saling bersahutan.

Tingkah meningkah dalam keadaan yang sungguh bising. Haji Harun bangun lalu berjalan ke tebing paya.

 

Dia berdiri menghadap kiblat dan saya seperti terdengar dia berbual-bual dengan seseorang. Namun tiada kelihatan kelibat yang diajak berbual. Haji Harun menggamit saya.

Dia meminta saya melepaskan semua ikan sepat siam yang ditangkap petang tadi. Saya akur dengan permintaannya. Semua ikan tadi saya buang kembali ke dalam paya.

 

Selepas itu, suasana kembali hening. Tiba-tiba saya terdengar bunyi orang batuk di sebelah saya. Sebaik sahaja saya menoleh, kelihatan Bad dan Khalid sedang duduk mencangkung dalam keadaan lemah.

 

Menjerit saya memberitahu semua orang tentang keadaan itu. Biarpun kejadian ini sudah dua tahun berlalu, ia tetap terpahat kukuh di dalam ingatan saya.

 

Semenjak hari itu saya tidak lagi menjejakkan kaki ke paya tersebut. Kejadian ini membuatkan saya terfikir tentang kewujudan makhluk ALLAH yang sama-sama berkongsi tinggal di dunia ini.

Wallahualam.

 

lagi kisah mistik yang meremang

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI