Setiap individu memiliki cara tersendiri bagi merehatkan minda dari bebanan fikiran setelah penat bekerja.
Ada yang pergi bercuti ke pulau-pulau peranginan atau di mana saja lokasi yang mendamaikan. Ada yang beriadah atau berekreasi.
Dan tak kurang yang mengisinya dengan melakukan hobi yang diminati seperti memancing.
Lokasi padang pancing dan skop memancing pula tergantung kepada minat. Ada yang minat meluangkan masa memancing di laut, sungai dan terkecuali kolam pancing komersial.
Sebagai seorang kaki pancing yang sering menghabiskan waktu luang pada hujung minggu dengan memancing, tentu sahaja yang akan melepaskan bebanan mental dan fizikal di tempat kerja dengan memancing.
Biarpun pernah mencuba pelbagai teknik memancing dan lokasi padang pancing, namun lokasi yang paling serasi dengan jiwa untuk release tension atau melepaskan tekanan tetap juga kolam pancing air tawar.
IKLAN
Salah satu kolam pancing yang sebati dengan jiwa saya ialah Kolam Mancing Harmoni yang terletak di Puchong, Selangor.
Walaupun jarak kolam melebihi 50 kilometer dari kediaman, ia sama sekali tidak menjadi penghalang kepada saya untuk mengunjunginya.
Malah pernah juga saya mengambil cuti bekerja semata-mata untuk menenangkan fikiran di kolam pancing ini.
IKLAN
Melihat dengan mata kasar landskap Kolam Mancing Harmoni dengan kolam-kolam pancing lain tidak ada banyak bezanya.
Begitu juga dengan yuran memancing, peraturan dan hadiah yang ditawarkan. Hanya setelah melabuhkan joran dan menghabiskan tempoh memancing, barulah perbezaan itu dapat dirasai.
Sebagaimana nama kolam begitulah suasana dirasai sepanjang tempoh memancing. Ia benar-benar santai dan harmoni.
IKLAN
Keseronokan paling ketara apabila memancing di kolam ini sikap pemilik kolam itu sendiri.
Pemiliknya bukan sahaja memahami apa yang dikehendaki oleh pemancing, malah tidak lokek untuk berkongsi cara dan teknik demi kepuasan hati pemancing.
Ia merupakan sesuatu yang jarang berlaku di kolam-kolam lain. Seolah-olah pemilik kolam berpuas hati melihat pemancing tidak menang tangan mendaratkan.
Justeru itulah saya rasa tenteram dan damai sepanjang memancing di kolam ini.
Langsung terlupa bebanan kerja yang menekan fikiran. Seolah-olah hidup tiada hutang dengan sesiapa!
(Oleh: KD Negri)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sedili Besar terletak kira-kira 400 kilometer dari Shah Alam, dan memakan masa perjalanan sekitar 5 jam. Perkampungan nelayan yang terletak dalam daerah Kota Tinggi, Johor ini sememangnya tercatat dalam kalendar sebagai port popular sukan pemancing.
Gugusan karang perairan Sedili seperti Karang Ngah, Karang Yu, Karang Kemaman, Batu Mereng dan lain-lain sering dikunjungi kaki pancing khususnya untuk memburu pelbagai spesies di sini.
Apabila dipelawa oleh Kamal, seorang rakan untuk menyertai trip mencari tenggiri, penulis mengambil sedikit masa untuk memberikan persetujuan.
Pertama sekali, bajet pun nak kena ambil kira jugak. Begitu juga dengan set peralatan. Penulis minta pandangan member-member yang pernah memancing tenggiri di perairan Sedili terlebih dahulu.
Rata-rata memberikan pendapat yang hampir sama, kos memancing di perairan Sedili agak tinggi ekoran kemasukan ramai pemancing dari Singapura dan tenggiri di Sedili agak culas memakan umpan dan kelengkapan yang tepat saja mampu menewaskannya.
Setelah bersetuju untuk menyertai trip tersebut, penulis temui lagi Kamal untuk mengetahui teknik dan kelengkapan yang diperlukan. Selain joran dan kekili yang sepadan, kelengkapan penting yang perlu digunakan adalah tangsi Crystal clear 20lb sebagai tali utama, fluorocarbon halimunan 25lb sepanjang 3 depa sebagai perambut dan juga kabel 20lb untuk mengikat mata kail bersaiz 2/0.
Ekoran bot mengalami sedikit masalah teknikal, trip asal selama 3 hari 2 malam dipendekkan menjadi 2 hari 1 malam saja. Satu kelegaan juga kerana kos trip dapat dijimatkan sedikit. Sekitar jam 9.30 malam, kami berempat bertolak dari Kajang menuju terus ke Kota Tinggi.
Penulis yang sememangnya sukar untuk melelapkan mata dalam kenderaan, terasa iri juga melihat rakan yang lain mudah saja untuk tidur.
Tepat jam 3.00 pagi, kami tiba di jeti Sedili Besar. Sementara menanti ketibaan tekong Pak Deris dan awak-awaknya, sempatlah juga kami membungkus nasi dagang dan nasi lemak untuk sarapan nanti. Tepat jam 4.00 pagi, bot pun bergerak keluar dari jeti.
Sejurus keluar dari muka kuala, barulah kehadiran angin dapat dirasakan. Sekaligus membuatkan permukaan laut agak berkucah. Sementara tiba di unjam untuk mencari umpan hidup, penulis mengambil kesempatan untuk melelapkan mata. Bot yang membuai membuatkan penulis benar-benar dialun mimpi.
Bila celik mata, hari sudah pun cerah dan rakan-rakan yang lain sudah pun memulakan pemburuan tenggiri dengan kaedah drift atau menghanyutkan umpan ikan tamban hidup. Langsung tidak sedar saat dan ketika bot berlabuh untuk mendapatkan umpan hidup.
Penulis bangkit dengan perasaan yang kurang enak. Sama ada kurang atau bot yang sedikit membuai menyebabkan kepala terasa pening. Pening tak pening, misi mesti dilaksanakan. Penulis mengambil tempat dan segera menghulurkan umpan tamban hidup di belakang bot dan membiarkannya hanyut ke arah pelampung penanda unjam.
Tak sampai 5 minit kemudian, kekili Penn 320GT2 milik Kamal direntap kuat dan alarmnya berdesing nyaring. Sekitar dua tiga minit melayan tangkapan sulungnya, seekor aya kurik atau tongkol berskala 3kg berjaya digancu oleh tekong Pak Deris.
Setengah jam kemudian, giliran Bob pula membuktikan kehandalannya menjerat tenggiri. Dengan tenang beliau melayan kerenah pemangsa membedal umpan hidupnya. Dengan set kekili Tica Taurus 6000 dan joran Shimano Beast Master Bob tiada masalah untuk mendaratkan tenggiri berskala 10 kg.
Sehingga tengah hari, dan berapa kali bertukar lubuk, tiada lagi tenggiri yang dinaikkan. Hanya Kamal sekali lagi berjaya menaikkan ikan tongkol. Sementara Fikri pula yang rajin melayan apollo, tidak menang tangan menanggalkan cencaru dari mata kailnya.
Menjelang petang, keadaan laut tidak kelihatan akan kembali tenang sebaliknya kian bergelora. Laut kian berombak dan berkucah keluar masuk ke dalam bot. Malah untuk berdiri sekali pun harus berpaut satu tangan pada badan bot. Tahap ketahanan penulis sampai ke penghujungnya.
Kepala yang pening semakin menyucuk memaksa penulis berehat panjang di kabin. Fikri yang rancak melayan apollo turut sama tumbang. Hanya Kamal dan Bob yang sudah biasa dengan alunan perairan Sedili saja meneruskan misi memburu tenggiri dengan teknik bottom.
Dari petang hinggalah ke malam, penulis hanya mampu mendengar dan melihat aksi-aksi di atas bot namun tak terdaya untuk bangkit. Untuk merakam aksi pertarungan pun tak terdaya, apatah lagi dengan keadaan bot yang teroleng-oleng sedemikian rupa.
Tersedar dari tidur buat sekian kalinya, barulah penulis terasa segar dan segala pening hilang. Laut juga juga terasa tenang dan nyaman. Namun, apabila diperhatikan sekeliling… rupanya bot sampai di jeti!
Ekoran angin tenggara yang menyebabkan laut berkucah dan bergelora, Kamal dan Bob bersepakat dengan tekong Pak Deris untuk memendekkan trip 2 hari 1 malam kepada 1 hari 1 malam saja.
Dalam pada berasa lega, penulis terasa ralat juga kerana gagal menyumbang sesuatu dalam trip ini. Namun penulis dapat pengajaran berguna dalam trip ini, selain menumpukan perhatian pada persediaan kelengkapan yang tepat, penulis abaikan soal perkara yang maha penting iaitu rehat atau tidur yang cukup sebelum memulakan trip. Tanpa tidur yang cukup dan tanpa ubat mabuk laut, peluang untuk menyentap ikan akhirnya bertukar menjadi trip menyentap tali perut!
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Selepas bersarapan ringkas, kami menuju ke jeti dan tekong sedang menunggu kami berlima. Hari permulaan buat 4 pemancing dari New Zealand untuk bertemu dengan ikan layaran buat kali pertama.
Peralatan dan set pancing yang tersedia dipasang dengan ikan selar dan lolong. Mata kail circle bersaiz #26 diikat dengan perambut kekuatan 100lb. Tiga set pancing digunakan, Daiwa Saltiga Dogfight, Shimano Baitrunner 6500 dan Daiwa Sealine TLD50 yang kesemuanya dimuatkan dengan tali sulam Spectra 60lb dan 80lb.
15 minit pertama berhanyut, joran Penn 30-80 terus melentur dan serta merta tali dalam spool Shimano Baitrunner 6500 berdesup keluar. Sebaik sahaja layaran mula menghambur di permukaan, joran diserahkan kepada Mike untuk aksi seterusnya.
Jeritan kepuasan Mike tidak berhenti sebaik sahaja melihat layaran melompat tetapi berterusan hingga ikan berjaya didaratkan. Dalam pada di akhir pertarungan, kekili Shimano Baitrunner pula memuntahkan tali.
Brett menjadi insan kedua pagi itu ditemukan jodoh dengan layaran. Dua ekor layaran kurang dari sejam pertama adalah petanda baik. Setelah dilepaskan kedua layaran tersebut, tekong bergerak perlahan mencari kawanan burung camar.
Apabila camar dikesan, saya pula akan mengesahkan kehadiran layaran melalui pemerhatian sekeliling. Kelibat layaran mudah diamati pada waktu musim puncak. Sebaik bot berhenti, saya akan membuat lontaran sejauh mungkin umpan selar hidup ke arah kawanan burung. Beberapa kali selepas umpan dilontar jauh, layaran terus menerkam dan melarikan umpan.
Dalam keadaan spool kekili longgar ketika itu, banyak juga kes rabut dan mata kail tidak tersusuk kemas pada mulut ikan. Setiap kali selepas umpan dilontar jauh, saya akan menunggu seketika jika ada layaran ambil umpan di tangan.
Sebelah pagi sahaja kesemua mereka sudah dapat lesen layaran. Hari pertama kami memperolehi lebih dari 12 strike, 8 didaratkan. Bila semua puas, hari pertama diakhiri lebih awal.
Hari Kedua
Tumpuan diberikan sepenuhnya untuk teknik pancing layang di samping sesi popping dan casting sebagai selingan. Sebagaimana yang di ketahui New Zealand mempunyai ramai peminat pancing layang. Mereka membawa joran wt9 dalam usaha menjerat layaran. Begitu juga pelbagai warna dan saiz set fly yang disiapkan awal mengikut info yang mereka ketahui.
Saya pula cuba mengumpan layaran dengan pengunaan popper tanpa mata kail. Teknik ini dapat memujuk layaran supaya hampir dengan bot agar mereka dapat melayangkan umpan. Setengah hari dihabiskan dengan banyak belajar mengenai kesilapan beberapa langkah penting. Namun saya boleh puji sikap mereka, sering membincangkan di mana silap dan pembetulan yang perlu dibuat.
Kebetulan hari kedua amat payah mengesan layaran mengekori popper di belakang bot. Tugas tekong mengemudi bot perlahan mencari kumpulan camar, saya akan meninjau di belakang bot manakala dua pemancing akan lontar popper sebelum dua lagi bersedia dengan set pancing layang.
Pusingan kedua sekitar jam 2 petang masing-masing mengambil peranan yang perlu bagi menjayakan misi menjerat layaran dengan set fly. Setelah berjaya mengesan layaran mengikuti bot, dua popper kiri dan kanan dilontar dalam usaha memujuk layaran.
Ketika layaran jelas kelihatan di belakang bot, Brett dan Mark masing-masing memulakan tugas mereka. Satu hayunan set fly jatuh hampir dengan layaran, satu, dan dua fly ditarik lembut. Tidak semena ia mendapat sambutan,. Belum sempat sorakan lain menyampuk, layaran terus melayang ke permukaan sambil melakukan perkara yang tak ingin kami lihat.
Mata kail fly dimuntahkan dengan mudah. Kecewa lagi. Tekong kemudiannya bergegas ke kawasan kawanan burung yang berdekatan setelah ikan terlucut. Proses memikat diulangi seperti sebelumnya.
Strike kedua dengan set layaran menjadi milik Brett pula. Sambil menahan larian ikan, yang lain tumpang seronok. Ikan yang pada mulanya jelas kemudian samar-samar dan terus hilang dari pandangan kami.
Joran ditampung oleh Brett yang masih diasak layaran. Sekali lagi kami kecewa apabila mata kail yang digunakan sekali lagi terlucut ketika waktu hampir di penghujung pertarungan. Hajat oleh geng Newzie ini untuk menewaskan layaran dengan pancing layaran belum tertunai.
Selama kami memancing di sini geng ini cukup riang, hilai ketawa dan kutuk mengutuk antara mereka menjadi bualan. Bahkan mereka tidak menunjukkan rasa kecewa apabila gagal dan semangat kesukanan cukup tinggi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Selepas membuat pendaftaran di pos Taman Negara Pahang, kami bergerak menongkah arus sungai Tembeling untuk ke lokasi yang dirancang. Sebelum itu kami telah berbincang bersama pengusaha bot tentang lokasi perkhemahan kami nanti.
Di Sungai Keniam terdapat beberapa tapak perkhemahan yang di sediakan untuk pengunjung antaranya ialah di lubuk Rinching, lubuk Rawa dan Lata Said. Kami telah memutuskan untuk menginap di Lata Said memandangkan kawasan ini ialah lubuk paling berpotensi mendapat ikan sasaran.
Perjalanan untuk ke sana memakan masa selama 3 jam perjalanan menaiki bot dari jeti Kuala Tahan. Selepas 1 jam perjalanan, kami sempat singgah di Kampung Pagi untuk membeli sebarang keperluan tambahan.
Tiba sahaja di sungai Keniam, perjalanan kami menjadi lebih mencabar. Kekipas atau propeller enjin bot terpaksa ditukar kepada saiz lebih kecil kerana setiap bot akan melalui ruang sempit yang penuh dengan batu-batuan yang banyak terdapat di sepanjang sungai. Sekali-sekala kami terpaksa mengerah tulang empat kerat kami membantu boatman menolak bot apabila berada di kawasan cetek yang tidak mampu dilalui oleh bot.
Sang Badong
Selepas melepasi beberapa cabaran, akhirnya kami tiba di Lata Said. Dengan segera kami mengangkat segala kelengkapan kami di tapak perkhemahan. Selepas menyediakan khemah, kami sudah tidak sabar-sabar lagi untuk memancing.
Yuhilmi yang mencuri-curi memancing ketika kami sibuk menyediakan khemah terus mendapat sambaran sebarau yang layak digelar sang badong. Sang badong yang mempunyai berat hampir 3kg ini telah menyambar sesudu Abu Island II miliknya dan lokasinya tangkapan hanya di depan tapak perkhemahan kami.
Ia pasti mengujakan kami untuk memancing. Baru depan tapak perkhemahan kami sudah boleh mendapat sang badong, ini belum lagi kami singgah ke lubuk-lubuk lain yang berpotensi.
Hari pertama kami di Keniam, banyak kami habiskan masa memancing di lubuk-lubuk berhampiran dengan tapak perkhemahan. Beberapa ekor tengas bersaiz juvenil berjaya kami perolehi. Apabila malam menjelma, kami berpesta pula dengan ikan baung yang rakus menyambar umpan cengkerik yang kami bawa.
Kebanyakan baung akar yang kami perolehi sebesar saiz 3-4 jari orang dewasa sahaja. Sudah pasti hasil tangkapan kami pada hari pertama ini dijadikan hidangan makan malam kami.
Menongkah arus
Pada hari kedua, awal-awal pagi lagi boatman menyarankan kami supaya berpecah kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama akan berjalan kaki meredah hutan rimba untuk naik lebih jauh ke atas untuk memancing ikan. Kumpulan kedua akan menaiki bot menuju lubuk-lubuk di bawah seperti lubuk Rawa atau lubuk Rinching.
Sambil menuju ke lubuk tersebut, kami boleh mengilat sepanjang perjalanan di atas bot. Saya sendiri bercadang untuk mengikuti kumpulan trekking. Perjalanan ke lubuk yang dicadangkan oleh boatman mengambil masa 1 jam.
Sepanjang perjalanan, kumpulan kami terpaksa menongkah arus sebanyak tiga kali untuk ke seberang sungai. Menurut boatman, lubuk ini merupakan syurga buat ikan kelah dan tengas jika kena dengan masanya.
Dengan segera kami terus melabuhkan umpan sawit yang dibawa dengan harapan mendapat lesen ikan idaman. Tanpa menunggu lama rod milik Cho’ort terus melengkung tanda telah disambar oleh ikan. Ikan kelah bersaiz 1kg berjaya dinaikkan.
Sekali-sekala kelihatan hamburan air berdekatan lokasi kami memancing tanda sang sebarau sedang galak menyambar anak-anak ikan. Lantas rod casting dicapai dan lontaran spoon dibuat ke arah kawasan hamburan tadi. Serta-merta sesudu disambar oleh sang sebarau seberat 750gram.
Selepas beberapa jam bertandang di sini, kami mula bercadang untuk pulang ke kawasan perkhemahan. Sempat juga boatman yang menjadi guide kami mencari cacing sungai sebagai persediaan untuk memancing malam dan hari seterusnya.
Apabila malam menjelma, kami hanya bersantai-santai di kawasan perkhemahan kami sambil memancing. Perbincangan tentang rancangan esok lebih diberi tumpuan. Selain itu bagi yang berhati waja, mereka meneruskan memancing di lokasi yang berhampiran hingga lewat malam.
Lubuk Rawa
Hujan pada lewat malam membuatkan kami liat untuk bangun awal. Tetapi semangat hendak memancing masih membara di dalam diri kami. Turunnya hujan, membuatkan air yang jernih di sungai Keniam menjadi keruh. Hari ini saya bercadang untuk bertandang ke lubuk Rawa.
Seperti semalam, umpan dasar yang kami gunakan ialah umpan biji sawit. Selain itu buah ara masak yang banyak terdapat di sana juga digunakan sebagai umpan. Air sungai yang keruh dan berarus laju membuatkan ikan menjadi sukar dipancing. Hanya lampan, anak tenggalan, baung dan beberapa ikan kecil yang berjaya kami perolehi. Hingga ke lewat petang kami memancing tanpa sebarang hasil yang boleh dibanggakan.
Kelah masak tempoyak
Alhamdulilah, hasil yang diperolehi mereka amat membanggakan jika dibandingkan dengan hasil tangkapan kami di lubuk Rawa. Ikan kelah dan tengas banyak diperolehi mereka. Selain itu, baung akar juga banyak diperolehi menggunakan umpan cengkerik dan cacing sungai.
Ikan yang diperolehi segera diuruskan oleh tukang masak kami. Memang menggiurkan bila mana tukang masak memberitahu akan masak menu masakan gulai tempoyak. Memang tidak mampu kami tolak jika menu masakan terkenal negeri pahang terutamanya apabila masakan ini melibatkan ikan kelah.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...