Ikan patin bukanlah ikan yang asing di Malaysia. Beberapa spesies ikan patin merupakan spesies natif kepada perairan di Malaysia. Sesetengah ikan daripada genus Pangasius ini mampu mencapai saiz mega dan menjadi antara salah satu ikan pancingan sukan yang terbaik bagi kategori air tawar.

 

Bagi perairan di Malaysia, spesies natif iaitu spesies asal perairan adalah Pangasius hypophthalmuss, P. Nasutus (patin buah), P. micronemus (patin juara) dan Helicophagus waandersii (patin muncung). Begitu pun, spesies patin yang mampu membesar sehingga ke saiz mega ialah Pangasionodon gigas (Mekong giant catfish atau patin Mekong).

 

Info Spesies : Kenali Ikan Patin
Pangasionodon gigas

 

Patin mekong terkenal sehingga ke pelosok dunia dan menjadi antara salah satu spesies ikan mega air tawar yang perlu ada dalam senarai ikan yang perlu dipancing oleh kaki pancing. Hari ini spesies patin mekong ini sudah banyak terdapat di kolam-kolam pancing komersial di negara kita.

 

Ikan patin bukan sahaja terkenal dengan keseronokan untuk dipancing, malah ramai di kalangan masyarakat Malaysia yang bukan kaki pancing turut mengakui bahawa hidangan ikan patin cukup menyelerakan. Hidangan yang paling popular pastilah gulai tempoyak ikan patin lebih-lebih lagi di Temerloh, Pahang. Spesies patin juga turut diangkat menjadi simbolik kepada daerah Temerloh sehingga digelar Bandar Ikan Patin.

 

Info Spesies : Kenali Ikan Patin
Pangasius pangasius

 

TABURAN SPESIES

 

Taburan ikan patin banyak berada di kawasan Asia Tenggara. Antara kawasan utama ialah Sungai Chao Phraya dan Lembah Sungai Mekong di mana cukup dikenali di serata dunia. Selain itu, perairan di sungai-sungai di Thailand, Myanmar, Borneo, Malaysia, Kemboja dan Vietnam turut dihuni oleh spesies ikan patin.

 

IKLAN

Bagi perairan dan sungai di Malaysia, ikan patin mudah dijumpai di Sungai Pahang, Sungai Perak dan beberapa lembah sungai lain. Lokasi yang sinonim dengan ikan patin di Malaysia tentulah di Sungai Pahang lebih-lebih lagi sekitar Temerloh.

 

Info Spesies : Kenali Ikan Patin
Pangasianodon hypophthalmus

 

MORFOLOGI

 

Bagi morfologi ikan patin, spesies ini tidak sukar untuk dikenali. Indikator utama bagi ikan patin ialah ikan ini tidak bersisik dan mempunyai bentuk badan yang agak panjang. Bahagian kepalanya pula mempunyai saiz yang agak kecil.

 

Walaupun mempunyai kepala yang kecil, bahagian mulutnya boleh membuka dengan agak luas dengan padanan gigi tajam yang halus pada rahangnya. Mata ikan patin pula agak besar dan mempunyai dua pasang barbel (sesungut atau misai) di mana barbel atas biasanya lebih pendek berbanding barbel bahagian bawah. Kebanyakan sirip asas pada ikan turut hadir bagi spesies ikan patin.

 

IKLAN
Info Spesies : Kenali Ikan Patin
Helicophagus Waandersii

 

Juvenil ikan patin selalunya mempunyai warna kelabu yang agak gelap selari dengan garisan lateralnya. Apabila membesar sering kali warna ikan patin akan menjadi semakin cerah namun masih dapat dilihat perbezaan tona warna badannya antara bahagian atas dan bawah ikan patin.

 

HABITAT DAN BIOLOGI

 

Ikan patin merupakan satu spesies ikan air tawar. Kebanyakan spesies dari famili Pangasiidae merupakan spesies migrasi sungai (potamodromous) yang berenang jauh lebih beratus kilometer antara kawasan hulu sungai dan habitat mengawan serta kawasan untuk tumbesaran iaitu habitat nurseri.

 

Kebanyakan spesies ikan patin bersifat omnivor iaitu memakan apa sahaja sebagai diet pemakanannya. Ini termasuklah alga dan tumbuhan, zooplankton, serangga bagi juvenil dan buah-buahan sungai, krustasia dan ikan kecil bagi patin dewasa.

IKLAN

 

Kadar membesar ikan patin berbeza bergantung kepada spesiesnya. Bagi patin muncung, spesies ini boleh membesar sehingga 20kg bergantung pada habitatnya. Namun dalam famili Pangasiidae, spesies yang paling besar ialah patin Mekong yang mampu mencapai panjang tiga meter dan berat 300kg.

 

Musim mengawan bagi ikan patin selalunya bergantung kepada kitaran monsun, selalunya pada fasa awal monsun. Telur yang dilepaskan oleh ikan patin selalunya melekit dan melekat secara terbuka pada akar pokok atau tumbuhan sungai.

 

TAKSONOMI

Kingdom: Animalia

Phylum: Chordata

Class: Actinopterygii

Order: Siluriformes

Family: Pangasiidae

Genus: Pangasius (Valenciennes, 1840)

Spesies: Pangasius spp.

Nama lain: Shark catfish, Patin

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI