Jika diberi pilihan, waktu manakah yang anda lebih gemar untuk memancing? Waktu siang atau malam?

Ada yang gemarkan suasana memancing pada siang hari dan tak kurang juga ada yang sukakan waktu malam kerana cabarannya yang tersendiri.

Sekiranya anda memilih waktu malam, pasti anda setuju dengan rumusan yang kami sediakan ini.

 

Ikan Lebih Aktif Pada Waktu Malam

Walaupun tiada bukti-bukti saintifik yang menyokong kenyataan ini, namun ramai pemancing berpengalaman mengakui kebanyakan ikan lebih aktif mencari makan pada waktu malam. Terutamanya ikan spesies nokturnal.

Hal ini mungkin terjadi akibat fenomena pasang surut dan fasa-fasa bulan yang menjadikan ikan lebih aktif dan giat mencari makan di waktu malam berbanding siang hari.

Ada juga yang berpendapat ikan menjadi lebih aktif kerana suhu air yang mulai sejuk di waktu malam. Dan ikan-ikan bersaiz monster lazimnya keluar sarang pada waktu malam.

 

Kurang Saingan Pemancing Lain

IKLAN

Hal ini memang harus diakui kerana tidak ramai kaki pancing yang gemar berembun dan menahan kesejukan pada malam hari semata-mata untuk memancing.

Jadi, saingan anda semakin kurang terutamanya jika memancing di kawasan yang popular di kalangan kaki pancing.

Justeru, potensi anda untuk mendapat hasil yang lumayan juga lebih tinggi.

 

 

 

Lebih Mencabar

IKLAN

Bagi yang gemarkan cabaran, memancing di waktu malam mesti menjadi pilihan mereka. Faktor cahaya yang terhad dan faktor-faktor lain akan menjadikan aktiviti memancing di malam hari lebih mencabar.

Walau bagaimanapun, sebagai pemancing anda haruslah sentiasa mengutamakan aspek keselamatan walau di mana jua anda berada walaupun anda gemarkan cabaran memancing pada malam hari.

 

Selamat Tinggal Kulit Terbakar

Umum mengetahui memancing di siang hari akan mendedahkan kaki pancing kepada ‘sunburn’ terutama jika tidak menggunakan pelindung muka dan tangan.

Dengan memancing di malam hari pula, potensi-potensi untuk ‘sunburn’ akan hilang sama sekali dan anda boleh memancing dengan tenang tanpa merisaukan kulit anda terbakar dek panahan matahari.

 

IKLAN

Melihat Sisi Lain Alam Semulajadi

Bukan senang nak melihat sendiri sotong berenang-renang di tepi bot dek limpahan cahaya lampu dan bukan juga senang nak menyaksikan kelip-kelip bila anda memancing di kawasan hutan dan paya bakau.

Semua ni dapat dilihat bila anda memancing di waktu malam. Jadi, kesempatan yang ada itu, anda hargailah dengan menyaksikan keindahan alam ciptaan tuhan.

 

 

 

Kebebasan Sebenar

Inilah kelebihan sebenar pagi penggemar aktiviti memancing waktu malam. Perasaan ini sukar untuk dihuraikan.

Ramai yang inginkan kebebasan ini tetapi gagal memperolehnya berikutan larangan dari keluarga (isteri) dan terlalu takut terserempak dengan hantu atau sebagainya.

Selain itu, anda akan berasa bebas dari memikirkan soal kerja kerana majikan tidak akan mencari atau mempersoalkan kenapa anda berada di padang pancing, bukannya di pejabat.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI