
Udang galah atau juga disebut jenggo, jerangkong atau lain-lain lagi merupakan jenis hidupan yang memakan apa sahaja umpan yang disuakan asalkan ia berbau. Bagi kaki pancing tegar, mereka biasanya akan menyediakan lebih dari satu jenis umpan setiap kali turun memancing. Ini kerana, ada kalanya udang galah lebih galak menjamah umpan tertentu dalam satu-satu masa.
Anak udang sungai
Anak udang yang ditangguk juga mujarab sebagai umpan memikat udang galah. Pilihan lain ialah udang yang dijual di pasar.
Ruat nipah
Ruat nipah atau umpun-umpun merupakan umpan pilihan. Sedikit tip jika menggunakan umpan ini potong dari bahagian ekor, untuk elakkan umpun-umpun cepat mati.
Cacing tanah
Ada kalanya cacing tanah, lebih laju dijamah udang galah berbanding umpan lain. Jadi jangan lupa membawanya setiap kali turun memancing.
Hati haiwan
Selain hati ayam, hati lembu, kambing juga boleh digunakan. Potong dan jadikan bentuk kecil.
Jantung ayam
Sama juga seperti hati, jantung ayam dipotong kecil.
Ikan gapi
Ikan longkang atau ikan gapi boleh menjadi umpan terbaik.
Usus ayam
Usus atau perut ayam dikatakan memiliki bau yang kuat. Gunakan gunting untuk memotong kepada bentuk yang kecil.
Isi kerang
Isi kerang juga amat berpotensi, caranya rebus sekejap kerang bagi memudahkan mengopeknya. Ia perlu dipotong kecil.
Isi ikan
Isi ikan juga boleh dipraktikkan sebagai variasi kepada umpan sedia ada.
Umpan busuk
Umpan tapa sama ada buatan sendiri atau yang terjual di pasaran bukan saja sesuai untuk memancing ikan baung tetapi juga udang galah. Banyak rekod juga udang galah bersaiz jenggo didaratkan menggunakan umpan tapa.
100 Tangkapan Rekod Dunia!!

100 Tangkapan Rekod Dunia
Berikut merupakan 20 lagi tangkapan tahap dunia melengkapkan 100 rekod tangkapan yang pernah dicatatkan oleh para pemancing dari serata dunia.
- Pada 11 June 1949, Louis Schmidt berjaya menewaskan 1,006 pound black marlin di perairan Perlas Islands, Panama.
- Thomas M. Evans, Jr. berjaya menewaskan Pacific blue marlin seberat 288 pound 12 ounce di perairan Port Stephens, Australia pada tanggal 2 March 2002.
- Pada 12 January 2001 di perairan Morehead City, North Carolina, Bradly Kistler pula menewaskan spesies yang sama seberat 196.9 pound.
- Pada 28 September 2011, lady angler Eryn Jacobsen berjaya menewaskan bluefin tuna seberat 911 pound di perairan Cape George, Nova Scotia, Canada.
- Pada 4 June 2002, Stewart Campbell menewaskan monster seberat 562 pound berupa Atlantic blue marlin di perairan La Gomera, Spain.
- Pada tanggal 16 November 1981, Mike Levitt berjaya mengalahkan black marlin seberat 737 pound 7 ounce di perairan Cairns, Queensland, Australia.
- Glen Kirkwood berjaya menumbangkan seekor jerung harimau seberat 1,364 pound 10 ounce. Tiger shark itu ditewaskannya di perairan Swansea, New South Wales, Australia pada 20 September 1990.
- Mario Salazar berjaya mengalahkan tarpon seberat 283 pound pada tanggal 19 March 1956, di perairan Venezuela.
- Pada tanggal 10 May 2010, Thomas M. Evans, Jr. berjaya menewaskan 194.5 pound tarpon di perairan Pine Island, Florida.
- Pada tanggal 26 June 1974, Jack Herrington berjaya menewaskan monster seberat 1,142 pound berupa Atlantic blue marlin di perairan Oregon Inlet, North Carolina.
- Pada 9 April 1992, Stewart Campbell berjaya menangkap blue marlin seberat 820 pound di perairan Grand Bereby, Ivory Coast, Africa.
- Alfred Dean menewaskan white shark seberat 2,334lb di perairan Streaky Bay, Australia pada 6 November 1960. Beliau hanya mengambil masa selama 45 minit bertarung dengan jerung gergasi tersebut!
- Hanya mengambil masa selama 5 minit… diulangi 5 minit, Guy Jacobsen berjaya menewaskan striped marlin seberat 385.5 pound di perairan Poor Knights Island, New Zealand.
- Selama lebih 3 dekad, Jay de Beaubien berjaya mempertahankan rekod tangkapannya berupa Pacific blue marlin seberat 1,376 pound di perairan Kona, Hawaii. Rekod itu dilakukannya pada 31 May 1982.
- Pada 25 June 1987, lady angler Kelly Everete berjaya menundukkan 1,103.5 pound Pacific blue marlin di perairan Kona, Hawaii.
- Pada 7 October 1976, Peter Mahood berjaya mendaratkan 1,051 pound black marlin di perairan Cairns, Queensland, Australia.
- Pada 8 March 2009, Guy Jacobsen berjaya menundukkan stripped marlin seberat 231 pound, 7 ounce di perairan Middlesex Bank, New Zealand.
- Setelah bertarung hanya selama 18 minit, Leo Cloostermans berjaya menundukkan Atlantic blue marlin seberat 573 di perairan Azores, Portugal.
- Eric Capozzi caught berjaya mengalahkan seekir lagi mersuji terhebat seberat 735 pound 3 ounce. Black marlin itu ditewaskannya pada 7 February 2000 di perairan Port Stephens, New South Wales, Australia.
- Pada 14 jun 1964, Walter Maxwell menggemparkan dunia memancing apabila menaikkan seekor tiger shark seberat 1,780 pound di perairan Cherry Grove, South Carolina.
WACANA: Pengertian dan hukum jackpot ikan terbesar!

Boleh dikatakan kebanyakan kolam pancing terutamanya kolam memancing air tawar ada menyediakan hadiah KHAS yang dinamakan jackpot. Ada yang menetapkan ikan melebihi berat tertentu, ikan bertanda atau sebagainya.
Namun, apabila dinamakan jackpot maka ramai yang beranggapan ia adalah haram, hanya kerana ia dinamakan jackpot. Tapi bagaimana pula ia dinamakan hadiah khas atau tangkapan istimewa?
Mari kita teliti artikel yang dipetik dari sebuah majalah keagamaan ini.
Jika bertepatan dengan kefahaman saya tentang hadiah jackpot yang biasa ditawarkan di kolam pancing, maka hukumnya haram kerana ia adalah suatu bentu perjudian.
Hal ini kerana hadiah jackpot adalah hasil daripada wang terkumpul yang dibayar oleh para peserta. Dalam kata lain, ia adalah wang pertaruhan.
Asasnya, kita harus memahami proses judi terjadi. Judi berlaku apabila dua pihak atau lebih saling bertaruh harta masing-masing untuk satu-satu aktiviti.
Sesiapa yang menang dalam aktiviti tersebut, maka dia berhak mendapat harta pertaruhan yang terkumpul.
Manakala pihak yang kalah pula akan kehilangan harta yang dipertaruhkan.
Berbalik kepada hadiah jackpot yang biasa ditawarkan di kolam pancing, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipenuhi untuk mendapatkannya.
Antaranya; pemancing yang berhasrat menyertainya perlu membayar sekian harga tambahan yang berlainan daripada yuran masuk.
Wang tambahan yang dibayar tersebut menjadi wang pertaruhan yang terkumpul atau jackpot.
Hadiah itulah yang diberikan kepada peserta yang menang mengikut aktiviti yang ditentukan, sama ada berkaitan ikan terkecil, terberat dan sebagainya.
Oleh yang demikian, jelaslah bahawa ia merupakan suatu bentuk judi dan hukumnya haram.
Hukum tidak terikat dengan sebab nama. Haram hadiah jackpot bukan namanya jackpot, namun kerana sifatnya yang berbentuk perjudian.
Manakala haramnya judi bukan kerana namanya judi tetapi sifat asasi iaitu pertaruhan antara dua pihak atau lebih. Yang menang mendapat habuan, yang kalah berputih mata.
Maka apa-apa sahaja hadiah adalah haram jika sifatnya adalah judi meskipun diberi nama bonus, sagu hati, cabutan bertuah hatta sumbangan ikhlas sekali pun.
Begitu juga sebaliknya, jika suatu hadiah itu tiada sifat judi, maka halal walaupun mungkin namanya jackpot.
Bagaimana pula jika pihak pengurusan kolam menawarkan hadiah jackpot tetapi tidak mengenakan bayaran tambahan kepada pemancing? Hanya yuran masuk dikenakan.
Saya tidak dapat memberikan kata putus dalam kes ini. Secara prinsipnya, hukum bagi kes sebegini bergantung kepada sumber hadiah jackpot yang ditawarkan.
Jika hadiah tersebut bersumberkan yuran peserta, maka hukumnya haram kerana ia menggunakan suatu pertaruhan.
Misalnya, yuran masuk secara kebiasaannya adalah RM30 untuk sejam. Bagaimanapun pad minggu atau bulan ditawarkan hadiah jackpot, yuran masuknya dinaikkan kepada RM40 sejam.
Jelas bahawa tambahan RM10 daripada caj kebiasaan tersebut sebenarnya untuk membiayai hadiah jackpot yang ditawarkan.
Sebaliknya jika caj masuknya seperti biasa, di sini wujudnya kesamaran yang saya tidak dapat putuskan hukum dan perinciannya.
Boleh jadi pihak kolam pancing menjalankan operasinya dengan menawarkan hadiah jackpot, lalu segala perbelanjaan untuk menyediakan hadiah tersebut sudah pun dimasukkan dalam yuran masuk sejak awal.
Maka, dibimbangi kes ini termsuk dalam judi yang jelas bahawa hukumnya haram.
Namun dalam beberapa keadaan, boleh jadi juga hadiah jackpot yang ditawarkan sebenarnya ditanya oleh pihak ketiga sebagai satu strategi untuk menarik ramai pemancing dalam satu-satu masa.
Maka, hadiah seperti ini adalah suatu bentuk hibah yang dibenarkan. Kes ini sama seperti peraduan cabutan bertuah dan seumpamanya.
Apa hukum pergi ke kolam pancing yang menawarkan hadiah jackpot tetapi kita tidak sertainya? Kita hanya membayar yuran masuk seperti biasa tanpa yuran tambahan RM3 untuk memenangi hadiah jackpot.
Secara jujurnya, saya tidak mampu memberikan pandangan hukum yang muktamad dalam kes sebegini. Boleh jadi hukumnya harus, boleh jadi sebaliknya.
Jika diqiaskan dengan hukum harus membeli di kedai atau pasaraya yang turut menjual arak, maka harus pergi ke kolam pancing itu.
Meskipun begitu, boleh jadi haram hukumnya jika dianggap turut bersubahat dan menggalakkan kemungkaran.
Bagaimana pun dari sudut kewarakan, saya nasihatkan agar kita tidak pergi ke kolam itu. Saya kira masih ada kolam pancing lain yang bebas judi dan segala perkara yang meragukan. Maka memilih jalan selamat adalah lebih baik.
(Sumber: Majalah Al-Ustaz)
Panduan Bawa Sendiri Bot Mancing

Merasai membawa pelbagai jenis bot dengan enjin berlainan kuasa kuda (hp) sudah tentu ia sesuatu yang boleh menjadi panduan ketika mengendalikan enjin ketika berada di padang pancing.
Muatan Yang Sesuai
Mengemudi bot adalah satu posisi yang penuh tanggungjawab kerana taruhan nyawa ada di tangan pengemudi atau lebih dikenali sebagai tekong. Perkara asas yang perlu diketahui adalah muatan untuk pemancing yang boleh dibawa.
Kapasiti yang boleh dinaiki perlu dipatuhi dalam sesuatu masa itu penting kerana sekiranya muatan yang diisi berlebihan, risiko untuk tenggelam atau karam menjadi igauan ngeri kepada pemancing.
Barang muatan yang berlebihan juga akan menjadi penyebab bot boleh karam sekiranya terlanggar batu, tunggul atau apa jua yang hanyut di sungai, lombong, tasik atau laut.
Pemegang Dan Pemulas Minyak
Setiap enjin bot dilengkapi dengan sistem pemulas minyak mengikut model. Bagi enjin berkuasa kecil seperti 2hp hingga 3hp terdapat sistem talaan minyak mengikut level bentuk lambang kura-kura dan arnab bagi mengukur tahap kelajuannya.
Bagi enjin berkuasa lebih besar, sistem talaan minyak menggunakan pemulas yang dikawal daripada pemegang enjin. Sistem ini yang mengawal kelajuan sesebuah bot yang dipandu.
Terdapat teknologi enjin sangkut menggunakan sistem gear automatik iaitu pemulas enjin dilengkapi dengan gear tetapi ia terhad pada beberapa model sahaja.

Ubah Haluan Kiri Dan Kanan
Pemegang ini bertindak sebagai kemudi bot yang boleh memacu bot mengubah haluan mengikut kehendak pemandu. Enjin sangkut yang dipasang di bahagian belakang bot menjadi nadi penggerak kepada bot.
Tolakan ke kiri dan ke kanan pemegang bot boleh melaraskan bot dalam haluan yang betul mengikut kehendak pemandu. Sifat pemanduannya cukup mudah. Tolakan ke kanan akan membuatkan bot bergerak ke kiri dan tolakan ke kiri akan mengubah haluan ke arah kanan.

Namun diingatkan kepada pemandu bot tidak mengubah haluan dalam kelajuan maksimum kerana ini boleh menyebabkan bot berada dalam keadaan tidak stabil dan mampu terbalik.
Gear Hadapan Dan Mengundur
Kebiasaannya kedudukan gear berada dibahagikan tepi atau sebelah pemegang pemulas minyak. Ikut panduan yang biasanya terdapat pada penutup enjin.
Tarik ke hadapan bermakna bot akan meluncur ke hadapan dan tolakan ke belakang bermakna sistemnya akan mengundur ke belakang.

Jangan sesekali menukar gear secara tiba-tiba tanpa menghentikan pulasan minyak kerana ini akan menyebabkan kotak gear yang berada di bawah akan rosak.
Teknik Parkir
Kesesuaian situasi memancing adalah perkara yang subjektif untuk dibincangkan, ada pemancing yang gemar memancing di lombong atau tasik dan kawasan perairan ini tidak memerlukan sauh untuk berhenti di sesuatu lokasi berbanding bot yang perlu berhenti di lubuk-lubuk di sungai ataupun laut.
Gunakan sauh yang betul dan sesuai dengan saiz bot yang dimiliki agar ia mampu bertahan di dalam air mengawal pergerakan air daripada mengganggu bot berganjak dari lokasi asal.

Pemandu atau tekong harus tahu arah pengaliran air dan juga lokasi labuhan sauh yang sesuai agar bot berada di kawasan lubuk yang hendak dipancing. Jarak labuhan sauh berbeza mengikut kedalaman air.
Yang penting cara ikatan sauh yang betul mampu menyelamatkan sauh sekiranya tersangkut pada dasar air yang tidak dapat dilihat. Ikatan pada pucuk sauh secara kuat dan ikatan tambatan tali yang sedikit halus mampu menyelamatkan sauh daripada menjadi tukun.

Keselesaan Memancing
Walau dalam keadaan apa sekalipun, tekong adalah kapten kepada penggerak alat di atas air ini. Seorang pemandu perlu peka terhadap persekitaran air dan kawasan padang pancing walaupun telah lama berkhidmat menjadi pemandu bot.
Apa yang penting, keselesaan anak kapal juga perlu diberi perhatian agar keselamatan semasa bot bergerak atau semasa bot sedang parkir untuk memancing dapat dirasai oleh anak kapal yang juga seorang pemancing!
