
Ikan sembilang diketahui menjadikan muara, kuala sungai dan kawasan berlumpur sebagai habitatnya mencari makanan. Sembilang mudah dijerat dengan menggunakan umpun-umpun dan udang sama ada hidup atau mati. Bahkan sembilang turut menjadikan makhluk bercengkerang atau sesiput sebagai sumber makanannya.
Umang-umang
Umang-umang juga terbukti sebagai umpan yang mampu menjerat sembilang. Untuk menggunakan umpan ini, umang-umang haruslah dikeluarkan daripada cengkerang dan menggunakan bahagian punggungnya sahaja untuk dicangkuk pada mata kail.
Kerang
Di kawasan berlumpur,kerang memang menjadi umpan yang mampu menjerat ikan terutamanya sembilang dan belukang. Hanya isi kerang sahaja yang perlu digunakan pada mata kail dan faktor hanyir pada kerang amat membantu untuk menarik perhatian spesies bersengat.
Mentarang
Sama seperti makhluk bercengkerang yang lain, mentarang turut boleh dijadikan umpan untuk menjerat sembilang. Di Selangor, umpan ini menjadi antara umpan yang popular dan berpotensi untuk memikat spesies ini.
Pepahat
Selain enak dijadikan juadah makanan, sepahat/pepahat juga boleh dijadikan umpan menjerat sembilang. Hanya gunakan isinya sahaja dan cangkokkan pada mata kail. Selain sembilang, ikan gelama, gerut-gerut dan duri turut meminati umpan ini.
Kupang
Kupang merupakan umpan bercengkerang yang sinonim untuk memancing sembilang. Lebih-lebih lagi jika memancing di kelong atau rumah rakit yang turut mengusahakan ternakan kupang. Ia jelas terbukti berkesan jika kawasan tersebut turut didiami sembilang.
Umpan Roti Segamat

Roti Segamat atau roti hijau yang mudah diperoleh di kawasan Segamat dan kawasan berdekatan amat sesuai untuk dijadikan umpan memancing. Dengan sedikit olahan dan campuran bahan lain, ia mampu menjadi umpan power menundukkan ikan-ikan patin bersaiz kasar.
BAHAN-BAHAN KEPERLUAN
1 Bungkus roti segamat
1 bungkus bun mini susu
Kelapa goreng
Serbuk perisa NS Power
LANGKAH 1
Sagat atau parut kesemua roti Segamat dengan menggunakan bekas penapis atau apa sahaja yang bersesuaian.
LANGKAH 2
Masukkan sebungkus perisa pandan NS Power.
LANGKAH 3
Masukkan segenggam kelapa parut yang digoreng tanpa minyak sehingga keperangan dan berbau wangi. Gaul campuran hingga sebati.
LANGKAH 4
Penyek roti bun susu dan potong dadu untuk dijadikan inti. Lebihan roti bun boleh diparut dan dicampurkan bersama roti Segamat.Gaul sehingga adunan menjadi rata dan sekata.
LANGKAH 5
Cangkuk inti (roti bun susu yang dipotong dadu) pada mata kail.
LANGKAH 6
Ambil segenggam campuran roti tadi dan letakkan inti di tengah-tengahnya. Kemudian tambahkan lagi campuran ke atasnya.
Langkah 7
Kepal dengan kuat dan pasti bahagian atas mata kail betul-betul kemas kepalannya dengan menggunakan ibu jari. Memadai dengan melakukan sekali sahaja kepalan yang kemas, umpan roti Segamat sedia untuk digunakan.
8 Spinnerbait Klasik Terbaik Pernah Dihasilkan!!

Spinnerbait merupakan antara gewang tiruan yang paling awal direka oleh pemancing. Dengan putaran blade kecil serta riak daripada skirt atau getah halus cukup untuk menaikkan nafsu ikan pemangsa.
Eco Pro Tungsten : Rapid Fire Spinnerbait
Produk tungsten lebih terkenal dengan jig dan batu ladung. Namun penghasilan Rapid Fire menjadikan spinnerbait ini mempunyai ciri tarikan tersendiri. Kerangka daripada tungsten membuatkan gewang ini lebih tumpat serta mampu membuat balingan yang lebih jauh selain rekaan badan yang menarik.
Mann’s : “The Classic ”
Spinnerbait ini telah membantu Hank Parker menjuarai pertandingan Bassmaster Classic pada tahun 1989 dan seterusnya menjadi rebutan di kalangan pemancing. Salah satu kekuatan spinnerbait ini ialah komposisi lengan yang ultra halus yang menghasilkan getaran menggoda dengan padanan ball-bearing swivel untuk menghasilkan ilusi renangan.
Freedom Tackle : Live Action Spinnerbait
Spinnerbait daripada Freedom ini wajar dimiliki kerana merupakan antara spinnerbait pertama yang menggunakan mata berasingan, mudah ditukar dan bersifat free-swinging yang memberikan aksi tambahan. Sambungan mata pada badan yang lebih longgar menghasilkan renangan yang lebih menggoda dan spinnerbait ini terbukti kuat dan teguh.
Jackall : Super Eruption
Menonjol dalam situasi kurang cahaya dan air yang keruh, Super Eruption dilengkapi dengan 2 bilah blade yang akan berputar laju setelah memasuki air. Juga dilengkapi dengan kerangka 0.8 mm. SUS304 stainless steel, memberikan getaran dan kekuatan untuk menaikkan ikan seekor demi seekor. Bentuk kepala spinnerbait ini juga agak unik dan menghasilkan aksi tambahan.
Northland Tackle : Reed-Runner Classic -Series Tandem
Spinnerbait ini datang dengan blade willow-leaf dengan tambahan blade kecil sebagai kicker. Blade bagi spinnerbait ini juga datang dengan pelbagai pilihan warna daripada metalik hingga hitam. Dipadankan dengan silikon Crazy Leg serta mata kail merah daripada Lip-Stick Hook menambahkan lagi tarikan spinnerbait ini.
Strike King : KVD Finesse
Direka oleh Kevin VanDam dan barisan jurutera Strike King, KVD Finesse dihasilkan untuk menahan asakan ikan bass. Dihasilkan dengan kerangka yang kuat serta pilihan warna natural, bentuk kepala yang agak bulat menghasilkan aksi tambahan ‘bumps’ pada dasar perairan.
Terminator : T-1 Titanium Twin Spin
T-1 Titanium Twin Spin merupakan dual-armed spinnerbait yang terbukti antara spinnerbait killer terhadap pelbagai spesies ikan pemangsa. Dilengkapi dengan sepasang blade Oklahoma double-barreled flash, ia menjadi padanan sesuai kepada kerangka Snap Back titanium untuk melawan asakan pemangsa. Dengan mata kail VMC Needle Point, spinnerbait ini mampu menjadi senjata yang meyakinkan buat pemancing.
Ikan Raja 101 – Spesies Peacock Bass

Walaupun dikenali dengan nama peacock bass, spesies ini sebenarnya bukan dari kumpulan ikan bass. Peacock bass atau ikan raja menurut panggilan sesetengah pemancing sekumpulan spesies ikan air tawar yang datang dari genus Cichla.
Spesies yang berasal dari Amerika Selatan ini merupakan antara spesies yang rakus dan cepat membiak. Di negara Brazil, di mana spesies ini mempunyai taburan paling besar, ikan ini mendapat pelbagai gelaran. Gelaran tucunare merupakan nama paling popular di Brazil dan Peru sementara di Venezuela, spesies ini lebih dikenali sebagai pavon (peacock/butterfly).

Ketika ini terdapat 15 spesies yang datangnya daripada genus Cicla. Spesies ini merupakan spesies ikan natif bagi kebanyakan sungai di Amerika Selatan. Kawasan asal spesies ini termasuklah Sungai Amazon, Lembah Sungai Orinaco dan Guyana.
Spesies peacock bass ini juga pernah diperkenalkan di beberapa kawasan lain di dunia. Oleh kerana ikan ini cepak membiak dan agresif, spesies ini mempunyai kadar survival yang sangat tinggi malah mampu mengancam spesies ikan asal lantas menyebabkan ekosistem asal di sesetengah tempat terganggu.
Secara fizikal, morfologi luaran bagi bagi peacock bass bergantung kepada spesies dan peringkat tumbesarannya. Sesetengah peacock bass jantan mempunyai bonggol yang besar di bahagian kepalanya apabila mencapai peringkat matang. Bagi semua spesies peacock bass, dapat diperhatikan corak yang berlainan pada badannya.
Namun pada bahagian kaudal pedunkel iaitu sambungan badan dan ekornya, dapat dilihat kehadiran tompokan hitam bulat di situ. Ini merupakan tanda yang hadir pada kesemua spesies ikan ini. Bagi spesies Cichla acellaris, dapat diperhatikan morfologi luaran utama dari segi corak badannya iaitu terdapat dua corak vertikal memanjang. Seterusnya di bahagian bawah berhampiran abdomen di bawah sirip pektoral, terdapat satu lagi corak barisan hitam.

Kebanyakan spesies peacock bass boleh ditemui di kawasan air berarus dan air tenang dengan struktur seperti batu atau tumbuhan akuatik. Selalunya ikan ini bergerak secara berkumpulan. Ikan ini merupakan pemangsa dan sangat agresif. Ia menjadikan ikan kecil malah sesetengah tidak segan untuk menyerang ikan yang bersaiz besar sebagai diet utamanya. Oleh kerana tabiat agresifnya, ikan ini tidak sesuai diternak kerana sifat pelahapnya.
Di Malaysia, ikan peacock bass telah dilabelkan sebagai ikan pendatang atau ikan alien. Dalam kontek sains, ikan ini dikira sebagai perosak yang berisiko tinggi kerana kehadiran ikan ini menyebabkan ketidakseimbangan dalam ekosistem asal. Antara implikasi kehadiran ikan ini tanpa kawalan ialah kepupusan spesies asal ikan tempatan kerana persaingan untuk mendapatkan makanan dan habitat dalam meneruskan kelangsungan hidup. Selain itu, sifat ikan ini yang begitu agresif menjadikan ikan ini pemangsa kepadaq spesies ikan tempatan.

Walaupun spesies peacock bass merupakan spesies pendatang, nilainya dari sudut pancingan sukan memang tidak dapat dinafikan. Pemancing Malaysia sekarang ini rata-riti bersetuju bahawa perlawanan di hujung pancing dengan peacock bass sangat mengujakan. Sekali gus menimbulkan persoalan yang tidak terjawab apakah amalan tangkap dan lepas turut wajar dilakukan terhadap spesies peacock bass ini.
Di luar negara, spesies ini diangkat sebagai ikan trofi bagi pancingan ikan air tawar. Spesies C. Temensis merupakan spesies yang mampu membesar sehingga panjang 1 meter. Di Malaysia, selalunya kita dapat menjumpai spesies C. Acellaris yang juga berkualiti sebagai ikan sukan selain mampu membesar sehingga 60 cm panjang.