
Bukan sesuatu yang pelik bila lain kolam lain umpan walaupun untuk memancing spesies ikan yang sama. Sebenarnya ia bukanlah disebabkan oleh perbezaan selera ikan sebaliknya dipengaruhi oleh faktor air kolam itu sendiri.
Sifat air kolam sedikit sebanyak mempengaruhi resepi umpan yang sepadan dengan selera ikan. Walau bagaimana pun umpan tongsan ini merupakan umpan asas dan paling banyak digunakan untuk memancing spesies ini.
Bahan keperluan
1kg dedak 929
Serbuk pandan
Perisa pandan NS Power.
Perisa pisang Umpan Original
Air kolam
Cara Penyediaan:
Tutorial 1
Masukkan sekilo dedak 929.
Tutorial 2
Masukkan kedua-dua paket serbuk pandan.
Tutorial 3
Masukkan kedua-dua paket NS
Tutorial 4
Masukkan 4-5 penutup perisa pisang original.
Tutorial 5
Masukkan air kolam sedikit demi sedikit dan digaul.
Tutorial 6
Perambut spring dua mata yang digunakan.
Tutorial 7
Kepal dedak dengan kemas pada spring dan biarkan mata kail terjuntai keluar.
Tutorial 8
Umpan sudah siap untuk digunakan.
Risiko Memancing Sekitar Pulau Yang Perlu Diketahui!!

Kebanyakan pulau terutamanya di perairan pantai timur diwartakan sebagai kawasan taman laut. Oleh yang demikian sebarang aktiviti menangkap ikan adalah dilarang dalam radius 2 batu nautika. Jadi, kita kenalah faham kenapa tekong tidak membawa kita memancing berdekatan dengan pulau.
Kebanyakan pulau yang tidak berpenghuni adalah pulau berbatu. Sementara struktur batu-batu yang tenggelam di sekeliling pulau tidak seragam saiznya. Tidak semua pulau boleh dihampiri dengan bot dalam jarak yang rapat. Oleh yang demikian, kita sebagai pemancing jangan cepat beranggapan negatif jika tekong tidak merapati pulau sebagaimana yang diinginkan.
Sentiasa perhati pergerakan arus dan angin jika ingin merapat tebing pulau berbatu. Sekiranya angin dan arus lebih terarah ke tebing maka sebaiknya beralih ke kawasan yang lebih selamat untuk merapati tebing.
Turut sama membantu tekong memerhati skrin sonar perihal kedalaman air walaupun tidak terlalu hampir dengan tebing pulau. Kewujudan struktur batu yang tidak seragam ketinggiannya boleh mendatangkan bahaya terutamanya di kedalaman kurang daripada 20 kaki.
Sepadan dengan dasar yang berbatu maka gunalah peralatan pancing yang dapat membantu mengurangkan kadar sangkut. Sekiranya berjigging, sebaiknya kurangkan jumlah penggunaan mata kail dan elakkan dari mengguna mata tiga.
Sepadan jugak dengan spot ikan-ikan kecil berlindung maka jangan terlalu harap akan strike kerapu bara 3-4kg. Dan kalau asyik strike kerapu biasa-biasa besar tapak tangan tu jangan nak salahkan tekong pula.
Etika Memancing Yang Harus Dipatuhi!!

Memancing je pun… takkan memancing pun kena ada etika jugak? Ya betul… memang memancing je pun, tapi perlulah ada etika. Kalau pengumpul setem pun ada etika tersendiri, takkan hobi yang diikuti oleh berjuta orang tak ada etika tersendiri?
KAWASAN PERIBADI PEMANCING
Hormatilah pemancing lain. Setiap pemancing memerlukan kawasan memancing peribadi mereka. Jangan ‘menceroboh’ ke dalam kawasan ini. Kawasan ini pastinya berbeza, terpulang kepada keadaan. Namun, anda perlulah menggunakan logik, supaya tidak mengganggu pemancing lain.
BERHEMAH
Bersopan-santunlah terhadap pemancing lain. Minta izin jika hendak memancing berdekatan dengan mereka.
Jangan buat bising. Ini mungkin menakutkan ikan, dan mungkin juga membuat pemancing lain marah.
Jangan mengacau permukaan air tanpa sebab, umpamanya meranduk air, membasuh. Jika anda mengguna bot dan berdekatan dengan pemancing lain, perlahankan bot anda supaya tidak mengganggu mereka. Cuba elakkan kawasan pancingan mereka, jika boleh.
KESELAMATAN
Sentiasa fikirkan keselamatan bagi diri anda dan juga orang lain.
Jangan tinggalkan benda tajam seperti pisau atau mata kail di atas tanah atau lantai bot.
Pakailah alat pelampung (personal floatation device) setiap masa, bila anda berada di dalam bot atau dalam air.
Buat tinjauan keselamatan dulu, sebelum anda meranduk sungai atau menggunakan bot. Cari nasihat tentang sungai atau tasik atau laut yang ingin anda jelajahi.
Mengenal Spesies Pari Tanjung Dan Tip Memancing

Lubuk yang sering dicuba untuk memancing pari tanjung adalah beting pasir dan laluan utama arus pasang surut. Ia aktif mencari makanan ketika pergerakan arus amat lemah, perlahan malah ketika arus laju pari ini dikesan sempat juga membedal umpan yang dilabuhkan.
Ikan pari berbadan nipis dan berwarna gelap ini tidak begitu terpengaruh dengan kelajuan arus setempat. Beting kegemarannya sekitar 20 kaki dalam dikelilingi paluh air sedalam 30 hingga 60 kaki. Ia juga dikesan berada di kawasan tebing paluh landai.
Jika dilihat saiz lazim yang ditangkap atau pancing, kombinasi peralatan berkekuatan 20lb sesuai dan banyak digunakan. Tambahan pula tangsi halus boleh membantu kita mengurangkan pemberat yang bakal digunakan. Malah peralatan yang sama seperti mana memancing ikan muara boleh digunakan tanpa sebarang masalah.
Sesuai dengan ini peralatan sederhana cukup memberi kepuasan dan kesempurnaan ketika memancing supaya getaran pada otot lengan dan perlawanan menjadi lebih seimbang. Usah khuatir ikan ini tidak bijak mencari perlindungan, ia gemar bertahan dengan bantuan badannya yang leper serta pecutan pada awal larian.
Biasanya ia hanya dikesan meragut umpan sebaik sahaja kail dikarau. Masa ini kita akan terasa objek berat, kemudian melayang-layang hingga permukaan. Joran kekuatan 20 paun hingga 30 paun memudahkan kita mengepam pari ini semasa ia cuba memerap di permukaan dasar. Hanya ketika ini sahaja kekuatan joran perlu digunakan dan selebihnya skil pemancing.
Perambut 20lb hingga 30lb menjadi pilihan saya. Mata kail jangan terlalu besar memandangkan ikan ini bukanlah spesies yang bermulut luas.
Umpan memancing pari ini tidak begitu sukar kerana sebagai kebanyakan pemangsa dasar, ia gemarkan perumpun, udang, hirisan janggut sotong kurita dan hirisan ikan memanjang sebesar jari kelingking orang dewasa.
Udang yang dimaksudkan ialah bersaiz kecil dan kalau hidup lagi cepat sambaran. Udang terlalu besar seperti saiz kolam kemersial tidak sesuai kerana kesukaran untuk pari menelan mangsa sekaligus.
Trivia pari tanjung
Pari tanjung sejenis ikan pari kecil di kuala atau muara sungai kecil dan sedikit pemalas dan gemar melepak di dasar sungai.
Berpeluang untuk mendaratkan dua atau lebih pari tanjung secara serentak kerana ia hidup secara berkelompok.
Nama pari tanjung diilhamkan dari rupa bentuk muncungnya menyerupai unjuran tanah atau tanjung.
Salah satu umpan terbaik ialah jejari sotong kurita kerana liat dan tahan lama.
Ikan belacak juga dikaitkan sebagai umpan terbaik untuk pari tetapi bukan untuk pari tanjung.
Ikan tirusan yang berupa sejenis gelama bersaiz besar turut berkongsi kawasan dengan pari tanjung.
Manakala gelama pisang pula merupakan jiran paling akrab dengan pari tanjung.