Siput merupakan antara umpan alternatif bagi kaki pancing ketika memancing.
Ketika kunjungan ke Kuala Ibai, Terengganu, penulis sempat menimba sedikit ilmu berkaitan umpan siput.
Pemancing di sini gemar menghabiskan waktu petang dengan memancing di kawasan berbatu di Kuala Ibai.
Antara umpan popular ialah siput ka’ki, nama gelaran tempatan untuk sejenis siput yang selalu dijadikan umpan.
Ikan kitang antara spesies ikan yang dinaikkan hasil umpan ini. Umpan ini sesuai untuk memancing ikan di kawasan berbatu seperti kerapu, kitang, gelama, sembilang, duri atau ketuka.
Cara-Cara Menyediakan Umpan
Langkah 1
Cara menggunakan siput ini ialah dengan memecahkan cengkerangnya.
Langkah 2
Rupa siput kaki apabila cangkerangnya dipecahkan.
Langkah 3
Siput ini mempunyai sepit seakan ketam dan kaki seakan labah-labah.
Langkah 4
Keluarkan badannya perlahan-lahan agar bahagian atas badannya tidak rosak.
Langkah 5
Cangkukkan pada mata kail daripada bahagian atas badannya yang lembut agar kaki dan sepitnya bergerak ketika di dalam air untuk menarik perhatian ikan.
Apabila diberitakan hanya menggunakan buah tomato sebagai umpan sahaja sudah boleh memancing ikan terutamanya ikan tongsan sisik kasar, saya terus saja cakap on!
Saya tidak tertangguh lagi untuk turut serta bersama Geng Sunway ke kolam haruan di Temoh, Perak.
Kolam haruan yang dimaksudkan adalah kolam ternak ikan yang diuruskan oleh Halim.
Haruan yang diburu oleh Geng Sunway adalah spesies pengacau yang tidak dikehendaki di kolam tersebut.
Sementara pancingan menggunakan buah tomato pula adalah aktiviti sampingan ketika waktu sidang menanti matahari teduh untuk menyambung sesi memancing haruan.
Tujuan saya turut serta dalam sesi ke Temoh kali ini bukanlah untuk memancing haruan, sebaliknya untuk melihat sendiri kebenaran pancingan menggunakan umpan buah tomato.
Ia merupakan sesuatu yang merupakan sesuatu yang baharu kepada saya. Sebelum ini saya pernah mendengar buah pisang dijadikan umpan.
Malah pernah juga menggunakan buah ara untuk memancing patin liar di sungai.
Tetapi belum pernah lagi saya dengar ada pemancing menggunakan buah tomato sama ada memancing di kolam pancing berbayar mahupun di sungai.
Namun keraguan saya itu segera diperjelaskan oleh Halim sendiri sejurus tiba di kolamnya itu.
Menurut Halim ada ketikanya pengusaha-pengusaha kolam ternak termasuklah kolam seliannya itu memberikan buah-buahan yang sudah rosak, lazimnya dibeli dalam kuantiti banyak dengan harga murah sebagai makanan ikan.
Penjelasan ringkas itu sedikit barulah membuka mata saya. Baharulah saya faham mengapa buah tomato yang bersifat masam seperti buah-buahan yang rosak itu boleh dijadikan umpan.
Justeru tatkala ahli-ahli Geng Sunway berpusing keliling kolam mengilat haruan menggunakan katak dan umpan tiruan, saya menemani Suhaimi dan anaknya Nabil memancing menggunakan umpan tomato.
Jelawat turut membaham tomato
Menurut Suhaimi kedatangan kami kali ini agak kurang baik kerana Halim baru menuai ikan-ikan di kolam untuk dijual.
Namun masih saki-baki ikan tongsan sisik kasar atau kap rumput yang cukup gemar dengan umpan buah tomato.
Biarpun sedikit hampa namun ia sama sekali tidak mematahkan semangat saya.
Apatah lagi setelah melihat satu persatu ikan lampam Jawa, tilapia, jelawat dan tongsan sisik kasar dinaikkan hanya menggunakan umpan buah tomato semata-mata.
Nabil… asyik naikkan lampam jawa
Cara menggunakan buah tomato turut mudah dan begitu bersahaja. Memadai memotong dadu buah tomato dan dicucukkan terus ke mata kail. Untuk lebih berkesan gunakan teknik apung.
Melihat kepada mudahnya cara memancing menggunakan buah tomato itu ia memberi inspirasi kepada saya untuk mengamalkan cara yang sama di kolam pancing berbayar.
Jika ikan di kolam ternak sudah terbiasa memakan buah tomato maka tidak mustahil ikan-ikan di kolam berbayar yang hampir kesemuanya datang dari kolam ternak juga akan turut sama memakan umpan buah tomato.
Sebagaimana buah kelapa sawit yang boleh digunakan untuk memancing ikan kelah, tengas dan sebagainya lagi, buah ara juga boleh digunakan untuk tujuan yang sama.
Malah, kelebihan buah ara ia tidak perlu diperam sebagaimana buah sawit untuk diguna pakai. Ia boleh diguna secara asalkan buahnya sudah cukup masak.
Cara-cara Menggunakan Umpan Buah Ara
Jika tidak dapat mengambil buah ara yang masak (kebanyakan bewarna merah tua keungguan) pada dahan pokok, kutip saja buah-buah yang masih baru gugur.
Buah yang baru gugur biasanya masih elok sifatnya berbanding buah yang sudah lama gugur dan buruk.
Potong buah ara dengan pisau yang tajam supaya elok belahan buahnya. Sebaiknya setiap biji buah itu dipotong empat.
Dengan menggunakan mata kail (tunggal) berperambut tali tangsi 20-30lb sepanjang 1-2 kaki, cucuk potongan buah ara pada mata kail satu persatu.
Potongan buah ara haruslah melepasi mata kail dan tersusun pada perambut.
Sebaiknya potongan buah ara dicucuk kira-kira panjang sejengkal pada perambut sementara dua potongan buah dicucuk kemas pada mata kail.
Dengan menggunakan teknik pancingan dasar (saiz batu ladung hidup bergantung kepada kelajuan arus sungai), umpan ini sudah boleh dilontar ke lubuk untuk memikat kelah, tengas, jelawat ataupun patin liar.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...