
Di pasaran sekarang sedia terjual pelbagai jenis, rupa dan bau-bauan umpan memancing. Jika anda seorang yang rajin dan kreatif, tambah pulak dalam keadaan inflasi ini, adalah lebih baik anda buat sendiri umpan untuk memancing ikan kolam. Bahan-bahan keperluan pun tak susah nak cari dalam radius 10km yang dbenarkan.
Bahan-bahan keperluan:
1 kotak air kacang soya (1 liter)
4 sudu besar Milo
3 biji telur itik
1 bekas taufufa kosong (banyak terjual di pasar malam)
1/2 paket yis segera
1 biji kelapa tua (diparut)
Cara-cara pembuatan:
(Semua bahan-bahan ini boleh dimasukkan ke dalam mesin pengisar tanpa perlu mengikut aturan atau kuantiti. Yang penting kesemua bahan dikisar halus sehingga sama ada dikisar sekaligus ataupun diulang sehingga habis.)
Tempe dipotong kecil kemudian dimasukkan ke dalam bekas pengisar. Kemudian masukkan bahan-bahan lain dan sebaiknya setiap kali mengisar terdapat kesemua bahan.
Setelah kesemua bahan dikisar sehalus yang mungkin, masukkan sos ke dalam bekas seperti botol sehingga 3/4 penuh.
Sos ini perlu diperam bagi menjalani proses penapaian sekurang-kurangnya 5 hari sebelum boleh digunakan. Dalam proses penapaian ini gas akan terhasil yang boleh menyebabkan letusan berlaku sekiranya ia disimpan di dalam bekas bertutup dan akan melimpah keluar jika kuantitinya terlalu padat di dalam bekas simpanan.
Sos umpan ini amat sesuai digunakan bersama roti. Pada waktu ia digunakan nanti bolehlah ditambah sedikit perisa seperti pandan atau strawberi bergantung selera ikan di mana-mana kolam pancing.
Ikon: Tekong – Apeng Tekong Muda

Nama: Mohd Saufi Yusof
Nama sosmed: Mohd Sufi (Apeng)
Kerjaya: Tekong
UMPAN: Sejak bila anda mula menjadi tekong?
APENG: Alhamdulillah, saya mula berkecimpung dalam dunia tekong setelah abang saya meninggal dunia dan family mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman ayahanda saya di Batu Laut, Banting.
Setelah pulang ke kampung, saya mengikut ayahanda ke laut untuk mencari rezeki dengan cara menjaring.
Setelah beberapa tahun saya pergi ke laut bersama ayahanda, awal tahun 2015 saya ditawarkan oleh sifu saya RM Rezza untuk membantunya menjalankan perkhidmatan sewa bot jigging.
Selama beberapa bulan dan dari situ la saya berkecimpung dalam dunia tekong dan jigging sehinggalah sekarang.
UMPAN: Kenapa anda memilih kerjaya ini?
APENG: Saya memilih kerjaya ini disebabkan tidak ramai anak muda yang mahu berkecimpung dalam dunia ini.
Saya juga memilih kerjaya ini sebabkan penuh cabaran dan arwah atuk saya banyak mengajar ilmu laut pada saya waktu saya sejak kecil lagi. Dari situ terpupuknya minat saya terhadap lautan.
UMPAN: Apa kriteria yang perlu ada untuk jadi tekong?
APENG: Dalam dunia tekong ini bagi saya hanya perlu jaga waktu dan disiplin, cara berkomunikasi bersama pemancing dan ketika berada dilaut saya perlu berkerja keras bagai mana untuk mendapat strike dan berpindah antara lubuk ke lubuk.
UMPAN: Apa rintangan dan harapan anda dalam tugasan ini?
APENG: Sepanjang saya menjadi tekong ialah apabila menghadapi cuaca yang tak menentu. Contohnya, ketika kita berada di tengah laut dengan secara tiba tiba angin barat sampai dan menghadap alun yang setinggi 6 ke 7 meter.
Saya sebagai tekong perlu cool dan perlu mengawal keadaan dan emosi pemancing. Bagi saya tidak semudah yang disangka untuk menjadi seorang tekong ini dan harapan saya dapat teruskan kerjaya ini dengan jayanya dan selalu dipermudahkan Allah SWT.
Bangkitlah anak muda… ketahuilah dunia tekong ini boleh menjadi kerjaya dan sinar di mata masyarakat.
UMPAN: Ceritakan sedikit pengalaman pahit manis ketika trip memancing?
APENG: Pengalaman pahit saya semasa trip memacing, satu hari tu ketika mahu melemparkan jig ke permukaan air laut dengan secara tiba tiba hook yang ada pada jig terlekat di jari saya terus menembusinya.
Pengalaman manis bagi saya apabila pemancing yang menggunakan khidmat saya dan diorang beramah mesra dan gelak tawa.
Saya ingin mengucapkn berbanyak terima kasih kepada pemancing yang mengunakan khidmat saya ini. InsyaAllah saya akan sentiasa membaiki perkhidmatan saya ini.

Pakej sewa bot Apeng
- Jeti: Jeti Nelayan Sungai Mesuk, Batu Laut.
- Saiz bot: 26 X 6.5
- Enjin: 40hp twin
- Kapasiti muatan: 5 pemancing
- Sewa: RM900.00
- Waktu: 8.00 hingga 6.00 petang
- Lokasi: Perairan Morib
- Teknik: Jigging
Jembalang Lombong Ikut Pulang

Cerita ni terjadi 15 tahun dulu. Aku and the geng ada dengar cerita banyak lombong tinggal kat puncak Polo Iskandar. Sebab apa kena tinggal aku tak tahu la pulak tapi yang pasti kebanyakan lombong tinggal tu bekas tapak kolam ikan yang Cina bela.
Dipendekkan cerita, petang tu aku and the geng berangkat naik ke tempat sasaran. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit untuk sampai ke destinasi. Kira penghujung jalan dan last punya lombong la kan. Sampai tempat tu lebih kurang jam 6.30, aku pun terus parking dan pusing siap-siap kereta pasal senang nak turun balik karang.
Sampai je terus semua ambil port memancing. Lebih kurang 15 minit menunggu, joran kawan aku kena sambar, naik seekor jelawat lebih kurang 3 kilo. Wow! Sangat lumayan, tunggu tak sampai 15 minit dah kena.
Hari beransur gelap… dua orang kawan aku tengah pasang unggun api. Nak bagi terang kawasan memancing situlah kan. Walaupun belum gelap lagi tapi takkan dah gelap baru nak pasang api kan… betul tak?
Aku pulak duduk kat pancing sambil bersembang dengan kawan aku yang duduk kat sebelah, aku terdengar satu bunyi yang mencurigakan. Kawan aku kat sebelah tak perasan bunyi tu kot, asyik membebel pasal ikan yang tak makan umpan. Huh! Hampeh betul.
Aku cuba mengamati bunyi tu betul-betul, dan bunyi tu masih lagi berlanjutan. Hati aku dah start rasa tak sedap dah nih, tapi cuba berlagak cool dan rilek dulu. Aku dah tak pandang pancing dah time tu, dalam dok dengar bunyi tu tetiba dah ada tambahan bunyi, aku dengar bunyi budak menangis.
Aduh… ini dah lebih… dalam hati dah start baca ayat Kursi dan 3 Qul. Bunyi tu masih lagi berlarutan. Tiba-tiba kawan aku yang lagi seorang datang ke tempat aku dan duduk sebelah aku. Dia kata dia terperasan ada orang lain memancing seberang kolam, tapi bila tengok balik dah takde.
Masa kawan aku cerita pasal apa yang dia nampak, bunyi uuuiii.. uuuiii… uuuiiiiiii berselang seli dengan tangis budak makin kuat… kompom Cik Ponti punya…!
Tak boleh jadi ni, aku terus bangun dan ajak kengkawan aku balik… 2 orang kawan aku yang tengah pasang unggun api tak nak balik pasal dorang kata baru sampai. Gila ke apa?! Hampeh betul… aku cakap kat dorang, jom la balik, nanti lagi susah. Barulah semua start packing barang nak balik.
Bila dah siap packing nak bergerak ke kereta, aduh… baru perasan bunyi tu datang dari pokok yang paling dekat dengan kereta aku. Kiranya, kalau nak pegi ke kereta, kena lalu bawah pokok tu dulu. Adeh… siot betul.
Tapi apa nak buat, kenalah lalu jugak kan. Takkan nak tunggu situ lagi. Kita orang pun berjalan pergi ke kereta berlampukan torchlight yang time tu jugak la nak meragam. Masa lalu bawah pokok tu, Tuhan je la yang tau..bulu roma ni dah meremang sakan dah oi!
Masa nak sampai ke kereta, tetiba dah dengar bunyi orang ketawa mengilai…. apa lagi? Kita orang semua lompat masuk dalam kereta la. Aku try start kereta, Alhamdulillah… boleh start. Terus masuk gear satu dan jalan… tak tengok belakang dah… takut siot!
Tapi…. ingatkan gangguan dah habis, masa turun dari puncak bukit tu ada dua kejadian aneh. Pertama, masa turun dari bukit tu mmg dah gelap. Semuanya hanya berpandukan lampu kereta. Tapi ada sebiji motor yang entah datang dari mana potong kereta aku. Yang paling best motor tu tak pasang pun lampu.
Kedua, masa turun kami bertembung dengan dengan teksi. Teksi tu menuju ke puncak bukit. Kawan aku terus tanya aku pasal teksi tu. Syyyyhhhh! Jangan tegur… biarkan je dia.
Adui… masa berselisih dengan teksi tu, aku menjeling tengok apa yang ada dalam teksi tu, HIJAU beb Hijau…!
Orang yang bawak teksi tu warna hijau… nasib baik aku yang jeling tengok dia. Bukan dia yang menjeling tengok aku… kalau tak kompom 180 kmj turun bukit tu… hahaha.
Alhamdulillah, akhirnya kami sampai jugak ke jalan besar, terus menuju ke rumah kawan aku di area Ampang. Kawan aku duduk berjiran dengan Cina. Rumah Cina ni ada anjing.. masa aku parking kereta, anjing tu tak duduk diam, asyik menyalak je. Menyalak ke arah kereta. Adoyai… mengikut balik la pulak. Kami semua masuk dalam rumah. Semua mandi dan sembahyang. Mengaji lebih kurang barulah anjing kat luar diam… Alhamdulillah.
Cara Buat Ikatan Leader Laut Dalam

Shock leader knot adalah satu ikatan untuk menghubungkan perambut (leader) dengan tali utama (tali sulam). Ia adalah satu ikatan yang kuat dan amat sesuai untuk digunakan dalam pancingan teknik dasar (bottom) khususnya pancingan dasar di laut lepas.
Tutorial 1
Buatkan satu simpulan biasa (over hand knot) pada hujung leader (perambut).
Tutorial 2
Masukkan tali utama (tali sulam) ke dalam simpulan pada leader tersebut.
Tutorial 3
Ketatkan simpulan pada leader dengan seketat mungkin.
Tutorial 4
Biarkan satu loop (lingkaran) sebelum membuat lilitan pada leader.
Tutorial 5
Buatkan sekurang-kurangnya 7 lilitan pada leader tersebut.
Tutorial 6
Lilit kembali dengan jumlah yang ke arah bertentangan.
Tutorial 7
Masukkan hujung tali utama ke dalam loop dan lilitkan pada leader.
Tutorial 8
Seterusnya lilitkan sekali lagi pada leader tersebut.
Tutorial 9
Tarik perlahan-lahan hujung dan tali utama sambil menyusun simpulan yang terhasil.
Tutorial 10
Kemaskan semua simpulan dengan seketat-ketatnya.
Tutorial 11
Potong lebihan hujung tali utama dan leader dan kemudian bakarkan sedikit hujungnya.