Musim kemarau di Sungai Pahang amat sinonim dengan musim mengilat si gigi jarang… apa lagi kalau bukan ikan begahak atau lebih popular dengan gelaran `gohok’ di sini.
Kehadiran begahak sememangnya dinantikan ketika musim kemarau. Ini kerana ketika musim kemarau paras air sungai yang menyusut dan faktor air sungai yang semakin jernih, menyenangkan bagi aktiviti mengilat ikan begahak.
Air yang terlalu cetek ini agak berbahaya untuk memancing menggunakan sampan atau bot kerana kedalaman dasar sungai sukar untuk dijangka dan risiko untuk enjin dimasuki pasir adalah tinggi. Satu-satunya cara untuk memburu begahak adalah dengan mengilat dari tebing atau landbase casting.
Melalui teknik landbase casting ini membolehkan lebih ramai pengilat mencuba nasib tanpa perlu mengeluarkan belanja untuk menyewa bot.
Keghairahan mengilat begahak ini bukan saja pengilat setempat, ia turut dirasai rakan-rakan dari luar Pahang dan terpanggil untuk mencuba nasib memburu lesen atau memperbaharui lesen begahak ini.
Sebagai anak jati Sungai Pahang, khidmat saya sebagai guide sering ditagih oleh rakan-rakan dari Kuala Lumpur, Terengganu, Johor malah dari negara jiran (Singapura) yang ingin turut bersama mencuba nasib mengilat spesies yang tiada di negeri lain selain Pahang DM.
Pada kebiasaannya saya memburu begahak dengan menggunakan bot. Penggunaan bot lebih efektif untuk memburu begahak kerana dapat meliputi kawasan yang lebih luas.
Namun disebabkan faktor air sungai yang cetek, maka saya akan bawa rakan-rakan mengilat secara menebing di beberapa spot berpotensi di sepanjang Sungai Pahang tidak jauh dari bandar Maran.
Sedikit tip untuk landbase casting ini, lazimnya saya akan cari spot air dalam, dasar berstruktur lubang atau lekuk atau kawasan kuala anak sungai.
Lazimnya peratus strike diterima di spot air yang dalam. Bagi mengilat ikan begahak, set yang kami gunakan adalah dari medium light-medium, 5-10 lb hingga ke 6-15lb.
Untuk memperoleh strike, kami terpaksa menahan terik panas matahari. Ini kerana ikan begahak aktif ketika matahari tegak di atas kepala. Saya sendiri sudah banyak kali menerima strike pada waktu begini.
Selain perlu bertahan dipanggang terik matahari (ada juga rakan kami yang terpaksa lari berteduh kerana tidak tahan dgn cuaca panas), dugaan ketika casting yang perlu dihadapi ialah gewang tersangkut pukat, diganggu nelayan, angin kencang dan terpaksa bersaing dengan pemburu yang lebih cemerkap iaitu sang memerang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sekiranya korang belum pernah mengikuti mana-mana trip mencandat sotong terutamanya di perairan Terengganu, maka korang perlu baca dan faham perkongsian yang kami sediakan ini.
Musim sotong
Pertama sekali dapatkan info ketibaan musim sotong. Walaupun secara amnya musim sotong bermula dari bulan April hingga September setiap tahun, namun sotong juga ada masalah untuk mengekalkan musimnya.
Rehat cukup
Pastikan tidur dan rehat yang cukup jika anda mengikuti trip perjalanan yang jauh. Terutamanya jika anda mudah mabuk laut. Tambah pula perairan Terengganu yang lazimnya menjadi port mencandat sotong juga popular dengan alun ombaknya.
Tekong candat
Sebaiknya carilah tekong yang memiliki reputasi yang baik walaupun tidak memiliki kemudahan bot yang baik. Tidak semestinya bot yang lengkap dengan gps dan sonar bagi mengesan lubuk sotong berakhir dengan keputusan trip yang cemerlang.
Peralatan candat
Gunakan peralatan yang sesuai untuk mencandat. Jika menggunakan joran dan kekili, sebaiknya guna set sederhana dan jika menggunakan koyan, sebaiknya tali koyan berdiameter tebal agar tidak bersimpul dan memedihkan tangan.
Teknik candat
Cara mencandat sotong adalah mengunjun candat sehingga ke dasar laut. Batu ladung atau candat twist yang digunakan sebagai pemberat dibiarkan di dasar, hanya tali pancing dihenjutkan dengan cara mengendur dan menegangkannya.
Apabila terasa sesuatu yang berat, tarik atau gulung tali secara sederhana.
Lebihkan usaha
Jika menggunakan candat mayat atau candat apollo, sebaiknya cubalah candat pelbagai warna dan perhatikan candat yang mana lebih disukai oleh sotong.
Jika candat mayat atau candat udang kurang disukai oleh sotong, cuba pula candat umpan yang menggunakan umpan ikan.
Teknik karauan
Apabila candat mengena sotong, jangan karau atau gulung tali dengan laju dan kasar. Jangan juga terlalu perlahan hingga sotong mampu meloloskan diri.
Tarik secara bertenang dan apabila sotong muncul di permukaan air, biarkan ia memuntahkan dakwatnya sebelum mendaratkannya ke dalam bot.
Tong simpanan
Biarkan sotong yang berjaya dinaikkan mati sebelum memasukkannya ke dalam tong ais. Sekiranya ada tangkapan selain sotong, sebaiknya asingkan sotong dan ikan kerana kualiti dan rasa ikan akan terjejas.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ikan tenggiri sebenarnya boleh dipancing pada bila-bila masa. Ia tidak sesetengah spesies ikan yang bermusim.
Justeru itulah ikan tenggiri tidak pernah putus bekalannya di pasaran. Selain diburu kerana kualiti tekstur dagingnya yang enak dan bernilai tinggi di pasaran, ia juga merupakan spesies ikan menghadirkan cabaran dalam keseronokan memancing.
FAKTOR AIR
Ikan tenggiri boleh dipancing sama ada ketika air pasang besar mahupun pada waktu air pasang kecil. Apa yang membezakannya hanyalah lokasi pemburuannya.
Contohnya ketika arus laju, tenggiri lebih senang ditemui di kawasan yang dasarnya memiliki struktur.
Jika memancing di kawasan yang sederhana dalam sehingga 40 meter, carilah dasar yang mempunyai struktur berbukit.
Pada kebiasaannya ketika arus deras, ikan-ikan kecil akan menjadikan struktur berbukit ini kawasan berlindung.
Sama ada anda memancing dengan kaedah umpan hidup atau umpan tiruan, kawasan ini perlu dicuba kerana lazimnya tenggiri akan memburu makanan di kawasan lindungan ikan-ikan kecil ini.
FAKTOR HABITAT
Bagi mengenal pasti kawasan ini didiami oleh ikan-ikan kecil, bolehlah diturunkan apollo. Sekiranya berjaya menaikkan ikan-ikan kegemaran tenggiri seperti selar atau kembung,
gunalah ikan-ikan tersebut sebagai umpan sama ada dengan teknik pancingan hanyut ataupun dasar. Jika ingin berjigging, pastikan jig memasuki kawasan tersebut.
FAKTOR SUHU AIR
Selain itu, faktor suhu air juga memainkan peranan tersendiri. Untuk mengetahui suhu air, bolehlah merujuk kepada alat sonar yang digunakan tekong.
Bagi laut tropika seperti perairan negara kita, suhu air melebihi 30 darjah celcius merupakan suhu yang paling produktif kerana ikan berada pada tahap paling aktif.
Bukan saja tenggiri, ikan-ikan lain juga aktif memburu makanan.
FAKTOR LOKASI
Faktor seterusnya adalah mengenal pasti kawasan sambaran. Sekiranya menggunakan umpan hidup, bolehlah dilabuhkan ke beberapa kawasan sasaran sama ada di dasar, pertengahan dan pra permukaan air.
Jika berjigging pula, jig perlu diunjun dari dasar hingga ke permukaan dan pastikan di kawasan mana ia menerima sambaran.
FAKTOR KELENGKAPAN
Dan akhir sekali yang menjadi penentu kejayaan adalah pemilihan kelengkapan memancing yang tepat.
Sebagai contoh, set joran yang sepadan untuk menahan kuasa pecutan tenggiri. Tali pancing yang cukup panjang untuk dihela keluar oleh tenggiri dan perambut mata kail yang mampu menangkis ketajaman gigi tenggiri.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sebelum ini penulis pernah terlibat dalam bidang event management pertandingan memancing.
Banyak pengalaman dan cabaran yang penulis lalui dan tempuhi.
Daripada kes-kes penipuan ikan hinggalah ke krisis ketidakpercayaan pemancing terhadap penganjuran yang kami lakukan semuanya telah penulis rasai.
Tetapi antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan ialah apabila berdepan dengan satu situasi yang mana pemancing yang sama sering menjuarai pertandingan yang dianjurkan.
Kalau hendak diikutkan, situasi sebegini memang tidak sedikit pun memberi kesan terhadap pertandingan memancing yang kami anjurkan.
Tetapi ia menjadi semakin serius apabila timbul persoalan demi persoalan daripada rakan pemancing yang mula meragui kejayaan yang diperoleh pemancing tersebut.
Dari situ, mulalah keluar fitnah dan pada masa yang sama khabar angin mula bertebaran bahawa pemancing berkenaan menggunakan bomoh, jin, hantu laut, tangkal dan sebagainya untuk membantu beliau menjuarai pertandingan.
Daripada satu isu kecil ia mula menjadi besar dan dari situ ramai yang mula hilang kepercayaan terhadap pertandingan memancing dan sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada kami, penganjur pertandingan pada masa itu.
Hairan juga penulis dengan sikap segelintir pemancing kita yang begitu cepat jatuh hukum dan mengeluarkan fitnah yang entah apa-apa.
Bagi penulis sendiri, isu-isu berkaitan guna tangkal, jin, hantu laut ini langsung tidak pernah penulis hiraukan apatah lagi untuk dipercayai.
Jika benarlah menggunakan perkara-perkara tahyul mampu untuk memperoleh kejayaan, pastinya sudah ramai yang bersenang-lenang dan hidup mewah di dalam dunia ni.
TANGKAL – JAMPI – JIN
Penulis tertarik untuk membincangkan tentang isu ini apabila melihat beberapa komen dan status yang dimuat naik oleh rakan pemancing di laman sosial terhadap perkara ini.
Ada yang mempersoalkan bagaimana pemancing yang sama mampu menyapu bersih kedudukan hadiah dalam sebuah pertandingan memancing.
Yang paling menarik nama pemancing dari Pantai Timur yang terpalit dengan kontroversi sebegini.
Kononnya pemancing Pantai Timur bertanding secara tidak sihat bila menggunakan khidmat jin, hantu ataupun tangkal ini.
Jika sebelum ini nama pemancing dari Indonesia yang menetap di Malaysia sering dikaitkan dengan perkara-perkara sebegini bila sering memenangi pertandingan memancing air
tawar yang dianjurkan di sekitar Lembah Klang, kini nama pemancing Pantai Timur pula menerima nasib yang serupa.
Menariknya bila melihat komen, ramai yang seolah-olah begitu mempercayai penggunaan tangkal, hantu dan jin ini untuk memenangi pertandingan memancing hinggakan ada yang bertanya bagaimana hendak mendapatkan khidmat perkara-perkara tahyul ini.
Hairan kan? Seolah-olah mereka dengan sewenang-wenangnya menidakkan rezeki yang diturunkan oleh Allah SWT kepada kita, malah ada pula yang berniat menyekutukannya.
Pada hemat peribadi penulis, isu tahyul seperti guna tangkal, jin, hantu laut untuk menang sesebuah pertandingan memancing ini tidak seharusnya kita percaya.
Semuanya bergantung pada rezeki yang diturunkan kepada kita. Jika acap kali kita tewas di dalam pertandingan memancing, janganlah cepat berputus asa.
Cuba dapatkan seberapa banyak ilmu daripada mereka yang berpengalaman dan sering menjuarai pertandingan memancing sebagai salah satu usaha kita untuk memperoleh kejayaan.
Selebihnya ia tetap terletak pada rezeki masing-masing. Janganlah akibat rasa cemburu, iri hati dan sebagainya kita mengeluarkan dalil-dalil fitnah yang secara tak langsung mampu
menguris hati sesetengah pihak dan pada masa yang sama ia mampu memesongkan akidah kita sendiri.
Apa kata netizen:
HANAFI NAFI
“Tu semua karut-marut. Sebagai pemancing tegar akan tau cara-cara hendak memancing. Ikan apa yang hendak dipancing, umpan apa yang hendak dipasang.
Kena dengan cara dan teknik yang betul akan membuahkan hasil. Dan rezeki itu datang dari Allah.
Saya pun pernah menang dalam pertandingan memancing tapi tak ada jampi serapah apa-apa pun. Hanya joran, umpan saja yang dibawa.”
FAIZAL PEJE
“Pernah nampak masa game ada sebatang rod diikat kain kuning tapi bangau le jugak. Huhu. Paling utama adalah rezeki.
Pakailah Shimano Stella sekalipun kalau takde rezeki ikan dah naik atas darat pun boleh terjun balik.”
MOHD SAIFUL NIZAM
“Aku tengok game Seri Bayu takde orang yang sama menang pun. Skill dan rezeki penentu.
Tapi kalau orang yang sama asyik dapat ikan tu aku percaya, sebab umpan dan teknik dia berkesan, bukan sebab hantu belaan.”
PAHLAWAN PADANG PASIR
“Sihir, Jin dan Syaitan itu perkara yang haq akan wujudnya. Dalil al-Qur’an mengenai wujudnya sihir; Surah Al- Baqarah ayat 102, Surah Yunus ayat 77, 81 dan 82 serta banyak lagi dalam Surah Taha, Surah al-A’raaf dan lain-lain.
Tidak mustahil ada penggunaan ilmu hitam dalam pertandingan memancing yang berprestij, lantaran semua pemancing (lagi-lagi pemancing tegar) tahu hadiah yang menjadi habuan bagi kejuaraan kejuaraan ini amat lumayan.
Memang dikalangan komuniti pemancing akan wujud golongan-golongan yang tamak dan tidak akan teragak-agak menggunakan pendekatan ilmu hitam ini sebagai jalan singkatnya. Wallahu’alam.”
MAHYUDIHISHAM MOHDSAID
“Untuk pemancing yang sudah biasa masuk game semua sedar ia berkaitan teknik, fokus dan kesungguhan.
Tuduhan pakai jin dan hantu ni biasanya keluar dari mulut kalangan pemancing yang tak berminat masuk game.
Mereka tak faham dan tahu situasi sebenar pertandingan. Sebilangan kecil sahaja bukan semua.”
SAFARI
“Memang betul asyik orang yang sama je jadi juara. Tak pasti dia orang manderam ke tidak.
Tapi sepanjang saya mengikuti XTVT ni, bermacam cara digunakan, petua dan amalan-amalan tertentu diamalkan. Terpulang pada seseorang tu utk mengamalkan yang putih atau hitam. Tepuk dada tanya iman.
Orang-orang yang handal dalam mencari rezeki di air pun kecundang bila masuk bertanding. Tak tau kenapa. Paling senang jawapannya belum rezeki.
Pada saya berusaha dan bertawakal. Berusaha menyediakan peralatan perang yang terbaik dengan umpan yang terpilih, bertawakal, berdoa dan berserah kepada Allah.”
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...