IKLAN

 

Kami tiba di lubuk pertama pada waktu senja. Lubuk pertama merupakan sebuah unjam yang banyak terdapat di timur Pulau Similan.

Menurut tekong, Pulau Similan yang terletak di Laut Andaman mempunyai struktur laut yang unik. Di sebelah timur pulau, lautnya amat cetek dengan kedalaman hanya 50–80 meter sahaja.

 

Di kawasan ini banyak terdapat unjam dan tukun tiruan yang dibina oleh nelayan tempatan. Kawasan ini kaya dengan lambakan sotong dan ikan-ikan karang. Kelihatan berpuluh-puluh bot pukat dan sotong sedang beroperasi di kawasan tersebut.

 

Pada sebelah barat Pulau Similan pula, keadaan lautnya amat berbeza. Hanya kurang satu batu nautika dari pulau tersebut, kedalamannya mencecah drop off sehingga 300 meter.

Di kawasan inilah terdapatnya kerapu hitam yang kami sasarkan. Ruby snapper, tuna dan banyak lagi spesies ikan laut dalam juga boleh dipancing di kawasan ini.

 

Selepas singgah di lubuk pertama di sebuah unjam. Tekong Sai Yan berhubung dengan bot nelayan berhampiran untuk membeli umpan segar.

Ikan tongkol dan sotong segar dibeli dengan kuantiti yang banyak sebagai bekalan umpan kami.

 

Di unjam, kumpulan kami mengamalkan pancingan dasar di hadapan bot dan jigging di belakang bot. Tanpa menunggu lama, pelbagai ikan bersaiz kasar yang berjaya dinaikkan.

Ikan ebek kelihatan banyak terdapat di kawasan unjam ini selain ikan merah dan kerapu. Selepas semalaman memancing di unjam, pelbagai jenis ikan yang berjaya dinaikan oleh kumpulan kami.

 

 

Antara ikan-ikan tersebut ialah kerapu (Malabar grouper, Epinephelus malabaricus), ebek (Diamond trevally, Alectis indica), merah (Lutjanus erythropterus), kakap merah (Mangrove jack, Lutjanus argentimaculatus) dan banyak lagi spesies ikan lain.

 

IKAN SASARAN, KERAPU HITAM!

Awal-awal pagi lagi tekong mula bertolak ke kawasan drop off di sebelah barat Pulau Similan untuk memancing ikan kerapu hitam. Kami segera membuat persediaan untuk memancing sepanjang perjalanan ke sana.

 

Perambut appollo berkekuatan 100-120lb diikat bersama mata kail 4X circle hook bersaiz 7/0. Penggunaan ‘bangla’ atau kekili elektrik amat digalakkan kerana mampu menyimpan tali utama lebih 500 meter.

 

Batu ladung yang akan digunakan untuk memancing di kawasan sedalam ini seberat 2kg. Pasti pemancing akan keletihan jika menggunakan kekili manual apabila berhadapan situasi seperti begini.

 

IKLAN

Semasa memancing ikan kerapu hitam, hanya sebelah kanan bot sahaja dibenarkan untuk memancing. Ini kerana kami akan memancing secara berhanyut kerana bot tidak mampu melepaskan sauh di tempat yang begitu dalam.

 

Apabila tekong memberi isyarat, kami segera menurunkan umpan. Umpan tongkol yang dibeli oleh nelayan semalam terus disambar ikan dengan rakusnya.

Bangla kepunyaan kami terpaksa berhempas pulas melawan asakan ikan kerapu supaya tidak lari ke dalam lubang yang menjadi tempat persembunyiannya.

Selepas beberapa ekor ikan kerapu berjaya ditawan, tekong akan berubah tempat ke lubuk yang lain.

 

 

Bot hanya berhenti seketika sahaja di setiap lubuk. Aktiviti sedemikian kami lalui sehingga petang.

Masa seakan-akan berlalu dengan pantas kerana kami sentiasa sibuk memancing ikan kerapu ini dan hasilnya berbelas-belas ekor ikan kerapu hitam yang berjaya kami perolehi.

 

UNJAM DI HARI KEDUA

Selepas seharian memancing ikan kerapu, tekong bergerak menuju ke kawasan unjam sebelum hari menjadi gelap. Selepas selesai menikmati makan malam.

Kami menyambung semula aktiviti memancing. Kami amat bertuah pada malam kedua di unjam. Lambakan sotong jarum banyak terdapat di sini. Kami berpesta mencandat sotong di sini.

 

Kehadiran sotong-sotong yang banyak ini juga menarik pelbagai ikan pemangsa di kawasan unjam. Selain mencandat, kami juga berpesta dengan acara jigging.

Ikan alu-alu, ikan cupak, skipjack tuna dan amberjack banyak dinaikkan melalui teknik jigging. Bagi yang suka memancing dasar, banyak ikan karang yang berjaya diperoleh.

IKLAN

Sotong yang di candat oleh kumpulan kami serta merta dijadikan umpan hidup untuk pancingan dasar.

 

 

Banyak ikan kerapu karang/boron yang bersaiz lebih 7kg berjaya kami perolehi. Tekong Sai Yan juga tidak melepaskan peluang turut serta jigging bersama-sama kami ketika kumpulan kami sedang berpesta ikan.

 

Walaupun kami dalam keletihan dan tidak cukup tidur, semuanya hilang akibat seronok berpesta dengan ikan-ikan yang tidak henti-henti memakan umpan hingga ke subuh.

 

KENA BULI

Waktu pagi seterusnya, tekong bergerak semula ke lubuk ikan kerapu hitam. Kali ini tekong Sai Yan akan membawa ke lubuk yang didiami ikan kerapu yang lebih besar berbanding semalam.

Berbekalkan pengalaman semalam, kumpulan kami tampak lebih bersedia. Umpan diturunkan selepas tekong memberi isyarat.

 

Seperti semalam, umpan tongkol terus disambar oleh ikan. Tetapi kali ini tekanan yang kami hadapi lebih hebat. Mesin bangla kami tidak mampu membuat karauan.

Sekali sekala kami terpaksa mengarau secara manual. Mulanya kami ingatkan umpan kami telah sangkut di struktur berbatu di dasar laut, tetapi disangkal oleh tekong Sai Yan. Beliau mengatakan tekanan yang hebat berpunca daripada kerapu hitam yang besar.

 

Keadaan ini sering berlaku apabila umpan dimakan oleh kerapu bersaiz besar dan sentiasa disangka seperti tersangkut oleh pemancing.

Kali ini tekong Sai Yan dan awak-awak beliau terpaksa turun padang membantu kami menewaskan kerapu ini.

 

Tali utama ditarik menggunakan tangan secara perlahan-lahan. Tempoh beberapa minit diambil untuk memujuk kerapu yang memakan umpan keluar dari lubang yang menjadi tempat perlindungannya.

 

 

Selepas terasa ikan telah keluar dari kawasan lubang, kami segera membuat karauan dengan pantas supaya ikan tersebut tidak berpatah balik masuk semula ke dalam lubang.

Memang benar tekaan kami, ikan kerapu hitam yang bersaiz gergasi kelihatan di permukaan air. Saiz ikan yang lebih besar daripada semalam amat mengujakan kami.

 

Kemudian beberapa ekor lagi kerapu gergasi berjaya kami tawan di lubuk-lubuk berhampiran menggunakan teknik yang sama. Kami dibuli teruk pada kali ini.

Beberapa orang ahli kumpulan kami terpaksa berhenti memancing akibat tali utama putus sepanjang 200 meter.

 

Walaupun kami menggunakan bangla atau kekili elektrik yang mengarau secara automatik, kami bagaikan kehabisan tenaga akibat menarik tali utama secara manual untuk memujuk ikan keluar dari lubang sebelum membuat karauan menggunakan bangla kami.

 

Puluhan lubuk yang kami terokai bersama tekong Sai Yan tidak mengecewakan. Puluhan kilo kerapu hitam berjaya kami sumbat di dalam tong ikan.

 

PUAS HATI

Selepas 3 hari 2 malam kami melakukan aktiviti yang sama, kami bersiap sedia untuk pulang ke jeti. Keletihan amat terasa sekali. Tong ikan yang dibawa oleh kami semuanya telah penuh diisi dengan ikan bersaiz kasar.

 

Selepas mengemas segala peralatan yang kami bawa. Kami melelapkan mata akibat keletihan sepanjang aktiviti memancing.

Perjalanan pulang ke jeti akan mengambil masa 6 jam lagi. Selepas itu perjalanan mengharungi 1200km untuk pulang ke rumah akan kami tempuhi sekali lagi.

 

Walaupun keletihan, kelihatan semua ahli sangat berpuas hati dengan trip ini. Kesimpulannya, trip ekplorasi pertama kali di perairan Laut Andaman di Pulau Similan boleh dikategorikan sebagai trip first class dan berjaya dengan jayanya.

 

Pelbagai pengalaman pahit manis yang kami telah lalui bersama tekong Sai Yan. Apa yang pasti, sayalah orang yang paling gembira atas kejayaan trip ini kerana impian untuk memancing di Laut Andaman telah pun dipenuhi.