Tidak lama dahulu penulis berkesempatan berkunjung ke Sungai Perak di sekitar Gerik yang dikatakan antara lokasi yang masih banyak spesies daripada keluarga cyprinidae ini.
Bagi pemancing tempatan, memancing tengalan cukup berkesan ketika musim panas di mana air sungai sedikit turun berbanding paras biasa.
Ketika pertama kali tiba di sini, penulis melihat cukup ramai pemancing memenuhi lubuk di tepi sungai dengan berbekalkan joran masing-masing.
Di Gerik, memancing tengalan boleh dikatakan bermusim dan spesies ini turut menjadi antara spesies kegilaan pemancing di Sungai Perak.
KEMARAU TENGALAN
Sebelum ke sini, rakan penulis iaitu AJ telah mencuba ‘riki’ tengalan di sini selama 3 minggu berturut-turut.
Menurutnya, dalam tempoh itu, hanya sekali dia pulang hampa dengan tangan kosong. Setelah berkira-kira, kami berpendapat kemungkinan mendaratkan tengalan masih tinggi.
Ads
Namun hari pertama, kami pulang dengan tangan kosong. Keadaan arus sungai yang deras membawa sampah dan daun-daun kering agak mengecewakan.
Umpan yang dibaling hanya mendaratkan sampah apabila dikarau.
Menurut pemancing di sini, sampah yang dibawa arus menyebabkan umpan menjadi tersorok antara kemungkinan yang menyebabkan kami ‘kumpau’ sampai ke pagi.
Menurut Pak Andak, seorang pemancing tegar yang ditemui, arus deras disebabkan berkemungkinan daripada pelepasan air di empangan sekitar sini.
Ads
TENGALAN EXTRA TIME
Hari kedua, kami mencuba lubuk berlainan memandangkan arus sungai masih tidak berubah. Selepas Asar, kami meneruskan misi tengalan di Gerik ini.
Keadaan tidak banyak berubah berbanding semalam, dari petang hingga ke malam langsung membawa ke pagi masih hampa.
Sekitar jam 7 pagi, barulah kami dikejutkan dengan lenturan hujung joran. Bergegas AJ menyentap dan berjaya menaikkan tengalan pertama.
Ads
Selepas itu, barulah agak galak ikan menjamah umpan. Dah extra time barulah ikan di sini sudi menjamah umpan.
Pak Andak yang tiba pagi tersebut turut tidak ketinggalan menaikkan tengalan bersaiz sekitar 600 gram.
Menurut Pak Andak, saiz tengalan yang lebih besar sudah sukar diperolehi dengan mata pancing sekarang.
Beberapa pemancing lain yang melabuhkan pancing sekitar kami juga turut berjaya mendaratkan spesies tengalan. Namun saiznya tiada yang bersaiz lebar dua tapak tangan seperti yang diidamkan.
Yang Korang Patut Tau!
Istilah KATEH digunakan oleh pemancing di sini bagi merujuk kepada tengalan juvenil atau tengalan yang bersaiz kecil.
Istilah ‘kateh’ terhapus apabila saiz tengalan tersebut mencapai saiz ‘secekak’ iaitu mampu dicekak oleh tangan orang dewasa.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kuantan, Pahang terkenal dengan kepelbagaian padang pancingannya. Dari light jigging, micro jigging, pancingan pantai, pancingan muara dan tak ketinggalan pancingan sungai pergunungan.
Padang pancing yang terkenal seperti perairan Balok sehingga ke perairan Kempadang, muara-muara dari Cherating ke Cherok Paloh, sungai-sungai pergunungan seperti di
Sungai Lembing dan hulu Sungai Kuantan menyediakan variasi ikan sesuai dengan semua genre pancingan yang dapat anda bayangkan.
Walaupun begitu, dengan peredaran masa, pembangunan dan penerokaan tanah dan pesatnya perkembangan sukan pancingan rekreasi, padang-padang pancing ini semakin lemah dan tidak berdaya dalam menangani tekanan pemancing-pemancing.
Artikel ini bertujuan untuk membongkar satu penemuan peribadi penulis tentang betapa kroniknya penurunan bilangan dan kualiti sumber perikanan dari kaca mata seorang pemancing rekreasi.
IMBAS KEMBALI
Segalanya bermula apabila penulis menemui sebuah sungai yang mana penulis yakin amat jarang dikunjungi pemancing.
Semakan melalui Google Map pada ketika itu menunjukkan sungai itu mengalir melalui hutan belantara pedalaman Kuantan tanpa melalui sebarang penempatan manusia.
Aksesnya agak senang kerana terdapat jalan raya hingga ke hulunya dan muaranya berakhir di jalan utama Kuantan-Sungai Lembing.
Trip tinjauan pertama penulis amat memberangsangkan. Boleh dikatakan sungai tersebut bertanggungjawab membekalkan stok sebarau yang sentiasa diburu kaki pancing di sekitar Hulu Kuantan.
Ini kerana, sungai inilah satu-satunya sungai yang tidak dapat ditembusi alirannya kecuali di hulu dan muaranya.
Bermula dari situ, penulis telah merangka satu trip menggunakan bot getah, untuk berhanyut dari hulu hingga ke muara untuk menduga penghuni sungai tersebut.
Dua kereta diperlukan, satu diletakan di hilir, dan satu lagi ke hulu membawa segala peralatan dan bekalan.
Kereta pertama tadi akan digunakan untuk mengambil kereta kedua setelah berhanyut sepanjang sungai di penghujung trip.
Berbekalkan GPS, sebuah bot getah serta hati nekad mengharungi jeram deras dan binatang liar, penulis berjaya menghilir sungai tersebut dan menaikkan beberapa sebarau dalam berat kira-kira 1-3 kg.
Pendekatan hit & run iaitu tidak menduga lama satu-satu lubuk terpaksa penulis amalkan kerana takut tidak cukup masa untuk sampai ke muara sebelum hari gelap.
Walaupun trip tersebut amat berjaya tanpa sebarang masalah, penulis tekad tidak akan mengulanginya kerana penat jerih dan risiko yang dihadapi.
JEJAK SPOT LAMA
Setelah lama ditinggalkan terdetik hati penulis untuk menduga kembali sungai tersebut setelah menaikkan badong seberat 3kg di bahagian hulunya sebelum ini.
Bermacam tanda tanya bermain di fikiran tentang apa perubahan sungai tersebut setelah lama dilupakan.
Penulis yakin keadaannya masih sama seperti dulu yakni tiada tanda-tanda pencerobohan pembalakan mahupun aktiviti perladangan di kawasan tersebut.
Bersama seorang caster tegar dari Pulau Labuan, Faderick atau nama pangilannya Ikau telah nekad untuk menghilir sungai tersebut sekali lagi.
Sebuah bot fiber glass 13 kaki milik saudara Suhardi digunakan kali ini berbanding dulu menggunakan bot getah. Trip bermula seawal jam 7.00 pagi.
Ternyata andaian awal penulis meleset sama sekali. Dalam perjalanan ke hulu di mana tempat bermulanya berhanyut, sudah kelihatan kesan gelojoh tangan manusia mengikis keindahan hutan.
Kawasan yang dulunya hutan tebal kini gondol digantikan pokok kelapa sawit. Hancur luruh hati melihat keadaan tersebut.
Musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur baru-baru ini telah membawa pasir dan lumpur dari bukit-bukit gondol tersebut terus ke dalam sungai.
Sungai yang dulu dasarnya berbatu kelikir kini dipenuhi pasir dan menjadi cetek. Namun trip tetap diteruskan seperti yang dirancang.
STRIKE
Strike pertama diterima penulis apabila gewang Rapala Shallow Shadrap berwarna goldfish yang dilontar ke satu deburan air yang disyaki sebarau mengejar anak ikan terus bersambut.
Larian pertama yang padu mengatakan ikan di hujung tali bukanlah juvenil.
Penulis hanya bertahan dengan tali mencicit keluar dari kekili. Belum pun sempat mengepam, tali sudah kendur dan ikan terlepas pergi.
Apa yang tinggal hanyalah sisik ikan yang misteri saiznya melekat di mata tiga gewang.
Permulaan yang agak thrilling seperti menjanjikan bakal banyak babak menarik di sepanjang perjalanan nanti.
Berbekalkan semangat baru, perjalanan diteruskan. Sekali sekala melalui jeram cetek dan deras.
Kami terpaksa turun dari bot, berjalan di tebing sambil menghanyutkan bot mengikut arus.
Dengan begini, risiko bot bocor akibat terlanggar batu dapat dikurangkan kerana kelajuannya hanyut boleh dikawal dan tiada berat tambahan yang boleh menyebabkan dasar bot bersentuhan dasar sungai.
Apabila berada di kawasan air dalam dan tenang, aktiviti casting diteruskan. Setiap lubuk diduga, manalah tahu berpenghuni.
Penulis yang dari tadi mengemudi bot agar Ikau dapat casting di kawasan deras mencuri peluang melontar sesudu Abu Garcia Island II 12 gram ke satu muara anak sungai.
Lontaran terus bersambut dengan sebarau juvenil. Bot ditambat seketika kerana percaya muara tersebut mungkin dihuni sebarau bersaiz mega.
Lontaran kedua penulis bersambut lagi dan sebarau yang naik pun hanya berkelas juvenil. Ikan segera dilepaskan dan perjalanan diteruskan.
KAWASAN GAJAH
Di suatu jeram panjang, penulis terdengar buluh-buluh pecah dan tumbang tidak jauh di hilir. Terdetik di hati bahawa itu adalah angkara sang `fumakila’ sedang mencari makan.
Kami berdua yang dari tadi sedaya upaya tidak membuat bising dalam bot dan berhanyut sesenyap mungkin, berpandangan satu sama lain.
Mungkin pendekatan senyap kami sangat efektif sehingga kawanan gajah tersebut tidak menyedari kehadiran kami.
Melihat kawasan sekeliling, memang tempat itu merupakan ‘highway’ gajah melintas sungai!
Akibat gigil yang amat sangat, satu gambar pun tidak diambil. Secara keseluruhannya, kami menaikkan 9 ekor sebarau pada hari itu dengan yang paling besar anggaran berat kira-kira 1.5 kilogram.
Satu perbezaan yang amat ketara berbanding kunjungan pertama penulis dahulu.
Kegiatan penerokaan hutan dan pembalakan telah meninggalkan kesan yang tidak mungkin dapat dibaiki.
Mujur setakat ini, kerosakan tersebut belum menyebabkan kepupusan penghuni sungai namun sekiranya tiada tindakan pencegahan awal daripada pihak yang bertanggungjawab nescaya tarikan sebarau mega di daerah Kuantan hanya menjadi kenangan.
Kemerosotan stok tangkapan Kesimpulannya, walaupun trip kami kali ini memuaskan dengan tarikan sebarau bersaiz sederhana, namun bagi penulis, ternyata sungai tersebut kian susut bilangan ikan serta kualitinya.
Penulis hanya dapat membayangkan bagaimana kualitinya dalam masa dua tahun akan datang sekiranya keadaan sekarang berterusan.
Semakin susahlah caster-caster Kuantan merasai tarikan sebarau yang begitu didambakan. Apa pun,teruskan catch and release kerana setidak-tidaknya kita sebagai pemancing
rekreasi sudah memainkan peranan kita dalam memelihara spesies igauan kaki-kaki casting ini.
Kuala Trong sememangnya telah dikenali di seluruh Malaysia sebagai padang pancing terutamanya bagi kaki casting yang meminati tarikan siakap merah atau lebih dikenali sebagai mangrove jack (MJ).
Selain dari MJ, siakap putih juga mendiami kawasan ini dan tidak kurang juga dengan spesis alu-alu dan dan beberapa lagi spesies ikan yang lain termasuklah buaya air masin.
Apabila ada rakan mengajak ke Kuala Trong untuk mengilat siakap liar, tanpa berfikir panjang saya terus menyatakan persetujuan.
Biarpun nama Kuala Trong sebagai padang pancing tidak lagi segah dahulu, namun sistem sungai yang melingkari hutan kayu bakaunya masih lagi berpenghuni.
Siakap, siakap merah atau setidak-tidaknya populasi ikan bulan masih lagi berkembang biak dengan sempurna.
Sejurus tiba dan sebelum mencari tempat penginapan, kami berdua sempat bertemu dengan boatman atau tekong yang akan membawa kami mengilat keesokan harinya.
Berita daripada tekong berkenaan aktiviti memancing selama dua hari termasuklah pada hari itu amat positif. Sedikit sebanyak ia mendorong semangat kami.
Banyak spesimen siakap atau kakap putih skala berat sehingga 9 kg berjaya didaratkan. Beliau amat positif rezeki dan cuaca akan berpihak kepada kami.
Walaupun sudah terbiasa mendengar sembang manis trip yang sudah lepas, kami tetap menaruh harapan juga. Malah siap bersembang bagaimana untuk berhadapan dengan siakap bersaiz mega seperti itu.
Saya sendiri peribadi belum pernah mendaratkan siakap bersaiz melebihi 9 kg. Paling besar pernah didaratkan pun hanya 8 kg lebih.
Itupun siakap kolam… bukannya siakap air liar. Kalau siakap kolam mega pun susah nak didaratkan, apatah lagi siakap liar.
Sebelum melelapkan mata pada malam tersebut, bumi Kuala Trong dibasahi hujan setelah hampir seminggu panas terik.
Namun saya masih berharap cuma hujan di kawasan sekitar hotel itu saja, lokasi casting kami keesokan hari nanti tak ditimpa hujan.
Ketibaan kami di jeti Kuala Trong keesokan paginya disambut oleh hujan lebat juga. Hampir satu jam juga kami pasrah menunggu sehingga hujan reda.
Kalau hujan turut ketika sedang memancing tu lain sikit ceritanya. Setelah hujan reda, tekong segera membawa kami ke sebuah muka kuala sungai kecil yang sebelum ini merupakan spot utama kami memburu siakap.
Sampai di spot utama, dalam dengar tak dengar tekong mengeluh. Air keruh, katanya. Berikutan airnya yang agak keruh dan sementara menanti air yang keruh itu ditolak ke
hulu oleh air pasang, kami ke spot lain dahulu untuk mencuba nasib. Namun tiada sebarang hasil diperolehi. Suasana lubuk pun sunyi sepi seperti tiada kehidupan.
Sejam kemudian, kami kembali semula ke spot pertama. Namun kali ini kami agak kelewatan. Spot tersebut terlebih dahulu dilabuh oleh sampan fiber dan pemancing lain.
Tambah membakar dada, kami tiba memang tepat pada masanya. Tepat pada masanya untuk menyaksikan salah seorang pemancing di sampan tersebut bertarung dengan siakap.
Saya sendiri sempat merakam aksi tersebut dan menghulurkan sedikit bantuan bagi memudahkan mereka mendaratkan hasil tangkapan, sebagaimana sisipan video di bawah ini.
Mungkin dek bantuan ikhlas yang kami berikan, setelah berlabuh tidak jauh dari spot utama itu, saya berjaya pula mendaratkan seekor siakap merah saiz hidangan. Benarlah orang kata, buat baik dibalas baik.
Setelah berteduh beberapa ketika tatkala matahari terpacak di atas kepala, kami bersama dua buah sampan fiber lagi menyambung kembali aktiviti mengilat. Kembali ke spot yang sama, gewang rattlin yang saya gunakan disambar sesuatu.
Walaupun saiznya sekitar satu kilogram saja ia cukup bermakna kepada saya. Apatah lagi itulah siakap tunggal yang kami peroleh dan orang kedua yang berjaya mendaratkan siakap pada trip hari tersebut.
Walaupun hasil trip agak kurang memberangsangkan, ditambah pula dengan faktor cuaca yang kurang cantik, sedikit sebanyak ia membuktikan Kuala Trong masih lagi mampu dan berupaya menjadi padang pancing untuk kaki-kaki mengilat memburu spesies raja muara.
Boleh dikatakan setiap kali air besar atau sebulan sekali saya akan turun memancing spesies gelama ini. Berlainan dengan gelama biasa atau cerua yang boleh dipancing hampir di serata kawasan, gelama dada kuning hanya tertumpu di lubuk dalam terutama laluan arus keluar masuk.
Air besar menjadi pilihan kerana mudah mendapat anak udang di sungai ketika air surut. Udang kecil sesuai dengan mata kail yang digunakan.
Sukar bagi kita untuk menjinakkan ia, jika tidak kena pada laluan keluar masuk ikan ini dari laut ke sungai dan kawasan laluan yang saya memancing ia adalah kawasan air dalam melebihi 40 kaki, terutama kawasan laluan bot ke Pelabuhan Selatan.
Memang ramai kaki pancing tidak gemar memancing gelama kerana kebanyakan yang diperolehi adalah dari jenis yang kecil dan kurang enak isinya.
Ia juga kebiasaan dijadikan umpan hidup terutama saiz sebesar dua hingga tiga jari orang dewasa untuk memancing spesies yang lebih besar.
Umpan juga akan cepat habis dibelasah oleh spesies yang menyerang secara berkumpulan ini dan dikatakan mudah membiak.
Agak malang kadar pembiakan tidak dapat menandingi jumlah kegiatan pukat, jaring, tagang atau dengan kata lain hasil penangkapan tidak diimbangi dengan penjagaan dan pemulihan stok ikan.
Peralatan dan Teknik
Memancing gelama dada kuning bukan mudah jika tidak mengetahui laluan utamanya. Gelama tidak memilih umpan selain udang, perumpun, sotong, isi ikan malah anak ketam, siput, ala-ala, kupang dan dan sebagainya pernah dijumpai di dalam perutnya.
Ia adalah spesies yang makan umpan pemancing tidak kira waktu. Namun bagi saya waktu aktif ikan gelama ini ialah ketika bunga pasang sehingga pertengahan pasang.
Jika kederasan air lemah, adalah maka lebih sesuai menggunakan pemberat kecil sekadar untuk menjatuhkan umpan ke dasar supaya mudah dirasa kehadiran si gelama yang sedang mencuri umpan anda.
Kalau ingin memancing gelama bersaiz kecil gunakan mata kail udang bersaiz no.8/9/10 (kecil, halus dan tajam) supaya ia cepat melekat pada mulutnya dan paling baik umpan tidak terlalu besar kerana gemar mengutis umpan pemancing yang leka.
Pilihan kelas tangsi utama dan kekili untuk memancing gelama dada kuning di bawah 20lb. Perambut 20lb hingga 40lb amat memadai kerana ia mampu bertahan walaupun digigit sang gelama.
Tidak ‘sporting’ kalau menggunakan tangsi yang kasar sebab perlawanan akan menjadi berat sebelah, jadi kita tidak akan enjoy dan merasai nikmat memancing dengan erti kata kepuasan apabila menarik ikan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...