Seawal jam 9 pagi kami memasuki pintu hutan selepas melalui jalan laluan balak yang sedikit basah dan terdapat becak di beberapa kawasan. Beberapa kali motosikal kami menggelongsor keluar dari laluan kerana jalan yang agak licin. Mujurlah tiada sebarang kejadian yang tidak elok berlaku dan selamat tiba di lokasi yang dituju.

 

Di hilir sungai kawasan balak yang baru di tebang kelihatan kawasan sungai yang cetek yang airnya mengalir sederhana deras. Bila sahaja nampak air, kami semua memang tidak sabar melontar umpan soft plastic (SP) keluaran Zman ke bahagian reba yang berselirat di dalam air. Addy menerima sambaran pertama selepas tiga kali lontaran SP miliknya disambut oleh seekor haruan palas sekitar 300gram.

 

Kami kemudiannya terus menyusuri anak sungai sambil melontar umpan ke kawasan yang diyakini terdapat spesies yang dicari. Landskap yang cantik sepanjang sungai membuatkan saya lebih teruja dan menikmati keindahan alam secukupnya.

 

Adakala kami terpaksa merentasi titian balak yang kecil untuk menyeberang bagi mendapatkan lubuk-lubuk terbaik. Penggunaan gewang mata kail yang tersimpan atau mata kail tunggal lebih sesuai digunakan kerana di sini kerana akar kayu dan reba yang berselirat mampu membuatkan kami berputih mata.

 

Walaupun umpan katak, adalah lebih laju untuk mendapatkan spesies ini, bagi saya ia kurang thrill berbanding umpan tiruan. Pada saya cukuplah dulu-dulu saya dah guna katak hidup semasa memancing di sawah padi, sekarang adalah masa terbaik menggunakan umpan tiruan.

IKLAN

 

Sungai yang lebarnya lebih kurang 4 meter dan adakala surut dan dalam di beberapa kawasan membuatkan kami tertumpu di bahagian yang dalam sahaja kerana kehadiran kami mudah dikesan bagi kawasan yang cetek.

 

Setelah 1 jam berjalan kami terserempak dengan binaan pondok di atas pokok yang di tinggalkan oleh orang asli atau petugas-petugas hutan di tepi sungai. Pondok yang dibina tinggi dari tanah lebih selamat berbanding di bawah kerana kehadiran binatang berbisa ataupun binatang buas mampu mengundang bahaya.

 

 

IKLAN

Di satu selekoh saya mengamati terdapatnya buih-buih kecil yang banyak di permukaan air. selepas diperhatikan, kelihatan anak-anak bujuk yang masih kecil bermain di atas air.

Saya menghulurkan umpan yang sama seperti digunakan oleh rakan lain, lalu melontarkannya ke arah buih-buih halus dan kawanan anak bujuk tadi. Jarak saya dengan anak-anak bujuk yang tidak jauh menyebabkan saya hanya mampu mengenjut umpan SP Zman tersebut seperti bermain jig.

 

Tanpa menunggu lama, satu sedutan dan henjutan kasar dirasakan di hujung rod namun ‘hook up’ yang dibuat tidak kemas dan menyebabkan ibu bujuk melarikan diri. Puas saya melontarkan SP semula ke arahnya, namun ia tetap culas dan terpedaya. Tidak mengapalah, bukan rezeki jelas saya di dalam hati.

 

IKLAN

 

Awang dan Steve bergerak secara berdua di belakang saya memperlihatkan melalui kamera dan telefon bimbit tangkapan beberapa ekor spesies bujuk yang ada di lepaskan semula ke habitatnya bagi menjamin populasi yang semakin berkurangan.

 

Ujar Awang, bujuk yang paling besar pernah didaratkan di kawasan ini sekitar 1.5 kilogram dan saiz-saiz sekitar 500 gram adalah saiz yang mendominasi kawasan ini.

Selain bujuk, haruan palas dan haruan, ujar Steve pula, terdapat juga spesies lain seperti sebarau dan kelisa. Namun spesies yang di kategorikan sebagai spesies minoriti ini terpaksa survival hidup bersaing dengan spesies snakehead yang lebih banyak mendiami sepanjang sungai.

 

Kami meneruskan pancingan hingga ke lewat petang, sambil ada beberapa lokasi, membolehkan penggunaan gewang dilakukan dengan baik.

Kami menamatkan sesi pancingan sebelum matahari terbenam agar perjalanan keluar lebih mudah dan bimbang terserempak dengan binatang buas yang mungkin mengendap mangsanya.

Di lain masa, kami sepakat akan kembali mencari spesies yang sama tetapi menyasarkan spesies yang lebih besar.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI