Selesai urusan tempahan bot, perkara kedua ialah tempahan tiket kapal terbang. Antara Air Asia, FireFly dan MAS saya terpaksa membuat penilaian untuk mendapatkan kos paling minima.

Memandangkan ada juga yang berhajat membawa pulang hasil tangkapan nanti, saya memilih khidmat pesawat Air Asia untuk pergi dan MAS apabila balik nanti bagi memudahkan urusan membawa ’barang basah’ nanti.

 

 

Ketika sampai di jeti pada hari yang dirancang, hanya bot kami sahaja yang belum berlepas kerana kebanyakan bot bergerak seawal pagi.

Saya bersama 9 lagi pemancing terdiri dari 7 orang geng Lembah Klang dan 3 orang wakil dari Johor dalam trip ini.

 

Kami tidak tergesa-gesa bertolak ke destinasi kerana harus mendapatkan bekalan umpan dan makan minum di atas bot nanti.

Pasar bersebelahan dengan jeti memudahkan urusan dan tidak perlu berjalan jauh. Ikan selayang atau basung menurut panggilan tempatan amat segar dijual pada harga RM3

sekilogram, manakala kembung hijau hanya RM6 sekilogram menjadikan kami tidak tawar menawar lagi untuk membelinya.

 

Bekalan sotong dan ikan tongkol sebagai umpan tambahan memadai untuk trip 3 hari 2 malam ini.

Selesai urusan mendapatkan bekalan umpan dan makanan baru kami memberi isyarat kepada tekong untuk berlepas dari jeti.

Selama 5 jam masa yang bakal ditempuh menuju ke lubuk pertama memberi ruang untuk kami merehatkan badan dan ‘qadha’ waktu tidur.

 

 

Entah apa nama lubuk saya sudah lupa apabila disebut tekong ketika melabuhkan sauh buat kali pertama.

Air sedalam 80 meter berpandukan kepada bacaan pada kekili elektrik. Sesi pemanas badan menurut kata tekong.

Hanya Hidayyad dan Muslim sahaja menggunakan kekili elektrik selebihnya kekili manual dalam ekspedisi kali ini.

 

Saya cuma membawa satu set kekili dipadankan dengan joran buatan sendiri. Banyak masa saya gunakan untuk memberi tunjuk ajar kepada muka-muka baru yang berjinak memancing di laut dalam.

Bermula dari setting drag kekili, panduan perambut poternoster, ikatan mata kail hinggalah teknik memasang umpan.

Begitu juga dengan pengamatan dan teknik sentapan untuk mereka yang menggunakan tangsi sebagai tali utama berbanding menggunakan tali sulam.

 

Kebanyakan kaki pancing yang menyertai saya kali ini menggunakan tali tangsi sebagai tali utama terpaksa memasang ladung yang lebih berat untuk menampung tolakan arus.

Getuan joran yang menggunakan tangsi kelihatan lemah kerana tangsi menganjal dan memerlukan masa untuk hantar isyarat dari ragutan ikan ke hujung joran.

 

Setelah diberi tunjuk ajar cara untuk membuat sentapan berpandukan gegaran pada joran, barulah ikan mengena ’hook up’ pada mata kail.

Kebetulan geng pancing dari sekitar Selangor ini menggunakan joran buatan tangan saya.

Ads

 

 

Selesai meratah stim ikan hasil pancing pada sebelah petang, tekong memberi isyarat untuk berpindah ke lokasi seterusnya pada sebelah malam.

Kedatangan kami ke sini pula memang berhajat untuk memancing ikan ruby snapper kerana ramai di kalangan ahli trip belum pernah menaikkan spesies ini.

Sebaik sahaja tiba ke destinasi kedua, hujan mencurah sehingga lewat malam.

 

Ini memaksa aktiviti memancing dihentikan seketika. Hujan reda sedikit menjelang jam 2 pagi namun angin belum berhenti sepenuhnya.

Hanya Wak Jo, Hidayyad dan Amin yang sanggup menghadapi deruan angin malam sambil menunggu joran disentap ikan.

Ketabahan mereka membuahkan hasil walaupun tidak untuk ikan ruby snapper, tapi tenggiri dan cermin membuatkan usaha mereka berbaloi.

 

Seekor ikan pari tangkapan Hidayyad memperlihatkan kekili elektrik terpaksa bekerja keras untuk menarik monster tersebut dari dasar.

Dalam pada itu seorang daripada ahli trip yang deman sejak tiba dari lapangan terbang hanya mampu terbaring.

 

Kesian, nak buat macam mana, bekalan paracetamol tidak banyak membantu meredakan demam beliau.

Lebih menyeksakan apabila persediaan peralatan yang dibeli untuk trip ini langsung tidak disentuh sepanjang trip.

 

 

Hari kedua bot kemudian menuju ke kawasan yang lebih dalam lagi. Kali ini kedalaman melebihi 170 meter untuk mencari ikan idaman ramai.

Bila dah terlalu dalam, kesian pula yang menggunakan kekili manual dengan tali tangsi. Dua kekili elektrik tersenyum sahaja menjunam ke air dalam mencari sasaran.

Turun dengan membawa umpan basung dan naik dengan membawa kebanyakan ikan kerisi bali sedang tanpa kelibat ruby snapper sama sekali.

Ads

 

Jigging berseorangan ketika itu masih lagi mencari-cari ke mana perginya ikan pemangsa. Tangan terasa sengal kerana tiada sentapan, gantung joran lagi.

Pemancing yang guna manual nak periksa umpan pun terpaksa menunggu bila getuan terhenti.

Set pancing digunakan Faris dan Jupri seperti tidak terasa getuan ikan bawah sekilo.

 

 

Umpan silih berganti walaupun air dalam demi memburu yang di hajati. Basung, isi tongkol dan sotong semuanya digunakan untuk menarik minat ikan pujaan meragut umpan.

Kebetulan Jupri yang menggunakan sotong cumit terlihat jorannya Gator HandCrafted 50Ib-130Ib melentur seketika, kemudian tiada gerakan lagi pada joran beliau.

Masa yang sama 3 lagi joran melentur serentak dengan joran Jupri. Masing-masing mula mengarau kekili manual dan seperti yang dijangkakan terasa tarikan besar berlaku.

 

Di pertengahan air hanya tinggal joran Jupri yang mengena, joran yang lain tiba- tiba sahaja kosong.

Tumpuan kemudiannya terarah kepada ikan aji-aji muncul di permukaan sebagai ikan bersisik terbesar hari itu.

Saat aji-aji muncul di permukaan, ia membangkitkan semangat buat pemancing lain. Saya terus mencapai jig dan mula mengayakan pelbagai rentak.

 

Spesies lain yang sudi menyambar gewang dan perambut sekali gus lenyap membuatkan sekali lagi jigging di berhentikan.

Tidak lama selepas itu saya terpancing seekor jerung kecil dalam 2 kaki panjang, badan menipis dan bermata hijau terang. Ia berada pada kedalaman lebih dari 180 meter.

 

Ketika usaha untuk menanggalkan mata kail, hujung ekornya menusuk pada lengan saya yang ketika itu memegang bahagian kepala jerung tersebut.

Terasa sakit diguris sesuatu tapi belum perasan apa-apa ketika melepaskan jerung berkenaan kembali ke laut.

Ads

 

Tiba-tiba saja geng pancing memberitahu kenapa lantai banyak darah! Takkan jerung berkenaan mengeluarkan darah sebegitu.

Bila diperiksa, baru perasan lengan baju saya di penuhi darah dan menitis ke lantai bot tanpa henti.

Rupanya jerung tersebut mempunyai duri tajam pada hujung ekornya, ia menikam lengan sambil merobek sedikit daging bahagian dalam sebab itu darah banyak keluar dari lengan saya.

 

Sayang tidak terlintas untuk merakam gambar jerung tersebut untuk di kongsi dengan pembaca semua.

Selepas itu barulah terasa lengan berdenyut-denyut dan ’first aid kits’ digunakan untuk memberhentikan aliran darah.

 

 

Tragedi ditikam jerung berekor tajam membuatkan aktiviti memancing saya dihentikan dan membiarkan rakan-rakan di atas bot meneruskan perjuangan mereka.

Kemudian tekong beralih ke lokasi lebih cetek memandangkan banyak peralatan yang tidak setanding dengan kedalaman air.

Bagi peluang kekili manual yang sederhana pula beraksi setelah hanya melihat big mama sahaja yang mampu berlabuh di air dalam.

 

Sekali lagi hujan turun mencurah supaya kami jadi penonton pula. Kali ini angin turut sepi sebaik sahaja hujan berhenti.

Laut tenang dan aktiviti memancing disambung kembali. Hanya saya dan Din yang demamnya belum reda sahaja yang berehat.

Walaupun tiada lagi kelibat ikan besar dari aji-aji Jupri, suasana memancing tetap ceria dalam keadaan laut cukup tenang.

 

 

Sesekali joran melentur ketika ahli trip silih sibuk melantak ikan stim yang dilumur dengan rempah kari dan dibungkus dalam aluminium foil untuk pusingan kedua.

Hasil bukanlah untuk dibawa balik ke semenanjung sepenuhnya, yang sedap dan fresh ‘elok bebenor’ dijuadahkan ketika dalam bot.

 

Dengan rasa yang masih melekat, isi ikan yang melekit, bau aroma menusuk ke lubang hidung menjadikan ramai memilih untuk mencubit isi ikan berbanding duduk menghadap joran.

Inilah yang terbaik dalam satu-satu trip, terus menikmati keenakan ikan tanpa diperam dalam ais. Puas melantak pelbagai jenis ikan perairan Sabah!

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI