Trip memancing bersama Tekong Pak Ali pada hari itu sama sebagaimana trip sebelumnya. Boleh dikatakan semua ahli menyasarkan buruan utama teknik jigging perlahan, ikan
demersal Gred A seperti kerapu, merah atau jenahak. Dan mudah-mudah peroleh ikan bonus, ibu gelama atau juga dikenali sebagai temerih.
Mungkin berkongsi teknik persembahan gaya permainan yang hampir dengan teknik light jigging dalam pemburuan ebek kapak, iaitu menyeret perlahan dan mengunjun jig di
permukaan dasar, jig-jig seberat hingga 200 gm yang kami gunakan dalam sesi jigging perlahan menjadi tarikan kepada ebek-ebek kapak ini.
Ads
Secara kebetulan saya menjadi ahli trip pertama berpeluang merasai keseronokan melayan kekentalan daya juang spesies yang turut dikaitkan dengan bentuk berlian ini.
Dengan daya pecutan dan kekal memberikan tekanan melebihi paras setengah kedalaman air, saya mula yakin ia bukanlah spesies buruan utama iaitu jenahak atau kerapu namun
masih sangsi sebenar sama ada gerepoh, gerong belang, sagai, haruan tasik atau spesies tak bersisik lainnya.
Ads
Yang pasti tidak terlintas sama sekali ia adalah ebek kapak sehinggalah melihat kelibatnya di permukaan air.
Berikutan bentuk mulutnya yang kecil dan mata kail tertancap pada badan membuatkan tekanan yang diberikan lebih teruja.
Sangkaan kami ia hanyalah ikan sesat atau samseng yang bergerak secara secara solo turut meleset apabila seorang demi seorang ahli trip termasuklah Pak Ali sendiri berjaya mendaratkan spesies itu walaupun berlainan lokasi lubuk.
Ads
Sekaligus menjadi tangkapan bonus kepada kami kerana bukan semua pemancing dihadiahkan dengan kejutan amokan ebek kapak sedemikian rupa.
Saya, Ismail, Jerome, Helmi dari Mukah Anglers Group (MAG) dan Mann Levi’s dari Matu Daro Fishing (MDF) telah berkesempatan jigging di perairan Mukah. Ia disusuli trip kedua tiga hari kemudian meskipun keadaan cuaca tidak menentu.
Kami memulakan perjalanan ke spot pertama yang memakan masa selama 30 minit dari Kuala Sungai Penipah. Setelah bot mengambil posisi yang betul jig dihulurkan serentak sambil unjunan dibuat beberapa kali.
Strike pertama daripada tekong membuatkan kami rasa teruja. Ikan pisang-pisang berskala kecil berjaya dinaikkan menggunakan jig 40 gram. Tidak lama kemudian, tekong sekali lagi mendapat strike dan hampir 5 minit bertarung, seekor jemuduk berskala 1 kg berjaya dinaikkan.
Jerome yang pertama kali turun jigging seterusnya mendapat strike, seekor kerapu saiz 500 gram menjadi koleksi pertama beliau. Sesi sakat menyakat member menjadi penghibur hati kami yang belum mendapat strike.
Yes, strike pertama menggunakan jig Storm Koika Silver 20 gram membuatkan saya teruja. Seekor talang berjaya saya daratkan, hati ada senyum usik rakan-rakan yang lain.
Disebabkan spot tersebut agak hambar tanpa sambaran daripada penghuni dasar, perjalanan ke spot seterusnya mengambil masa 10 minit. Kali ini, Ismail pula mendapat strike. Seekor anak sagai berjaya beliau daratkan.
Memang rezeki Ismail apabila tidak lama kemudian, sekali lagi lagi dia mendapat strike. Kali ini agak kasar sentapan daripada penunggu dasar, akhirnya seekor gerepoh berskala 1 kg berjaya dinaikkan menggunakan jig 38 gram.
Kami berpindah lagi ke spot lain. Kali ini kami terserempak dengan kawanan burung yang banyak tekong terus mematikan enjin. Mann Levi’s orang pertama yang menurunkan jig terus mendapat sambaran. Akhirnya mangsa seekor jemuduk berjaya dinaikkan. Apa yang menarik spot ini kami telah mendapat strike bertubi-tubi sehingga tidak sempat nak bergambar dibuatnya.
Dalam keseronokan kami berjigging, tekong akhirnya memberikan isyarat untuk kami segera menggulung naik tali tanda akan pulang ke jeti apabila keadaan laut semakin bergelora dan tidak mengizinkan untuk kami bertahan lebih lama.
Tiga hari kemudiannya, saya bersama Helmi, Yusry dan Ismail repeat semula. Saya berharap yang cuaca pada hari tersebut baik, tidak seperti trip sebelumnya dan kami masih lagi menggunakan khidmat tekong Suhaimi.
Hujan renyai-renyai membuatkan saya risau dengan keadaan cuaca. Tiba di spot pertama tekong terus membetulkan posisi bot supaya berada pada posisi yang sesuai. Nampaknya tekong memulakan aksi pemanas badan dengan menaikkan seekor anak ikan pisang-pisang yang terpedaya dengan unjunan jig handmade tekong Suhaimi sendiri.
Tidak lama selepas itu saya pula strike anak ikan sagai. Giliran Helmi pula menyusul. Rupa-rupanya pecutan ikan sagai berskala 1 kg. Boleh tahan juga aksi pecutannya.
Kebanyakan strike yang kami perolehi selepas itu ialah anak ikan kerapu yang semuanya kami lepaskan semula disebabkan saiz yang masih kecil. Di spot kedua yang jaraknya 15 minit perjalanan dari spot pertama, joran PE 0.8-1.5 milik saya disentap rakus penunggu dasar secara tiba-tiba.
Sangkaan saya ikan sagai, tetapi yang berjaya dinaikkan adalah jenahak tanda. Ia kali pertama saya memperoleh spesies ini menggunakan teknik jigging. Selepas itu, tekong Suhaimi, Helmi dan Ismail pula secara bergilir-gilir mendapat strike ikan jemuduk dan sagai semuanya berskala 1 kg ke atas.
Sedar tak sedar jam menunjukkan angka 2.00 petang. Langit mendung kelabu membuatkan kami tidak sedar masa berlalu pantas. Tekong memberitahu dia akan membawa kami ke point kerapu strawberi. Ia membuatkan kami begitu teruja kerana spesies kerapu ini sememangnya menjadi idaman setiap pemancing.
Tiba di lokasi, saya, Helmi dan Ismail masing-masing berjaya menaikkan beberapa ekor kerapu strawberi di spot tersebut dalam anggaran saiz 500gram- 1.5kilogram. Alhamdulilah, dapat juga lesen walau saiz kecil. Di point yang sama, kami turut menaikkan ikan sagai, gerepoh, jemuduk, kerapu dan todak.
Nun di hujung kaki langit, awan hitam berarak kuat dan deruan kuat angin juga kian terasa. Enggan mengulangi skrip yang sama tiga hari lalu, tekong terus sahaja memecut pulang dan selamat sampai pulang ke pangkalan sebelum hujan lebat.
Jelas trip tersebut kami sangat berpuas hati dengan khidmat tekong Suhaimi serta hasil tangkapan yang kami perolehi. Ini mungkin trip terakhir kami untuk tahun ini disebabkan keadaan cuaca di perairan Mukah tidak menentu sekaligus petanda musim tengkujuh bakal menjelang tiba.
Setiap masakan bersantan tak lengkap tanpa ikan gelama masin. Boleh dikatakan bekalan ikan gelama masin tidak pernah putus di dapur rumah. Selera pelik saya ini turut dikongsi oleh ikon dunia pancing tanah air iaitu Pokmud. Justeru itu apabila bekalan gelama masin mula berkurangan, kami berdua akan turun memancing gelama di Selat Pelabuhan Klang dijadikan gelama masam.
Meskipun matlamat utama untuk memancing dan mengumpul sebanyak mungkin gelama, sambil-sambil memancing gelama itu kami turut memancing ikan lain. Lagipun bukan setiap masa sesuai untuk memancing gelama. Ketika arus tengah laju, kami meronda kawasan kapal parkir untuk main apollo.
Cencaru dan selar juga merupakan menu kegemaran kami juga. Kalau dapat tamban atau pelata, ia akan dijadikan umpan hidup mencari ikan bonus ketika memancing gelama. Pernah juga trip asal mencari jenahak bertukar jadi trip apollo cencaru secara kebetulan bertemu dengan kumpulan cencaru sehingga pecah tong dibuatnya.
Apabila air sesuai barulah kami berlabuh di lubuk berpotensi. Sekiranya situasi di lubuk berkenaan kurang memberangsangkan, kami akan berpindah ke lubuk lain. Soal mencari lubuk gelama bukanlah sesuatu yang menyulitkan bagi seorang tekong berpengalaman seperti Pokmud. Lubuk jenahak dan merah pun dia boleh cari sambil pejam mata, inikan pula lubuk gelama.
Teknik memancing gelama yang kami amalkan cukup ringkas. Memadai menggunakan perambut apollo saiz 10 atau 12 dan umpan umpun-umpun sahaja. Jika kena pada masanya, keenam-enam mata apollo akan penuh dengan gelama. Pernah juga tidak sampai dua jam kami memancing, tong cat saiz besar dah pun penuh.
Namun lubuk pilihan hari itu agak perlahan sedikit rentaknya. Gelama seperti tenggelam timbul. Sekejap muncul dalam jumlah yang banyak, kemudian senyap. Kemudian muncul lagi dan menyepi lagi. Nak beralih lubuk terasa sayang pula kerana joran yang menggunakan umpan pelata hidup dan sotong kurita turut sama diragut oleh duri dan sembilang.
Kesabaran kami terbalas apabila salah satu joran Pokmud direntap kasar dan hasilnya seekor jenahak berjaya didaratkan.
Berikutan kesuntukan masa bagi mengelak terkandas untuk masuk ke jeti ketika air surut habis, kami berpuas hati seekor jenahak, sembilang dan setengah tong cat gelama untuk dijadikan stok gelama masin.
Kewujudan ratusan pulau di perairan kepulauan Riau, Indonesia telah lama menarik minat kami. Perairannya yang meliputi kepulauan Jemaja dan Natuna amat kaya dengan hasil gas dan minyak begitu dijaga ketat oleh pihak maritim dan tentera laut Indonesia.
Walaupun kedudukannya amat dekat jika melalui perairan Johor atau Pahang, ia bukan perkara mudah untuk membolosinya kerana pihak berwajib Indonesia menjaganya lengkap dengan peralatan senjata api berat.
Disebabkan kurang dikunjungi, ia telah membuatkan, perairan berkenaan kaya dengan hidupan marin. Di sana terdapat ribuan lubuk atau spot ikan yang masih belum diterokai oleh pemancing.
Justeru selepas kejayaan kami meneroka perairan Pulau Jemaja, Pulau Malang Biru dan Pulau Anambas, satu trip lebih jauh telah dirancang. Selepas berbincang, kami telah memilih Pulau Midai atau Pulau Mida yang terletak di Pulau Natuna.
Selepas memilih hari yang sesuai, seramai 13 orang menuju ke Pulau Bintan sebelum menuju ke Pulau Midai. Perjalanan melalui Pulau Bintan merupakan salah satu opsyen untuk ke Perairan Kepulauan Riau secara sah. Di sana juga terdapat perkhidmatan bot memancing yang bersedia untuk memancing di perairan sekitarnya.
Pulau Midai
Pulau Midai atau Mida merupakan salah satu dari 141 buah pulau di bawah pemerintahan Kabupaten Natuna, Provinsi Kepulauan Riau. Secara morfologi pula, Pulau Midai merupakan pulau yang terbentuk dari letusan gunung api, iaitu secara beransur dari dataran pantai yang sempit hingga menjadi daerah berbukit di bahagian tengah pulau.
Ketinggian kawasan berbukit dianggarkan dari beberapa puluh meter hingga dari 140 meter. Pulau Midai hanya berkeluasan 18 km sahaja. Walaupun pulau ini dikelilingi oleh laut, pekerjaan utama penduduk Pulau Midai ialah bertani.
Pulau Midai terkenal dengan pengeluar kopra sejak zaman Kesultanan Riau Tahun 1886. Kopra adalah bahan kering yang terhasil dari isi kelapa yang telah dikeringkan. Selain itu Midai juga terkenal sebagai pengeluar cengkih terbaik di dalam Wilayah Natuna.
Boleh dikatakan, cengkih yang berasal dari Pulau Midai antara yang paling mendapat permintaan tinggi di Indonesia. Pulau Midai diperintah oleh seorang wakil daripada pemerintahan Kabupaten Natuna, Provinsi Kepulauan Riau.
Seperti trip-trip yang lalu, kami menggunakan khidmat bot Seastar yang berpangkalan di Pulau Bintan, Indonesia. Kali ini persiapan lebih rapi dibuat oleh pemilik bot memandangkan ini merupakan pertama kali bot Sea Star bergerak jauh hingga ke kawasan kepulauan Natuna.
Kapasiti minyak diesel, makanan dan ais ditambah sebagai persiapan untuk ke sana. Awak-awak bot juga amat teruja dengan trip kali ini kerana mereka juga tidak pernah sampai ke Pulau Midai. Hanya tekong Am sahaja yang pernah ke sana, itu pun 8 tahun lepas!.
Untuk ke sana, kami akan melalui perjalanan yang jauh dan mengambil masa 22 jam untuk tiba ke kawasan Pulau Midai. Kami juga tidak meletakkan harapan tinggi pada trip kali ini kerana trip ini 100% trip eksplorasi ke tempat yang tidak pernah kami jejaki dan tekong Am juga tidak mempunyai sebarang panduan dan lubuk di sana.
Perjalanan yang jauh amat memeritkan kami. Mujur bot Sea Star dilengkapi dengan bilik tidur yang luas serta berhawa dingin. Maka tempoh perjalanan kami hanya dipenuhi dengan aktiviti makan dan tidur. Bot hanya berhenti seketika untuk mengisi minyak dan pemeriksaan enjin sebelum bergerak semula.
Tiba Di Pulau Midai
Selepas mengharungi perjalanan yang sangat lama, akhirnya kami tiba di Pulau Midai. Perkara pertama yang perlu kami lakukan, singgah ke Pulau Midai untuk mendapat kebenaran memancing di persekitaran perairan Pulau Midai daripada wakil pemerintah.
Kami tiba di jeti Pulau Midai pada pukul 10 pagi. Kelihatan banyak bot nelayan yang bersaiz kecil berlabuh di jeti. Kedatangan kami bersama bot Sea Star telah menarik perhatian masyarakat di Pulau Midai.
Kami terus menuju ke Postal Midai iaitu pejabat pegawai pemerintah di pulau berkenaan. Seorang lelaki lengkap berpakaian askar menyambut kedatangan kami. Segala permohonan memancing di Pulau Midai dilakukan oleh tekong Am.
Sementara menunggu dokumentasi siap, kami mengambil keputusan bersiar-siar di sekitar pekan berkenaan. Ia bolehlah dianggap sebagai ‘Pekan Koboi’. Tidak banyak kedai-kedai dan bangunan yang terdapat di sini. Kebanyakan kedai, hanya menjual keperluan asas rumah dan keperluan barangan dapur sahaja.
Walaupun pekan di Pulau Midai ketinggalan dari kemudahan moden, tetapi perairan dan pantai di Pulau Midai amat indah dan terpelihara sekali. Buktinya di jeti kapal kami berlabuh pun kelihatan karang-karang yang cantik serta anak-anak ikan yang banyak.
Kami juga dipelawa penduduk tempatan untuk singgah di sebuah warung yang terletak di jeti. Salah seorang daripadanya, memperkenalkan diri sebagai Pak M.Napirussa dan dia merupakan pengusaha cengkih di pulau ini.
Selain menceritakan sejarah Pulau Midai kepada kami, dia juga memberitahu bahawa kami merupakan pemancing Malaysia dan orang luar pertama yang pernah tiba di pulau ini.
Layanan istimewa penduduk Pulau Midai tidak terhenti di situ sahaja. Beberapa orang rakan tidak melepaskan peluang dibawa mengelilingi pulau menggunakan motosikal mereka. Selepas beberapa jam menanti, akhirnya proses kebenaran memancing di Pulau Midai telah diluluskan. Ini bermakna ekspedisi memancing kami akan bermula.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...