Faktor angin dan hujan sememangnya banyak mempengaruhi aktiviti memancing. Tiada siapa pun pun yang boleh menjangka keadaan cuaca apatah lagi hasil trip memancing yang bakal ditempohi sehingga hari kejadian. Begitulah yang kami hadapi apabila memilih tarikh trip yang berpotensi untuk memunggah hasil, tetapi berhadapan dengan cuaca yang kurang mesra pada hari kejadian.
Hujan yang turun pada awal pagi hari tersebut menyebabkan beberapa buah bot memancing menangguhkan seketika aktiviti memancing di perairan Teluk Kemang. Hujan sebenarnya bukanlah menjadi penghalang sebaliknya angin yang bertiup agak kencang bersama hujan itulah yang menyebabkan para tekong tidak berani untuk mengambil risiko membawa pemancing ke laut.
Setelah lebih satu jam termenung di pangkalan dan cuaca seperti mengizinkan, barulah para tekong bersedia membawa kami mencuba nasib. Saya bersama tiga orang rakan memancing hari itu turut sama turun memancing dengan menggunakan khidmat tekong tersohor perairan Port Dickson, Shariman atau lebih dikenali dengan nama Apex Kecil.
Berikutan cuaca yang masih berangin, kami sepakat sekata untuk tidak pergi memancing jauh ke tengah laut. Justeru cadangan tekong untuk jigging spesies senangin di dalam kawasan teluk segera dipersetujui oleh semua ahli trip.
Ads
Hampir setengah jam berjigging, nasib ternyata menyebelahi saya apabila jig slow pitch 80 gm disambar pemangsa sekitar beberapa kaki dari dasar. Setelah melayan pecutan dan lariannya seketika, akhirnya seekor senangin berskala saiz sederhana berjaya didaratkan.
Kejayaan itu sedikit sebanyak merangsang semangat kami untuk kekal lebih lama di teluk tersebut. Tidak lama kemudian giliran tekong pula mempamerkan kehandalannya. Namun nasib lebih menyebelahi senangin apabila berjaya meloloskan diri dari mata kail sejurus tiba di permukaan air untuk didaratkan.
Setelah beberapa kali berhanyut di spot yang sama, saya berjaya menerima strike namun pemangsa yang dipercayai adalah senangin bersaiz kasar atau gubal ghaib ketika dalam pertarungan.
Ads
Nasib yang sama turut dialami oleh tekong. Malah ia berlaku lebih dari sekali. Ketika seperti hampir menjadi mangsa buli senangin, muncul Shahrul menjadi penyelamat keadaan apabila berjaya mendaratkannya setelah turut sama dibuli sebelumnya.
Episod dibuli senangin semakin berterusan apabila Shahrul berjaya mendaratkan seekor lagi senangin. Selepas itu hampir kesemua ahli trip hanya sempat merasai jig disambar pemangsa sebelum rabut begitu sahaja.
Ads
Dan kemuncak kami menjadi mangsa buli senangin apabila seekor senangin bersaiz kasar yang menyambar jig saya melakukan aksi akrobatik di hadapan mata kami semua dan berjaya memutuskan tali utama.
Selepas kejadian itu tiada sambaran yang kami terima sekaligus mengakhiri pemburuan kami. Walaupun kami berjaya mendaratkan tiga ekor senangin namun pembulian hampir sepuluh kali yang kami terima benar-benar menguji kesabaran kami. Sekaligus menjadi trip yang meninggalkan memori manis buat kami berempat.
Kami meneruskan sesi slow jigging ke tengah laut namun hanya ramah buat beberapa jam sahaja. Tidak tahan dengan alun kian bergelora, kami kembali ke teluk tersebut untuk mencuba nasib sekali lagi. Selepas satu jam mencuba tanpa sebarang sambaran, kami memutuskan untuk kembali ke darat dan mencari kedai makan untuk menikmati senangin segar tersebut.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Awal pagi tatkala matahari baru menjengah memancarkan sinarnya, kami berempat menyusuri laluan estet getah dan kelapa sawit ke lokasi yang terletak kira-kira 8 km dari rumah saya dengan motosikal masing-masing.
Sampai sahaja di lubuk yang dikenal pasti, peralatan segera dipersiapkan sambil mata meliar mengesan sebarang atau cakupan daripada sebarau yang menyambar anak-anak ikan.
Lantas bersimpang siurlah gewang dan besi sesudu menerjah spot yang difikirkan berpotensi menghasilkan sesuatu.
Selepas beberapa percubaan, rezeki pertama berpihak kepada Ayim apabila lontaran sesudu Seahawk nya disambut sebaik sahaja mencecah air.
Gandingan set mengilat kelas sederhana ringannya tiada masalah untuk mengekang larian mangsa dan beberapa minit kemudian seekor sebarau berskala 1.2 kilogram berjaya didaratkan.
Dalam pada itu lontaran gewang saya dan juga sesudu Salleh disergap sesuatu hampir serentak. Walau bagaimanapun mangsa di hujung tali saya berjaya melepaskan diri dan meninggalkan mata tiga yang terkangkang dikerjakannya.
Manakala Salleh terus melayan tarikan seekor lagi sebarau yang akhirnya berjaya dihela naik. Agak kecil sedikit kira-kira 600 gram yang kemudiannya dilepaskan kembali.
Tiba-tiba kedengaran drag kekili Asri berbunyi akibat sambaran sesuatu di bawah air. Asakan yang diterima agak hebat juga menyebabkan hujung jorannya melengkung menyentuh permukaan sungai.
Dengan berhati-hati Asri mengawal larian mangsa agar tidak terus membawa tali ke struktur berkayu di dasar sungai.
Salleh segera menghulurkan bantuan mendapatkan sebarau berskala 1.8 kilogram yang akhirnya terdampar kepenatan di gigi air. Terpancar senyuman kepuasan pemancingnya dengan hasil yang agak kasar ini.
Walaupun jam baru pukul 9.30 pagi, kami membuat keputusan menghentikan pemburuan kerana keadaan air sungai yang mulai bertukar kepada warna teh susu akibat kerja-kerja mengorek pasir haram di bahagian hulu sungai.
Kami pulang selepas tiada lagi minat sebarau mengejar sesudu atau gelekan gewang yang dipersembahkan. Walau bagaimanapun, kami bersyukur dengan rezeki yang diperolehi.
Kami tiba di lubuk pertama pada waktu senja. Lubuk pertama merupakan sebuah unjam yang banyak terdapat di timur Pulau Similan. Menurut tekong, Pulau Similan yang terletak di Laut Andaman mempunyai struktur laut yang unik. Di sebelah timur pulau, lautnya amat cetek dengan kedalaman hanya 50 – 80 meter sahaja.
Di kawasan ini banyak terdapat unjam dan tukun tiruan yang dibina oleh nelayan tempatan. Kawasan ini kaya dengan lambakan sotong dan ikan-ikan karang. Kelihatan berpuluh-puluh bot pukat dan sotong sedang beroperasi di kawasan tersebut.
Pada sebelah barat Pulau Similan pula, keadaan lautnya amat berbeza. Hanya kurang satu batu nautika dari pulau tersebut, kedalamannya mencecah drop off sehingga 300 meter. Di kawasan inilah terdapatnya kerapu hitam yang kami sasarkan. Ruby snapper, tuna dan banyak lagi spesies ikan laut dalam juga boleh di pancing di kawasan ini.
Selepas singgah di lubuk pertama di sebuah unjam. Tekong Sai Yan berhubung dengan bot nelayan berhampiran untuk membeli umpan segar. Ikan tongkol dan sotong segar dibeli dengan kuantiti yang banyak sebagai bekalan umpan kami.
Di unjam, kumpulan kami mengamalkan pancingan dasar di hadapan bot dan jigging di belakang bot. Tanpa menunggu lama, pelbagai ikan bersaiz kasar yang berjaya dinaikkan. Ikan ebek kelihatan banyak terdapat di kawasan unjam ini selain ikan merah dan kerapu. Selepas semalaman memancing di unjam, pelbagai jenis ikan yang berjaya dinaikan oleh kumpulan kami.
Antara ikan-ikan tersebut ialah kerapu (Malabar grouper, Epinephelus malabaricus), ebek (Diamond trevally, Alectis indica), merah (Lutjanus erythropterus), kakap merah (Mangrove jack, Lutjanus argentimaculatus) dan banyak lagi spesies ikan lain.
IKAN SASARAN, KERAPU HITAM!
Awal-awal pagi lagi tekong mula bertolak ke kawasan drop off di sebelah barat Pulau Similan untuk memancing ikan kerapu hitam. Kami segera membuat persediaan untuk memancing sepanjang perjalanan ke sana. Perambut appollo berkekuatan 100-120lb diikat bersama mata kail 4X circle hook bersaiz 7/0. Penggunaan ‘bangla’ atau kekili elektrik amat digalakkan kerana mampu menyimpan tali utama lebih 500 meter.
Batu ladung yang akan digunakan untuk memancing di kawasan sedalam ini seberat 2kg. Pasti pemancing akan keletihan jika menggunakan kekili manual apabila berhadapan situasi seperti begini. Semasa memancing ikan kerapu hitam, hanya sebelah kanan bot sahaja dibenarkan untuk memancing. Ini kerana kami akan memancing secara berhanyut kerana bot tidak mampu melepaskan sauh di tempat yang begitu dalam.
Apabila tekong memberi isyarat, kami segera menurunkan umpan. Umpan tongkol yang dibeli oleh nelayan semalam terus disambar ikan dengan rakusnya. Bangla kepunyaan kami terpaksa berhempas pulas melawan asakan ikan kerapu supaya tidak lari ke dalam lubang yang menjadi tempat persembunyiannya. Selepas beberapa ekor ikan kerapu berjaya ditawan, tekong akan berubah tempat ke lubuk yang lain.
Bot hanya berhenti seketika sahaja di setiap lubuk. Aktiviti sedemikian kami lalui sehingga petang. Masa seakan-akan berlalu dengan pantas kerana kami sentiasa sibuk memancing ikan kerapu ini dan hasilnya berbelas-belas ekor ikan kerapu hitam yang berjaya kami perolehi.
UNJAM DI HARI KEDUA
Selepas seharian memancing ikan kerapu, tekong bergerak menuju ke kawasan unjam sebelum hari menjadi gelap. Selepas selesai menikmati makan malam. Kami menyambung semula aktiviti memancing. Kami amat bertuah pada malam kedua di unjam. Lambakan sotong jarum banyak terdapat di sini. Kami berpesta mencandat sotong di sini.
Kehadiran sotong-sotong yang banyak ini juga menarik pelbagai ikan pemangsa di kawasan unjam. Selain mencandat, kami juga berpesta dengan acara jigging. Ikan alu-alu, ikan cupak, skipjack tuna dan amberjack banyak dinaikkan melalui teknik jigging. Bagi yang suka memancing dasar, banyak ikan karang yang berjaya diperoleh. Sotong yang di candat oleh kumpulan kami serta merta dijadikan umpan hidup untuk pancingan dasar.
Banyak ikan kerapu karang/boron yang bersaiz lebih 7kg berjaya kami perolehi. Tekong Sai Yan juga tidak melepaskan peluang turut serta jigging bersama-sama kami ketika kumpulan kami sedang berpesta ikan. Walaupun kami dalam keletihan dan tidak cukup tidur, semuanya hilang akibat seronok berpesta dengan ikan-ikan yang tidak henti-henti memakan umpan hingga ke subuh.
KENA BULI
Waktu pagi seterusnya, tekong bergerak semula ke lubuk ikan kerapu hitam. Kali ini tekong Sai Yan akan membawa ke lubuk yang didiami ikan kerapu yang lebih besar berbanding semalam. Berbekalkan pengalaman semalam, kumpulan kami tampak lebih bersedia. Umpan diturunkan selepas tekong memberi isyarat.
Seperti semalam, umpan tongkol terus disambar oleh ikan. Tetapi kali ini tekanan yang kami hadapi lebih hebat. Mesin bangla kami tidak mampu membuat karauan. Sekali sekala kami terpaksa mengarau secara manual. Mulanya kami ingatkan umpan kami telah sangkut di struktur berbatu di dasar laut, tetapi disangkal oleh tekong Sai Yan. Beliau mengatakan tekanan yang hebat berpunca daripada kerapu hitam yang besar.
Keadaan ini sering berlaku apabila umpan dimakan oleh kerapu bersaiz besar dan sentiasa disangka seperti tersangkut oleh pemancing. Kali ini tekong Sai Yan dan awak-awak beliau terpaksa turun padang membantu kami menewaskan kerapu ini. Tali utama ditarik menggunakan tangan secara perlahan-lahan. Tempoh beberapa minit diambil untuk memujuk kerapu yang memakan umpan keluar dari lubang yang menjadi tempat perlindungannya.
Selepas terasa ikan telah keluar dari kawasan lubang, kami segera membuat karauan dengan pantas supaya ikan tersebut tidak berpatah balik masuk semula ke dalam lubang. Memang benar tekaan kami, ikan kerapu hitam yang bersaiz gergasi kelihatan di permukaan air. Saiz ikan yang lebih besar daripada semalam amat mengujakan kami.
Kemudian beberapa ekor lagi kerapu gergasi berjaya kami tawan di lubuk-lubuk berhampiran menggunakan teknik yang sama. Kami dibuli teruk pada kali ini. Beberapa orang ahli kumpulan kami terpaksa berhenti memancing akibat tali utama putus sepanjang 200 meter.
Walaupun kami menggunakan bangla atau kekili elektrik yang mengarau secara automatik, kami bagaikan kehabisan tenaga akibat menarik tali utama secara manual untuk memujuk ikan keluar dari lubang sebelum membuat karauan menggunakan bangla kami. Puluhan lubuk yang kami terokai bersama tekong Sai Yan tidak mengecewakan. Puluhan kilo kerapu hitam berjaya kami sumbat di dalam tong ikan.
PUAS HATI
Selepas 3 hari 2 malam kami melakukan aktiviti yang sama, kami bersiap sedia untuk pulang ke jeti. Keletihan amat terasa sekali. Tong ikan yang dibawa oleh kami semuanya telah penuh diisi dengan ikan bersaiz kasar.
Selepas mengemas segala peralatan yang kami bawa. Kami melelapkan mata akibat keletihan sepanjang aktiviti memancing. Perjalanan pulang ke jeti akan mengambil masa 6 jam lagi. Selepas itu perjalanan mengharungi 1200km untuk pulang ke rumah akan kami tempuhi sekali lagi.
Walaupun keletihan, kelihatan semua ahli sangat berpuas hati dengan trip ini. Kesimpulannya, trip ekplorasi pertama kali di perairan Laut Andaman di Pulau Similan boleh dikategorikan sebagai trip first class dan berjaya dengan jayanya. Pelbagai pengalaman pahit manis yang kami telah lalui bersama tekong Sai Yan. Apa yang pasti, sayalah orang yang paling gembira atas kejayaan trip ini kerana impian untuk memancing di Laut Andaman telah pun dipenuhi.
Bot Marine Harvest sememangnya bot pancing terbaik untuk ke perairan Lucornia. Bot dengan saiz 23.8 meter panjang, 4.6 meter lebar, maksimum kelajuan sehingga 28 knot, sudah cukup selesa dan laju untuk membawa ahli trip seramai 13 orang. Yang pastinya, Lucornia yang terletak lebih 90 batu nautika dari Miri hanya memakan masa perjalanan kurang dari 5 jam!
LUCORNIA DAY 1
Bertolak dari jeti sekitar jam 10 pagi, haluan bot tidak terus memecut laju ke Lucornia, sebaliknya buat persinggahan di kawasan pelantar minyak terlebih dahulu untuk berjigging. Ekoran cuaca yang berubah-ubah sepanjang perjalanan, hujan dan berangin mengakibatkan laut sedikit berkucah dan kurang selamat untuk berhanyut lama di kawasan pelantar minyak, sesi jigging terpaksa dipendekkan masanya.
Walau bagaimana pun Jamie Chester, wakil media Australia berjaya juga mendaratkan seekor gerepoh (GT) skala saiz sederhana. Sementara kami (media tempatan dan wakil Tourism Malaysia) sekadar menaikkan ikan aji-aji (amberjack), tongkol dan pisang-pisang (rainbow runner) bersaiz kecil.
GT, aji-aji, pisang-pisang dilepaskan kembali ke laut sementara tongkol disimpan untuk dijadikan umpan segar. Dalam aktiviti trolling ketika menyambung perjalanan ke perairan Lucornia, Jamie mempamerkan kehanyiran beliau apabila berjaya mendaratkan seekor wahoo pula.
Namun ketibaan kami di Lucornia disambut sepi oleh penghuni-penghuni dasarnya. Beberapa kali berpindah spot hingga ke lewat malam, belum ada hasil yang benar-benar boleh dibanggakan.
LUCORNIA D#2
Aktiviti memancing wakil media antarabangsa ini tak ubah seperti waktu pejabat. Awal-awal pagi bangun memancing, sebelum lewat malam semuanya masuk tidur. Sementara kami bagai tak cukup masa memancing. Justeru, ruang belakang bot yang cukup luas untuk memancing dikhususkan kepada mereka untuk berjigging dan sebagainya.
Sementara kami banyak melabuhkan umpan ke dasar dan bersantai. Bila jemu menunggu barulah ikut sama berjigging. Namun untuk berjigging lama dengan purata kedalaman laut 150-230 meter, bukanlah sesuatu yang santai.
Seharian berpindah-pindah lubuk, bersauh dan berhanyut, namun hasilnya masih mengecewakan. Kerapu gergasi atau kertang, ruby snapper, yellowfin tuna, dogtooth tuna yang diidamkan langsung tidak kelihatan.
Hanya pelbagai jenis kerapu dengan skala saiz 2-5 kilogram, ikan durian, ikan Uji Rashid (lolong bara) atau pimpong yang rajin menjamah umpan. Hanya pada sebelah malam barulah sedikit ceria apabila lubuk berkedalaman 170 meter banyak didiami kelompok aya di pertengahan air.
Hampir setiap jig yang dimainkan di kedalaman 70-80 meter akan disambar pemangsa. Biarpun berskala saiz kecil namun cukup seronok melayan henjutan yellow fin tuna, dogtooth tuna dan tongkol. Sementara aksi pancingan bottom sering diganggu oleh pelbagai jenis yu.
LUCORNIA DAY 3
Jam 4 pagi penulis masuk tidur, jam 7 pagi penulis dikejutkan dengan keriuhan rakan-rakan pemancing menaikkan ikan. Rupanya sejak jam 6 pagi mereka yang belum tidur atau baru bangun tidur mula menuai hasil perut Lucornia.
Jig prototype (leaf jig) seberat 350 gram yang dimainkan dengan kaedah slow jigging milik wakil media Jepun, Masahiro Shibata mempamerkan keberkesanannya. Bermula dengan hasil usaha Pok Mud (media tempatan) mencubanya dan berjaya mendaratkan seekor Ruby Snapper dengan skala saiz 8 kilogram, nasib Masahiro Shibata ternyata lebih bertuah.
Jig dengan reka bentuk tulang sotong katak itu ternyata turut digemari giant grouper atau kertang. Namun menarik keluar kertang seberat 39 kilogram dari dasar sedalam 200 meter menggunakan kekili mendatar bukanlah satu tugas enteng.
Tersadai Chief Editor Majalah Perfect Boat itu dibuatnya. Tidak lama kemudian, Hairi, wakil Tourism Malaysia pula menggamatkan suasana apabila hasil bottomnya berjaya menaikkan ruby snapper terbesar dengan saiz 13 kilogram. Ekoran kehadiran bot pancing lain, lubuk bonus tersebut terpaksa ditinggalkan dan beralih ke lubuk lain pula.
Menjelang tengah hari tatkala rakan-rakan trip seronok menjamu shasimi dan umai yellowfin tuna segar, penulis masih berusaha mencari satu lagi lesen ikan sasaran. Biarpun lubuk terbaru berkedalaman 190 meter ini seperti kurang memberangsangkan, namun penulis tetap positif.
Ternyata bila berfikiran positif, hasilnya juga positif. Tidak sampai sepuluh minit umpan tongkol segar berada di dasar, hujung joran bergetar seperti ada getuan kecil. Setelah beberapa ketika barulah penulis membuat sentapan dan jelas terasa ada sesuatu yang mengena.
Melihat pada aksi kekili elektrik yang seperti menderita menarik pemangsa, ia sudah cukup mendebarkan kerana sebelum ini aksi yang sama menyebabkan tali utama lebih 100 meter terputus. Dan akhirnya, ruby snapper dengan saiz 10 kilogram cukup membuatkan penulis tersenyum puas.
Menjelang senja, kawasan dalam ditinggalkan dan kawasan beting cetek pula ditujui bagi memenuhi keinginan wakil media antarabangsa untuk melakukan aktiviti popping. Namun hasil popping kurang memberangsangkan. Hanya light jigging saja berhasil menaikkan kerapu karang. Seterusnya menjelang malam, bot memecut laju ke kawasan pelantar minyak yang terletak dalam perjalanan pulang ke Miri.
LUCORNIA D#4
Hasil bottom malam terakhir di beberapa pelantar minyak ternyata menghampakan, begitu juga dengan aksi jigging. Hanya sebuah pelantar minyak saja yang mana penghuninya banyak memutuskan tali dan meleburkan jig.
Begitulah dengan nasib jig prototype yang sebelumnya banyak menaikkan ikan pelbagai spesies. Kekangan dari GT berstatus mega menyebabkan tali sulam 80lb dan perambut 150lb putus juga. Dalam perjalanan pulang ke Miri, beberapa lubuk turut dicuba namun hampir tiada hasil yang benar-benar memuaskan hati.
Yang pasti, walaupun di Jepun, Australia atau New Zealand memiliki ikan-ikan yang lebih berstatus mega, namun wakil-wakil media antarabangsa tetap mengiktiraf perairan negara kita juga antara yang terbaik.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...