Surfcasting atau pancingan pantai merupakan salah satu teknik memancing yang menyeronokkan.
Dengan mengunakan joran panjang, batu ladung dan mata kail alatan utama, ia juga merupakan sukan memancing yang berisiko tingi ditimpa kemalangan jika cuai atau kurang waspada.
Terutamanya jika memancing secara beramai-ramai di kawasan yang sempit, khususnya di dalam pertandingan.
Panduan 1
Sentiasa pastikan di mana kedudukan batu ladung dan mata kail sebelum membuat balingan.
Elakkan dari melakukan balingan sekiranya ada sesiapa yang bergerak di belakang anda.
Panduan 2
Cuba elak daripada mengamalkan teknik balingan secara putaran untuk mendapatkan momentum balingan kecuali tiada sesiapa di kiri dan kanan anda.
Panduan 3
Pastikan tiada halangan atau sesuatu yang terbelit sebelum melakukan lontaran.
Dengan momentum balingan yang kuat, tali pancing atau hujung joran boleh patah sekiranya terdapat halangan.
Ads
Panduan 4
Jika anda bukan seorang perenang yang baik, sebaiknya jangan lakukan balingan di dalam air melebihi paras pinggang, apatah lagi ketika permukaan laut agak berombak.
Risiko ditarik ombak ke tengah laut kemungkinan besar akan berlaku.
Panduan 5
Pastikan drag kekili diketatkan sebelum melakukan balingan. Sebaiknya juga alas jari anda dengan plaster atau memakai sarung tangan.
Seretan tali sulam dengan mudah menghiris jari umpama mata pisau.
Ads
Panduan 6
Selepas melakukan balingan, longgarkan drag kekili dan sebaiknya jangan pancangkan jorak melebihi sudut 90 darjah.
Sentapan ikan bersaiz monster boleh menyebabkan hujung joran patah.
Panduan 7
Sediakan pencangkuk atau gaff bagi menarik ikan ke darat terutamanya ikan yang bersengat seperti pari.
Ads
Panduan 8
Sekiranya ingin melakukan lontaran dari dalam air, pastikan kawasan tersebut bebas dari kewujudan ulat bulu laut.
Atau sebaiknya jangan berkaki ayam ketika meredah masuk ke dalam air.
Panduan 9
Pastikan juga kawasan pemburuan tersebut tidak terlalu terpencil dan cuba elakkan dari memancing seorang diri.
Sekarang ini semakin banyak kes penjenayah mensasarkan pemancing sebagai mangsa samun dan sebagainya.
Lain padang lain belalang, lain padang pancing lainlah cara memancingnya. Begitu jugalah dengan situasi memancing di Chalet Terapung PPK.
Berikut merupakan sedikit tip bagaimana anda ingin memperoleh hasil ketika memancing di sini.
⊗ Waktu yang sesuai memancing di sini ialah sewaktu air kecil (arus perlahan) berbanding air besar.
Oleh yang demikian anda perlu merujuk jadual pasang surut air laut sebelum berkunjung ke sini.
Paling baik ialah jika dapat memancing bagi tempoh yang lama sewaktu air kecil ini.
⊗ Untuk peratusan strike yang lebih tinggi sebaiknya gunakan umpan-umpan hidup atau segar seperti udang hidup dan segar, umpun-umpun, ikan hidup yang diperoleh sekitar chalet, hirisan sotong dan ikan segar.
⊗ Selain menggunakan teknik bottom untuk memancing ikan dasar, teknik casting juga sesuai di sini untuk memburu siakap, siakap merah, bulan, kerapu, GT dan lain-lain lagi.
Apa yang penting anda perlu cekap mengesan kehadiran ikan-ikan predator yang membaham gewang.
⊗ Ikan jenjulung paling banyak bermain di sekitar chalet. Untuk memancingnya sangat mudah, hanya perlu gunakan joran yang diletakkan mata kail kecil (tanpa batu ladung) dan berumpankan roti.
⊗ Ikan jenjulung juga amat sesuai dijadikan umpan untuk memburu spesis pemangsa. Sekiranya anda meminati teknik casting, bolehlah dapatkan gewang memiliki skala saiz seperti ikan jenjulung.
Seawal pagi kami berempat memulakan perjalanan menuju ke arah 180 darjah sebaik sahaja keluar dari muara Pulau Pintu Gedung. Biasanya kami akan menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat.
Alun menjadi semakin rendah apabila mula memasuki kawasan selat air dalam di kawasan laluan kapal. Jika alun berterusan, batalkan sahaja rancangan kerana aktiviti menotok akan terbantut disebabkan suasana yang amat tidak selesa.
Perjalanan akan mengambil masa selama 30 minit lagi untuk tiba di lokasi pertama. Kalau kekurangan umpan, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Kelang boleh disinggahi untuk apollo anak-anak ikan.
Dari lokasi yang pertama kami akan berhanyut mencari lubuk didiami ikan dan ulang kembali di posisi sama sekiranya terdapat strike.
Jika tiada sambaran, sampan akan dibiarkan hanyut untuk tempoh masa tertentu sebelum berpindah ke lokasi berikutnya jika masih tiada sebarang sentapan.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan ialah memerhatikan kapal dagang yang bertali arus. Hari itu saya memilih untuk memancing di Paloh 2 iaitu laluan kapal yang hanya melalui Selat Melaka tanpa singgah di Pelabuhan Kelang.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Saya memilih untuk berhanyut di celah antara laluan kapal di mana sebelah kanan ialah haluan yang menghala ke utara dan sebelah kiri haluan kapal yang menghala ke selatan.
Kawasan ini dikenal pasti sedikit selamat kerana kapal-kapal ini jarang menggunakan laluan tengah.
Cuma yang dibimbangi ialah sampan hanyut ke arah laluan khas untuk kapal. Setelah memastikan laluan selamat dan jauh dari kiri kanan laluan kapal, berulah peralatan digunakan.
Penggunaan kekili elektrik sangat efektif di kawasan ini kerana kedalaman air sekitar 60 meter ke atas. Kekili manual boleh digunakan sekirinya memiliki tenaga mengarau yang konsisten kerana ada ketikanya tali pancing perlu dikarau secepat mungkin apabila sampan disedari berada di haluan kapal.
Waktu ini, pasti hon kuat kedengaran dari kapal menandakan bot sudah hampir di haluannya.
Misi pertama ialah ikan demersal sebagai buruan utama seperti kerapu, jenahak, ibu gelama, gegerut dan kadangkala kaci serta tebal pipi. Perambut kekuatan 60 lb ke atas sepanjang 4 depa dengan tali utama 80 lb hingga 100 lb.
Ini berikutan jika tersangkut pada karang kebiasaannya perambut lebih kecil dari tali utama akan putus, dengan ini ladung terselamat daripada menjadi tukun.
Elakkan menggunakan kekili mendatar kerana ia lebih cepat meletihkan pemancing apabila disuruh karau setiap kali sampan ingin beredar ke lokasi lain.
Mata kail 5/0 jika mata tunggal atau 2 bentuk mata 3/0 digunakan mencangkuk seekor sotong kurita hidup.
Ladung biasanya saiz 24 agar ia terseret di dasar ketika berhanyut atau menotok. Kalau umpan hanyut jauh ke atas dari dasar peluang sentapan adalah tipis kecuali di kawasan yang adanya ikan pertengahan seperti GT, talang dan haruan tasik.
Jika sampan hanyut dengan melintang arus, 6 joran boleh dipasang sekali gus, jika ia hanyut senget memadai 3 joran sahaja.
Pastikan joran di belakang dihanyutkan jauh dari kedudukan pemancing kedua dan ketiga. Yang seronok menotok ialah cara sentapan dilakukan ikan. Oleh kerana umpan bergerak, ikan seperti marah dan menerkam dengan rakus.
Joran pula perlu dipastikan kuat dan diikat kemas pada sampan kerana banyak sentapan ikan adalah dengan mengejut. Beberapa kes joran tercampak kerap juga berlaku gara-gara pemancing leka menjaga dan mengikat joran.
Tentangan di awal sentapan cukup kuat dan ia berterusan hingga 1/3 dasar sebelum ikan demersal akan lumpuh apabila gelembung udara terhasil di mulutnya. Umpan perlu dilabuhkan satu persatu bagi mengelakkan tali pancing berbelit antara satu sama lain.
Umpan selain sotong kurita, udang lipan, pelaling mati, hirisan cabut, belanak, ikan tembakul, anak gelama da udang kertas boleh digunakan. Jika berhanyut pada malam hari sotong cumit adalah umpan nombor 1!
Sambil itu jika membawa sonar, sentiasa perhatikan tahap kedalaman air kerna ia berbeza di setiap kawasan. Bermula dari 30 meter hingga menjunam 70 meter.
Bila umpan masuk lubang dalam, hulurkan lagi tali pancing hingga ladung dikesan terhentak pada lantai dasar. Bila umpan terlepas jauh, ikan jarang mengejarnya.
Begitu juga apabila kedalaman menaik, tali pancing perlu dikarau sedikit. Jika tidak ia amat mudah melekat apabila memasuki kawasan berkarang.
Jika tersangkut karang, pegang joran sehingga lurus, dapatkan koyan kosong segera belitkan beberapa lilitan talipancing pada koyan kosong. Tahan sehingga putus. Jangan gunakan joran.
Sampan yang sedang berhanyut membantu pemancing menarik hingga terlepas sangkut berkenaan. Sama ada perambut atau tali utama putus itu soal kedua kerana melepakan tali sangkut adalah perlu.
Ambil dalam masa sejam setiap kali berhanyut sebelum naik ke arah arus semula. GPS adalah perlu sebagai panduan wajib bagi mengetahui arah sampan hanyut serta membuat data simpanan setiap kali sentapan terjadi.
Rujuk balik kawasan berlaku strike tadi melalui bacaan sonar untuk mengesan struktur dasar. Pasti ada karang atau lubang dalam tempat ikan bersembunyi.
Kemudian ulang laluan yang sama sehingga laluan berkenaan tiada lagi sebarang tanda sentapan ikan. Panduan utama berhanyut di kawasan ini ialah aliran arus.
Jika sampan berhanyut ke arah utara maka ia menandakan air bergerak surut dan jika sampan hanyut ke arah Singapura ini menunjukkan air pasang.
Kecuali bila angin menolak sampan lebih kuat daripada arus. Ketika berhanyut sentiasa ingat darat adalah sebelah timur manakala sempadan Indonesia di sebelah Barat.
Kalau panik hilang arah terutama ketika kabus atau jerebu, tuju timur sehingga nampak pedoman darat. Yang mudah dikesan ialah bukit Jugra, Banting.
Jika mengantuk, jangan tidur serentak, ambil giliran sebab apa yang penting seorang perlu berjaga mengawasi sebarang pergerakan kapal dan sentapan.
Ada masa kita pasti terserempak dengan bot Indon kecil yang disyaki membawa puluhan PATI melepasi sempadan. Yang kelihatan ialah tekong laut di bumbung bot, PATI berselindung macam ikan sardin di dalam kabin yang kecil.
Kalau boleh rujuk carta pasang surut air. Kunci penggera pada handphone waktu-waktu air dijadualkan bertukar arus.
Bila dah hampir masanya sentiasa standby atau pegang joran kerana waktu ini adalah paling produktif. Pastikan semua joran yang dilabuhkan, umpannya segar dan ditukar baru jika perlu.
Kadangkala seharian ikan berhanyut hasil hanya diperolehi dalam 10 hingga 30 minit sahaja ketika arus bertukar.
Waktu-waktu lain hanya dok termenung menunggu joran melentur sambil kena karau umpan yang sering kehabisan dikerjakan kumpulan ikan mengkerong.
Jika kena lubuk ikan jarang menolak umpan yang hanyut di depan mata masa arus lemah.
Biasanya waktu begini saya memilih untuk berhanyut berdekatan dengan lubuk potensi yang banyak sentapan sebelumnya.
Ini pernah terjadi di mana kesemua joran yang dilabuhkan mengena ikan. Yang mana satu ingin dikarau dahulu terpulanglah kepada pemancing itu sendiri.
Kalau pakai bangla suruh je bangla yang karau sambil perhatikan keputusannya. Nak kepuasan lebih, kayuh dengan kudrat tenaga tangan uatu pusing manual.
Jika trip menotok pulang dengan tangan kosong, baki umpan boleh digunakan untuk memancing di dalam sungai. Setidak-tidaknya ada ikan muara yang boleh menceriakan hati suram bak kata pepatah tiada enjin, dayung pun berguna.
Ada beberapa faktor yang perlu dikaji sebelum mengambil keputusan untuk pergi mengilat atau casting ikan siakap.
Tanpa faktor-faktor ini tidaklah bermakna tak boleh nak casting, tapi apa yang lebih penting adalah hasilnya.
Faktor Pasang Surut & Kualiti Air
Dikatakan waktu terbaik ialah ketika air sedang mula surut ataupun bunga pasang. Ia bolehlah dikatakan waktu arus mula bergerak.
Ia tidak terlalu deras dan tidak pula terlalu lemah. Pada waktu ini siakap dikatakan gemar berada di kawasan berstruktur seperti untuk melakukan serangan hendap.
Maka lokasi yang memiliki struktur di dalam air seperti pokok tumbang, bangkai kapal atau tiang-tiang perlu dijadikan kawasan balingan gewang.
Biasanya siakap gemar bersembunyi di kawasan ini untuk memburu mangsa yang akan mencari tempat perlindungan apabila arus laju.
Tahap kekeruhan air sungai turut memainkan peranan. Jika air jernih, siakap akan culas untuk menyambar gewang.
Jika air keruh akibat hujan pula, siakap akan bertindak pasif atau beredar ke kawasan lain.
Waktu terbaik ialah ketika air tidak terlalu keruh dan tidak pula terlalu jernih. Biasa disebut orang waktu air berdebu atau keruh bulu kera.
Macam mana rupa air bulu kera itu kenalah anda lebih kerap melihat warna bulu kera.
Gewang
Lazimnya gewang sesuai untuk memperdaya siakap ialah gewang yang hampir menyamai diet pemakanannya. Antara lain diet siakap adalah udang, ikan belanak dan jenjulung.
Justeru gewang berbentuk minnow yang panjang (10-13 cm) sama ada selaman dalam atau cetek merupakan gewang terbaik untuk menduga siakap.
Gewang permukaan juga sesuai khususnya ketika pergerakan arus masih lemah.
Warna asas bagi gewang untuk mengilat siakap lazimnya warna yang mempunyai tona biru dan perak atau putih. Ini merupakan paduan warna asas atau warna natural.
Ia dikatakan amat berkesan jika keadaan air agak jernih atau tidak terlalu keruh. Jika air agak keruh, gewang-gewang warna terang seperti paduan warna oren dan emas atau hijau dan kuning.
Teknik permainan atau karauan haruslah perlahan. Teknik karau-henti-karau atau stop and go dikatakan teknik karauan terbaik untuk memperdaya siakap yang bersifat menyedut dan bukannya menyambar mangsa.
Gewang yang dikarau laju pastinya lebih cenderung menyebabkan ia terlepas atau biasa disebut miss call.
Peralatan
Sama ada menggunakan kekili menegak atau kekili mendatar, penggunaan set ringan adalah memadai.
Joran kekuatan maksimum 10-20lb, tali sulam 15-30 lb dan perambut fluorocarbon 20-30 lb adalah kemestian berikutan kemampuan siakap untuk merosakkan perambut sehingga putus adalah tinggi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...