
Langkah pertama untuk menyiang ikan haruan ialah mematikannya jika ia masih hidup. Cara paling cepat adalah dengan mengetuk bahagian belakang kepalanya. Paling tepat adalah pada bahagian penyambungan kepala dan badannya.
Kemudian cari ranting pokok atau kayu bulat sebesar jari dan panjang kira-kira sejengkal. Tusuk hujung kayu ke dalam mulut haruan hingga ke insangnya.
Fungsi kayu tersebut sebagai tempat memegang kerana badan haruan agak licin untuk dipegang ketika menyiangnya.
Tulang insang yang berduri akan membuatkan kayu tidak mudah tergelincir keluar. Malah, anda boleh mengeluarkan insang ikan melalui mulutnya dengan dua batang kayu bulat kecil seperti chopstick, jika pandai.
Setelah dibuang semua sisik ikan, buang juga semua sirip sama ada dengan memotong atau mengguntingnya.
Jika rajin, anda juga boleh memotong sedikit muncung haruan bagi mengeluarkan giginya. Gigi ikan yang tidak dibuang boleh menyebabkan mulut kita terluka ketika memakannya nanti.
Setelah sirip ikan dibuang, barulah kita membuang perut ikan dengan cara memutuskan sambungan badan pada bahagian bawah kepalanya. Kemudian barulah membelah bahagian bawah kepalanya hingga ke perut.
Kemudian keluarkan semua isi perutnya dan potong badan ikan mengikut kesesuaian dan selera anda. Akhir sekali potongan ikan dibersihkan dan gunalah petua yang anda anda untuk menghilangkan rasa hanyir.
Seperkara lain, sekiranya haruan itu bertelur, telur haruan itu boleh diambil kerana ia juga sedap dimakan.
Perut ikan haruan sebenarnya juga boleh dimakan tetapi perlu dibersihkan dengan rapi terlebih dahulu. Dan yang paling penting pundi hempedunya perlu dibuang.
Sekiranya hempedu ini tidak dibuang buang atau pecah, ia boleh menyebabkan daging ikan menjadi pahit.
Tip & Taktikal Pancingan Ikan Belitong!!

Anda gemarkan aksi dan kepuasan sukan memancing? Jika ya, paling elok dan sedap bermain dengan belitong ialah mengunakan peralatan aksi ringan dengan tali utama berkekuatan diantara 10Ib hingga 16Ib.
Joran aksi ringan dan jenis parabolik terutama jenis grafit untuk tindak balas cepat paling sesuai digunakan lebih-lebih lagi ketika henjutan si belitong yang cuba melepaskan diri.
Kekili yang dipadankan ikut suka anda asalkan berpadanan dengan joran dan saiz tali yang disyorkan.
Saya lebih senang mengunakan perambut tangsi (monofilament) berkekuatan 30Ib hingga 50Ib sepanjang sedepa ke atas dari mengunakan perambut dawai.
Rekod secara rasmi tangkapan terberat untuk belitong ialah 39.6kg atau 87Ib pada tahun 1976 di Costa Rica.
Mungkinkah di negara kita tiada spesies yang melebihi 20 kg? Atau tangkapan yang keterlaluan dan melebihi dari keperluan menyebabkan ia tidak sempat membesar.
Bagaimanapun catatan rekod yang dipaparkan menunjukan ikan ini boleh ditewaskan dengan tangsi yang halus dan bergantung kepada kepakaran individu tersebut melayan dan mengendalikan peralatan agar tangsi tidak putus dipertengahan jalan.
Sekiranya ada pemancing yang dapat mengunakan tangsi 2Ib dan berjaya dengan tangkapan 10kg keatas, saya rasa ia patuh di beri perhatian dan kita perlu mempelajari
teknik darinya bagaimana tangsi sekuat tali benang boleh menarik spesies 15 kali lebih kuat.
Sesuai dengan diet utama spesies yang berwarna cantik ini memburu ikan pelagik, jadi umpan terbaik adalah di kalangan ikan-ikan pelagik terutama yang masih hidup.
Spesies pelagik yang biasa ditemui di unjam termasuklah selayang, selar, kembong, pelaling, selar kuning,tamban sisik, tamban buru dan juga spesies kecil seperti ikan bilis.
Kehadiran ikan belitong mudah dikesan oleh kebanyakan pemancing kerana tabiatnya yang gemar meloncat ke udara.
Jika kena pada masanya, sebarang umpan hidup maupun mati tidak menjadi masalah, belitong nescaya akan meyambar umpan tersebut sebaik saja dilemparkan.
Manakala untuk mata kail purata saiz yang disyorkan no 2/0 hingga 4/0 sam ada jenis umpan hidup atau jenis lurus panjang kerana belitong agak rakus menyambar umpan.
Mengunakan perambut tangsi membuatkan umpan kelihatan lebih hidup terutama ikan mati apabila dibuai arus.
Belaian arus mengolak pemangsa datang menyiasat dan seterusnya meragut ikan ‘hidup’ itu.
Jika mengunakan perambut biasa lakukan pemeriksaan setiap kali anda mendaratkan ikan terutama berdekatan dengan ikatan mata kail dari kesan-kesan calar atau genting.
Potong saja bahagian calar jika perlu. Kaedah menunda dan balingan gewang juga mendatangkan kesan positif jika kena masanya.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Teknik Memancing Ikan Bebulus!!

Kemampuannya menghilangkan diri dari pandangan manusia di dasar amat sukar untuk mengendap spesies ini sebelum memancing walaupun di air cetek dan jernih. Namun ia adalah spesies yang boleh dipancing dan juga seronok memancingnya kerana daya melawan yang boleh tahan walaupun berbadan kecil. Saiz maksimun yang dicatatkan ialah 36 cm dan saiz purata sekitar 15 cm hingga 20 cm.
Memancing bebulus ialah memancing dasar. Sekiranya umpan tidak jatuh betul-betul di dasar adalah sukar bagi pemancing memperolehnya. Kawasan pilihan untuk memancing bebulus adalah pantai atau kuala sungai yang berbeting dan yang pentingnya kawasan tersebut mestilah berpasir.
Bebulus gemar kawasan ini kerana ia mudah berselindung di kawasan yang kedalamannya berbeza. Dasar berpasir merupakan perlindungan semulajadi kepada spesies ini selain kebolehannya membenamkan diri di dasar berpasir. Jadi pengaruh pasang surut air tidak begitu menjejaskan spesies ini untuk beredar ke kawasan yang lebih luas.
Di sebelah pantai barat banyak beting pasir di kuala sungai. Jika memancing bebulus di kawasan kuala atau tempat yang mempunyai pengaruh besar terhadap pasang surut, memancing sewaktu air mati adalah masa terbaik kerana masa memancing agak lama dan arus sesuai.
Jika arus terlalu laju, umpan mungkin akan dihanyutkan dan menolaknya ke atas sedikit dari dasar sungai. Ingat jika umpan berada di atas atau naik sedikit pada aras dasar, sukar untuk bebulus mendapatkannya. Umpan mungkin menjadi habuan spesies lain.
Tindakan terbaik ialah berpindah port atau labuhkan umpan di serata kawasan pilihan kerana bebulus akan berselerak di sekitar kawasan berpasir apabila kesan ragutan umpan semakin berkurangan pada tempat permulaan tadi.
Agak senang memancing bebulus di kawasan yang tiada arus kerana kehadiran ikan mudah dirasai. Sewaktu di Langkawi saya diajar menggunakan umpan siput kaki (umang-umang) sebagai alternatif kepada perumpun. Hasilnya tetap sama iaitu bebulus yang rata-rata panjang sejengkal.
Namun begitu mengunakan umpan perumpun adalah terbaik kerana perumpun mudah dicangkukkan pada mata kail yang halus. Semua jenis perumpun adalah sesuai seperti perumpun urat (selut), perumpun sarang, perumpun pasir adalah terbaik dan perumpun nipah (sejenis perumpun kecil yang tinggal pada dahan nipah yang reput).
Spot Memikok Di Tanjung Harapan Chalet!!

Kunjungan kali pertama saya ke sini membuatkan hati saya terus jatuh cinta. Panorama indahnya tasik ini membuatkan pandangan mata seakan tidak mahu terlepas di segenap dimensi. Betapa hebatnya kuasa Allah yang mencipta.
Di sini, sebenarnya terdapat beberapa buah chalet sebagai lokasi penginapan, tetapi banyak juga yang sudah tidak beroperasi. Salah satu chalet yang masih aktif beroperasi dan terurus hari ini adalah Tanjung Harapan Chalet, milik Cikgu Mohamed Zaki, pesara seorang guru besar yang sebenarnya telah pun beroperasi sejak 20 tahun yang lalu.
Peluang menginap di sini, cukup menyeronokkan. Terserlah warna-warna desa baik daripada segi pemandangan dan juga soal makanannya. Ujarnya mesra disapa dengan nama Cikgu Zaki, chaletnya sentiasa menjadi tumpuan ramai baik dari kaki pancing sendiri, team building para pelajar, penuntut IPT, kakitangan kerajaan, swasta dan sebagainya.
Bahkan chalet itu juga pernah menjadi lokasi penginapan kru produksi semasa penggambaran filem Hollywood, Anna and The King diadakan di kawasan sekitar Lenggong sedikit masa dahulu.
Bagi kaki pancing, sememangnya dengan adanya Tanjung Harapan Chalet ini, memudahkan mereka untuk turun ke lokasi memancing secepat yang mungkin dan pulang lewat yang mungkin kerana, tersedia penginapan yang sudah cukup selesa.
Bahkan, jika ingin membawa keluarga pun mahupun bersama rakan-rakan tiada masalah. Ini kerana, terdapat beberapa jenis bilik boleh diinap di sini. Antaranya, terdapat bilik jenis berhawa dingin, rumah pondok, rumah kampung dan juga bilik yang boleh memuatkan jumlah pengunjung yang agak ramai.
Ujarnya, setakat untuk menampung lebih dari 100 orang pengunjung dalam satu-satu masa tiada masalah.
Didirikan, di atas tanah milik keluarganya sendiri, anak jati Kampung Changkat Duku, Sauk ini berkata, jika menginap di sini, hal berkaitan makan dan minum juga boleh diuruskan, sama ada penginap mahu beliau sediakan ataupun masak sendiri.
Ini kerana dapur, perkakasan memasak dan juga peti ais untuk menyimpan barang mentah ada disediakan.
Menariknya, jika penginap mahu membakar ikan tangkapan memancing, bakar ayam atau kambing, tempat untuk BBQ juga disediakan. Penulis sendiri cukup teruja bila berpeluang menginap di rumah berbentuk rumah burung merpati yang menempatkan dua buah katil bujang.
Masa makan pula, memang terbaik! Ini kerana, malam pertama menginap di sini Cikgu Zaki telah menyediakan menu ikan kaloi bakar, cicah sambal kicap. Alahai sedap betul, sampaikan saya dua kali tambah nasi.
Bagi yang minat memancing, terdapat beberapa buah bot fiber yang disewakan. Sama ada bawa sendiri atau boleh menempah awal dengan menghubungi Cikgu Zaki jika berkehendakkan khidmat tekong.
Bagi yang inginkan pancingan santai, boleh mencuba memancing udang galah Tasik Chenderoh. Mana tahu, rezeki anda, boleh bawa pulang sepit biru dari tasik ini.
Bagi yang bukan kaki pancing, anda bolehlah meminta khidmat Cikgu Zaki membawa anda menyusuri melihat pemandangan Tasik Chenderoh yang cukup indah terutama sekali melihat rupa sebenar Stesen Janakuasa Elektrik Chenderoh dengan menaiki bot.
Sebenarnya, banyak lagi aktiviti yang boleh dijalankan di sini, terutama sukan air seperti water confident, kayak dan juga berenang.
Saya percaya, sekiranya anda berpeluang berkunjung ke chalet ini dan menikmati keindahan Tasik Chenderoh, pasti anda akan merasai cukup tenang dan damai. Oh ya, sebelum pulang, jangan lupa singgah membeli buah tangan, ikan pekasam yang menjadi industri kecil kebanyakan penduduk di sini.
FB: Tanjung Harapan Chalet
Bagaimana ke sini ?
Dari Plaza Tol Kuala Kangsar ke Jalan Kuala Kangsar menghala ke Gerik sehingga anda terjumpa papan tanda Chalet Tanjung Harapan di sebelah kanan. Masuk simpang dan belok di kiri lorong pertama dan anda akan berjumpa kawasan parking kenderaan dan jeti Tanjung Harapan. Jaraknya hanyalah 16 km sahaja dari Plaza Tol Kuala Kangsar.