Pastikan keadaan kesihatan anda berada di tahap terbaik untuk trekking. Jika tidak berada di tahap 90% sebaiknya batalkan saja kerana ia bukan sahaja akan menyusahkan diri sendiri malah juga rakan-rakan trip yang lain.
Makanan, air, energy bar dan sebagainya harus disiapkan secukupnya untuk sepanjang tempoh trip. Tak mengapa jika lebih sedikit tetapi jangan berkurangan.
Amalkan memancing di dalam kumpulan dan jangan sesekali trekking seorang diri di dalam hutan atau di sungai pegunungan.
Pastikan ahli keluarga atau rakan terdekat mengetahui anda keluar memancing, lokasi pancingan dan tempoh trip tersebut. Ia penting bagi melakukan tindakan lanjut sekiranya anda tidak pulang pada tarikh sepatutnya. Jika mampu, beli dan bawa telefon satelit itu lebih baik.
Pakailah pakaian lengkap termasuk kasut yang sesuai dan selesa untuk trekking. Sebaiknya juga pakailah pakaian yang kontra dengan alam semulajadi.
Waspada akan ancaman binatang berbisa dan buas. Elakkan melalui tempat yang ada jejak binatang buas seperti harimau, gajah dan sebagainya.
Waspada ketika mengharung air. Jangan terlalu berani mengharung air jika anda kurang yakin terutama di kawasan berarus deras. Juga perlu sentiasa berwaspada dengan kejadian kepala air.
Jika gewang yang anda gunakan tersangkut pada reba-reba kayu atau batu,jangan membahayakan diri berenang untuk menyelamatkan gewang tersebut. Ingat gewang tersangkut boleh dibeli, hilang nyawa tiada gantinya.
“Orang Sarawak berdarah Melanau banyak ikan yang pantang dimakan. Saya pernah tak percaya cakap ibu, bila makan ikan ni, habis gatal seluruh badan macam panau… nasib baik beberapa hari sahaja. Nak ngail ikan ni guna mata kail kecil, sejengkal daripada mata kail bubuh pemberat kecil, setengah depa daripada mata kail, gulung tangsi pada pen sekitar 1 kaki & tahan dengan getah, biar semalaman. Masa nak mancing baru buka. Tangsi macam spring. Guna roti yang dikepal. Bila ikan makan… tali akan kelihatan macam spring ditarik. Layan…! “
– Amir Saifudin
“Ikan ni berkawan… mudah nak dapat. Guna joran udang memang best layan. Di Terengganu, ikan ni orang tak makan sangat. Dikategori sebagai ikan pengacau yang mencuri umpan. Kalau dapat, biasa lepas balik. “
– Abe Din
“Ada 1 tip boleh cubalah. Ambik buah nenas masak saiz kecik jer… kupas kulit ikat jadikan denak dalam air. Ikan ni suka makan buah-buahan. Lepas tu boleh guna apollo umpan isi udang or apollo mata kosong.”
– Musketer Musketer
“Cuti baru ni mancing ikan ni kat Muara Sg Ibai. Pakai umpan hirisan sotong. Punya susah nak dapat sebab terpakai kail besar sikit. Air masa tu baru nak hala ke surut. Since air jernih nampak ikan ni memecahkan & makan teritip yg terlekat di batu dalam air. Giginya tajam sampai tali braided pun berbulu digigitnya.”
– Md Raisyam
“Ikan ni dulu admin kala kat Kuantan memang sedap, dulu masa mancing dengan ayah, dekat 20-30 ekor bawak balik goreng belada. Tapi sekarang ikan ni kalau dapat, nak jamah sikit pun tak boleh buat makan sebab berbau hanyir. Jadi hargai dan jagalah kebersihan, harap sungai, muara kita bertmbah baik, bukan buruk. “
– Al Syaufiq
“Paling senang nak cari ikan ni… kat celah-celah sangkar ternak ikan, guna mata kail kecil sahaja berumpankan isi udang. Nak dapat banyak guna saja rod tanpa reel. Kalau guna joran buluh lagi bagus. Dah macam kat parit pulak rasanya macam masa budak-budak dulu… tapi awas sirip atas ikan ni… bisa kalau kena. “
– Esa Mohd
“Pengalaman pancing ikan ni kat tiang tengah jambatan Pulau Pinang. Mula-mula tak tahu pasal ikan ni. Selalu nampak ikan ni makan teritip kat tiang jambatan. Hanya beberapa kaki dari permukaan air. Kawan ajar macam mana nak pancing. Guna roti, mata kail kecil. Ikan ni saya buat bakar je… paling masyuk bila dapat ikan yang ada telur… perghhh!”
– Mohd Fauzi
“Pernah jugak layan ikan ni kat Sg. Mersing masa zaman budak-budak dulu. Sekali tu jugak pernah tertusuk duri sirip dia masa nk bukak mata kail zass satu kali. Fuuyoooo… gelap pandangan menahan bisa dia… berdenyut-denyut beb…!”
– Han Too
“Kalau ikan kitang saiz pinggan… boleh guna mata 1 saiz kecik umpan belacan gaul dengan tepung. Pakai pelampong… perambut tak payah panjang… air gerak pasang dia start makan… dah penuh dia tak nak layan. Kawan nak try kat Kg Pasir Putih, Pasir Gudang.”
Saya percaya ramai bersetuju bahawa aktiviti memancing ikan leekoh tidaklah semeriah pancingan ikan rohu. Di kebanyakan lapangan seperti kolam pancing air tawar berbayar, ikan leekoh sering terpancing sama apabila memakan umpan yang dikhususkan untuk ikan rohu.
Namun di luar negara terutamanya di Eropah pancingan spesies kap ini begitu hebat dan meluas sehingga mampu membentuk satu komuniti atas nama carp fishing. Begitu juga di negara jiran kita Indonesia, walaupun leekoh atau lebih dikenali dengan nama ikan mas bukanlah spesies tempatan sebagaimana negara kita juga, ia merupakan spesies pancingan utama kolam-kolam pancing komersial.
Merujuk kepada fakta ikan leekoh menjadi ikan pancingan sasaran utama kolam pancing komersial di Indonesia, ia membuktikan pancingan ikan leekoh bukanlah sebagai ikan sukan. Sebaliknya ia adalah satu jenis pancingan yang mementingkan aspek taktikal dan teknikal. Atau dalam erti lainnya, keseronokan sebenar memancing ikan leekoh ialah kesulitan untuk mengumpannya, bukannya selepas mata kail tercangkuk pada mulutnya.
Di negara kita, pancingan ikan leekoh tidaklah dijalankan secara menyeluruh di setiap negeri. Malah, kebanyakan pemancing di pantai timur mungkin tidak pernah menceburi pancingan ini. Sebaliknya di negeri yang pernah aktif dengan perlombongan bijih timah seperti Perak dan Selangor, bekas-bekas lombong yang dijadikan pusat ternakan ikan tawar, yang kemudiannya ditinggalkan, menjadi syurga kepada kepada para pemancing.
Dari lombong-lombong ternakan ikan inilah, sama ada secara sengaja atau tidak, ikan-ikan leekoh ini menjarah pula ke sistem perairan utama. Sungai-sungai utama di Perak contohnya, ikan leekoh sudah boleh ditemui di beberapa lokasi strategik yang sesuai dengan habitatnya.
Suatu ketika dahulu, ikan leekoh pernah menjadi ikan sasaran di kebanyakan kolam pancing. Ini berikutan tabiat makannya yang seperti tidak pernah mengenal erti kenyang. Walaupun perut sudah boyot seperti mahu pecah, tetapi masih lagi mahu memakan umpan. Selain itu ia juga cepat menyesuaikan diri dengan perubahan habitat.
Kebanyakan ikan leekoh yang baru dilepaskan ke kolam pancing, hanya mengambil masa singkat untuk buka mulut. Tidak seperti patin yang mungkin memakan masa beberapa hari atau beberapa minggu setelah dipindahkan dari kolam ternakan.
Namun, disebalik sifat menghiburkan para pemancing kerana mudah memakan umpan, ikan leekoh juga memiliki sisi hitam yang membinasakan. Ikan leekoh dikesan menjadi punca keruntuhan tebing-tebing kolam berikutan sifatnya yang gemar mengorek dan memindahkan tanah tebing dengan mulutnya . Justeru itulah ikan leekoh tidak lagi mendapat tempat di kolam-kolam pancing.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...