Aktiviti casting atau mengilat di kawasan pulau bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia memancing kita.

Pulau Sembilan di Perak contohnya pernah menjadi padang pancing yang bagi kaki mengilat melampiaskan ketagihan aktiviti ini. Malah sehingga kini Pulau Sembilan masih lagi menjadi lokasi pilihan.

 

Walaubagaimana pun kepada yang belum pernah mencuba teknik ini, berikut disediakan beberapa tip atau panduan untuk anda mencapai kepuasan maksima ketika mengilat.

 

➡ Sebaiknya gunalah peralatan ringan atau sederhana kerana ini boleh memberikan kepuasan kepada anda ketika bertarung.

Untuk kepuasan yang berlebihan boleh juga gunakan set ultra ringan namun ia lebih bersesuaian sekiranya anda mengilat bersama-sama rakan penggemar aksi ulra ringan.

Walaupun tepian pulau bukan bermakna ikan-ikan kecil saja yang ada, kadang-kadang GT bagak pun ada datang meronda.

 

IKLAN

➡ Joran berkuatan 10-20 lb atau PE 0.5-1.2 amat sesuai untuk melayan ikan-ikan gerepoh juvana atau talang remaja.

Malah jika terkena ikan yang agak besar ia masih mampu bertahan dan peratus untuk mendaratkan ikan masih ada.

 

➡ Sekiranya gewang disambar ikan besar, kawalan joran yang sempurna amatlah penting bagi mengelak kejadian putus terpaksa.

Pastikan joran sentiasa diangkat tinggi bagi mengekang ikan membenam masuk ke kawasan berbatu yang boleh menyebabkan tali utama atau perambut bergesel dan putus.

 

IKLAN

➡ Bagi mengatasi rintangan batu dan karang yang besar dan tajam, sebaiknya gunalah tali sulam berbanding tali mono (tangsi).

Tali sulam berketahanan 15-25 lb adalah disarankan bersama perambut atau leader fluorocarbon 20-30lb.

 

➡ Kawasan tepian pulau lazimnya didiami oleh pelbagai spesies, jadi gewang yang digunakan juga perlu dipelbagaikan.

Untuk menjerat ikan-ikan yang mendiami kawasan yang lebih dalam seperti kerapu, gewang selaman dalam sekitar 3-5 meterd dengan saiz 9-12 cm perlu digunakan.

IKLAN

 

➡ Bagi mencari spesies yang bermain di kawasan pertengahan dan permukaan air seperti gerepoh, talang dan cencaru kuda, gunalah gewang selaman cetek, sesudu atau gewang permukaan kecil seperti popper 9-12 cm untuk menduga mereka.

 

➡ Pemilihan warna gewang dan jig tidaklah terlalu teknikal. Asalkan ia memiliki warna asas biru dan berkilat, ia sudah boleh dipraktikkan.

 

➡ Kini, penggunaan jig ringan dan mikro jig lebih banyak dipraktikkan berbanding penggunaan gewang atau sesudu.

Teknik ini nyata lebih berkesan namun sifat jig yang tenggelam itu lebih mudah mendorong ia tersangkut pada batu atau karang berbanding pada mulut ikan.

Oleh yang demikian anda harus bijak menganggar kedalaman air dan struktur di dalam air untuk melakukan balingan.

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI