Saya dah baca trip memancing ikan lais dan pengenalan spesies tersebut. Jadi, boleh tak admin beri tip pulak macam mana nak pancing ikan lais tu.
JAWAPAN:
Ikan lais merupakan spesies yang semakin berkurangan kebelakangan ini. Tambah sukar kerana bukan semua sungai di Malaysia ada spesies ini. Salah satu sungai yang masih ada spesies ini adalah Sungai Endau, di Mersing, Johor. Sungai Endau ini bersambung dengan Sungai Sembrong di Kluang, Johor.
IKLAN
Ikan lais juga spesies yang bermusim. Dalam erti kata lainnya, ia bukanlah tidak boleh dipancing sepanjang masa. Biasanya, jumlah ikan lais banyak muncul selepas musim banjir. Namun di luar musim ada juga namun bilangannya agak sedikit.
IKLAN
Faktor air juga penting untuk memancing lais. Biasanya lais lebih mudah dipancing ketika air sungai jernih. Bila air sungai keruh agak sukar menjejak ikan ini. Dari segi umpan pula, cengkerik adalah umpan yang terbaik. Namun umpan lain seperti cacing atau anak udang juga boleh digunakan.
IKLAN
Dari segi peralatan memancing, memadai menggunakan peralatan ringan atau ultra ringan saja. Peralatan untuk memancing udang galah juga boleh digunakan untuk memancing lais. Mata kail kecil saiz 11-13 sudah mencukupi. Perambut halus 6-10lb dah dikira ok sangat.
Teknik perambut pula agak berbeza. Ikatan perambut stail apolo 2 mata adalah yang terbaik. Cara lais memakan umpan adalah dengan membawa lari umpan dengan laju.
Masa tu kita perlu membuat sedikit sentapan lembut pada joran dan melayannya dengan perlahan-lahan hingga ia timbul di permukaan. Spot atau lubuk lais pula biasanya berkumpul di teluk-teluk atau suak-suak sungai yang tenang dan juga tempat yang berarus perlahan.
Boleh tak admin beritahu teknik memancing senangin? Maksud saya dari segi teknik, panjang perambut, mata kail kerana ikan ini mencari makan di pertengahan air. Dan apakah umpan terbaik memancing senangin?
JAWAPAN
Untuk pengetahuan anda, ikan senangin selalunya aktif pada masa air pasang surut serta bila arus agak laju. Umpan yang sesuai adalah udang hidup, anak belanak, isi ikan parang atau lebih popular disebuat cabuk, dan isi ikan kembong segar.
Bagi tali perambut pula saya mencadangkan tali yang agak kasar 40- 50 lb dari jenis tali florucarbon sepanjang 2 meter di mana mata kail jenis circle hook saiz no 2 atau 3 (bergantung pada saiz umpan).
Tali perambut disambung ke tali utama dengan kili dan dipasang batu ladung hidup (running sinker) saiz no 3 atau 6 (bergantung pada arus) pada tali utama.
Memandangkan penggunaan mata lingkar, sebaiknya apabila ikan menarik umpan, anda perlu karau tali dengan perlahan sebab sekiranya sentap dengan kuat, bimbang mata kail jenis circle hook akan terlucut dari mulut ikan.
Dan apabila melawan ikan senangin, anda perlu berjaga jaga kerana ikan senangin suka meluru ke hadapan jadi terpaksalah karau dengan kuat apabila ini berlaku. Tali pula mesti tegang sepanjang masa.
Saya baru nak belajar casting. Boleh tak admin beritahu saya rod mana yang lebih sesuai untuk casting, rod pendek atau panjang?
JAWAPAN:
Setahu admin, sehingga kini belum ada satu standard bagi menetapkan saiz bagi mengkelasifikan sesuatu joran atau rod itu layak dipanggil joran pendek atau panjang. Namun untuk keselesaan memancing dan casting, secara umumnya joran yang lebih panjang dari ukuran ketinggian badan memancing dianggap lebih sesuai untuk digunakan. Sebagai contoh, jika kita memiliki ketinggian 5 kaki maka joran yang ideal ialah 5 kaki 6 inci.
Sebenarnya dalam teknik casting ini kedua-dua joran pendek dan panjang boleh digunakan. Apa yang membezakan dalam pemilihan joran pendek atau panjang tertaktuk kepada situasi dan lokasi. Sebagai contoh, sekiranya anda casting secara menebing atau landbase casting maka joran yang ideal ialah joran yang lebih panjang dari ketinggian anda. Joran sepanjang 6 hingga 7 kaki lebih pratikal untuk capaian lontaran gewang yang lebih jauh.
Sekiranya anda casting di atas sampan atau bot pula tidak perlulah menggunakan joran melebihi 6 kaki panjang. Terutamanya jika terpaksa casting sambil duduk. Joran yang panjang akan menyulitkan keadaan untuk menggayakan gewang khususnya gewang permukaan. Begitu juga casting di kawasan lubuk yang sempit di mana tidak perlu melontar gewang dalam jarak jauh.
Jika ingin dibuat rumusan, secara peribadi saya mengesyorkan anda memilih joran 6 kaki hingga 6 kaki 6 inci. Ia tidak terlalu panjang dan tidak juga terlalu pendek serta boleh digunakan di pelbagai lokasi dan situasi.
Boleh tak admin ceritakan serba sedikit tentang ikan KUKU dan bagaimana cara untuk memancingnya?
JAWAPAN:
Admin akui bagi sesetengah malah ramai juga para pemancing yang tidak mengetahui lebih mendalam tentang spesies ikan kuku. Terutamanya pemancing di sebelah pantai barat Semenanjung kerana spesies ikan kuku ini lebih mudah ditemui di pantai timur serta di Borneo.
Sementara pemancing di pantai timur semenanjung juga pula tidak ramai yang terlibat dengan aktiviti memancing ikan yang berhabitat di kawasan berbatu atau berstruktur di pesisiran pantai dan muara.
Untuk memancing ikan kuku ini kita perlulah tahu diet pemakanannya. Ikan kuku menjadikan krustasia dan sesiput antara makanan utamanya. Jika memerhatikan barisan gigi ikan kuku maka kita akan percaya kenapa ikan ini menjadikan siput teritip sebagai makanannya.
Waktu terbaik memancing ikan kuku ialah ketika air bergerak pasang. Oleh yang demikian, carilah lubuk berstruktur atau berbatu yang berpotensi akan menjadi kawasan ikan kuku berlegar mencari makanan apabila ditenggelami air pasang.