
SOALAN:
Boleh tak bagi tips untuk memancing di perairan Selat Melaka terutamanya di Pulau Jarak menggunakan teknik jigging. Jig jenis apa yang sesuai?
JAWAPAN:
Untuk makluman anda, aktiviti memancing di perairan Pulau Jarak sebenarnya tidak banyak bezanya dengan aktiviti memancing di lokasi lain sepanjang perairan Selat Melaka. Sekiranya anda berhasrat untuk mempraktikkan teknik jigging, terdapat dua kaedah jigging yang popular dan lazim diaplikasikan di perairan Pulau Jarak ini.
Teknik jigging yang biasa diamalkan ketika ini di perairan Pulau Jarak ialah slow pitch jigging dan juga light jigging. Oleh yang demikian, sekiranya anda ingin mengadakan trip jigging di sini maka sebaiknya anda membawa kedua-dua kelengkapan peralatan untuk teknik jigging ini.
Manakala jig yang sesuai untuk digunakan pula bergantung kepada ikan sasaran, kedalaman air dan juga faktor arus semasa. Sekiranya ingin mencuba teknik slow jigging ketika arus lemah, jig berbentuk berbentuk lebar seperti badan sotong yang bersifat melayang di dalam air, dengan berat 120g hingga 200 gm lebih praktikal digunakan.
Sebaliknya jika arus agak laju maka jig berbentuk silinder dan panjang yang mampu membelah arus dengan baik, memiliki berat 200g hingga 350g adalah lebih praktikal. Lazimnya teknik jigging perlahan ini dilakukan bagi menjerat spesies demersal yang bernilai tinggi seperti jenahak dan kerapu.
Sementara bagi teknik light jigging pula ia lazimnya dipraktikkan apabila mensasarkan ikan-ikan pelagik seperti cencaru kuda, tongkol, talang ataupun tenggiri. Ia dilakukan apabila bertemu dengan kumpulan ikan pelagik atau memancing di kawasan karang air cetek yang dipercayai menjadi lubuk ikan-ikan pelagik. Jig-jig yang biasa digunakan pula memiliki warna asas keperakan dan berat antara 60g hingga 120gm.
Korang Tanya Umpan Jawab -S8S27- Kenapa ikan cepat mati?

SOALAN:
Saya merupakan pemancing yang menyokong konsep tangkap dan lepas. Masalahnya, sering terjadi ikan yang saya pancing berkeadaan lemah dan seperti hampir mati ketika hendak dilepaskan kembali.
Apakah yang perlu saya lakukan untuk mengelakkan ikan yang dipancing cepat mati?
JAWAPAN:
Sebenarnya agak sukar kepada saya untuk menjawab persoalan yang dikemukan dengan tepat kerana tidak menyatakan secara jelas jenis pancingan yang dipraktikkan.
Begitu juga dengan spesies ikan yang dipancing dan ingin dilepaskan kembali atas konsep tangkap dan lepas. Ini disebabkan tidak semua spesies ikan sesuai untuk konsep tangkap dan lepas.
Terutamanya jika pancingan air masin yang mana kebanyakan spesies ikan demersal amat mudah mati selepas didaratkan.
Begitu juga dengan kaedah pancingan yang dipraktikan. Ini kerana teknik pancingan konservatif (menggunakan umpan) lebih mudah mendatangkan kecederaan (mudah mati) mati berbanding teknik pancingan mengilat yang menggunakan umpan tiruan.
Oleh yang demikian, berdasarkan soalan tuan, saya beranggapan mungkin anda memancing ikan toman atau sebarau dengan teknik mengilat menggunakan gewang.
Saya beranggapan ikan yang pancing mudah selepas dinaikkan kerana ia kepenatan akibat bertarung habis-habisan dalam proses menyelamatkan nyawa.
Ada beberapa sebab kenapa ikan mudah mati selepas dinaikkan. Antaranya mungkin pertarungan berlangsung agak lama, sebaiknya cubalah daratkan ikan dengan sepantas yang mungkin.
Mungkin juga peralatan pancing yang anda gunakan tidak sepadan dengan kekuatan ikan tersebut, sekaligus menyebabkan pertarungan tersebut menjadi lama.
Harus diingat, semakin lama ikan berada di hujung mata kail, semakin tinggi tekanan yang dialaminya dan semakin banyak asid pembunuh yang dibebaskan ke sistem badannya.
Trip Retro – Operasi Terjah Pemangsa Apung

Diiringi doa dan tawakal kami memancing secara santai selama 3 hari 2 malam di sekitar laut Bagan Tengkorak, Tanjung Karang, Selangor.
Kami menaiki bot milik salah seorang tekong tersohor di Bagan Tengkorak iaitu Wak Jeman Sparrow. Bot beliau mempunyai keluasan 18 x 70 kaki sememangnya memberi banyak ruang untuk pemancing.
Di sebalik musim tengkujuh, tersirat rahsia di sebalik fenomena alam ini. Memandangkan sering berlakunya angin kencang dan hujan lebat di daratan.
Ia telah menyebabkan banyak pokok-pokok yang terdapat di kawasan muara sungai tumbang dan dihanyutkan ke tengah-tengah laut.
Pokok atau sampah hanyut yang digelar ‘apungan’ oleh pemancing di sekitar Tanjung Karang sebenarnya merupakan tempat yang paling sesuai untuk memancing ikan pecah periuk atau dikenali dengan nama lain iaitu ikan siakap batu. Apungan yang banyak ketika inilah yang menjadi sasaran trip kami kali ini.
Selepas bergerak keluar dari jeti Bagan Tengkorak, kami terus bergerak ke salah satu lubuk terdekat untuk sesi pemanas badan.
Kami dimaklumkan lubuk tersebut didiami oleh ikan merah bersaiz kasar. Apa yang dinyatakan oleh tekong Wak Jeman Sparrow memang benar, hanya beberapa minit melabuhkan umpan.
Set pancingan milik Firdaus Arif menerima sambaran kuat. Ikan merah bersekala 1.5kg telah berjaya dinaikan beliau.
Kemudian diikuti oleh Saiful yang menerima sambaran ikan yang sama. Kurang dari setengah jam kami berjaya menaikan beberapa ekor ikan merah dengan disusuli dengan ikan gelama.
Kemudian Tekong Wak Seman Sparrow mencadangkan supaya bergerak untuk mencari apungan yang hanyut. Dengan mudah beliau mengesan beberapa apungan berhampiran dengan lubuk pertama.
PESTA PECAH PERIUK
Semua ahli trip amat teruja apabila bot mula mendekati apungan. Beberapa saat sahaja apabila umpan mencecah air, ikan pecah periuk mula menjamah umpan. Suasana ketika itu amat syok sekali kerana ikan tersebut tidak henti-henti menjamah umpan.
Selepas puas memancing ikan pecah periuk, kami berhenti sebentar di sebuah unjam untuk mencari ikan appollo sebagai bekalan umpan pada waktu malam. Selama 2 jam kami bersantai sambil melakukan appollo, pelbagai jenis ikan berjaya diperoleh.
Selain kembung dan selar, kami juga mendapat banyak ikan cencaru dan talang pandan. Sekurang-kurangnya hasil ikan cencaru dan talang pandan yang diperolehi boleh dibuat lauk di atas bot dan selebihnya dibawa pulang.
Destinasi kami seterusnya ialah ke ‘Lubuk Kapal Kain’. Lubuk dinamakan sempena sebuah kapal yang mengangkut kain dan baju bundle yang karam di situ.
Ujar tekong lagi, lokasi ini terkenal dengan ikan jenahak dan ikan gerut-gerut. Perjalanan ke sana mengambil masa sejam setengah. Cuaca juga menunjukkan tanda-tanda yang baik.
PANCINGAN MALAM
Selesai makan malam yang disediakan oleh Chef PT, kami akhirnya tiba di lubuk yang di maksudkan. Air kelihatan amat laju di dasar dan memberi kesukaran kepada ahli yang menggunakan set manual.
Manakan tidak, batu saiz 24 pun masih hanyut jauh dibawa arus. Beberapa kali juga saya lihat tekong Wak Jeman cuba untuk membetulkan posisi bot yang terpesong ditolak arus.
Walupun begitu, hentian kami di sini tidak sia-sia. Beberapa ekor ikan gerut-gerut bersaiz kasar banyak dinaikkan.
Faizal juga amat bertuah kerana berjaya memperolehi satu-satunya ikan jenahak dalam trip kali ini. Namun menjelang subuh suasana menjadi sepi. Hanya ikan gelama sahaja sudi melayan kami.
Hari kedua kami ditemani hujan lebat dan angin yang kuat. Hujan mula turun selepas menjelangnya waktu subuh.
Aktiviti untuk menjejak apungan telah menjadi sukar memandangkan jarak penglihatan tidak begitu jelas. Kami hanya mampu bertahan dan berharap semuanya selamat.
Hujan masih tidak menunjukkan tanda-tanda ia akan berhenti, Tekong cuba untuk bergerak lebih jauh untuk mengelak fenomena alam ini. Memang azab kami menahan gelora ombak dan angin di atas bot.
Kawasan perairan ini pula tiada pula kawasan atau pulau kecil untuk di jadikan perlindungan. Aktiviti tidur lebih afdal ketika ini.
Kebanyakan ahli-ahli trip mengambil kesempatan untuk tidur dan berehat. Mana yang tahan, mereka sekali sekala mencuba juga untuk memancing.
KURAU SELEPAS RIBUT
Dari awal pagi sampai petang kami dilambung ombak. Tetapi semua ini tidak mematahkan semangat kami. Apa yang dibanggakan tiada seorang pun yang mabuk ketika bot dilambung ombak sepanjang hujan ribut.
Selepas hujan reda pada waktu petang, tekong membawa kami menjengah Lubuk Alor Parit. Ikan sasaran di lubuk ini ialah ikan kurau.
Lubuk ini juga saya dapati lebih dalam dari lubuk sebelum ini. Kedalaman lebih 80 meter serta penggunaan batu ladung saiz 32 amat menyukarkan kaki manual.
Berkat kesabaran kami, beberapa ekor gerut-gerut dapat kami perolehi. Selain itu ikan gelama masih mendominasi tangkapan kami ketika berada di Lubuk Alor Parit ini.
Secara tiba-tiba rod pancing milik Halim Hussin ditarik kasar oleh ikan. Set milik beliau iaitu rod JM Power Spell Pe1.5- 4 dan kekili Daiwa Saltiga 3500 series berserta tali utama Daiwa Dendoh Braided 35lb menjerit nyaring ketika ditarik ikan.
Perlawanan tampak sukar memandangkan penggunaan batu ladung yang berat serta keadaan dasar laut yang berarus laju.
Hampir 30 minit Halim melayan ikan, akhirnya seekor ikan kurau timbul di permukaan air menandakan ikan tersebut telah menyerah kalah.
Halim bersorak gembira kerana ini merupakan lesen kurau pertama dalam hidupnya. Ikan tersebut ditimbang dan angka 5.8kg menunjukkan berat ikan tersebut.
Kemudian kami menyambung semula aktiviti memancing dengan harapan dapat menaikkan ikan kurau sebesar ikan kurau milik Halim.
Tetapi harapan kami punah kerana selepas 1 jam Halim memperoleh ikan Kurau, hujan lebat turun kembali disertai angin kuat sehingga tengah malam.
KEMBALI PULANG
Selepas sarapan pagi, tekong mencadangkan supaya pulang ke jeti memandangkan keadaan cuaca yang belum menunjukkan tanda akan pulih. Cadangan tekong disambut baik oleh kami.
Sepanjang perjalanan pulang, kami membahagikan hasil tangkapan sama rata kepada semua ahli. Saya tidak menyangka, rupa-rupanya banyak juga hasil yang kami peroleh kerana jika dikira balik, kami hanya dapat memancing selama sehari semalam sahaja dan selebih harinya kami telah dilambung hujan dan ombak.
WAC Menyandat Sotong Lagi

Walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan terutamanya mabuk laut pada tahun sebelumnya, Kelab Pemancing Wanita Malaysia atau Women Anglers Club (WAC) ternyata tidak serik untuk menjayakan trip mencandat sotong di perairan Terengganu.
Kali ini, sekitar bulan Mei lalu WAC yang diterajui oleh Normala Abd Rahman selaku presiden kelab telah merancang dan menjayakan trip candat sotong 2018 dengan jumlah ahli penyertaan yang lebih ramai.
Perancangan untuk membawa 40 orang ahli dari Lembah Kelang dengan menyewa sebuah bas persiaran menepati sasaran apabila hanya seorang ahli terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir.
Sebelum turun mencandat sotong yang pada asalnya di jeti Pelabuhan Chendering, mereka (ahli-ahli WAC) berehat dan menjadikan chalet di Noor Arfa Craft Complex yang juga terletak di Kuala Terengganu sebagai lokasi kediaman.
Keghairahan 39 ahli WAC untuk turun mencandat jelas terpancar sejurus turun dari bas menuju ke bot masing-masing. Bagi trip ini mereka menyewa 3 buat bot nelayan kelas C. Dengan jumlah pemancing seramai 13 orang bagi bot kelas C ternyata begitu selesa.
Namun atas sebab yang tidak dapat dielakkan, salah sebuah bot kelas C telah menarik diri dan diganti dengan bot kelas B. Namun ia sama sekali tidak menimbulkan sebarang masalah kepada mereka malah keghairahan untuk menyandat sotong tetap meluap-luap.
Sekitar jam 6 petang barulah tiga buah bot membawa 39 pemancing wanita ini keluar dari kuala Sungai Terengganu menuju ke destinasi candat masing-masing. Namun cuaca pada petang itu agak kurang memberangsangkan.
Kaki langit berwarna merah gelap dan tiupan angin yang menderu sedikit sebanyak merencatkan keghairahan mereka. Malah dalam perjalanan bot ke lubuk lebih dari satu jam itu sudah ada ahli yang tidak mampu menahan alunan ombak yang tiada hentinya.
Sekitar jam 8 malam barulah sesi menyandat sotong dapat dimulakan. Itu pun di kebanyakan bot tidak semua ahli yang berjaya memulakannya. Ditambah dengan hasil candat yang begitu perlahan, seorang demi seorang ahli terpaksa mengakui kekuatan kuasa alam.
Ribut dan hujan lebat yang turun sekitar jam 12 malam hampir menjadi penutup trip candat. Malah diberitakan ada ahli di salah sebuah bot yang menangis ketakutan dan merengek untuk pulang ke darat.
Setelah ribut dan hujan teduh hampir jam 2 pagi, suasana di laut ternyata berbeza. Laut kembali menjadi damai dan mesra. Dan keghairahan mereka untuk mencandat kembali meluap-luap apabila ribuan sotong cumit timbul di permukaan air.
Walaupun kehadiran sotong-sotong itu tidak lama, sekejap muncul sekejap hilang namun ia sudah cukup menggembirakan mereka. Peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya dengan mencandat dan juga menyauk.
Kalau sekali sauk boleh dapat tiga hingga lima ekor sotong sudah tentu sesiapa saja akan berbuat demikian berbanding menyandatnya.
Tepat jam 7 pagi, ketiga-tiga bot yang membawa ahli WAC ini kembali ke jeti di Pelabuhan Chendering. Keceriaan jelas terpancar di wajah masing-masing kecuali salah sebuah bot yang ternyata hasil kurang memberangsangkan.
GALERI