
SOALAN:
Saya ingin tahu cara-cara dan teknik untuk memancing belut. Apakah umpan yang sesuai untuk memancing spesies ini dan mata kail nombor berapa patut digunakan?
JAWAPAN:
Belut merupakan salah satu spesies yang agak unik. Nak kata ular, bukan ular… nak kata ikan tapi tak sama dengan ikan yang lain. Dengan bentuk fizikal yang agak panjang dan licin, belut seringkali disalah anggap sebagai ular jika bertembung secara tidak sengaja.
Apa sekalipun, belut mempunyai nilai pasaran yang agak tinggi malah sering mendapat permintaan untuk dijadikan hidangan makanan.
Spesies berbadan licin ini biasanya boleh ditemui di kawasan sawah bendang. Terdapat 2 cara yang biasanya digunakan untuk menjerat belut. Salah satu daripadanya ialah dengan cara memancing.
Biasanya memancing belut agak sukar bagi pemancing yang tidak biasa dengan pancingan belut. Umpan yang boleh digunakan termasuklah perut ayam dan jantung ayam.
Cara memancingnya pula ialah dengan mengenal pasti lubang yang menjadi habitat kepada belut ini sebelum dihulurkan umpan tadi ke dalam lubang belut.
Buat sedikit pergerakan pada umpan untuk menarik perhatian belut. Mata kail bersaiz nombor 2 sudah memadai untuk memancing belut.
Selain cara memancing, belut juga boleh ditangkap dengan menggunakan perangkap yang dipanggil ‘tukil’ yang secara tradisionalnya diperbuat menggunakan buluh.
Layan Talang Rumah Api Tompok Utara (T.U)

Seawal pagi kami menuju di sebuah kawasan pantai berhampiran Desaru untuk menaiki bot. Destinasinya Rumah Api T.U. Kami menaiki sebuah bot yang dimiliki oleh Tekong Badul.
Tekong Badul amat arif tentang selok-belok perairan di selatan Johor termasuklah di kawasan Rumah Api T.U. Kelihatan bot milik beliau amat selesa dan sesuai dinaiki oleh 6-8 orang pemancing.
Rumah api yang berada di perairan Kota Tinggi sebenarnya merupakan salah satu tempat terbaik untuk memancing talang (Queenfish/Scomberoides commersonnianus) di negara kita, di mana kawasan rumah api ini jika hari cukup baik, ikan talang begitu mudah diperoleh.
Di sini kami menggunakan teknik pancingan yang berkesan untuk memancing ikan talang iaitu menggunakan kaedah teknik jigging.
Penggunaan set ringan bersama jig seberat 20-60 gram amat sesuai digunakan. Jig yang mempunyai ciri-ciri warna yang berwarna perak amat laku di sini.
Selain itu, penggunaan shock leader berkekuatan 40 lb-50 lb amat penting untuk mengelakkan tali putus apabila bergesel dengan tiang rumah api yang tajam.
Gewang dan spon yang berkilat juga boleh digunakan oleh kami sebagai alternatif lain ketika memancing di rumah api T.U.
Ternyata T.U masih penuh dengan lambakan talang, kerana dengan hanya beberapa kali balingan jig, talang pasti akan terpedaya.
Caranya lontarkan sejauh mungkin jig ke arah rumah api dan jig dihenjut laju dan perlahan. Kunjungan kami memang syok kerana talang berskala 4-5 kg banyak dinaikkan.
Beberapa kali juga kejadian tali putus akibat bergesel di tiang rumah api yang penuh dengan teritip.
Penggunaan set ringan amat mengujakan. Perlawanan tampak adil dan memberi kepuasan maksimum, tambahan lagi kepuasan jelas dapat dirasai pada saat talang membuat lompatan dan membenam untuk melepaskan diri.
Selepas makan bekalan yang dibawa sebelum pergi, tekong Badul mencadangkan supaya kami bergerak ke salah satu spot miliknya untuk memancing tenggiri. Pelawaan beliau disambut baik oleh kami semua.
Sebelum itu, umpan ikan hidup perlu dicari menggunakan mata apollo. Setelah memperoleh stok ikan kembung dan selar, kami bergerak menuju ke spot yang dicadangkan. Kami menggunakan teknik menghayut atau drifting untuk menjerat tenggiri.
Beberapa kali tenggiri menyambar umpan ikan hidup yang dihulurkan, tetapi spesies gred A itu kelihatan amat bijak untuk meloloskan diri. Lebih dari enam kali kami gagal menaikkan tenggiri yang memakan umpan. Hanya seekor sahaja yang berjaya diperoleh oleh Berg.
Walaupun begitu, itu sudah memadai memandangkan kami telah memperoleh banyak talang semasa berada di rumah api T.U sebelum ini.
Kami kembali semula ke hotel penginapan kami. Hasil yang memuaskan semasa di rumah api T.U kami kongsi bersama ahli-ahli dari JFT yang datang mengunjungi kami.
Ikan dimasak di sebuah restoran dan dijamu untuk lebih 20 orang ahli JFT yang tiba bersama kami. Keenakan masak asam pedas dan masak lemak cili api talang segar memberikan kami lebih semangat untuk menyambung memancing lagi di lokasi terakhir keesokan hari.
Trip 100 Ekor Toman Setahun!

Kunjungan saya bersama lima orang rakan dianggap memang langkah kanan kerana berpeluang melihat mahligai toman yang sebenar. Kedatangan kami disambut dengan timbulnya pokok-pokok kayu mati yang berceracak, lantaran pintu air Empangan Kenering yang berada di bawah Tasik Air Ganda dibuka. Hampir 80 peratus pokok-pokok ini akan tenggelam, jika air penuh.
Tiga buah bot siap dengan tekong yang ditempah awal telah siap menanti kehadiran kami yang tiba sekitar jam 7.30 pagi. Selepas memasukkan barang dan bot melepasi kuala jeti, masing-masing mencari haluan.
Bila sahaja Tekong Anip kata sudah boleh casting, alamak saya dan Pachai bingung seketika jadinya. Ye lah macam mana nak baling walaupun toman rancak menimbulkan diri di permukaan, tetapi semuanya muncul di celah batang-batang kayu.
Selain nampak renangannya melepasi celahan pokok, saat toman menyambar di permukaan, itulah yang paling didambakan. Tetapi kes ‘tersangkut pokok’ tidak boleh dielakkan semasa gewang dilontar.
Sambaran pertama saya perolehi, betul-betul ketika toman timbul di permukaan. Baru dua kali karauan dilakukan, gewang Ofmer Gold berjaya mendatangkan amarah seekor toman dalam anggaran 1kg.
Pachai juga naik lenguh tangan dibuatnya. Gewang yang dilontar di sebelah kiri bot disambut, mujur toman tidak bermain kasar dengan cuba membelit kayu dan toman anggaran hampir 2 kg berjaya didaratkan. Di suak pertama ini, saya dua kali mendapat strike, satu sahaja yang berhasil.
Tetapi sambaran kasar yang diterima betul-betul di antara batang kayu yang bercabang. Puas menahan asakan daripada membelit batang kayu walaupun bot menghampiri lokasi, sayangnya ia terus sahaja membenam dan terus senyap. Kami terus mencuba di suak ini sambil Anip mengemudikan botnya menghampiri sang toman banyak menimbulkan diri.
Bila jam di tangan menunjukkan angka ke jam 11 pagi, kami mula bergerak keluar. Kali ini bot dipacu keluar tengah tasik untuk mencuba toman yang bermain di kawasan highway tasik. Tekong Anip berhenti di satu kawasan. Ujarnya di toman-toman di kawasan ini bersaiz besar. Tetapi yang tidak menariknya, tempoh ia timbul semula agak lama dan timbulnya agak cepat.
Jika situasi ini berlaku, tomannya tidak begitu agresif mengejar gewang, kecuali betul-betul gewang jatuh di hadapannya. Pachai yang menggunakan Rapala Fat Rap berjaya mendapat sambaran seekor toman yang saiznya boleh tahan.
Menjelang tengah hari, kami bergerak menuju ke satu wakaf (pondok) yang didirikan di atas sebuah pulau untuk berehat dan makan tengah hari. Rakan-rakan dari dua bot lagi juga turut sama sampai tidak lama kemudian.
Sambil menikmati hidangan bekalan makanan yang dibawa, kami rancak berkongsi cerita. Menurut Ujang dan Faizal lokasi yang dikunjunginya bersama tekong Usop banyak menerima strike, sehingga leka tidak berganjak untuk ke spot lain. Sedar-sedar juga hari sudah meninggi.
Begitu juga dengan Adi dan Onn (adik Ujang) yang menaiki bot tekong Faiz, masing-masing berkongsi cerita, termasuklah kisah mereka yang terjumpa banyak kumpulan anak toman bersaiz lengan bayi, tetapi sayangnya tiada ibu yang menjaganya.
Selain menyasarkan casting toman, sebenarnya saya sudah standby satu lagi set casting untuk sebarau. Senang tidak perlu tukar gewang jika terserempak dengannya walaupun saya dimaklumkan, sebarau Air Ganda amat kurang dan sukar dijejaki.
Mereka juga tidak mencari kumpulan sebarau dan kebetulan akan berhenti sekiranya terserempak dengan kumpulan sebarau yang sedang frenzy mengejar anak ikan.
Ujar Anip lagi, sebarau Air Ganda sukar dicari dan jika ada pun ia bukan berada dalam kelompok besar. Faktor ketiadaan anak sungai dan populasi toman yang menguasai hampir keseluruhan Air Ganda menjadi punca mengapa sebarau agak kurang di sini.
Tapi, bagi kaki casting naluri sebarau hunter tetap ada. Nak dijadikan rezeki, saya dan Pachai bertemu juga gerombolan sebarau rempit yang asyik mengejar anak ikan loma. Mudah sahaja bila sudah terjumpa kes seperti ini. Lontarkan gewang dan sesudu sehampir mungkin, terus sahaja disambut. Walaupun bersaiz juvenil, apa yang penting ada kami ada lesen sebarau Air Ganda.
Lewat petang sebelum pulang, kami kembali singgah ke spot yang dikunjungi pagi tadi sambil bergabung kembali dengan bot tekong Usop dan Faiz. Dua strike diterima Faizal dan Adi, tetapi hanya seekor sahaja diperolehi oleh Faizal.
Sebaliknya Rapala Fat Rap warna Fire Tiger sekali lagi berjaya dileburkan oleh toman, langsung tidak boleh control. Walaupun menggunakan lure retriever, bila berlaku kes tali terbelit teruk di bahagian dahan pokok di dalam air, agak sukar gewang dapat diselamatkan. Akhirnya lebur juga gewang berkenaan.
Kami terus casting sehingga hari betul-betul gelap melewati angka 7.30 malam. Ketiga-tiga tekong ini memang tidak berkira tentang hal lebih masa ini, asalkan kami semua puas hati.
Korang tanya umpan jawab – tokey kolam takut rugi, tak bagi guna umpan lampam!

Saya setuju! Hehehe… soalan ini sebenarnya mengimbas memori hampir 20 tahun lalu. Ketika itu memang tengah gila layan siakap kolam.
Hampir semua kolam siakap di Subang Jaya, Shah Alam dan Port Klang saya redah.
Peraturan kolam berkenaan umpan juga berbeza-beza. Boleh dikatakan semua kolam membenarkan umpan udang hidup.
Hanya kolam tertentu saja membenarkan dan menyediakan umpan ikan belanak dan lampam hidup.
Kolam yang menjadi pilihan utama saya ialah kolam di Bukit Kemuning, Shah Alam (kalau tak silap pada ingatan) kerana peraturan di kolam ini sangat mesra pemancing.
Tentu saja umpan kegemaran saya ialah anak lampam sebesar ibu jari. Tambah pula harganya lebih murah sedikit berbanding udang hidup atau ikan belanak.
Pada awalnya saya tidak nampak sebarang masalah kenapa ikan lampam `diharamkan’ penggunaannya di sesetengah kolam.
Hanya apabila stok ikan lampam kehabisan dan perlu memakai udang hidup barulah saya menyedarinya.
Lazimnya kolam pancing yang membenarkan penggunaan ikan lampam akan berhadapan masalah dengan ikan lampam itu sendiri.
Kolam pancing yang mana tahap saniliti airnya yang rendah membolehkan ikan lampam yang dijadikan umpan itu membesar dan membiak dengan jayanya di kolam tersebut.
baca juga 6 faktor utama pancing siakap
Lampam-lampam yang membesar dengan jayanya ini akan memakan apa saja makanan yang ada di dalam kolam termasuklah udang hidup yang dijadikan umpan.
Apabila udang hidup pemancing dikerjakan oleh lampam pastinya akan membuatkan pemancing marah.
Atas sebab itulah sebenarnya ikan lampam tidak dibenarkan penggunaannya, bukanlah kerana taukeh kolam takut koyak poket atau merah mata melihat pemancing memunggah siakap hasil penggunaan umpan ikan lampam.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan