Sekiranya kita biasa casting ikan siakap merah, maka peralatan yang sama boleh digunakan.
Tapi sebagai insuran, adalah lebih baik ditingkat satu paras kekuatan dan kelasakan peralatan tersebut kerana daya hentaman dan juang ikan tembaring juga jauh lebih mengatasi siakap merah.
Casting Reel
Sama ada kekili menegak atau mendatar, kebanyakannya sesuai untuk memancing tembaring.
Memancing tembaring tidak memerlukan kekili berkelajuan tinggi sebaliknya kekili berkelajuan rendah dan kayuhan bertenaga bagi mengimbangi kekuatan pemangsa.
Tambahan pula persembahan umpan tidak perlu digayakan dengan laju. Berdasarkan pengalaman, kekili seperti Daiwa Zillion crazy Cranker (gear ratio 4.9:1) merupakan kekili terbaik untuk dipadankan.
Joran
Joran aksi sederhana, kuasa kelas medium berkuatan 10-20lb hingga 15-25lb dan panjang 5.5-6.5 kaki merupakan joran yang selesa dan sepadan untuk digunakan.
Jangan pandang ringan dengan kekuatan black bass walaupun bersaiz kecil. Tambah habitatnya adalah di kawasan reba banat yang mencabar.
Tidak dinafikan, gewang crank atau cranbait lure merupakan gewang plug yang paling serasi dengan tembaring di perairan kita.
Walaupun ada kejadian mencatatkan gewang permukaan turut menerima sambaran namun peratusannya sangat rendah.
Pelbagai model gewang crank boleh digunakan namun sehingga kini gewang Ofmer X Deep Fire tiger menepati saiz mangsa yang menjadi diet utama tembaring.
IKLAN
Tali Utama
Tiada masalah jika ingin menggunakan tali tangsi atau mono sebagai tali utama namun disarankan gunalah tali sulam berkuatan 30-40 lb.
Perambut / Leader
Tali perambut dari jenis fluorocarbon berkuatan 40-50lb sangat digalakkan penggunaannya sepadan dengan tali utama.
Leader yang keras dan tahan lasak amat penting bagi menangani kerakusan pemangsa serta geografi padang pancing.
IKLAN
Mata kail
Amat disarankan pilihlah mata kail (treble hook) berkuatan 4X-6X. Harus diingat daya hentaman tembaring berupaya meluruskan atau merapatkan mata kail dengan mudah. Tidak perlu memilih mata kail yang mahal harganya. Mata kail VMC 4X sudah memadai.
Split Ring & Snap
Split ring dan snap berkuasa tinggi atau tugas berat perlu digunakan sekiranya anda tidak mahu berputih mata atau kehilangan gewang kesayangan. Carilah split ring dan snap yang mampu menahan tekanan sehingga 80-100 lb.
Kami kongsikan sedikit sebanyak info mengenai perumpun pasir buat pemancing yang menggemari aktiviti memancing di pantai atau muara.
Habitat:
Sesuai dengan namanya, umpun-umpun pasir menjadikan kawasan berpasir sebagai habitatnya. Kebiasaannya umpun jenis ini senang ditemui di kawasan yang mempunyai pasir yang kasar. Khususnya kawasan berpasir dan bertanah lumpur.
Cara Mencari Perumpun Pasir:
Terdapat pelbagai kaedah untuk mencari dan mendapatkan perumpun pasir ini. Cara yang paling mudah adalah dengan menggunakan skop atau cangkul sahaja. Namun untuk mendapatkan saiz umpun pasir yang lebih kasar, teknik menangkap menggunakan tangan amat popular. Bagi kaedah ini anda perlulah cekap menggunakan tangan.
Pada kebiasaannya, campuran dedak ayam dan belacan atau ikan busuk sering digunakan untuk menarik perhatian perumpun ini keluar dari pasir dan tangan haruslah sepantas yang mungkin untuk menarik umpan ini.
Spesies sasaran:
Gelama, bolos, daun baru, semilang, gerut-gerut, kerapu, tetanda, pari. Pernah juga pemancing berjaya menjinakkan siakap dengan perumpun pasir ini.
Cara Menggunakan Perumpun Pasir:
Umpun-umpun pasir dicangkuk padat pada mata kail. Lebih efektif jika menggunakan perambut 2 mata atau perambut apollo.
Sekurang-kurangnya sebulan dua kali aku dan teman sekomplot akan pergi ke mana-mana lubuk untuk memancing sama ada dengan teknik mengilat atau pancingan dasar. Akan tetapi pada suatu cuti minggu, aku tidak dapat beraksi kerana jemputan ke majlis kenduri kahwin rakan ketika sama-sama menuntut di universiti dulu.
Sambil aku dan isteri menikmati nasi minyak pengantin, aku dikejutkan dengan paluan kompang. Rupa-rupanya pengantin sampai awal daripada yang dijangkakan. Jam baru menunjukkan pukul 1.00 petang. Dalam hati terdetik ‘masih awal, ada peluang nak mancing petang ni’. Setelah menghabiskan makanan, aku dan isteri pulang ke rumah.
Setiba di rumah, aku terus capai telefon bimbit dan menelefon Nizam. Rupanya NNizam sedang membangau di kolam. Sasaran beliau ialah rohu tetapi tidak seekor pun yang strike. Dah hampir tiga jam katanya.
Racun punya racun, NNizam akur dengan pelawaan untuk terjah port haruan sekitar tali air di Batang Berjuntai. Tapi beliau perlu ke rumah terlebih dahulu untuk mengambil set casting.
Dari rumahnya ke rumahku hanya mengambil masa 20 hingga ke 30 minit perjalanan. Oleh kerana beliau tidak biasa ke rumah aku kerana kami selalu berjumpa di port-port memancing atau di luar untuk mengeteh, beliau telah sesat hampir sejam lebih.
Setibanya Nizam di perkarangan rumah, kami mengambil keputusan untuk naik satu kereta iaitu kereta aku. Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini.
Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan lama aku memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang. Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah.
Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu.
Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya. Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali.
Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Nizam supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada NNizam. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di set-up tersebut.
Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang. Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur.
Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama.
Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 minit malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Nizam untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi.
Nizam bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul.
Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul. Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa.
Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Nizam mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan exit ke highway telah terlalu jauh.
Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut.
Tetapi kini suara azan isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami. Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh,
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”.
Nizam yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya. Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut.
Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati.
Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?” pakcik itu kehairanan dan menjawab,
“Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Nizam hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Nizam hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Zam!” Tetapi tidak diendahkan oleh Nizam sebaliknya Nizam terus memecut laju pulang ke rumah.
Malam itu sebelum tidur, aku terima Whatsapp dari Nizam, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan pasar malam tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Nizam sahaja yang berada di dalam kereta.
Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...