
Had kawasan
Pantau sempadan kawasan yang selamat untuk duduk, beraksi dan mendaratkan tangkapan. Ia amat penting terutamanya memancing di tebing tinggi agar tidak terjatuh atau tanah lembik agar tidak terjerlus hingga tenggelam anggota badan.
Kawasan aman
Pastikan juga port pilihan itu selamat dari sebarang ancaman yang tak terduga seperti serangan binatang berbisa. Elakkan dari berada di port yang terdapat sarang tebuan atau ular. Jadi, sebaiknya pilih kawasan yang agak lapang.
Kenali jenis ikan
Mengenali jenis ikan bukan saja penting bagi membolehkan anda menggunakan umpan yang tepat tetapi juga anda membawa pulang jenis ikan betul. Manalah tahu kalau-kalau emak atau isteri anda memesan ikan sembilang untuk dibawa pulang tetapi ikan belukang pula yang anda tapau.
Cara pengendalian ikan
Setelah anda mengenali jenis ikan maka anda perlu tahu cara untuk memegang ikan khususnya ketika menanggalkan mata kail. Pengendalian yang silap, contohnya memegang ikan duri atau sembilang sebagaimana memegang ikan gelama pastinya mengundang padah terkena sengat.
Amaran pasang surut
Selain dari perlu mengetahui had kawasan untuk duduk menebing, anda juga perlu tahu had air pasang dan surut. Ia boleh boleh menimbulkan bencana sekiranya leka berada kawasan yang akan tenggelam ketika air pasang. Ada sesetengah jeti memancing akan tenggelam apabila fenomena air pasang besar berlaku.
Air minuman
Meskipun anda tidak bercadang untuk memancing dalam tempoh yang agak panjang, sebaiknya jangan lupa untuk membawa bekalan air minuman terutamanya air mineral. Selain dari mustahak untuk keperluan badan, air putih atau mineral ini boleh dijadikan bahan keperluan yang amat penting bagi sebarang kejadian yang tidak diingini.
Royal Belum : Lubuk Memancing Asli

Sebut sahaja Taman Negeri Perak atau Royal Belum, tergambar satu panorama indah mengenai sebuah landskap hutan semula jadi yang indah. Ia diberi pengiktirafan sebagai ‘Diraja’ oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 2003. Seterusnya ia diwartakan di bawah Enakmen perbadanan Taman negeri Perak 2001 oleh kerajaan Perak pada 17 April 2007.
Kawasan yang diwartakan seluas 117,500 hektar. Dianggarkan, Royal Belum memiliki lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 jenis ikan sungai yang menjadikan kawasan hutan termasuk sungai serta tasik sebagai habitat. Ia juga dikenal pasti sebagai Kawasan Alam Sekitar Sensitif di bawah Pelan Fizikal Malaysia 2005 kerana menjadi tempat perlindungan gajah, harimau belang, badak sumbu dan tapir.
Sebagai lembah Hutan Tropika dara terbesar dan tertua di Semenanjung dan berusia lebih 130 juta tahun , ia lokasi penting kawasan perlindungan burung, terutama burung enggang. Namun, tidak mudah atau sewenang-wenangnya untuk memasuki Royal Belum melainkan perlu memohon permit dahulu dari Perbadanan Taman Negeri Perak sebelum memasukinya.
Caranya, jika untuk tujuan memancing, minta sahaja guide atau tekong menguruskan permitnya. Manakala untuk tujuan santai boleh minta pengurusan hotel yang terdapat sini membuatnya untuk anda dan selepas mendaftar masuk, pihak berkuasa akan merekodkan bila anda masuk dan keluar.
Lubuk memancing Bagi kaki pancing tegar, Royal Belum memang dianggap lubuk terbaik. Bahkan daripada susunan ranking lokasi pancingan tasik di negara ini, ada yang berani mengatakan, Royal Belum atau disebut juga Temenggor Utara lebih baik dari Tasik Kenyir kerana populasi ikannya seperti sebarau, toman, kelah, kejor, tengas, temoleh, kalui, baung masih banyak.
Untuk kaki casting tegar yang ingin mencari sebarau, toman, pilihan terbaik ke Sungai Tiang, Papan, Kenarong dan Sungai Kejar. Servis yang terbaik ialah menggunakan khidmat speedboat dan tidur di wakaf yang telah disediakan. Manakala untuk pancingan santai bersama kaum keluarga atau rakan-rakan, pilihan terbaik adalah menyewa boathouse sambil menyusuri tasik ini sehinggalah ke Sungai Kejar.
Bagi kaki pancing berhasrat mencari kelah, trekking ke hulu sungai adalah terbaik. Lokasinya ialah berjalan kaki dari tapak perkhemahan Sungai Kejar, melalui Sungai Ketir, Berting, Sanghur hingga ke Sungai Laho. Purata perjalanan 4-8 jam. Semakin menghala ke hulu, semakin bertemulah anda dengan lubuk-lubuk kelah, tengas, kejor yang bisa menggetarkan tangan apabila umpan yang dilontar dilarikan ganas oleh penghuni lubuknya.
Waktu sesuai Sebenarnya Royal Belum boleh dikunjungi bila-bila masa sahaja sepanjang tahun. Apa yang penting, adalah apa target spesies yang anda sasarkan. Secara umumnya, bulan April hingga Julai dianggap waktu terbaik memancing kelah kerana ketika ini musim panas. Untuk merasai bagaimana kuatnya penangan toman Royal Belum, waktu ini juga dianggap sesuai.
Manakala musim tengkujuh, Oktober hingga Januari merupakan saat yang paling sesuai atau pesta untuk kaki casting mencari sebarau atau ikan trofi, iaitu badong kerana kumpulan ini biasanya kan lebih kerap ‘boiling’ untuk mencari makanan. Pokok pangkalnya, perlulah sentiasa berhubung dengan rakan atau tekong yang biasa di kawasan ini, terutama bila waktu ‘paling sesuai’ (kerap hujan, panas terik, air naik tinggi) atau ‘tidak sesuai’ (air tasik surut teruk, rumput telah masam, harimau bawa anak).
Teknik Memancing Di Royal Belum
Casting
Kesemua jenis aksi gewang (floating, sinking, suspending) disyorkan wajib ada dalam kotak gewang. Tapi bergantung juga dengan lokasi dan spesies yang disasarkan. Untuk yang baru berjinak dengan kaedah ini, bolehlah minta pendapat rakan kaki casting. Tidak perlu membeli gewang secara banyak dalam satu-satu masa. Sebaiknya beli sedikit demi sedikit dan beli mengikut warna dan jenis gewang ‘killer’ sahaja.
Spoon- Satu lagi item wajib ada, kerana ada masanya, sebarau memandang sepi gewang anda dan sedang boiling jauh dari speedboat. Pastikan warna-warna ‘killer’ (gold, silver) berat 7-18 gram mesti bawa.
Mengenai teknik persembahan, cubalah tanyakan otai-otai, sama ada perlu karau laju, perlahan, jerk, light jigging.
Bottom
Untuk kaki bottom, bawalah apa sahaja yang anda perlukan di sini, terutama tapa (baung), anak ikan kap, emas (baung besar, belida), cengkerik (baung, kalui), cacing tanah (baung, ikan terbul) dan anak keli (toman).
Tahukah anda?
Di sebalik nama Royal belum itu sendiri, nama Belum itu diambil daripada nama asal perkampungan Melayu, iaitu Kampung Belum Lama yang meliputi enam perkampungan kecil yang wujud sejak tahun 1952 lagi. Bahkan, belum itu sendiri sebenarnya diambil daripada bunyi yang dihasilkan oleh sejenis belalang besar berwarna hijau yang menghuni hutan ini yang mengeluarkan bunyi belum, belum, beluuummm!.
Sejarah juga pernah mencatatkan kawasan ini diwartakan sebagai kawasan hitam pada tahun 1984 kerana berlakunya ancaman pengganas komunis. Aktiviti ketenteraan dan kem tentera yang terdapat di sini berfungsi sebagai menjaga kawasan sempadan bagi menghalang sebarang aktiviti pencerobohan dan penyeludupan membawa keluar hasil hutan terutama kayu gaharu yang banyak terdapat di sini.
Sesiapa yang berhajat berkunjung ke sini untuk tujuan rekreasi, anda perlu mendapatkan permit terlebih dahulu dari Perbadanan Taman negeri Royal Belum dan perlu patuh terhadap peraturan sepanjang berada di sini.
Cara Mengepal Dedak Menggunakan Dedak Pam

Pam yang digunakan ini sebenarnya ialah pam silikon yang diubah suai untuk dijadikan peralatan memancing. Tujuan penggunaan pam silikon atau dedak pam ini adalah untuk mengepal dedak yang pastinya sukar jika menggunakan tapak tangan untuk mengepal dedak pada mata kail.
BAHAN-BAHAN KEPERLUAN
Dedak 929/6363
Sos umpan patin
Pes perisa
Keropok jajan
Dawai penebuk
Perambut 2 mata
TUTORIAL 1
Masukkan dedak ke dalam tong bancuhan kira-kira setengah kilogram. Terpulang kepada anda untuk menggunakan dedak 929 atau sebagainya.
TUTORIAL 2
Tuangkan 5 penutup botol sos umpan yang anda suka ke atas dedak dan gaul hingga sekata (jika tidak ingin menggunakan sos umpan pun tak mengapa). Sekiranya adunan dedak terlalu kering, boleh percikan sedikit air.
TUTORIAL 3
Masukkan perisa tambahan sama ada pandan/strawberi kira-kira 2-3 penutup dan gaul sehingga rata (masukkan lebih sekiranya anda hanya menggunakan perisa tanpa sos umpan).
TUTORIAL 4
Cucuk keropok atau jajan pada mata kail dan pastikan jajan tersebut tidak menutupi mata kail sepenuhnya.
TUTORIAL 5
Masukkan dedak separuh penuh ke dalam pam, pasangkan penutup pam dan tekan pemetik pam dua atau tiga kali. Kemudian buka kembali penutup pam.
TUTORIAL 6
Gunakan dawai penebuk untuk membuat lubang pada dedak di bahagian tengah pam untuk memasukkan perambut mata kail.
Pastikan swivel perambut menemusi keluar dari pam dan mata kail berjajan berada di tengah-tengah pam.
TUTORIAL 7
Penuhkan pam dengan dedak, pasangkan kembali penutup pam dan tekan pemetik pam sehingga benar-benar ketat agar dedak mampat di dalamnya.
TUTORIAL 8
Biarkan dedak mampat di dalam pam kira-kira 5 minit sebelum mengeluarkannya untuk dijadikan umpan memancing.
7 Sungai Dan Ikan Monster Pilihan Jeremy Wade!!

Jeremy Wade… ada ke pemancing yang tak kenal Jeremy Wade (JW)? Pemancing profesional, traveler, penulis dan pengacara siri dokumenteri River Monsters, pernah
berkata bahawa kebanyakan sungai telah kehilangan sebahagian besar ikan monster dalam kurun waktu 50 hingga 100 tahun terakhir, terutamanya akibat tangkapan berlebihan atau overfishing.
Lokasi terpencil juga sudah tidak lagi menjadi jaminan bahawa para monster masih menghuni sungainya.
Dalam kembara ke pelbagai penjuru dunia untuk memancing sehingga ke sungai-sungai terpencil, Jeremy menemukan beberapa sungai di dunia dengan ikan ukuran monster.
➡ Sungai Kongo
Sungai pertama yang disebut oleh JW memiliki ikan monster ialah Sungai Kongo yang terletak di Republik Kongo.
Sungai didiami ikan dari spesies goliath tigerfish yang mampu membesar sehingga mencapai berat 45 kg.
Menurut JW, Goliath tigerfish memiliki gigi yang tajam seperti piranha, tapi mereka membesar dengan ukuran manusia.
Ikan yang beliau pernah daratkan dan dirakam fotonya memiliki gigi yang panjangnya sama seperti great white shark.
➡ Sungai Teles Pires
Sungai Teles Pires yang terletak di Brazil ini memiliki pelbagai jenis ikan spesies catfish yang berukuran sangat besar, sepanjang saiz orang dewasa.
Namun untuk menangkapnya, anda harus menyiapkan tenaga ekstra karena arus di sungai ini amat deras.
➡ Sungai Okavango
Hampir 100 jenis ikan, 150 amfibia dan reptilia hidup di sekitar delta Sungai Okavango di Botswana. Saiz ukurannya pun pelbagai khususnya ikan.
Sungai ini juga menjadi kediaman ikan-ikan berstatus monster.
“Di sini, spesimen tigerfish yang ditemui berukuran lebih dari 10lb atau 4.5 kg,” menurut kata JW.
➡ Sungai Ebro
Aliran air yang sederhana panas dan kaya akan nutrisi membuatkan Sungai Ebro di timur laut Sepanyol ini memboleh ikan dari jenis catfish (keli) membesar dengan sihat.
Dengan mudah ikan catfish membesar sehingga memiliki berat 90 kg.
➡ Sungai Trinity
Terletak di Texas, Amerika Syarikat, Sungai Trinity juga dihuni ikan monster. Di sini, para pemancing boleh menangkap spesies yang popular seperti alligator gar.
Alligator gar merupakan ikan monster air tawar terbesar dan hanya ada di Amerika Utara. Alligator gar mampu memiliki berat sehingga 90 kg.
➡ Sungai Delger Muron
Taimen adalah salah satu ikan yang masuk dalam keluarga salmon. Mereka hidup di Mongolia, tepatnya Sungai Delger Muron.
Taimen memiliki gigi yang tajam, biasanya digunakan untuk menyerang itik atau tikus yang sedang berenang.
“Taimen, lenok trout dan grayling adalah jenis ikan yang biasa ditemukan di Sungai Delger Muron,” ujar JW.
➡ Sungai Nil, Uganda
Kehidupan liar di barat laut Uganda ternyata juga menjadi habitat ikan monster, atau lebih tepat lagi di aliran Sungai Nil.
Sungai yang juga dikenal dengan sebutan Victoria Nile ini dihuni oleh barramundi atau Nile perch berukuran sehingga 45 kg.