Campur sedikit umpan gam (setengah genggam) dan gaul lagi hingga sekata. Boleh juga guna tepung gandum jika tiada umpan gam. Jika guna tepung gandum, memadai sekadar 2-3 genggam saja.
Umpan ketam paling popular digunakan untuk memancing ketarap atau bayan. Umpan ini boleh juga digunakan untuk memancing ikan kerapu. Ia sebenarnya boleh digunakan untuk memancing di laut dalam, pantai dan muara sungai.
Terdapat banyak jenis ketam yang dijumpai di perairan negara kita dan boleh dikatakan beberapa jenis sahaja yang boleh digunakan senagai umpan iaitu dari jenis ketam batu, ketam nyiur, ketam biru atau ketam renjong dan sejenis ketam yang kecil yang selalu dijumpai di kawasan hutan bakau.
Ketam kecil ini namanya saya tidak pasti tetapi ia bersaiz lebih kurang sebesar duit siling 20-50 sen dan berwarna coklat.
Bagi penggunaan ketam kita haruslah menyimpannya dengan baik kerana ketam yang mati dan busuk tidak akan menarik minat ikan untuk memakannya. Seboleh bolehnya gunakan ketam yang segar dan baik.
Cara menyimpan
Cara untuk menyimpan ketam yang mati supaya ia akan selalu segar adalah untuk membungkusnya dengan kertas seekor demi seekor dan menanamnya ke dalam ais yang dihancurkan. Lagi bagus ketam dibekukan terlebih dahulu.
Sekiranya bot yang anda naiki itu mempunyai tempat menyimpan umpan hidup maka bolehlah anda menyimpan ketam hidup di dalamnya.
Sekiranya bot tidak mempunyai tempat menyimpan umpan hidup, anda boleh menyimpannya di dalam kotak dengan memasukkan air masin sedikit dan pastikan simpan di tempat yang teduh dan elakkan dari pancaran matahari secara terus.
Untuk perjalanan yang jauh masukkan ais sebesar dua penumbuk dalam plastik dan ikatkannya, kemudian masukkan ais ini ke dalam tempat simpan ketam bersama ketam hidup tersebut. Siramkan sedikit air setiap 4 jam supaya badan ketam tersebut tidak kering.
Cara cangkuk
Terdapat beberapa cara untuk mencangkuk ketam tersebut, apa yang penting adalah cara kita mencangkuknya perlu mengambil kira beberapa faktor.
Mata kail
Mata kail memainkan peranan yang amat penting semasa mengguna umpankan ketam hidup kerana sekira kail itu terlalu besar dan berat maka ia akan membunuh umpan tersebut. Anda perlulah menyesuaikan kail dengan umpan.
Bagi saya mata kail bersaiz antara 1/0 hingga 4/0 adalah yang paling sesuai sekali terutama yang diperbuat daripada aloi atau carbon steel kerana sangat ringan tetapi kuat.
Jenis perambut
Jenis perambut yang digunakan juga memainkan peranan yang penting kerana ia akan menentukan sekiranya umpan dapat bergerak secara semula jadi. Sekiranya wire leader digunakan, cubalah menggunakan yang paling halus sekali. Bagi saya, wire leader yang saya selalu gunakan adalah dari jenis 15lb hingga 60lb.
Dan sekiranya tidak menggunakan wire Leader, saya menggunakan perambut mono antara 40lb hingga 80lb.
Selepas kita mengkaji faktor di atas maka terdapat beberapa cara untuk mencangkuk umpan ketam yang hidup. Sekiranya ketam itu terlalu besar maka kita bolehlah memotongnya atau menggunakan sebahagian dari ketam tersebut.
Untuk mencangkuk kail pada ketam kita boleh mencangkuknya pada bahagian antara kaki ketam. Saiz yang sesuai digunakan sekiranya memancing dengan menggunakan ketam seekor bergantung pada saiz ikan yang dipancing. Saya syorkan saiz ketam tidak melebihi 3 inci garis lentang.
Kita boleh juga mencangkuk ketam tersebut secara sekerat, bahagian isi badan, atau secara mengumpulkan beberapa kaki ketam dan mencangkuknya pada mata kail atau menggunakan sepitnya dengan mencangkuk pada bahagian tengah penyepit.
Bagi umpan yang segar atau mati pula maka kita boleh menggunakan kaedah di atas atau mencangkuk melalui seekor ke badan ketam tersebut atau beberapa ekor sekali sekiranya ia kecil.
Di semenanjung Malaysia, bulan April sehinggalah sehingga bulan September/ Oktober (sebelum tibanya musim tengkujuh) dianggap waktu musim mencari sotong atau lebih dikenali sebagai mencandat sotong. Waktu ini, perairan pantai timur (Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing, Johor) meriah dengan aktiviti mencandat sotong.
Namun mencandat di negeri Terengganu lebih popular sehinggakan tempahan bot akan sentiasa penuh. Kehadiran sotong dalam jumlah yang banyak dengan saiz yang ‘bagak’ menggamit kaki-kaki candat seluruh tanah air berkunjung ke sini.
Pada waktu malam, kita boleh melihat betapa meriahnya perairan dari Kemaman, Paka, Dungun, Merchang, Marang, Kuala Terengganu, Batu Rakit dan Penarik dengan kerlipan cahaya lampu-lampu bot nelayan yang turun mencandat.
Perambut yang bersenjatakan gewang candat 4-5 biji sentiasa ‘full house’ dan kita boleh mencandat seratus kilogram atau lebih apabila berada di atas ‘kandang sotong’ atau ‘telur’ kerana sotong yang bersifat garang ketika ini pasti menyerang candat yang memasuki ‘kawasan larangan’, walaupun di siang hari!
Sotong torak, jarum/cumit adalah sotong yang biasa di candat di perairan negara kita. Manakala sotong mengabang @ ngabang lebih kerap diperolehi jika memancing di kawasan berstruktur seperti unjam, tukun serta batuan di tepian pulau. Sotong kurita pula ditangkap menggunakan sauk atau menggunakan tangan.
Sotong torak sentiasa menjadi buruan utama kaki candat kerana saiznya yang besar serta badan yang lebih panjang hingga mencecah hampir 2 kaki berbanding sotong jarum atau cumit.
Sotong boleh dipancing menggunakan candat. Terdapat beberapa jenis candat yang biasa digunakan sejak sekian lama:
CANDAT UDANG
Candat yang menyerupai bentuk udang ini cukup popular di kalangan pemancing. Banyak dijual di kedai-kedai pancing seluruh negara. Yamashita dan Yo-zuri antara jenama candat udang yang menjadi rebutan pemancing kerana keberkesanannya menjerat si lembut meskipun harga yang tertera ‘sendiri mau ingat’.
Bersifat timbul tetapi diimbangi dengan timah pemberat di dada dalam beberapa saiz. Dihiasi dengan dua helai bulu ayam di kiri dan kanan badannya. Kini candat udang telah diperbaharui dengan pelbagai corak yang menarik dan warna yang lebih striking serta bercahaya mengikut tahap kejernihan air laut dan cahaya bulan. Candat ini menjadi kegilaan para peminat sotong mengabang khususnya untuk mengilat di tepian pulau atau di sekitar kawasan berbatu.
CANDAT MAYAT
Candat ini mendapat namanya kerana ia dibungkus/dikapan dengan kain seumpama mayat. Ia cukup popular di kalangan nelayan pantai timur. Candat ini ringan, ia diikat 2-3 biji pada tali perambut dan perlu dihenjut agar melambai-lambai memanggil sotong datang menghampiri. Berharga ekonomi dan banyak dijual di sekitar pantai timur. Candat mayat merupakan senjata yang ‘mesti ada’ di dalam tackle box peminat sotong.
CANDAT PAYUNG
Candat tradisional dan telah digunakan sejak sekian lama. Mendapat nama ‘payung’ kerana pada peringkat awal, candat ini diperbuat dari bahagian hujung besi payung dan dijalin dengan beberapa bentuk mata kail menggunakan tali tangsi atau benang jala.
Ia juga dikenali sebagai candat umpan. Ikan umpan akan dicucuk pada batang candat ini dari bahagian ekor ke kepala. Tamban, alu-alu, kembung,kunyit dan selayang antara jenis ikan umpan yang sering digunakan tetapi saiz ikan mestilah tidak melebihi panjang besi candat. Batu ladung hidup perlu dimasukkan ke tali utama atau boleh juga menggunakan tanduk.
CANDAT TWIST
Candat yang berat ini dikelilingi banyak mata kail. Badan candat ini dibaluti dengan kain berwarna-warni. Penggunaan candat 2 in1 ini adalah sebagai pemberat, sekali gus boleh menjerat sotong berbanding dengan menggunakan batu ladung yang tidak mempunyai mata kail. Candat twist diikat ke hujung tangsi/perambut. Tujuannya adalah untuk memastikan tangsi sentiasa tegang ke bawah.
Manakala 2-3 biji candat mayat atau candat apollo diikat pada tangsi/perambut bahagian atas candat twist ini. Ramai pemancing memilih candat twist siam yang lebih slim agar lebih laju turun ke dasar. Cepat sampai ke dasar bermakna lebih banyak sotong akan menghuni tong yang dibawa.
Memancing ikan lampam merupakan salah acara wajib apabila berkunjung ke Tasik Kenyir dengan menggunakan perkhidmatan rumah bot atau boathouse.
Lazimnya, pengusaha atau pemilik rumah bot akan menyediakan peralatan asas dan umpan untuk para pelanggan memancing lampam.
Cara memancingnya pula akan ditunjuk ajar oleh kru rumah bot.
Pemilik atau kru rumah bot merupakan orang yang cukup berpengalaman dalam soal memancing lampam. Begitu jugalah dalam soal menyediakan umpan untuk lampam.
Umpan kerak nasi lemak yang dikongsikan di sini juga merupakan salah satu umpan yang didedahkan oleh kru rumah bot Tasik Kenyir.
Kenapa nasi lemak?
Ikan lampam dipercayai menyukai sesuatu yang berlemak. Oleh kerana itulah buah sawit yang berlemak dan berminyak merupakan umpan yang disukai oleh lampam.
Begitu jugalah nasi lemak yang kaya dengan santan yang lemak manis.
Bahan keperluan:
Kerak nasi lemak
Mata kail rambai
Set pancing lampam
Cara Penyediaan Umpan:
Kerak dan nasi lemak yang sudah keras direndam terlebih dahulu di dalam air. Memadai direndam sekadar melembutkannya sahaja. Sekiranya terlalu dan kembang berderai ia sudah tidak boleh digunakan lagi.
Ambil kira-kira segenggam keras nasi lemak yang masih melekat dan cucukkan mata kail rambai. Kemudian turunkan umpan tersebut ke dasar lubuk yang mana ikan-ikan lampam banyak berlegar-legar di permukaan air.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...