Drag memainkan peranan penting sewaktu pertarungan dengan ikan. Sentiasalah memeriksa drag anda agar tidak terlalu longgar, mahupun terlalu ketat kerana ini boleh memberi peluang kepada ikan meloloskan diri.
Periksa Kondisi Tali Pada Reel
Tidak kiralah sama ada anda mengguna braided atau mono. Pemeriksaan tali memang sangat penting. Banyak berlaku kes-kes rabut akibat daripada tali yang sudah lama atau reput. Seelok-eloknya tukar tali anda dengan agak kerap mengikut kesesuaian.
Sentiasa Memeriksa Sambungan Tali Dan Leader
Penting untuk memastikan ikatan sambungan tali dan leader kuat bagi mengelakkan kes-kes berputih mata.
Bawa Umpan Dalam Kuantiti Yang Mencukupi
IKLAN
Faktor umpan tak mencukupi memang selalu berlaku ketika keluar memancing. Bayangkan, tengah syok layan ikan, tiba-tiba umpan tak cukup, mesti potong stim kan? Jadi, sentiasalah bawa umpan yang mencukupi. Berlebihan sikit pun tak apa, asalkan anda takkan putus umpan.
Jangan Biarkan Rod Tanpa Pengawasan
Kes joran terbang ke laut atau sungai, tali habis dan macam-macam lagi memang selalu terjadi bila tiada pengawasan daripada anda. Jadi, kalau nak jadi pemancing berjaya, sentiasalah mengawasi rod anda, bagi mengelakkan rod anda lebur menjadi tukun di dasar laut, sungai ataupun tasik.
Pastikan Tukang Gancu Atau Sauk Sangat Berpengalaman
Ini juga penting kerana, kebiasaannya ikan akan gemar melakukan kejutan di saat-saat akhir. Bayangkan kalau tukang tangguk atau gancu anda terkial-kial hendak menaikkan ikan dan ikan memecut di saat akhir. Pastinya ia akan membawa kegagalan buat anda.
IKLAN
Rancang Trip Memancing Mengikut Kesesuaian Waktu
Untuk menjadi pemancing berjaya adalah penting untuk anda sentiasa merancang trip memancing anda mengikut kesesuaian musim. Ambil tahu keadaan tempat memancing, jenis ikan dan teknik terbaik sebelum anda keluar memancing.
Lubuk yang terbaik memang sering menjadi perhatian kaki pancing yang lain. Jadi untuk mengelakkan bersesak-sesak memancing di satu lubuk, adalah baik untuk kita mempunyai ‘back-up plan’ lubuk memancing kita sendiri bila situasi seperti ini terjadi.
IKLAN
Pastikan Kondisi Set Pancing Anda Dalam Keadaan Baik
Rod, reel, mata kail dan sebagainya harus sentiasa diambil berat kondisinya. Pastikan set pancing anda disimpan di tempat yang selamat lepas digunakan. Ini bagi mengelakkan ia rosak di kemudian hari.
Pantau Keadaan Cuaca
Ini adalah penting untuk keselamatan anda. Jika keadaan benar-benar tidak mengizinkan adalah lebih baik untuk anda membatalkan hasrat keluar memancing. Jangan sekali-sekali cuba untuk menggadai nyawa anda keluar memancing sewaktu cuaca tidak mengizinkan.
Pelbagaikan Teknik Untuk Hasil Yang Terbaik
Kita tidak akan pernah tahu teknik apa yang akan menjadi pilihan ikan pada hari kita memancing. Jadi, adalah wajib bagi setiap kaki pancing cuba mempelbagaikan teknik yang anda tahu untuk mendapatkan hasil yang terbaik.
Saya percaya lebih separuh dari kaki pancing yang terdapat di Malaysia, khususnya geng casting bermula dengan tangkapan spesies ikan ini. Tidak hairanlah spesies haruan memang cukup dikenali oleh kaki pancing di Malaysia tak kira yang bergelar otai atau yang baharu setahun jagung.
Pancingan ikan haruan mampu membuatkan kaki pancing menjadi gian dek kerana kejutan hentaman pada umpan atau gewang. Kaki pancing memang mengakui pancingan spesies snakehead ini mempunyai tarikannya tersendiri.
Spesies haruan juga merupakan spesies ikan pemangsa dan tarikan agresifnya secara tiba-tiba cukup membuatkan jantung anda berdebar-debar. Terdapat dua cara pancingan haruan yang popular iaitu menggunakan umpan tiruan atau pun umpan hidup.
Bagi istilah umpan hidup, umpan yang popular digunakan ialah katak, anak ikan, cicak, cacing, udang sungai atau cengkerik. Katak merupakan umpan semula jadi yang paling popular.
Penggunaan katak boleh dilakukan dengan teknik merendam, unjunan atau pun mengilat. Selain itu banyak teknik pancingan menggunakan umpan semula jadi boleh digunakan untuk pancingan haruan. Antaranya ialah teknik pelampung, rawai, taut dan juga tajur yang merupakan antara teknik tradisional yang popular.
Tetapi bagi kaki casting tegar, teknik mengilat menggunakan umpan tiruan paling diminati. Sebab itulah muncul pelbagai jenis, rupa, bentuk, nama, istilah dan variasi umpan jenis ini sama ada diperbuat daripada kayu, getah, plastik dan sebagainya.
Contohnya, katak rambutan, spinnerbait atau janggut, jump frog, katak getah, gewang minnow, gewang permukaan, soft plastic dan sesudu antara gewang tiruan yang boleh digunakan untuk menjerat ikan haruan. Ini menunjukkan haruan memang merupakan spesies yang tidak memilih gewang malah hampir kebanyakan gewang mampu menaikkan spesies ini.
Pemilihan gewang pula haruslah mengikut keadaan perairan sama ada dalam, cetek atau berumpai. Namun, ramai yang gemar menggunakan gewang lebih-lebih lagi jenis permukaan seperti popper, pencil atau jump frog untuk memancing haruan.
Serangan hendap haruan ketika menghentam gewang yang menghasilkan deburan air memberikan satu perasaan yang mengujakan. Seolah-olah diserang hendap oleh pemangsa ganas. Dan tarikan agresifnya selepas itu memang sukar untuk dijelaskan keseronokannya.
Scomberoidinae terdiri daripada 3 genera dan 10 spesies ikan queenfish (leatherjacket) atau ikan talang-talang. Penjelasan ini bermaksud, ikan talang-talang bukanlah hanya satu spesies sahaja tapi ada 10 spesies ikan talang-talang!
Untuk membezakan 10 spesies talang-talang ini bukanlah satu kerja mudah. Apatah lagi untuk menyusun 10 spesies ikan ini dan merakam fotonya pada satu masa. Malah, ramai di antara pemancing yang menyangkakan hanya ada satu sahaja spesies talang-talang.
Untuk maklumat anda semua, di sini kami senarai 3 spesies talang-talang yang popular dan terdapat di perairan negara kita.
Scomberoides commersonnianus
Nama saintifik: Scomberoides commersonnianus
Nama Inggeris : Talang Queenfish, Leatherskin
Nama tempatan : Talang-talang bongkok, talang-talang lima jari, talang-talang raya
Saiz : Maksimum 120 cm, spesimen yang biasa ditemui 75 cm hingga 80 cm.
Berat: 16 kg pernah direkodkan.
Ciri pengenalan:
Memiliki 5 hingga 8 tompok bulat pada sisi badan dan rahang atas mendongak tinggi melampaui mata. Ia merupakan ikan talang-talang terbesar di antara spesies dan sering mendapat nama jolokan talang-talang raya.
Scomberoides tala
Nama saintifik: Scomberoides tala
Nama Inggeris: Barred queenfish
Nama tempatan: Talang-talang, talang, talang padi
Saiz: Mampu membesar panjang sehingga 75 cm.
Berat: Tiada direkodkan.
Ciri pengenalan:
Memiliki tompok bulat yang lebih membujuk seperti bentuk telur pada sisi tubuh dan rahang atas hanya mendongak sedikit di atas vertikal dari margin posterior mata. Sekali imbas ia hampir sama seperti talang-talang raya namun saiznya tidak membesar melebihi saiz talang-talang raya.
Scomberoides tol
Nama saintifik: Scomberoides tol
Nama Inggeris: Needlescaled queenfish
Nama tempatan: Talang, seliat, talang lampai
Saiz: Maksimum sehingga 60 cm, biasa ditemui 40 cm.
Berat: Sekitar 500 gm
Ciri pengenalan:
Rahang atas tidak terlalu mendongak ke atas dan hampir selari dengan aras mata. Ia memiliki bentuk seperti skala jarum sirip dorsal keduanya berpigmen tajam. Ia merupakan spesies talang-talang terkecil dan sering diperoleh di kawasan kelong atau rumah rakit dengan pancingan apollo.
Sekurang-kurangnya sebulan dua kali aku dan teman sekomplot akan pergi ke mana-mana lubuk untuk memancing sama ada dengan teknik mengilat atau pancingan dasar. Akan tetapi pada suatu cuti minggu, aku tidak dapat beraksi kerana jemputan ke majlis kenduri kahwin rakan ketika sama-sama menuntut di universiti dulu.
Sambil aku dan isteri menikmati nasi minyak pengantin, aku dikejutkan dengan paluan kompang. Rupa-rupanya pengantin sampai awal daripada yang dijangkakan. Jam baru menunjukkan pukul 1.00 petang. Dalam hati terdetik ‘masih awal, ada peluang nak mancing petang ni’. Setelah menghabiskan makanan, aku dan isteri pulang ke rumah.
Setiba di rumah, aku terus capai telefon bimbit dan menelefon Nizam. Rupanya NNizam sedang membangau di kolam. Sasaran beliau ialah rohu tetapi tidak seekor pun yang strike. Dah hampir tiga jam katanya.
Racun punya racun, NNizam akur dengan pelawaan untuk terjah port haruan sekitar tali air di Batang Berjuntai. Tapi beliau perlu ke rumah terlebih dahulu untuk mengambil set casting.
Dari rumahnya ke rumahku hanya mengambil masa 20 hingga ke 30 minit perjalanan. Oleh kerana beliau tidak biasa ke rumah aku kerana kami selalu berjumpa di port-port memancing atau di luar untuk mengeteh, beliau telah sesat hampir sejam lebih.
Setibanya Nizam di perkarangan rumah, kami mengambil keputusan untuk naik satu kereta iaitu kereta aku. Dari rumah aku ke port yang dituju mengambil masa lebih kurang satu jam. Makin hampir dengan lokasi tersebut, tiba-tiba aku teringat dengan kisah-kisah yang pernah diceritakan sebelum ini.
Di situ agak keras tempatnya. Pernah satu masa kawan-kawan lama aku memancing pergi ke sana, tiba-tiba seorang dari mereka hilang. Hampir 40 minit mencari, akhirnya dapat panggilan telefon bahawa orang yang mereka cari telah pulang ke rumah.
Bila ditanya mengapa pulang senyap-senyap, dia memberitahu tidak mahu membantutkan rakan yang lain sedang memancing kerana kelibat bola api yang dilihatnya.
Aku sendiri pun pernah mendengar cerita yang sama dan dipesan untuk lebih berhati-hati jika ke situ. Ketika itu aku menunggu rakan bersiap di rumah bujangnya. Sambil menunggu, aku berborak dengan orang yang sama-sama menyewa dan serumah dengan kawanku itu.
Bila mana aku sebut sahaja nak memancing di situ, beliau terus pesan untuk memberi salam dan membaca selawat ketika ingin masuk ke kampung tersebut. Keras katanya. Sebenarnya, aku telah ke tempat tersebut dalam tiga empat kali.
Oleh kerana selamat pergi dan pulang tanpa sebarang cerita, aku tetap ingin ke sana. Walaupun pernah membangau dan hasil tidak memberangsangkan, tetapi port yang boleh didefinisikan sebagai menarik untuk casting menarik minat aku untuk pergi lagi ke sana.
Lokasi semakin hampir, aku sempat berpesan kepada Nizam supaya memberi salam dan baca-bacalah apa yang beliau tahu. Aku sendiri pun lakukan perkara yang sama. Sempat juga aku menceritakan apa yang didengar sebelum ini kepada NNizam. Tapi kami tidaklah rasa apa-apa kerana tengah gigil nak melempar gewang. Untung-untung ada strike.
Separuh jalan memasuki kampung tersebut, aku terlihat beberapa payung pasar malam baru nak dipasang. Disebabkan laluan masih muat untuk kereta lalui, aku meredah sahaja pasar malam yang baru di set-up tersebut.
Agak segan kerana menaiki kereta di tapak pasar malam, aku tidak memandang ke kiri dan kanan, hanya menumpukan perhatian ke depan dan sesekali mengelak payung-payung peniaga yang baru dipasang. Sebenarnya aku tidak pernah sampai ke sini sebelah petang. Selalunya aku akan datang awal pagi dan pulang sebelum Zuhur.
Disebabkan komplot hari ini tidak dirancang, aku sampai agak lewat ke destinasi. Jam 6 petang barulah kami membuat balingan yang pertama.
Tiada sebarang sambaran menyebabkan kami leka. Jam telah menunjukkan pukul 7.15 minit malam. Walaupun hari masih belum gelap sepenuhnya tetapi kami fikir eloklah berhenti dahulu dan pulang ke rumah.
Masuk sahaja kereta, aku menyatakan hasrat kepada Nizam untuk mengikut jalan yang lain kerana terfikir mengenai pasar malam yang kami nampak ketika datang tadi.
Nizam bersetuju, kami melalui separuh jalan seperti ketika datang tadi sehingga nampak kelibat pasar malam dari jauh, kami belok di satu simpang dengan tujuan untuk memintas pasar malam tersebut dan tembus ke jalan depan.
Biasalah kawasan kampung, banyak simpang tetapi kebanyakan dari jalan tersebut bersambung antara satu sama lain. Aku tidak pernah melalui jalan selain jalan yang aku lalui untuk datang tadi maka aku main agak sahaja dengan harapan laluan tersebut betul.
Apabila aku masuk ke simpang yang dirasakan telah lepas dari pasar malam, aku memintas masuk ke lorong yang sama semula, ternyata betul. Dari cermin pandang belakang aku masih nampak kelibat pasar malam dan meneruskan perjalanan seperti biasa.
Sedang asyik menekan minyak, aku rasa seperti ada yang tidak kena. Jalan yang aku lalu tidak seperti yang aku tempuh ketika datang tadi. Nizam mengeluarkan telefon bimbit androidnya dan membuka GPS. Ternyata jalan exit ke highway telah terlalu jauh.
Aku kini berada di tengah-tengah jalan lama yang menghubungkan apa dan ke mana, aku sendiri tidak tahu. Kiri dan kanan hanya pokok dan hutan.
Kami menyedari azan maghrib berkumandang di satu surau kecil ketika ingin keluar tadi, kami berhasrat untuk berhenti solat di mana-mana lokasi ketika dalam perjalanan pulang nanti maka kami tidak terus berhenti di surau tersebut.
Tetapi kini suara azan isyak telah pun berkumandang di radio. Dalam tidak sedar, telah hampir sejam kami sesat. Sementara itu, koordinat GPS tetap tidak dapat mengesan di mana lokasi kami. Nekad untuk berpatah balik walaupun tahu pasti akan mengambil masa dua kali ganda untuk bertemu jalan masuk, sempat aku berseloroh,
“Kita cari balik pasar malam tu, ini semua salah pasar malam tu!”.
Nizam yang tadinya ligat mencari jalan dan sesekali berbual hal memancing kini senyap. Mungkin keletihan agaknya. Mujur setelah berpatah balik mengikut jejak dan laluan yang ingat-ingat lupa, kami berjaya bertemu dengan kawasan berhampiran pasar malam tersebut.
Tetapi yang menghairankan, tiada langsung tanda-tanda ada pasar malam di situ. Takpelah, mungkin dah habis, fikir saya dalam hati.
Kali ini lebih mudah kerana aku tidak perlu menyusur jalan lain. Sebelum keluar dari kampung ke jalan besar, aku sempat berhenti dan bertanya kepada seorang pakcik yang kebetulan berjalan kaki di laluan bertentangan.
“Pak cik, mana pasar malam dekat situ?” pakcik itu kehairanan dan menjawab,
“Takde pasar malam dekat situ, lagipun mana ada perumahan dekat sini, siapa yang nak datang kalau ada pasar malam.”
Baki perjalanan yang ada, aku dan Nizam hanya diam seribu bahasa. Tidak sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut masing-masing. Walaupun telah tiba di rumah, Nizam hanya mengambil dan memindahkan set beliau ke dalam keretanya dan terus berlalu.
Sempat aku menegur beliau sebelum masuk ke rumah, “Jumpa lagi Zam!” Tetapi tidak diendahkan oleh Nizam sebaliknya Nizam terus memecut laju pulang ke rumah.
Malam itu sebelum tidur, aku terima Whatsapp dari Nizam, cukup singkat, “penat…” katanya. Lega sedikit rasa di hati.
Tiba-tiba aku teringat, walaupun aku menempuh kawasan pasar malam tadi, sebenarnya tidak ada langsung pun kelibat seorang manusia di situ melainkan aku dan Nizam sahaja yang berada di dalam kereta.
Tiada penjual mahupun pembeli, hanya payung besar yang berwarna-warni dan meja jualan serta sedikit sayuran segar yang berlonggok. Sehingga kini, kejadian pelik itu masih terpahat di memoriku.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...