
Perkara ini telah banyak diperdebatkan oleh pakar-pakar dan pengurus aktiviti memancing, terutamanya di negara maju. Kenapa perlunya kita memahami kumpulan atau kategori yang wujud di kalangan pemancing ini?
‘Kepuasan’ atau ‘keseronokan’ memancing merupakan ‘klimaks’ kepada aktiviti memancing. Malah, lain orang, lain mahunya.
Lain orang, lain juga cara untuk mencapai kepuasan memancing mereka. Samada dapat ikan atau tidak, banyak duit telah dibelanjakan, atau banyak masa telah terluang, itu semua tidak dapat menjadi ukuran sekiranya ‘kepuasan memancing’ telah tercapai.
Justeru, adalah penting untuk kita memahami pemancing agar kita dapat menyediakan peluang, kemudahan, serta lokasi yang sesuai. Sebagai contoh, jika mereka mahukan ‘bersendirian’, maka perlu bagi kita menyediakan lokasi memancing yang selesa dan selamat untuk mereka memancing bersendirian.
Manakala, sekiranya mereka mahukan ‘memancing bersama keluarga’, maka penting bagi kita untuk menyediakan kemudahan yang boleh diguna oleh pemancing dan keluarga, seperti pondok, meja, taman permainan dan sebagainya.
Begitu juga, sekiranya kita mempunyai ramai pemancing yang mahukan ikan yang banyak, penting bagi kita untuk memastikan kestabilan habitat, yang dapat menyediakan ikan yang banyak dan mudah ditangkap oleh pemancing.
Manakala, kita boleh memasukkan ikan yang bernilai dan mempunyai harga yang tinggi di sungai atau tasik, sekiranya pemancing di kawasan tersebut, kesemuanya, mengamalkan tangkap-dan-lepas.
Kesimpulannya, memahami kategori pemancing amatlah penting, terutama kepada agensi yang mengurus sumber perikanan, agar agensi tersebut dapat mengurus tadbir aktiviti memancing secara baik dan lestari.
Memahami kategori pemancing juga penting bagi pemancing itu sendiri, agar mereka dapat memahami diri mereka yang sebenar, serta memahami ‘peranan’ serta ‘kepentingan’ mereka dalam masyarakat.
Ini Sebabnya Kenapa Mancing Malam Lagi Syok

Kalau dah nama kaki pancing tegar memang tak kisah siang atau malam asalkan boleh memancing. Ada juga yang suka mancing malam kerana suasana yang lebih tenang dan ada yang lebih tenang dan ada yang memilih waktu siang kerana risiko keselamatan atau gemarkan spesies tertentu.
Memang terdapat sesetengah spesies ikan yang lebih aktif waktu siang dan sebaliknya, namun sejauh mana waktu siang atau malam ini menjadi faktor kepada waktu pancing anda?
“Kalau mancing kelah, saya suka malam… tak payah nak nyorok atau pakai baju celoreng sebab kelah tak nampak. Yang tak syoknya mancing mlm ni, kalau ada member suka suluh-suluh sungai time kita mancing kelah… hehehe.”
- Mat Kelah Biru
“Semasa bujang suka sangat mancing malam… bila dah kawin rasa pilihan lebih kepada siang hari…. hehehe.”
- Najib Burn
“Memancing malam? Hehe… sedangkan bapak aku yang pemancing tegar pun berhenti mancing malam lepas kena suluh UFO (perkataan sopan untuk ganti nama penanggal/bola api)…. inikan pulak aku yang penakut pahit ni. Mancing malam boleh… asalkan tempat tu kawasan ramai orang. Jangan mimpi la nak ajak aku gi camping dalam hutan… hehe.”
- Din Jugak
“Kalau saya lebih suka mancing siang kat laut luas pemandangan. Mancing di laut waktu siang boleh mengelak dari kita diserang lanun laut, kapal dagang. Malam best time mancing dengan kawan-kawan santai-santai waktu malam tanpa berpanas.”
- Shaiful Azri Baharudin
“Bergantung pada spesies yang hendak ditawan. Mungkin banyak risiko memancing di waktu malam ni…. ramai yang memilih siang dibandingkan malam. Tapi bagi saya… malam adalah yang terbaik.”
- Amirul Aizat
“Bagi saya mancing pada waktu siang lebih baik dari malam, bukan apa untuk keselamatan diri. Tapi kadang-kadang mancing malam pun seronok juga kalau ada kawan-kawan sambil buat camp fire.”
- Mohd Akbar
“Bagi saya mancing waktu malam lagi seronok. Kena pulak pot yang baik… boleh bersantai dengan bunyi cengkerik.”
- Muhamad Hafiz
“Bagi saya mancing malam ni syok sikit kerana tak perlu berpanas. Selain tu jugak hasilnya jugak lumayan kerana ikan lebih aktif pada malam hari. Akan tetapi aspek keselamatan jgn dilupakan.
Mancing malam jugak mempunyai risiko yang tinggi berbanding mancing siang. Pernah sekali semasa saya ngan bapa saudara memancing pada malam hari terserempak ngan ular sawa sebesar pergelangan betis lelaki dewasa. Semenjak itu saya lebih berhati-hati sekiranya ingin memancing pada waktu malam.”
- Fakhrul Tahir
“Saya lebih suka mancing waktu malam di kala air pasang besar 13/14 bulan Melayu sebab tak pernah mengecewakan saya, kategori muara la.”
- Zul Ema
“Saya suka mancing siang sebab siang tak perlu SIANG lagi ikan tu. Dapat terus goreng ja…”
- Pian Sopian
Sembang Mancing – Fobia Sebab Mabuk Laut!!

APAN SAFUAN
Bagi aku mabuk laut ni tak kiralah sama ada ambil ubat ke tak, kalau dia nak jadi dia akan jadi jugak. Ubat tahan mabuk tu gunanya untuk mencegah saja. Yang lain-lain adalah faktor ketahanan diri dan mental seseorang tu juga.
Bagi aku, antara petua yang penting sebelum seseorang tu turun ke laut adalah mesti mendapatkan rehat yang mencukupi, alas perut sebelum dan semasa turun ke laut, dan apa yang paling penting adalah mind set kita. Kalau kita dah set minda cakap kita akan mabuk, maka mabuklah jadinya nanti. Jadi kita kena lawan perasaan mabuk tu.
MOHAMMAD ZAM
Cerita fasal tak nak mabuk ni saya dengar macam-macam petua. Paling pelik yang pernah saya dengar makan kangkung mentah…makan sirih pun taklah seteruk ni. Pendapat saya la kan kalau kita tak biasa turun kelaut buat la ape cara sekalipun, tetap akan mabuk.
Orang yang biasa turun ke laut pun kalau situasi badan yang kurang sihat pun tetap akan mabuk walaupun ada banyak pengalaman di laut. Jadi telan pil tahan mabuk yang terdapat di farmasi adalah cara yang paling moden dan bagus.
MUHAMMAD ADDIN
Nak cerita pasal mabuk laut tu susah nak komen. Sebab saya belum pernah lagi diberi peluang memancing di laut dalam. Keinginan tu memang ada, apatah lagi bila lihat di TV dan baca majalah pengalaman pemancing mendaratkan ikan yang besar-besar.
Saya bayangkan satu hari nanti saya akan berjaya menaikkan ikan layaran. Saya akan menjerit bagi tahu yahooo!!! Aku berjaya. Insyaallah jika diberi kesempatan pasti saya akan dapat mengalami sendiri pengalaman memancing di laut.
FADLI AZRIN
Masa mula-mula aku turun ke laut dulu memang sentiasa akan mabuk. Pernah sekali tu mabuk sampai keluar air dari malam sampai ke pagi. Tapi, aku ni jenis yang hati kering. Mabuk macam mana pun, aku tetap tak pernah serik. Pernah sekali tu masa mancing dalam keadaan mabuk, aku gulung reel guna kaki je. Tapi tu semua dulu, sekarang dah ok dan aku dah boleh biasakan diri.
Apapun, satu tip untuk para pemancing, kalau dah rasa pening-pening tu kalau boleh pergilah rehat dan jangan lah memancing buat semenctara waktu. Bila da lega baru sambung balik. Dan satu lagi, kalau boleh, masa mabuk tu kurangkan membuat kerja yang memerlukan fokus yang tinggi. Contoh macam ikat mata kail atau betulkan tali yang serabut. Biasanya kerja-kerja fokus ni yang buat seseorang tu bertambah mabuk.
MIE NGAIL
Mabuk ni ada banyak faktor. Antara faktor utamanya ialah baru pertama kali turun ke laut. Bagi orang yang baru-baru nak menjinakkan diri ni memang akan ada masalah mabuk ni, tambahan bila time angin kencang dan laut bergelora. Selain tu, tak cukup rehat, perut terlalu kosong atau terlalu penuh juga antara faktor mabuk ni.
Antara yang biasa saya praktikkan semasa memancing di laut dalam ialah jika perjalanan bot ke lubuk ambil masa yang panjang 2-3 jam perjalanan, biasanya saya akan rehat dan tidur di dalam kabin untuk kembalikan tenaga.
Apa pun, satu prinsip yang boleh saya kongsikan ialah kalau mabuk macam mana pun, cuba untuk kuatkan semangat. Terus pegang joran dan jangan sesekali mudah mengalah atau patah semangat. Sedikit sebanyak dengan cara ini dapat mengembalikan keyakinan anda untuk memancing dan pada masa yang sama dapat membiasakan diri anda untuk menangani masalah mabuk laut ini.
Trip Trobek – Media Ke Laut Lagi!!

Sama seperti program-program yang lalu, program kali ini membawa wakil-wakil media dan agen pelancongan untuk merasai pengalaman memancing di spot-spot popular di perairan laut negeri Perak iaitu sekitar Pulau Sembilan dan Jarak.
Jeti LKIM Kampung Acheh, Lumut menjadi lokasi wakil-wakil media dan agen pelancongan berkumpul. Di sini, kami dibahagikan kepada 3 buah bot dan penulis ditempatkan di dalam bot 1 yang dikendalikan oleh Tekong Abe yang baru berkhidmat penghujung tahun lalu.
Pada awalnya, mengikut perancangan itinerari, kami dijangka memulakan perjalanan ke Pangkor pada jam 10 pagi. Entah apa malangnya, salah satu bot mengalami kerosakan dan kami wakil media terpaksa menunggu lebih satu jam sebelum bergerak ke Pulau Pangkor.
Mujurlah bot 1 milik tekong Abe sudah awal-awal lagi menunggu ketibaan kami di jeti. Malah, akibat kebosanan, ada di antara peserta yang sempat melayan belukang dengan menggunakan umpun-umpun di jeti ini. Epik sungguh!
Usai sahaja makan tengah hari di Pangkor, sekali lagi kami berdepan masalah apabila kami dikhabarkan bot yang mengalami kerosakan pada awal tadi tidak meneruskan perjalanan. Makanya, kami terpaksa menunggu pula bot baru tiba dan sudah pastinya penantian kami diteruskan 2 jam lagi di Pangkor.
Jam 4 petang barulah kami dapat memulakan perjalanan ke perairan Pulau Jarak. Perancangan asal untuk ke unjam mencari hasil apollo terpaksa kami lupakan sama sekali kerana apabila hari mulai gelap sudah hilanglah ikan-ikan pelagik di unjam. Jadi kami terus sahaja menuju ke lubuk yang ditetapkan tekong.
Memahami peralatan memancing yang sesuai amat penting di kawasan ini, kesemua media telah dibekalkan dengan sebiji ‘bangla’ (kekili elektrik) setiap seorang. Hari hampir gelap apabila kami tiba di lubuk pertama iaitu di kawasan karang. Berbekalkan umpan hirisan kembung, kami terus melabuhkan umpan.
Suasana yang sepi pada awalnya mula bertukar apabila Pok Muds yang duduk di belakang bot menaikkan 2 ekor ikan tanda sekaligus. Selepas itu sahaja hampir semua peserta mendapat sambaran dari ikan tanda dan tambak. Biarpun saiznya sekitar setengah kilo sahaja, ia sudah cukup menggembirakan kami di bot 1. Kira macam sesi pemanas badanlah sebelum bertarung dengan monster.
Setelah puas melayan ikan-ikan karang, kali ini tekong mengarahkan kami untuk berpindah ke lubuk seterusnya yang dikatakan lubuk jenahak di perairan ini. Memang benarlah apa yang dikata apabila joran milik Pengarah Tourism Malaysia Perak disambar rakus penghuni dasar.
Dengan bantuan Pok Muds yang turut berada di belakang bot dengan mudah sang jenahak berskala 3 kg dinaikkan ke atas bot. Tidak lama kemudian, satu lagi kekili is gred A ini menggunakan umpan udang lipan.
Namun, tiba-tiba sahaja cuaca tidak semena-mena berubah. Angin kencang mulai tiba dan kilat memancar di kaki langit. Kemudiannya disusuli pula hujan lebat sekali gus membantutkan sesi pancingan kami. Oleh yang demikian, kami terpaksa berlindung di dalam perut bot menunggu cuaca mulai reda.
Mujurlah ribut cuma berlaku seketika sahaja. Selesai sahaja ribut, sesi pancingan diteruskan kembali. Namun ramai yang lena akibat tidak tahan dengan lambungan ombak, kerana laut masih kuat bergelora. Berbekalkan umpan sotong hidup, guide kami yang duduk di belakang bot menjadi pemecah suasana apabila berjaya mendaratkan seekor jenahak monster berskala 6kg! ini terus membangkitkan semangat kami.
Tepat sahaja 9 pagi, kami terus menuju pulang ke jeti dan menariknya apabila tiba di jeti, bot 1 yang kami naiki menjadi bot yang paling sukses mendaratkan paling banyak spesies ikan gred A. Penulis percaya, seandainya tidak berlaku masalah bot dan kami sempat apolo terlebih dahulu mencari umpan hidup, pastinya hasil akan lebih memuaskan.