Panduan Tepat Pilih Apollo Di Kelong

Share

 

Salah satu umpan terbaik memancing di kelong ialah ikan hidup. Namun untuk mendapatkan ikan hidup di kawasan kelong ini tidaklah semudah yang disangka. Bagi yang masih baru memancing di kelong pasti kurang arif tentang bagaimana hendak mendapatkan umpan ikan hidup dengan menggunakan perambut apollo. Di sini penulis sertakan sekali tip untuk mengesan di mana ikan pelagik bermain:

 

 

Untuk memburu ikan pelagik seperti tamban, selar, kembung dan sebagainya perambut apollo yang paling sesuai digunakan ialah perambut apollo kertas berwarna putih dengan manik hijau. Saiz yang paling sesuai ialah saiz 6, 7 atau 8.

 

Sekiranya di kawasan kelong tersebut lebih banyak dihadiri ikan tambam kecil atau bilis, sebaliknya guna mata apollo yang lebih kecil seperti saiz 4. Kelebihan apollo saiz kecil ini ia juga boleh mengena ikan yang lebih besar.

 

 

Namun dinasihatkan agar ikatan swivel yang sedia ada itu diganti dengan ikatan sendiri kerana lazimnya ikatan tersebut tidaklah sekuat mana.

 

Ikan-ikan pelagik ini tidak sentiasa ada bermain di kawasan kelong. Oleh yang demikian anda perlu mengesan kehadirannya.

 

Antara waktu terbaik untuk mengesannya ialah ketika pergerakan air surut atau pasang, cari arah alir mengalir. Anda hendaklah membaling apollo bertentangan dengan arah air mengalir.

 

 

Untuk mengesan kehadiran ikan ini anda perlu bijak melihat kelibatnya bermain air. Cari buih atau percikan di dalam air. Atau anda juga boleh nampak kelibat putih di dalam air dan lontarkan apollo di kawasan itu.

 

Selain memerhatikan dengan penglihatan, anda juga boleh menggunakan indera pendengaran. Guna telinga. Jika benar-benar diamati, pemancing boleh mendengar bunyi “tip..tip..tip” dalam air. Di situlah biasanya tempat ikan pelagik bermain.

 

 

Jika ia tidak kelihatan atau tidak mendengar sebarang bunyi, gunalah gerak hati anda. Rajin-rajinlah menggunakan apollo ketika tiba waktunya. Selamat mencuba dan selamat berjaya.

 

IKLAN