Panduan Paling Asas Mancing Keluarga Haruan!!

Share

 

Spesies haruan juga merupakan spesies ikan pemangsa dan tarikan agresifnya secara tiba-tiba cukup membuatkan jantung anda berdebar-debar. Terdapat dua cara pancingan haruan yang popular iaitu menggunakan umpan tiruan atau pun umpan hidup.

 

 

Bagi istilah umpan hidup, umpan yang popular digunakan ialah katak, anak ikan, cicak, cacing, udang sungai atau cengkerik. Katak merupakan umpan semula jadi yang paling popular.

 

Penggunaan katak boleh dilakukan dengan teknik merendam, unjunan atau pun mengilat. Selain itu banyak teknik pancingan menggunakan umpan semula jadi boleh digunakan untuk pancingan haruan. Antaranya ialah teknik pelampung, rawai, taut dan juga tajur yang merupakan antara teknik tradisional yang popular.

 

Tetapi bagi kaki casting tegar, teknik mengilat menggunakan umpan tiruan paling diminati. Sebab itulah muncul pelbagai jenis, rupa, bentuk, nama, istilah dan variasi umpan jenis ini sama ada diperbuat daripada kayu, getah, plastik dan sebagainya.

 

 

Contohnya, katak rambutan, spinnerbait atau janggut, jump frog, katak getak, gewang minnow, gewang permukaan, soft plastic dan sesudu antara gewang tiruan yang boleh digunakan untuk menjerat ikan haruan. Ini menunjukkan haruan memang merupakan spesies yang tidak memilih gewang malah hampir kebanyakan gewang mampu menaikkan spesies ini.

 

Pemilihan gewang pula haruslah mengikut keadaan perairan sama ada dalam, cetek atau berumpai. Namun, ramai yang gemar menggunakan gewang lebih-lebih lagi jenis permukaan seperti popper, pencil atau jumpfrog untuk memancing haruan.

 

 

Serangan hendap haruan ketika menghentam gewang yang menghasilkan deburan air memberikan satu perasaan yang mengujakan. Seolah-olah diserang hendap oleh pemangsa ganas. Dan tarikan agresifnya selepas itu memang sukar untuk dijelaskan keseronokannya.

IKLAN