Antara faktor penting dalam memancing ialah pengaturan umpan anda. Dalam memancing spesies pacu pula, tidak terlalu sukar dalam mengatur langkah menyediakan umpan kerana spesies ini merupakan spesies maserba yang memakan apa sahaja.
Bagi pacu bersaiz kecil, umpan cacing yang merupakan antara umpan terbaik. Pacu yang bersaiz kecil cukup gemar meratah umpan cacing yang juga menjadi umpan universal di kalangan kaki pancing. Selain cacing, umpan organ dalaman haiwan seperti perut dan hati ayam juga merupakan umpan yang terbaik untuk memancing pacu. Kulit dan lemak ayam juga boleh digunakan dan tidak mustahil mampu menggoda pacu bersaiz besar.
Selain itu, udang yang dikopek kulit juga antara menu umpan yang anda boleh cuba. Udang kopek yang dicangkuk seekor pada mata kail juga mudah untuk menarik perhatian si peragut rakus ini. Umpan dedak, pellet atau roti pula merupakan alternatif lain yang anda boleh gunakan.
Kebiasaannya umpan sebegini perlu ‘dirasuah’ terlebih dahulu untuk menarik perhatian sebelum umpan sebenar dilontarkan.
Teknik umpan bagi memancing pacu pula tidak sukar. Anda boleh menggunakan teknik pelampung, teknik dasar atau separa air bergantung kepada situasi padang pancing anda. Biasanya teknik pelampung lebih berkesan dengan umpan perut atau kulit ayam, pellet dan roti manakala teknik dasar lebih tertumpu kepada umpan hati ayam dan cacing.
Apa pun bergantung kepada usaha anda dan keadaan padang pancing, sedikit pemerhatian pasti akan membantu anda dalam pemilihan umpan dan teknik yang perlu digunakan. Jangan lupa untuk sering bersedia ketika si peragut akuatik ini melarikan umpan anda.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sepadan mana pun tumbuhan akuatik menutup permukaan air pasti terdapat juga ruang kosong yang biasanya menjadi lapangan untuk ikan-ikan puyu mengambil udara. Jika tiada langsung ruang kosong atau lubang, buatlah satu lubang untuk dijadikan spot memancing. Sekiranya banyak terdapat ruang kosong, pantaulah di kawasan mana yang paling kerap kelibatnya kelihatan. Dan pastikan juga ruang tersebut tidak terlalu jauh sehingga sukar untuk meletakkan umpan dengan menggunakan joran teleskopik.
Tabur Umpan
Apabila sudah mengesan spot yang berpotensi, taburlah dedak ayam di spot berkenaan sebagai rasuah untuk memanggil ikan-ikan yang ada berkumpul di situ. Ia lebih bagus jika dapat menabur dedak beberapa sebelum memancing. Jika tidak berkesempatan, ia perlu dilakukan sekurang-kurangnya satu jam sebelum memancing.
Dan perbuatan ini perlu diteruskan ketika memancing. Jangan takut ikan akan kekenyangan dengan dedak yang ditabur. Apa yang lebih penting ialah mengekalkan kumpulan puyu terus berada di spot tersebut.
Tip Terbaik
Pancingan menggunakan joran dan kekili tidak sesuai digunakan dikawasan begini. Oleh itu gunalah joran pole atau teleskopik yang panjangnya mampu untuk menghulurkan umpan pada spot. Penggunaan tali tangsi 6-10 lb sudah memadai. Panjang tali lebih kurang 3/4 panjang joran teleskopik. Mata kail saiz kecil tanpa lubang cincin kerana ia biasanya lebih ringan dan tajam.
Jika boleh sukat atau ukur dahulu kedalaman spot agar dapat menggantung umpan pada jarak yang bersesuaian. Puyu biasanya tidak mengambil makanan di dasar.
Sekiranya menggunakan umpan yang terapung seperti cengkerik, gunalah batu kepit bersaiz kecil dalam anggaran satu inci dari mata kail.
Cengkerik pula pilihlah yang bersaiz kecil. Jika cengkerik besar, sebaiknya potong kepalanya terlebih dahulu. Cengkerik yang dipotong kepalanya lebih berkesan kerana rangsangan baunya yang merembes keluar.
Salah satu tabiat puyu ialah menyambar serangga yang bergerak. Atas sebab itu umpan perlulah kerap kali diunjun perlahan sebelum dibiarkan tergantung di dalam air.
Dan pemancing perlulah peka melihat sebarang pergerakan pelampung kerana jika lewat membuat sentapan akan mendorong puyu membawa mata kail celah-celah akar rumpair dan sukar untuk ditarik keluar.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Umpan roti gesek? Umpan roti gesek ialah roti yang diparut atau dileraikan. Gesek merupakan bahasa orang utara yang membawa maksud parut. Kemudian deraian roti tersebut dicampur perisa-perisa tertentu yang berpotensi untuk dijadikan sebagai umpan terutamanya ikan patin.
Bahan-Bahan Keperluan:
1 bungkus roti pandan
2 Penutup botol Papa Paste Pisang Ambon
1 Penutup botol Papa Paste Esdoger
Cara penyediaan umpan.
Parut atau gesek hingga berderai (hancur) roti pandan ke dalam bekas bancuhan.
Curahkan 2 penutup botol Papa Paste Pisang Ambon ke atas roti yang telah dihancurkan dan gaul hingga sekata.
Masukkan pula 1 penutup botol Papa Paste Esdoger dan gaul hingga sebati.
Cara penggunaan umpan.
Gunakan perambut dua mata kail dan cocok mata kail dengan jajan atau keropok jagung yang sudah lemau.
Kepalkan roti pada kedua-dua mata kail berjajan itu kira-kira sebesar ibu jari.
Kembarkan kepalan roti sebesar ibu jari tadi dan kemudian bungkus atau kepalkan ia dengan roti sehingga menjadi kepalan sebesar genggam tangan.
Umpan ini sudah sedia digunakan sama ada teknik layang (hanyut) atau dasar.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Menurut Muaz, seminggu lepas, Pak cik beliau ada masuk ke dalam kebun Pak Daud tu untuk memancing. Pak Daud jenis tak kisah. Tapi orang kampung tetap akan minta izin terlebih dahulu darinya jika berniat ingin memancing di situ. Bukan tak biasa Pakciknya ke situ, tapi kali ini begitu pula nasibnya. Kami yang lain hanya mendengar dengan teliti.
Sebelum menyambung cerita, Muaz berhenti seketika untuk memesan minuman daripada anak tauke warung tersebut. Orang lain dah tak sabar nak dengar cerita, dia boleh pula main-main kata dengan si Filzah anak tokey warung tersebut. Maklumlah, jarang-jarang anak gadisnya balik ke kampung. Tengah belajar di UiTM katanya.
Oh ya, berkenaan kolam tersebut. Sebenarnya, di dalam kawasan kebun Pak Daud terdapat sebuah kolam tinggal yang dahulunya dibuat kolam ternakan ikan keli. Disebabkan Pak Daud pernah sakit teruk, kolam itu menjadi tidak terurus dan akhirnya langsung tak terjaga. Malah apabila hujan lebat melanda pada akhir tahun lepas, paras air naik menyebabkan ikan-ikan di dalamnya terlepas ke luar.
Kolam tersebut sebenarnya ditakung dan dibesarkan dari pecahan aliran sungai kecil yang mengalir masuk ke dalam kawasan kebun tersebut. Maka tidak hairanlah terdapat ikan-ikan lain yang menyinggah di situ ketika kolam tersebut sedang rancak dijaga. Ikan-ikan lain datang untuk menumpang makanan keli yang diberi oleh Pak Daud.
Kalau diikutkan cerita orang kampung, teruk juga sakit Pak Daud tu. Orang kampung ingat dah tiada harapan. Tapi umurnya panjang. Pak Daud kini amat cergas malah seperti tidak pernah jatuh sakit. Sungguhpun begitu, dari cerita yang disampaikan, memang dia dah tak nak lagi usahakan kolamnya itu. Kadang-kadang naik airnya dan ada kalanya surut sungguh tapi tidak pernah kering, masih berbaki air seperti lecah dan lumpur.
Orang kampung pula, jika terdesak nak dapatkan haruan untuk tujuan ubat ibu berpantang selepas bersalin, atau saja suka-suka untuk memancing, mungkin dah tiada hala tuju sangat untuk melepaskan gian seperti kami, kolam kebun Pak Daud tu lah yang dituju. Tapi kami tak pernah bawa balik ikan-ikan tersebut. Semuanya dilepaskan kembali.
Masing-masing mengamalkan pancingan tangkap dan lepas. Atau memang dah muak agaknya makan ikan sungai. Nak dijadikan cerita, seminggu selepas Pakcik si Muaz ni ke kolam tersebut, badan beliau tiba-tiba ditumbuhi sisik seperti ular. Semakin hari semakin teruk sehingga kini keadaannya hanya terlantar di katil.
Puas berubat sana sini. Hospital kerajaan dan swasta pun dah pergi. Semuanya tak berhasil. Tetapi menurut Muaz, ada seorang ustaz yang ditemui memberi tahu, pakciknya terkena badi ular. Aku dalam dilema antara ingin percaya atau tidak. Tapi takkan benda-benda macam ni nak buat main pula.
Lagi-lagi yang diceritakan itu ialah pakciknya sendiri. Takkan nak buat main dengan nama ahli keluarga. Tambahnya lagi, ustaz tu ada beritahu yang ketika sedang mengubat, ada seorang perempuan berambut panjang berbadan ular marah pada ustaz tu sebab cuba nak ubatkan pakciknya.
“Jin tu nak buat pakcik aku sampai mati!” Meremang bulu roma aku bila Muaz habiskan ayatnya.
Syed bertanya, “Kenapa boleh jadi macam tu? Ada orang ‘buat’ ke?”
Jawab Muaz, “Masa dia mancing tu ada ular tedung besar lengan datang ke arahnya. Dia ketuk sekali je ular tu tumbang. Tak melawan langsung.”
Sambungnya lagi, “Lepas dia bunuh ular tu, baru dia fikir, betul ke ular yang dibunuh tu….” tambahnya, ketika itu sedang Maghrib.
Persoalannya, kenapa tak dihalau sahaja ular tersebut. Atau orang tua itu sahaja yang beralih. Mungkin ketika itu ada makhluk lain yang ingin pulang ke alamnya. Maklumlah hari sedang Maghrib. Semua pertanyaan ini bermain di benak fikiranku sendiri. Tak pula aku ajukan pada Muaz kerana mungkin tidak mahu membuat suasana menjadi semakin ralat. Tambahan pula, sekarang ni, beliaulah yang perlu berikhtiar untuk merawat pakciknya itu.
Ah.. Mungkin sebab terlalu panik maka ular itu pun dibunuh. Biasalah tu ‘orang kita’ kalau terjumpa dengan binatang-binatang berbahaya ni. Lagipun, jika kita tak bunuh… kita pula akan jadi mangsa. Aku cuba sedapkan hati sendiri.
Dalam tak sedar, taukey warung dah berkemas-kemas nak tutup warung. Kami pun angkat punggung masing-masing menuju ke kaunter. Taukey cakap hari ni tak payah bayar, sedekah. Nak tunggu kenduri lambat lagi katanya.
Mungkin beliau perli kami sebab kacau anak daranya tadi. Apa pun, kisah badi ular tersebut membuatkan bulu roma badanku meremang sepanjang perjalanan pulang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...