Padah Menyandar Di Pokok Misteri

Share

 

Kegilaan memancing Sadam tak terbatas sejak dia menggilai pancingan teknik casting. Ke mana-mana sahaja dia pergi, dalam kereta mesti ada set pancing yang dibawa. Dalam keterujaan menyambut raya tahun ini, barangan pancing terlebih dahulu disiapkan sebelum pakaiannya apabila ingin pulang  di kampung halaman isterinya.

 

Petang tu juga Sadam membawa jorannya menuju ke tempat yang diceritakan oleh mertuanya. Lagipun, dapatlah lekakan diri sementara menunggu untuk berbuka nanti, tak ada lah terasa sangat masa berlalu.

 

Baling punya baling, satu sambaran besar berlaku. Itulah sambaran sebarau yang berjaya digoda dengan gewang permukaan jenis popper. Tapi sayang terlucut di pertengahan pertarungan. Memang tengah menggila lubuk ni, katanya dalam hati! Tapi memandangkan masa untuk buka puasa sudah terlalu hampir, Sadam segera pulang.

 

Ketika berbuka, hatinya asyik terbayang pertarungan sekerat jalan tadi. Dia lebih rela menjawab tak dapat ikan apabila ditanya oleh ibu mertuanya daripada menceritakan detik-detik yang menggeramkan hatinya itu.

 

Senja itu Sadam mendengus. Tangan dikepak mencengkam lantai kayu rumah kampung itu. Sesekali dihentak-hentak bagai membentak marah teramat. Isteri Sadam ketakutan. Bapa mertuanya cuba sesekali menenteramkan Sadam dan beristighfar. Dibaca ayat apa yang terlintas, namun keadaan Sadam masih sama.

 

Menurut isterinya, tak sangka pula dia pergi betul-betul pada hari raya pertama itu. Dia ingatkan kata-kata suaminya malam tadi hanya bergurau.

 

Hendak terjah lagi ke situ untuk balas dendam. Menyesal pula tak dihalang menggunakan kuasa veto seorang isteri. Maklumlah, raya pertama sepatutnya duduk di rumah menunggu para tamu atau berjalan ke rumah sanak saudara. Tetapi petang itu suaminya betul-betul repeat.

 

Nah! Sekarang ni meracau-racau macam orang gila. Apabila dibaca ayat suci Al-Quran, di jegilnya dengan biji mata bulat kemerahan. Naik seram sesiapa yang melihatnya. Tak boleh jadi! Bapa mertua si Sadam pun sebenarnya pandailah berubat sikit-sikit.

 

Setakat anak merengek malam tu adalah caranya. Tapi nampak gayanya, apa yang merasuk Sadam ni bukan tandingannya.

 

Tak boleh jadi! Usai Maghrib, sengaja bapa mertua Sadam melambatkan pergerakan keluar dari surau untuk seiring dengan tok imam. Diceritakan perihal Sadam kepada Tok Imam apabila bersaingan jalan ke tangga surau. Tok imam setuju untuk melihat keadaan Samad.

 

Dari halaman rumah lagi sudah kedengaran suara racau Samad. Kadang-kadang mengerang seperti binatang. Tok imam beristighfar panjang apabila melihat keadaan Samad. Berlenggang tidak berbaju. Gayanya seperti merangkak tapi kaki bersila duduk. Badannya terhuyung-hayang ke kiri dan kanan macam orang sedang beratib.

 

Setelah dibaca-baca, Tok Imam mula berkomunikasi dengan Samad. Dijerkahnya Sadam bertanyakan apa yang di mahu!

 

Sadam dengan suara garau membalas, “Aku nak pulang! Aku nak pulang!” Malam itu juga tok imam mengheret Sadam ke tempat yang diceritakan oleh isterinya.

 

Tempat beliau memancing petang tadi. Dibantu dengan beberapa orang ahli qariah masjid yang turut menemani tok imam dari surau.

 

Setibanya di tempat yang diceritakan, tangan Sadam menuding ke sebatang pohon ketapang yang agak besar, kira-kira 5 pemeluk orang dewasa. Tok imam kelihatan terkumat-kamit membaca sesuatu. Kemudian beliau menjerit, turun! Pergi! Jangan kau ganggu anak-anak Adam lagi! Pergi!

 

Mujur segalanya berjalan lancar dengan izinNya. Tapi Sadam masih lemah dan perlu dipapah pulang. Beliau dibaringkan apabila sampai di rumah. Tok imam meminta izin untuk beransur.

 

Keesokan hari, Sadam tampak lebih sihat berbanding sebelumnya. Cuma terasa sengal-sengal badan katanya, terutama belakang badan. Mana taknya, rupa-rupanya Sadam di tenggek penunggu pohon ketapang berhampiran lubuk pancingannya. ‘Benda’ tu jarang melihat manusia lalu di situ. Apatah lagi bila sebulan ‘di penjara’ agaknya.

 

Begitulah menurut Tok Imam yang mengubatinya semalam. Tapi yang hairannya, Sadam seakan tidak ingat langsung apa yang terjadi. Cuma satu benda yang segar di benak fikiran, katanya beliau telah bersandar di sebatang pohon, kemudian terasa seperti panas menjalar ke belakang badannya.

 

Selepas itu, entah macam mana dia pulang ke rumah pun tak diingatinya. Apabila isteri Sadam menceritakan semula apa yang terjadi padanya semalam, tegak bulu romanya. Serik dah nak pergi memancing di situ lagi.

IKLAN