Biasanya, pada waktu petang Jumaat begitu, kolam terbiar ini memang ‘meriah’ dengan kehadiran kaki pancing.

 

Namun nasibku pada petang itu agak malang. Kawasan itu sunyi sepi. Tidak ada kelibat manusia lain di situ seolah-olah mereka semua sudah berjanji untuk tidak datang.

Aku memandang jam di tangan. Tepat jam lima petang. Cuaca masih terang. Dengan bacaan lafaz Bismillah, aku lontarkan umpan ke tengah kolam.

 

Umpanku adalah cengkerik. Aku tidak mensasarkan mangsa. Apa saja ikan yang memakan umpanku, itulah rezekiku pada petang itu.

Alhamdulillah, menjelang jam 6 petang, aku sudah memperoleh 4 ekor ikan keli yang sederhana besar dan dua ekor baung.

 

Aku berasa sangat puas hati. Aku bercadang ingin memancing sebelum azan Maghrib berkumandang. Kira-kira 20 minit lagi, aku bercadang akan balik ke rumah.

Ketika asyik melayan henjutan joran, tanda umpanku mengena lagi, secara tiba-tiba aku merasakan seperti ada angin sejuk bertiup menerpa kuat ke muka ku. Secara automatik, bulu romaku mula meremang.

 

Aku cuba tenangkan hati dengan membaca ayat Kursi dan surah An Nas. Tiba-tiba telingaku seperti menangkap suara perempuan menangis dengan suara yang sungguh sayu dan sangat mendayu-dayu.

Hatiku menjadi tidak keruan. Serentak itu juga bunyi ranting-ranting patah kedengaran di bahagian belakang aku duduk. Sekilas, aku memandang ke belakang. Tidak ada apa yang kelihatan.

 

IKLAN

Semuanya kosong. Tidak ada sebarang tanda menunjukkan ada pergerakan manusia atau binatang di situ. Hatiku mula di amuk dengan perasaan risau dan seram.

Beberapa kali aku beristifar. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk pulang sahaja.

 

Sebaik sahaja aku mula mengemas, sesuatu yang aneh berlaku. Cuaca persekitaran mulai gelap seperti jam 8 malam. Aku memandang jam tangan. Baru pukul 6.20 petang. Takkan dalam sekelip mata, cuaca boleh bertukar rupa.

 

Hatiku semakin resah. Bulu roma di tengkuk semakin meremang dan badanku terasa seram sejuk yang teramat sangat.

Dalam kegelapan yang mula menerkup kawasan persekitaran, aku mula melangkah keluar dari kawasan itu sambil menjinjing ikan dan peralatan memancing.

 

Namun aku seperti gagal untuk menjumpai jalan pulang. Setiap kali aku melangkah, aku akan tiba kembali pada kolam ikan itu.

Seolah-olah semua jalan keluarku terhalang oleh ‘sesuatu’ yang aku sendiri tidak pasti. Aku tidak tahu berapa lama aku berlegar-legar di situ.

IKLAN

 

Keletihan mula melanda dan akhirnya aku terduduk di atas ban pasir dengan rasa kecewa yang teramat sangat.

Ketika inilah telingaku mula menangkap suara perempuan yang menangis mendayu-dayu yang bertingkah dengan suara bayi yang menangis kuat seolah-olah meminta susu.

 

Suara-suara ini begitu mengangguku hingga hatiku menjadi semakin tidak keruan. Cuaca semakin gelap dan hanya nampak samar-samar sahaja.

Aku memandang ke dada langit. Segalanya kosong. Tiada awan, bulan atau bintang. Hanya kegelapan yang melanda tanpa awan putih yang berkepul-kepul seperti kebiasaannya.

 

Tiba-tiba di hadapanku, aku Nampak seperti kelibat seorang wanita berambut panjang dan memakai gaun putih labuh melintas di hadapanku.

Semerbak harum wangi bunga tanjung hutan melintasi hidungku. Harumnya sehingga aku seperti terbuai-buai dengan keasyikan untuk menghidunya.

 

IKLAN

Dalam keadaan badan yang lemah kerana penat, hanya pandangan mata sahaja yang mampu aku lakukan untuk terus memandang kelibat wanita itu.

Dia berjalan perlahan tetapi seperti tidak menjejak tanah! Dia seolah-olah berada dalam keadaan di awang-awangan. Aku hanya fokus memandang ke arahnya tanpa dapat memikirkan perkara lain.

 

Dalam keadaan khayal itulah, telingaku dapat menangkap suara azan yang sungguh mendayu dan menggetarkan jiwa.

Serentak itu terasa namaku dipanggil berulang-ulang kali. Aku juga dapat melihat sorotan lampu suluh di kawasan itu. Aku hanya mampu menjerit ALLAH sebelum aku tidak sedarkan diri.

 

Pandanganku menjadi gelap seketika. Apabila aku membuka mata kembali, rupa-rupanya aku sudah baring di hadapan serambi rumah ibu.

Kawasan itu penuh dengan saudara mara dan jiran tetangga. Ibu memelukku dan aku berasa terpinga-pinga dengan apa yang aku nampak. Akhirnya aku mengetahui kisah sebenar.

 

Aku tidak pulang sehingga jam dua pagi. Kerana teramat risau ibu memberitahu JKKK kampung akan hal ini. Usaha mencariku mula dilakukan oleh penduduk kampung.

Jam lima pagi, aku dijumpai pengsan di tepi kolam ikan terbiar dalam keadaan meracau-racau sambil tanganku menunjuk ke satu arah semak. Aku dipapah balik ke rumah.

 

Walaupun kejadian ini sudah dua tahun berlalu namun ia tetap kekal dalam ingatanku hingga ke saat ini.

Kata orang kampung, aku disakat oleh puntianak namun realitinya sebenarnya aku tidak tahu. Wallhualam.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI