Parit-parit kecil keliling kebun dan sebuah perigi tanah yang menjadi nadi pengairan di kebun itulah yang menjadi padang permainan utama.
Ketika musim kemarau ia akan kering kontang tetapi ketika musim tengkujuh, ia bukan saja digenangi air bahkan turut dibanjiri ikan-ikan darat yang entah dari mana datangnya. Sepat ronggeng, puyu, keli kampung dan haruan dalam beberapa hari selepas banjir sudah muncul di parit tepi pagar rumah.
Alatan pancing seadanya saja. Hanya 20 sen sudah mencukupi untuk membeli mata kail. Tali tangsi yang entah dari mana datangnya atau tali benang layang-layang sedia ada boleh digunakan.
Sementara buluh Cina atau ranting pokok jambu batu dijadikan joran. Selaku anak dari keluarga pelaut, cara mengikat mata kail sudah lama diperturun oleh orang tua. Pelampung pula cari di tangga rumah. Jikalau tiada selipar yang sudah tidak digunakan, bahagian hujungnya akan menjadi mangsa.
Umpan pula sekadar gali di belakang dapur rumah atau di perdu pokok pisang. Cacing langsung tiada masalah untuk dicari. Cuma umpan terbaik untuk puyu susah dicari ketika musim tengkujuh. Jikalau ada belalang boleh dikatakan seratus peratus akan dapat puyu.
Sekurang-kurangnya 5 batang tajur akan dipasang pada sepanjang parit di tepi pagar rumah. Jikalau hari tidak hujan, saya akan menunggu di atas rumah pokok. Memang seronok menanti di atas rumah pokok kerana dapat melihat pelampung tenggelam timbul apabila ada mangsa yang mengena.
Walaupun sasaran utama ialah puyu, kadang-kadang sepat ronggeng dan keli kampung yang mengena. Jikalau sepat yang mengena, sepat itu kemudian akan dijadikan umpan haruan pula. Sepat itu akan dicangkuk pada mata kail yang hanya bertali dan berpelampung.
Ia dibiarkan hanyut dibawa sepat sehinggalah disambar haruan. Namun jarang-jarang ditemui pelampung yang mengena haruan. Kebanyakannya sama ada umpannya hilang atau semuanya hilang tanpa dapat dikesan.
Ikan keli yang mengena mata kail akan disimpan di dalam tempayan berasingan. Apabila jumlahnya agak banyak, saya berikan pada arwah nenek atau kepada sesiapa yang inginkannya kerana kami sekeluarga kurang menggemari ikan darat. Kecuali puyu.
Itu pun saya akan pastikan ia dicuci dengan pucuk daun jambu batu dan air beras sehingga hilang bau hanyir. Digaul garam kunyit dan digoreng dengan garing umpama memakan keropok.
Bab menyiang ikan puyu satu hal juga. Nak tunggu ia mati sendiri, dibiarkan atas darat seharian pun tak mati-mati. Dibiarkan lima minit atas darat pun tau-tau dah hilang. Dah berjalan masuk ke parit semula.
Nak disiang hidup-hidup memang tidaklah. Bukan sebab kasihan pada ikan tetapi pada diri sendiri. Sedangkan menyiang yang mati pun calar balar tangan dibuatnya, inilah pula menyiang yang masih hidup. Mahu tak mahu terpaksalah pejam mata mengetuk kepalanya dengan dahan pokok jambu batu sehingga pengsan.
Hari ini, sekiranya pulang bercuti di kampung ketika musim tengkujuh, memori itu pasti terimbau dengan sendirinya. Namun, bukan sahaja puyu, sepat ronggeng, haruan atau keli kampung sudah tidak ada. Suasana kampung itu sendiri pun seperti sudah tidak lagi.
Parit, tanah kebun, rawa dan perigi tanah sudah lama ditimbus dan ditambun. Taman permainan pada zaman kanak-kanak itu kini menjadi laman perumahan dan permainan kanak-kanak zaman kini.