
Tahniah kerana berani dan tidak malu untuk bertanya. Ia adalah satu pembelajaran yang bagus untuk anda menaikkan ilmu dalam arena memancing ini.
Situasi yang anda alami sebenarnya dialami oleh ramai pemancing. Dan saya memahaminya dengan amat jelas situasi tersebut.
Dalam pancingan haruan terutamanya mengilat atau casting menggunakan umpan hidup (katak) dan gewang, situasi di mana haruan menyambar umpan ketika ia sudah hampir tiba ke pemancing adalah sesuatu yang lumrah.
Dalam soal ini, sedikit kesulitan sekiranya menggunakan umpan katak berbanding gewang. Jika menggunakan gewang, sentapan atau strike boleh dilakukan secara terus. Sebaliknya jika menggunakan umpan katak, kejadian rabut atau tidak lekat sering berlaku.
Bagi mengatasi masalah ini, sebaiknya dibiarkan beberapa saat sebelum melakukan sentapan. Caranya ialah dengan memberi tali terlebih dahulu.
Bila mendapati ada pergerakan tali keluar dari kekili barulah melakukan sentapan. Dan bagi mengelakkan kejadian rabut dan mata kail terpelanting ke arah pemancing maka lakukan sentapan ke arah sisi badan.
Jika mata kail terpelanting sekalipun ia tidak akan mengenai mana-mana anggota badan pemancing.
Sebaiknya amalkan teknik strike ke arah sisi badan dalam apa juga keadaan sekali pun kerana ia adalah lebih selamat.
Langkah Asas Penjagaan Peralatan Pancing!!

Tidak kira jika anda baru pulang dari laut atau sungai, sebaiknya cuci peralatan berkenaan dengan sabun mandian, syampu atau syampu kereta (elakkan mengguna sabun pencuci, apatah lagi bahan peluntur).
Begitu juga dengan rod atau joran, pastikan anda bersihkan dan cuci pada bahagian pemegang dan juga setiap cincin.
Pastikan drag dan gelendung kekili diketatkan sebelum dibilas. Ia bagi mengelakkan air memasuki bahagian dalam kekili (housing). Kemudian anda bolehlah cuci dan membilasnya dengan air paip.
Biarkan seketika sehingga kering. Lap menggunakan kain sekiranya terdapat lebihan air yang terkumpul. Apabila ianya kering, longgarkan kembali drag dan gunakan minyak seperti minyak gris, minyak kelapa atau minyak pelincir mesin jahit.
Setelah itu, longgarkan drag kekili atau beri ruang kelegaan kepada drag anda sebelum menyimpannya. Sila simpan di tempat yang tidak terdedah kepada habuk seperti dalam beg, kotak atau bungkus bungkus saja dalam beg plastik.
Sekiranya tidak akan memancing bagi tempoh masa yang agak panjang, sebaiknya pisahkan joran dan kekili. Simpan joran dan kekili di tempat yang sesuai.
Bagi kaki casting, sebaiknya, masukkan gewang yang telah anda gunakan terutama jika casting di laut di dalam baldi yang mengandungi air sabun. Bilas, dan jemur di bawah cahaya matahari di tempat yang selamat sehingga kering. Ia bertujuan mengelakkan swivel, mata tiga atau tunggal berkarat.
Jika menggunakan playar mudah karat, ia hendaklah dicuci setiap kali selesai memancing. Semburkan WD-40 pada bahagian spring tengahnya. Gerakkan berulang kali sehingga karat keluar dari bahagian yang bergerak dan lap karat tersebut. Lakukan sehingga playar tersebut tidak ketat lagi atau telah lancar pergerakkannya.
Panduan Memilih Jenis Perambut Yang Tepat Untuk Memancing!!

Jika anda mensasarkan spesies ikan seperti tenggiri, alu-alu, belitong, haruan tasik, geropoh, dan ikan jenis pemangsa, anda digalakkan untuk menggunakan kaedah ‘drifting’ jika arus laju atau ‘floating’ jika arus perlahan.
Gunakan perambut dengan kepanjangan sekurang-kurangnya 3 meter atau 3 depa lebih. Untuk spesies ikan seperti kerapu, ikan merah, bayan, dan jenahak, gunakan kaedah pancingan dasar.
Biasanya dalam keadaan begini, kaki pancing gemarkan perambut dengan batu hidup. Perambut yang digunakan harus lebih kecil dari tali utama untuk mengelakkan kaki pancing kerugian batu ladung dan kili apabila perambut putus.
Perambut yang selalu digunakan adalah perambut jenis 30 lb ke 50 lb dan panjangnya bergantung pada keadaan arus. Balingan tidak perlu jauh kerana arus yang deras akan membawa umpan ke belakang dengan cepat dan mengelakkan tali tersimpul.
Jika arus perlahan, buatlah balingan jauh. Gunakan perambut kurang dari 3kaki bagi mengelakkan ia dari bersimpul dengan tali utama.
Jika memancing waktu siang, gunakan leader bersaiz halus 30lb – 50lb bagi mengelakkan sang ikan ternampak perambut yang digunakan. Seandainya memancing pada waktu malam, perambut yang lebih kasar boleh digunakan.
Jika air jernih, gunakan aksesori atau jenis ikatan. Ini bertujuan untuk mengurangkan kepekaan ikan ke atas perambut yang digunakan.
Anda disarankan untuk menggunakan perambut panjang melebihi 1 meter sekiranya perlu dan tariklah minat sang ikan dengan umpan paling baik. Setakat umpan biasa-biasa (umpan mati), ikan takkan layan punya!
Jika air kelihatan keruh, pertimbangkan elemen seperti bau dan penglihatan. Gunakan umpan besar dengan bau yang kuat. Penggunaan perambut pendek tidak jadi masalah.
Ketika arus agak laju, sebaiknya gunalah perambut yang lebih panjang. Arus yang akan membawa umpan ke belakang. Ketika arus perlahan, gunakan perambut pendek bagi mengelakkan perambut bersimpul bersama umpan dan tali utama.
Taktikal Cast Jig Spot Pulau Berbatu!!

Aktiviti casting atau mengilat di kawasan pulau bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia memancing kita.
Pulau Sembilan di Perak contohnya pernah menjadi padang pancing yang bagi kaki mengilat melampiaskan ketagihan aktiviti ini. Malah sehingga kini Pulau Sembilan masih lagi menjadi lokasi pilihan.
Walaubagaimana pun kepada yang belum pernah mencuba teknik ini, berikut disediakan beberapa tip atau panduan untuk anda mencapai kepuasan maksima ketika mengilat.
➡ Sebaiknya gunalah peralatan ringan atau sederhana kerana ini boleh memberikan kepuasan kepada anda ketika bertarung.
Untuk kepuasan yang berlebihan boleh juga gunakan set ultra ringan namun ia lebih bersesuaian sekiranya anda mengilat bersama-sama rakan penggemar aksi ulra ringan.
Walaupun tepian pulau bukan bermakna ikan-ikan kecil saja yang ada, kadang-kadang GT bagak pun ada datang meronda.
➡ Joran berkuatan 10-20 lb atau PE 0.5-1.2 amat sesuai untuk melayan ikan-ikan gerepoh juvana atau talang remaja.
Malah jika terkena ikan yang agak besar ia masih mampu bertahan dan peratus untuk mendaratkan ikan masih ada.
➡ Sekiranya gewang disambar ikan besar, kawalan joran yang sempurna amatlah penting bagi mengelak kejadian putus terpaksa.
Pastikan joran sentiasa diangkat tinggi bagi mengekang ikan membenam masuk ke kawasan berbatu yang boleh menyebabkan tali utama atau perambut bergesel dan putus.
➡ Bagi mengatasi rintangan batu dan karang yang besar dan tajam, sebaiknya gunalah tali sulam berbanding tali mono (tangsi).
Tali sulam berketahanan 15-25 lb adalah disarankan bersama perambut atau leader fluorocarbon 20-30lb.
➡ Kawasan tepian pulau lazimnya didiami oleh pelbagai spesies, jadi gewang yang digunakan juga perlu dipelbagaikan.
Untuk menjerat ikan-ikan yang mendiami kawasan yang lebih dalam seperti kerapu, gewang selaman dalam sekitar 3-5 meterd dengan saiz 9-12 cm perlu digunakan.
➡ Bagi mencari spesies yang bermain di kawasan pertengahan dan permukaan air seperti gerepoh, talang dan cencaru kuda, gunalah gewang selaman cetek, sesudu atau gewang permukaan kecil seperti popper 9-12 cm untuk menduga mereka.
➡ Pemilihan warna gewang dan jig tidaklah terlalu teknikal. Asalkan ia memiliki warna asas biru dan berkilat, ia sudah boleh dipraktikkan.
➡ Kini, penggunaan jig ringan dan mikro jig lebih banyak dipraktikkan berbanding penggunaan gewang atau sesudu.
Teknik ini nyata lebih berkesan namun sifat jig yang tenggelam itu lebih mudah mendorong ia tersangkut pada batu atau karang berbanding pada mulut ikan.
Oleh yang demikian anda harus bijak menganggar kedalaman air dan struktur di dalam air untuk melakukan balingan.