Umpan apakah yang sesuai untuk memancing baung dan keli. Apakah jenis umpan yang sesuai untuk ikan di kolam air tawar?
JAWAPAN:
Ads
Kolam air tawar dihuni pelbagai spesies ikan yang mempunyai naluri dan diet makanan tersendiri. Namun biasanya hampir semua ikan ternakan kolam diberi makan dedak. Ada pelbagai jenis dedak untuk makanan ikan kolam air tawar. Namun masalah ketara kepada kaki pancing ialah pemilihan jenis dedak yang terlalu banyak di pasaran dan cara memasang dedak pada mata kail. Penulis cuba rumuskan jenis umpan dan sasaran ikan yang biasa diperoleh daripada umpan berkenaan.
Cacing (hampir semua ikan kolam kecuali patin). Cengkerik (pacu, baung, keli dan tilapia). Usus/perut ayam (keli/ keli Afrika dan patin). Roti/sisa roti (tongsan, kap dan patin). Udang sungai (baung, ketutu dan tilapia). Anak ikan (belida, toman, baung dan keli). Serangga termasuk belalang (tilapia, ketutu, keli, pacu dan baung). Katak (toman dan haruan). Dedak (patin, rohu, tongsan dan leekoh).
Ads
Antara umpan yang disebutkan, dedak paling popular dan digunakan secara meluas di kebanyakan kolam. Dedak di pasaran ada pelbagai jenis, jenama dan saiz. Ia biasanya diadun dengan telur, air belacan, air sirap, santan kelapa, sisa biskut dan macam-macam lagi.
Ads
Ada juga pemancing mencampurkan adunan pelbagai dedak supaya lebih berkesan. Ini tidak termasuk dedak yang diperam semalaman atau lebih sehingga berbau tengik untuk menarik ikan.
Umpan apa yang sesuai untuk memikat MJ (siakap merah), adakah umpan hidup atau pun gewang? Mohon pencerahan ya sipoo.
JAWAPAN:
Jika kesesuaian umpan yang menjadi indikator bagi memikat MJ, maka sudah tentulah apa sahaja yang menjadi makanan atau menyerupai makanan MJ adalah sesuai.
Tetapi jika persoalannya umpan apakah yang paling berkesan untuk memikat MJ, sama ada umpan hidup atau gewang, sudah tentulah umpan hidup yang lebih berkesan.
Seperkara pemancing yang perlu ingat tentang gewang ini ialah ia direkacipta dengan meniru hampir seratus peratus bentuk rupa dan aksi renangan ikan yang menjadi mangsa kepada ikan pemangsa.
Ia direkacipta bagi menggantikan umpan sebenar tetapi tidak berfungsi dengan sendirinya sebagaimana umpan sebenar.
Atau dalam erti kata lain, gewang tidak boleh sekadar dicampak ke lubuk sebagaimana merendam umpan hidup.
Jika ditanya yang manakah lebih seronok sama ada menggunakan umpan hidup atau gewang maka tentu sajalah penggunaan gewang lebih menyeronokkan.
Penggunaan gewang juga dianggap lebih sportfishing. Cuma, jika anda memancing MJ untuk dijadikan sumber pendapatan atau sebagai keperluan makanan, maka disarankan gunalah umpan hidup.
Kat kawasan benteng pemecah ombak di tempat saya memang seronok memancing, masalahnya batu ladung selalu sangkut. Bagaimana caranya untuk mengatasi masalah ini?
JAWAPAN:
Boleh dikatakan, di mana saja benteng pemecah ombak merupakan satu lokasi yang menyeronokkan untuk memancing. Ia berikutan batu-batu yang ditambak itu menjadi rumah dan tempat ikan bermain. Dengan adanya sumber makanan dan tempat berkumpul ikan-ikan kecil maka ia turut mengundang ikan-ikan pemangsa.
Dan selayaknya kawasan berbatu ditambak sehingga ke tengah laut pada dasarnya itu, pastinya ia menimbulkan kesulitan kepada pemancing yang mengamalkan teknik pancingan dasar. Selain batu ladung, kadangkala mata kail atau larian ikan turut menyebabkan kejadian sangkut.
Terdapat beberapa perkara bagi mengatasi kejadian ini. Pertama, anda perlu tukar teknik pancingan dasar kepada teknik lain seperti apung berhanyut menggunakan pelampung. Atau boleh juga mengamalkan teknik mengilat atau casting. Tidak kiralah sama ada menggunakan gewang ataupun umpan seperti udang hidup.
Jika ingin juga memancing dengan teknik dasar, sebaiknya pantau dahulu sejauh mana berbatu ketika air surut. Maka pastikan anda mampu melontar umpan melepasi kawasan tersebut kawasan tersebut. Atau boleh juga ikatkan ladung dengan sesuatu yang mudah putus jadi apabila tersangkut, ikan dan peralatan lain masih dapatn diselamatkan.
Seperkara lagi, elakkan daripada melakukan kayuhan perlahan ketika mengarau. Kayuhan yang perlahan akan menyebabkan batu ladung terseret pada dasar dan sekaligus mengakibatkan sangkut. Kayuhlah kekili dengan kelajuan tinggi seraya menegakkan joran ke atas. Ia mampu mengatasi masalah ini.
Saya baru nak belajar memancing di tepi pantai atau surfcasting. Oleh yang demikian saya ingin tahu apakah setting yang sesuai dari saiz joran, mata kail, ladung, tali utama dan jenis umpan? Dan jika memancing di tepi tasik air tawar, adakah tekniknya sama dengan surfcasting?
JAWAPAN:
Untuk pancingan pantai atau surfcasting, kombinasi peralatan yang sesuai digunakan ialah joran minimum 12 kaki, kekili mendatar sekurang-kurangnya saiz siri 4000 (lebih baik jika kekili gelendung panjang atau surf cast reel, tali utama dari jenis sulam atau braided 20-40lb, batu ladung jenis gantung atau batu mati lonjong (saiz bergantung kepada kelajuan arus).
Perambut 30-50lb (bergantung kepada struktur dasar lokasi dan ikan sasaran) dan dipadankan dengan mata kail nombor 8 hingga nombor 2, atau 1/0 hingga 3/0 bergantung juga pada spesies sasaran. Umpan yang sesuai bagi newbie pula terdiri dari jenis umpan yang tidak mudah tertanggal dari mata kail ketika melakukan lontaran. Disarankan anda mencuba umpan seperti umpun-umpun, hirisan sotong atau hirisan ikan belanak.
Sebaiknya anda perkemaskan teknik lontaran terlebih dahulu sebelum memasang impian untuk menerima strike. Tetapkan satu jarak sasaran yang perlu dicapai dan lakukan berulang kali. Dalam pada masa yang sama turut memantau keadaan umpan selepas melakukan lontaran.
Kombinasi peralatan surfcasting ini juga boleh diaplikasikan di tasik air tawar. Terutamanya peralatan utama seperti joran, kekili dan tali utama. Namun teknik perambut, batu ladung, mata kail dan umpan perlu disepadankan dengan konsep pancingan ikan air tawar.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...