Saya baru nak belajar memancing laut main bottom. Rod, mesin dan tali jenis apa yang sesuai untuk saya beli ya…. boleh min bagi tips dan tunjuk ajar tak?
JAWAPAN:
Sebagai permulaan bagi pancingan bottom di laut berkedalaman kurang dari 10meter, saya menyarankan anda menggunakan set spinning dahulu.
Ads
Spinning rod aksi sederhana khusus untuk bottom berkekuatan 15-30lb atau PE1-3.
Sebaiknya carilah rod yang khusus untuk pancingan air masin kerana kebanyakan materialnya lebih tahan kakisan air masin.
Mesin atau kekili pula dari siri 4000 hingga 6000 dan semestinya khusus untuk kegunaan di air masin. Mesin untuk kegunaan air masin lazimnya tertera simbol SW (saltwater).
Ads
Sementara tali utama pula saya menggalakkan penggunaan tali sulam (braided) berbanding tali tangsi (mono).
Banyak kelebihan sulam berbanding tali tangsi tetapi tidaklah perlu diulas panjang. Kekuatan tali pula sekitar 30lb atau 40lb.
Ads
Untuk ke peringkat seterusnya bagi menaik taraf pengalaman memancing, bagi pancingan lebih jauh ke tengah dan perairan lebih dalam sehingga 30 meter, disarankan beralih kepada penggunaan kekili multiplier pula.
Kekili multiplier yang lebih berkuasa bukan saja mampu memikul tugas berat malah tidak memerah tenaga pemancing sebagaimana set spinning.
Setelah mahir menggunakan set kekili multiplier barulah boleh melangkah peringkat paling tinggi teknik bottom laut dalam dengan menggunakan set kekili elektrik.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Saya baru tahu kewujudan sejenis ikan muara yang dinamakan ikan kuku. Boleh tak admin ceritakan serba sedikit tentang ikan ini. Dan yang paling penting sekali tip atau bagaimana cara untuk memancingnya?
JAWAPAN:
Admin akui bagi sesetengah malah ramai juga para pemancing yang tidak mengetahui lebih mendalam tentang spesies ikan kuku. Terutamanya pemancing di sebelah pantai barat Semenanjung kerana spesies ikan kuku ini lebih mudah ditemui di pantai timur serta di Borneo.
Sementara pemancing di pantai timur semenanjung juga pula tidak ramai yang terlibat dengan aktiviti memancing ikan yang berhabitat di kawasan berbatu atau berstruktur di pesisiran pantai dan muara. Untuk penjelasan tentang ikan kuku, anda boleh layari laman web Umpan.
Untuk memancing ikan kuku ini kita perlulah tahu diet pemakanannya. Ikan kuku menjadikan krustasia dan sesiput antara makanan utamanya. Jika memerhatikan barisan gigi ikan kuku maka kita akan percaya kenapa ikan ini menjadikan siput teritip sebagai makanannya.
Waktu terbaik memancing ikan kuku ialah ketika air bergerak pasang. Oleh yang demikian, carilah lubuk berstruktur atau berbatu yang berpotensi akan menjadi kawasan ikan kuku berlegar mencari makanan apabila ditenggelami air pasang.
Saya berminat untuk memiliki bot dan anggaran kos yang mampu saya beli adalah sekitar RM3,000 termasuk sampan dan enjin sangkut. Keperluan ini hanya untuk memenuhi minat memancing di lombong atau tasik dan mudah disimpan dan digunakan.
JAWAPAN:
Terdapat banyak model sampan dan enjin sangkut dari pelbagai pengeluar termasuk model berharga ekonomi dari negara Korea dan China. Dengan kos yang saudara berikan saya akan pecahkan kepada dua pembelian sampan dan juga enjin. Kesesuaian penyimpanan dan mudah dialihkan mengikut kehendak pemancing.
Sampan yang sesuai untuk dibawa di atas bumbung kereta bersaiz 12 atau 13 kaki dengan lebar lebih kurang 4 kaki. Namun bagi bot fiber yang bersaiz 10 kaki dengan kelebaran 3 kaki 10 inci juga sesuai untuk dibawa di atas bumbung kereta dengan menggunakan “roofrack”. Harga bot fiber ini di antara RM750 hingga RM1,200 mengikut model dan pengeluar sampan.
Enjin sangkut yang sesuai perlu dikaji terlebih dahulu bagi memastikan kuasanya mampu menggerakkan sampan di kawasan padang pancing. Bagi penggunaan di lombong atau tasik, Kuasa kuda (hp) hanya memainkan peranan untuk bergerak pantas ketika menukar lubuk ketika memancing atau mengejar ‘boiling’ ikan misalnya.
Enjin sangkut 2.5 kuasa kuda juga sudah memadai untuk bergerak di kawasan lombong atau tasik yang tidak luas. Harga bagi enjin sangkut ini lebih kurang RM2,000 mengikut harga pasaran semasa. Dalam keterangan di atas, saudara bolehlah membuat pilihan sekali gus merealisasikan impian memiliki sebuah bot fiber dan enjin sangkut.
Assalamualaikum admin, saya ingin bertanya mengenai tali sulam untuk pancingan pantai. Sesuai atau tidak saya menggunakan tali berkuatan 60lb jenis tiga empat sulam dan dipadankan dengan joran 12 kaki panjang?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam… Pancingan pantai atau surfcasting merupakan salah satu teknik pancingan di kawasan pantai. Secara amnya, teknik ini amat mementingkan jarak lontaran umpan jauh ke tengah. Terutamanya di kawasan pantai yang landai dan cetek. Justeru jarak lontaran umpan jauh ke tengah amat penting bagi membolehkan umpan sampai ke lubuk atau kawasan ikan.
Untuk membolehkan lontaran umpan sampai ke kawasan sasaran, faktor panjang joran amat memainkan peranan untuk tujahan balingan serta meminimumkan tolakan ombak ke arah daratan pada tali utama. Oleh yang demikian penggunaan joran panjang melebihi 12 kaki amat membantu. Bahkan semakin panjang joran maka semakin jauh jarak lontaran umpan dapat dilakukan.
Selain faktor panjang joran, diameter tali pancing juga turut memainkan peranan. Selalunya penggunaan tali sulam atau benang (braided) sering digunakan membolehkan lontaran umpan yang sempurna. Namun tali benang kekuatan 60lb jenis empat sulaman sebenarnya agak besar/kasar dari segi diameter. Kekuatan tali tiada masalah pada asasnya namun saya mengesyorkan anda menggunakan tali berdiameter lebih kecil untuk memaksimumkan jarak lontaran anda.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...