Perlu atau tidak kabel disambung pada perambut apabila casting? Tidak kiralah casting di sungai, muara, laut serta ketika trolling? Sekiranya perlu, berapakah saiz kabel dan berapakah panjang kabel yang perlu digunakan?
JAWAPAN:
Ads
Tidak kiralah penggunaan di sungai, muara, laut atau trolling, penggunaan kabel atau dawai sebenarnya sebagai insuran terhadap kebimbangan spesies bergigi tajam seperti toman dan tenggiri yang bakal membaham gewang.
Ads
Oleh yang demikian, penggunaan kabel ini lebih kepada sasaran ikan yang ingin diburu. Tidak kiralah sama ada di sungai, muara atau laut.
Sekiranya target bukanlah ikan bergigi tajam maka tidak perlulah menggunakan dawai. Malah, bagi casting di sungai khususnya yang tidak terdapat spesies bergigi tajam maka tidak perlulah menggunakan kabel.
Penggunaan kabel akan menjejaskan prestasi renangan gewang. Sebaiknya tidak perlulah menggunakan kabel walau untuk casting toman sekalipun.
Ads
Berlainan pula jika anda trolling di lautan. Penggunaan perambut kabel amat penting kerana kita tidak dapat menjangka apakah spesies yang akan menyambar gewang.
Tambah pula potensi spesies yang bakal menyambar terdiri dari spesies bergigi tajam seperti tenggiri dan alu-alu.
Panjang perambut kabel memadai dalam anggaran sejengkal. Sementara saiz kabel bergantung kepada set pancing yang anda gunakan.
Namun disarankan anda menggunakan kabel saiz 30-50lb.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Mohon penjelasan sikit tentang konsep sebenar tangkap dan lepas (CnR). Saya ada mendengar konsep tangkap dan lepas ni kena lepaskan ikan yang besar saja. Betul tak admin?
JAWAPAN:
Betul, betul dan memang betul apa yang anda dengar tersebut. Cuma mungkin anda tak dengar habis saja.
Jika dinamakan konsep tangkap dan lepas sepatutnya bukan ikan yang besar sajalah yang wajib dilepaskan, ikan yang kecil pun kena lepaskan jugak.
Katakanlah seorang pengamal konsep tangkap dan lepas dapat ikan kecil (biasanya memang dapat kecil pun) takkan ikan tersebut nak tapau sedangkan hukum tapau adalah ‘HARAM’ bagi seorang pengamal konsep tangkap dan lepas?
Yang sebenarnya dalam konsep tangkap dan lepas, melepaskan ikan yang besar atau matang merupakan langkah yang lebih berkesan berbanding melepaskan ikan kecil.
Ini kerana, secara saintifiknya, melepaskan induk matang akan meningkatkan peratusan untuk induk itu melahirkan ribuan malah jutaan anak ikan kecil, sedangkan ikan yang kecil belum tentu akan dapat membesar menjadi induk yang baik.
Tapi apa yang berlaku kat Malaysia ni kebanyakannya terbalik. Boleh dikatakan kebanyakan ikan yang kecil dilepaskan semula walaupun oleh bukan pengamal tangkap dan lepas.
Alasannya mudah, ikan kecil buat apa nak ambik. Atau untuk beri peluang ikan tersebut membesar dan akan bertarung lagi bila dah besar nanti.
Sudah lama saya perhatikan joran pancing mempunyai bilangan cincin yang berbeza. Ada joran yang banyak cincin dan ada yang sedikit bilangannya. Ada juga saya lihat pemancing ubah suai joran dengan meletakkan hingga lebih 10 cincin pada joran baitcasting mereka. Boleh tak admin jelaskan berapa banyak bilangan cincin yang sesuatu untuk joran?
JAWAPAN:
Terlebih dahulu elok juga kita tahu fungsi cincin pada joran. Tujuan utama cincin utama (guide) pada joran adalah untuk mengelakkan tali pancing dari terkena atau tergesel pada batang joran semasa lontaran yang akan menyebabkan kurang jarak balingan serta kemungkinan terputus tali semasa balingan.
Begitu juga semasa melawan ikan ia mengurangkan geseran pada tali dan membantu lenggokan joran. Ini diperlukan sekiranya kita hendak mengurangkan geseran yang akan menghindarkan jarak semasa casting dan semasa melawan ikan.
Satu lagi fungsi cincin utama (guide) pada joran adalah ia berfungsi sebagaimana laras dalam senapang di mana ia dapat membantu hala tuju ketepatan gewang kita (di sinilah di mana kita perlu menambah cincin sekiranya perlu). Tapi saya rasa kebanyakan joran yang berjenama mampu memberi ketepatan tanpa menambah cincin.
Terdapat juga beberapa jenis cincin yang menyalut di gelenggang cincin utama (guide). Jenis salutan ini adalah dari besi, seramik, SIC, ‘rollers’ dan lain lagi yang membantu mengurangkan haba yang berlaku semasa geseran yang terjadinya apabila kita bergelut tarik menarik dengan ikan.
Cincin juga membantu memberi rangsangan pada joran kepada pemancing semasa ikan makan umpan serta mampu menambah jarak balingan sekiranya cincin yang digunakan dengan itu dari jenis yang ringan serta bermutu. Dan kesimpulan lain pula, semakin banyak cincin pada joran maka ia akan menambah kekuatan pada joran tersebut.
Selama ini saya menyangkakan semua jenis mata kail boleh digunakan pancingan air tawar sehinggalah ada seorang rakan yang menegur bila saya gunakan mata kail warna krom. Katanya mata kail berkilat macam saya gunakan tu tak sesuai. Jadi, boleh tak admin jelaskan perkara ini?
JAWAPAN:
Secara asasnya, mata kail hitam (black nickel) dikatakan lebih sesuai digunakan di perairan air tawar. Ini adalah kerana warna hitam itu lebih serasi dengan kegelapan dasar perairan air tawar sekaligus bersifat halimunan.
Sementara mata kail berkilat (aloi atau stainless steel) lebih sesuai digunakan di perairan air masin kerana sifat kilatnya itu sedikit sebanyak memainkan peranan untuk menarik perhatian ikan.
Secara peribadi, admin bersetuju dengan pendapat ini. Malah ada juga yang berpendapat, mata kail berkilat kurang sesuai digunakan di perairan air tawar kerana kilauan mata kail itu akan menakutkan ikan.
Atas sebab itu jugalah kebanyakan mata kail gewang (mata tiga dan mata tunggal) bagi pancingan air tawar kebanyakannya adalah mata kail hitam. Sementara mata kail hitam ini kurang digunakan di laut bukanlah kerana ia tidak memiliki faktor kilauan, sebaliknya ia adalah jenis bahan yang mudah dikakis air masin dan berkarat.
Namun, untuk keberkesanan yang lebih bagi pancingan air tawar, tidak kiralah sama ada mata kail hitam atau berkilat, mata kail itu perlulah disembunyi dengan sempurna di dalam umpan.
Justeru, sebagai contoh jika menggunakan cacing sebagai umpan, cacing itu haruslah dicucuk sehingga menutup bahagian mata kail sepenuhnya. Begitu jugalah jika menggunakan umpan-umpan lain.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...