
SOALAN:
Boleh tak tuan terangkan apakah keperluan perundangan untuk memiliki bot memancing untuk kegunaan persendirian atau menjadi pengusaha bot memancing?
JAWAPAN:
Terima kasih dan tahniah kerana bertanyakan soalan yang lain daripada yang lain.
Ia sedikit sebanyak menuntut admin melakukan sedikit homework bagi menjawab soalan di luar bidang.
Untuk memiliki kenderaan air (sampan atau perahu) sama sekali berbeza dengan kenderaan darat (motosikal atau kereta).
Apa yang paling ketara, setelah membeli motosikal atau kereta kita langsung boleh memandunya walaupun tidak memiliki lesen.
Tetapi, walaupun sudah memiliki sampan atau bot kita tidak boleh terus mengemudinya membeli pula enjinnya.
Perbezaan lain pula, motosikal atau kereta boleh dibeli dengan skim insuran namun bot dan enjin lazimnya perlu dibeli secara tunai.
Dari segi perundangan untuk memiliki bot memancing pula agak berbeza dari aspek di mana ia akan digunakan.
Setakat yang admin tahu, sesiapa saja boleh membeli dan menggunakan kenderaan air untuk kegunaan perairan air tawar seperti sungai, tasik atau lombong tanpa sebarang lesen atau permit.
Setakat ini admin belum pernah lagi berhadapan dengan pihak penguatkuasa seperti Jabatan Laut atau Maritim apabila menaiki kenderaan air untuk memancing di sungai, tasik atau lombong.
Namun berbeza keadaannya dengan pemilikan kenderaan air di perairan air masin.
Menurut seorang pengusaha bot memancing, KKN Sea Hunt, pemilikan bot adalah sama bagi kegunaan persendirian dan pengusaha.
Syaratnya pemandu bot atau tekong wajib memiliki lesen memandu bot (Mate Domestic <500GT @ lesen jurumudi yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut dan kena ikuti kursus).
Manakala bot pula perlu didaftarkan di bawah jabatan laut dan mengambil insuran.
Trip Retro – Pesta Menggasak Jenahak Sungai Besar!!

Setiap hari, setiap inci lubuk-lubuk berpotensi di perairan Selat Melaka dari utara hinggalah ke selatan tanah air saban hari diteroka oleh pemancing.
Pemancing tradiosional, pemancing komersial mahupun pemancing rekreasi berlumba-lumba mengetuk lantai laut bagi mendapatkan `bantal emas’ yang bernilai tinggi.
Ada yang memanggilnya jenak, ada yang menggelarnya unga, tetapi lebih ramai lagi yang mengenalinya sebagai jenahak – si golden snapper bernilai emas.
Selaku pemancing rekreasi, saya sudah memburu spesies dari selatan tanah air sehinggalah ke menjangkaui sempadan tanah air.
Anehnya, perairan Sungai Besar yang terletak di Lembah Kelang, yang merupakan padang pancing yang dianggap berdekatan tidak pula dikunjungi.
Perairan Sungai Besar sebenarnya bukanlah destinasi baru dalam dunia pancingan jenahak.
Spesies bersisik emas ini sudah sekian lama dipancing dengan kaedah tradisional dan bot-bot pancing yang beroperasi kebanyakannya bot kayu.
Justeru apabila munculnya operator atau tekong jigging menggunakan bot laju fiber, dalam masa singkat khidmat operator yang kecil bilangannya ini menjadi rebutan ramai penggemar sukan memancing jigging perlahan.
Saya sendiri bersama beberapa orang rakan seangkatan terpaksa menunggu agak lama untuk mendapatkan khidmat tekong jigging Sungai Besar ini.
Berbanding perairan laluan kapal Port Dickson atau Pelabuhan Kelang, waktu terbaik untuk memburu jenahak di perairan Sungai Besar adalah ketika arus lemah.
Atau menghampiri air mati. Justeru itu kami terpaksa menunggu hampir tiga bulan untuk mendapatkan waktu tersebut sebagaimana yang disarankan oleh tekong.
Lubuk atau spot jigging juga berbeza. Bukan lubuk berkarang tebal atau jurang dalam yang menjadi sasaran, sebaliknya dasar rata dengan sedikit lubang cetek pula yang menjadi taruhan.
Lubuk-lubuknya hampir sama sebagaimana lubuk pencarian kerapu atau tong gas di perairan Pulau Jarak.
Di perairan ini juga jig-jig aksi perlahan bersaiz 200 gm dan ke atas, dengan pelbagai warna yang telah banyak mengorbankan nyawa jenahak di perairan lain seperti hilang taring.
Sebaliknya jig yang lebih ringan dari 40 gm hingga 100 gm dengan warna asas keperakan ternyata lebih berkesan.
Bukan jenahak saja yang menggemarinya, kerapu-kerapu saiz hidangan meja juga berselera membahamnya. Malah bapak tenggiri bersaiz 10 kg turum sama menggonggongnya.
Sama ada ikan-ikan di perairan Sungai Besar menyukai jig kecil atau faktor arus lemah mempengaruhi persembahan jig, panorama memancing pada hari dipenuhi dengan kilauan emas yang mempersonakan.
Pesta menuai jenahak dimulakan oleh tekong sendiri. Setelah lebih dari sekali tekong menaikkan jenahak dan spesies lain dengan jig ringan, kami tidak tertangguh lagi menyimpan jig-jig berat.
Selain menukar kepada jig yang lebih ringan, aksi dan gaya tekong berjigging turut kami copy & paste.
Tatkala kebanyakan trip jigging perlahan kebelakangan ini amat kurang hasilnya dan menghampiri kumpau, maka kejayaan kami mendaratkan 8 ekor jenahak (tidak termasuk spesies lain), bolehlah dianggap sebagai satu pesta!
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Korang Tanya Umpan Jawab -S8S4- Teknik speed jigging??

SOALAN:
Salam tuan… saya nak bertanyakan beberapa soalan mengenai teknik jigging. Saya ni baru nak berkecimpung dalam speed jigging.
Nak mintak tips sikit teknik nak mengarau dan memilih bentuk jig dan mata kail yang sesuai untuk memburu ikan pelagik.
Jig apa yang sesuai untuk air dalam kedalaman 20 hingga 30 meter?
JAWAPAN:
Speed jigging merupakan salah satu penggayaan dalam teknik jigging. Ia lebih merujuk kepada gaya karauan berkepantasan tinggi.
Dalam penggayaan ini, jig dimainkan seumpama gerakan ikan-ikan pelagik bagi memperdaya ikan-ikan predator perenang pantas terutamanya tenggiri.
Kunci utama dalam penggayaan speed jigging ini terletak kepada kekili dan juga jig. Kedua-dua jenis kekili iaitu kekili menegak dan mendatar boleh digunakan.
Namun kekili mendatar dengan gear ratio berkelajuan tinggi (ratio 6:1 dan ke atas) adalah lebih praktikal.
Nisbah gear yang lebih rendah akan menyebabkan pemancing dahulu keletihan mengarau sebelum memperoleh hasil.
Selain karauan laju, aksi joran juga perlu dimainkan sedikit bagi mempengaruhi renangan jig agar tidak terlalu statik dan pegun.
Karauan juga tidak seharus dilakukan berterusan tanpa henti. Seeloknya lakukan karauan pantas sekitar 10-20 pusingan sebelum berhenti sekitar 1-3 saat dan menyambung lari karauan.
Bentuk jig untuk teknik speed jigging haruslah jig yang nipis dan melonjong agar ia dapat membelah arus dengan baik.
Jig yang melebar dan pendek pula akan menyebabkan banyak rintangan sekaligus membebankan pemancing. Saiz berat jig yang sesuai untuk kaedah ini sekitar 30-80gm.
Faktor kedalaman air tidak menjadi persoalan, sebaliknya faktor arus yang lebih mempengaruhi saiz jig yang perlu digunakan.
Trip Betul-Betul Pecah Tong

Kami berlepas dari jeti dan menuju ke lokasi hotspot pertama untuk mencari sotong dan umpan hidup. Masing-masing bersiap dengan senjata candat. Senjata pilihan kami berupa rod 20-30lb dengan padanan kekili saiz 4000-6000, perambut candat 20lb-30lb yang halus dan ladung yang bersesuaian dengan kelajuan semasa air.
Awie berjaya memecah kebuntuan dengan seekor sotong skala satu kaki lebih dan sempat merasa hadiah rembesan air hitam sotong di kakinya. Kemudian Hj. Musa pula menaikkan lesen sotongnya pada petang itu sebelum seekor demi seekor dinaikkan oleh setiap ahli kumpulan kami.
Seketika kemudian, Tekong Rosli tangkas menyauk begitu banyak sotong jarum yang tiba-tiba bermain-main di permukaan. Ini sudah bagus, bekalan umpan hidup datang menyerah diri.
Kami melabuhkan umpan masing-masing setelah perut kenyang. Dalam suasana sunyi dan mengantuk mula datang akibat kekenyangan, kami dikejutkan dengan lendutan rod Awie yang menaikkan seekor baby jemuduk bersaiz 1-2kg yang membaham umpan kepala sotong. Mahfiz pula tenang menyusul dengan seekor jemuduk bersaiz 3kg sebelum giliran Abang Rosli dengan jemuduk bersaiz 2kg.
Hari kedua bermula setelah dapat rehat secukupnya. Saya mendapat berita yang Mahfiz berjaya menjinakkan seekor cobia seberat 8kg seawal jam 2 pagi tadi. Masing-masing yang masih mamai mula bersemangat dan melabuhkan umpan masing-masing.
Rupa-rupanya serangan sebenar bermula sekitar jam 6 pagi. Saya yang baru bangun terpaksa bertarung dalam mamai selama 10 minit setelah rod saya tunduk minta diangkat. Umpan sotong jarum yang saya labuhkan membuka selera seekor jemuduk batik seberat 6.5kg.
Seterusnya giliran Mahfiz menaikkan seekor tenggiri sesat biarpun ’foul hook’ kerana tersangkut pada insangnya. Kemudian, masing-masing bergilir menaikkan jemuduk. Serangan jemuduk ini semakin rancak ketika matahari semakin memancarkan cahaya paginya sekitar jam 7 pagi.
Mahfiz, Mamak dan Awie mendapat triple hook-up akibat serangan jemuduk skala 5-6kg. Tekong bot iaitu Abang Rosli tidak menang tangan membantu menggancu ikan naik ke atas bot. Kemudiannya double hook-up pula untuk saya dan Mamak.
Serangan bertali arus jemuduk awal pagi itu bukan setakat triple tetapi quadruplet hook-up iaitu empat joran dihenjut serentak! Sudahnya, bro Pen, Awie, Hj. Musa dan Mahfiz masing-masing senyum melayan henjutan serentak yang jarang-jarang berlaku ini. Jemuduk dan spesies lain bergelimpangan di atas bot kerana tidak sempat meletakkannya di dalam tong ikan. Suasana di atas bot pula sudah macam pesta!
Sekitar jam 10 pagi, kami menuju ke Chalet Kampung Mukut untuk berehat. Hidangan tenggiri goreng kunyit dan tenggiri asam pedas menjadi santapan sambil sibuk bercerita tentang aksi serangan pagi tadi.
Selepas Asar, kami dibawa ke unjam untuk melayan sotong. Mahfiz, Hj. Musa, Bro Pen, Awie, Pak Mat Siren dan Abang Rosli asyik melayan candat sementara Mamak, Azhar dan saya pula rancak melayan kerisi merah, selayang, kembong, merah dan kerapu saiz sedap-sedap makan dan juga untuk dibuat umpan.
Maklumlah, bekalan umpan hidup hampir kehabisan akibat serangan jemuduk pagi tadi. Pada malamnya, tidak banyak henjutan berlaku namun kami berjaya juga menaikkan beberapa ekor cupak saiz kecil dan cobia.
Pagi hari terakhir, rod Hj. Musa yang mula-mula menunduk laju akibat disergah mangsa dari dasar. Seekor jemuduk bintik 6kg membuatkan dia tersenyum puas selepas seketika mengerah kudrat. Abang Rosli pula tidak mahu mengalah dan menunjukkan jemuduk 4kg yang baru ditewaskannya.
”Dia dah serang dah!” Jerit Abang Rosli menandakan serangan jemuduk dah bermula. Memang betul, masing-masing sibuk beraksi melayan jemuduk selepas itu.
Kali ini aksi quadruplet hook-up sekali lagi berlaku dan Mamak, Awie, Mahfiz dan saya pantas beraksi walaupun bersimpang siur rod akibat menahan asakan sang jemuduk. Dalam rancak beraksi, tiba-tiba rod Sidewinder saya yang dilayan oleh Abang Rosli pecah di bahagian pemegang kekilinya menyebabkan kekili jatuh ke lantai bot.
Dengan pantas otai-otai seperti Mahfiz, Hj. Musa, Awie, Azhar dan Bro Pen bertindak menyelamatkan keadaan dengan melilit tali utama ke pemegang rod bot bagi memberikan kelegaan masa untuk mengalihkan kekili kepada rod Abu Garcia 10-30lb kepunyaan Mamak.
Saya yang pengalaman masih setahun jagung hanya mampu tergamam dari tadi, mujur ada otai-otai ini yang tenang membantu. Akhirnya jemuduk 6kg yang menyentap kekili Sedona tadi berjaya dinaikkan.
Serangan hari terakhir juga begitu rancak sekali. Double hook-up kerap kali berlaku. Kesemua ahli trip sudah ada lesen jemuduk dalam trip ini. Lebih manis, double hook-up menjadi aksi penutup serangan jemuduk trip ini. Mahfiz dan saya melayan dengan santai dan hasilnya baby jemuduk dinaikkan.
Lebih 100 ekor jemuduk atau 80% daripada keseluruhan hasil kami didominasi spesies ini pada berat skala 2-7kg. Spesies lain pula ialah tenggiri, kekacang, barracuda, cobia dan hampir 60 ekor sotong hasil candat.