
Tidak dinafikan kegunaan soft plastic (SP) banyak diaplikasikan dari tebing (landbase) terutamanya di kawasan persisiran pantai bertebing berbatu.
Namun ia juga boleh diaplikasikan di kawasan perairan yang lebih dalam sama ada di kelong, rumah rakit atau di tengah laut dengan pendekatan dan teknik berbeza.
Bagi kes pancingan di kawasan unjam berkedalaman 30 hingga 50 kaki, penggunaan pemberat (jighead) adalah perlu untuk memastikan SP dapat jatuh ke dasar dan tidak dihanyutkan jauh oleh arus.
Jatuhan semula jadi tanpa jighead mungkin lebih efektif namun ia terlalu perlahan bagi kawasan berarus dan pegun seperti di kelong.
Manakala pemberat yang keterlaluan akan menyebabkan SP jatuh ke lubuk tanpa aksi yang menarik sekaligus menyebabkan ia tidak menerima perhatian daripada ikan.
Oleh yang demikian pemberat yang bersesuai amat penting untuk mempamerkan persembahan jatuhan yang lebih realistik.
Harus diingat, persembahan jatuhan SP ini amat penting kerana waktu jatuhan SP ke dasar inilah peratusan sambaran lebih tinggi.
Faktor bau dan perisa turut membantu SP menarik perhatian ikan. Jadi, disamping perlu menggayakan persembahan SP secara semulajadi, SP turut perlu diperisakan dengan bau-bauan yang sewajarnya ketika mengaplikasikan SP di kawasan kelong dan sebagainya.
Perisa bauan untuk disapu pada SP kini mudah dicari di pasaran dengan kepelbagaian bau.
Apa pendapat anda? Berikan soalan dan share artikel ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan.
Pesta Toman Bujang!!

Berikutan dangau lama sudah usang dan menunggu masa untuk rebah ke bumi. Ia tidak boleh dijadikan tempat berteduh lagi, maka dangau terapung milik penduduk setempat
yang kami panggil Abang Atan menjadi kediaman kami dalam trip percutian sambil memancing selama tiga hari dua malam kali ini.
Dangau Abang Atan sebenarnya adalah pondok kecil di sangkar ikan atau lebih tepat lagi rumah rakit yang baru dibina oleh Abang Atan.
Kunjungan saya dahulu dangau itu masih lagi dalam proses pembinaan. Sementera pulau (tanah tinggi yang tidak ditenggelami air tasik) yang dihubungkan ke dangau dengan
batang balak merupakan kebun getah dan buah-buahan yang diusahakan oleh Abang Atan sendiri.
Oleh kerana kami sampai ke dangau itu sudah lewat petang, maka kami keluar mengilat di kawasan tasik empangan terbuka berdekatan dengan dangau.
Keesokan hari barulah kami akan masuk ke suak simpanan yang sudah setahun lebih tidak diusik. Mengilat toman di kawasan tasik empangan terbuka itu sahaja sudah menyeronokkan.
Kehadiran ikan seluang yang agak banyak memudahkan kami untuk mengesan toman. Hanya kehadiran ikan loma yang timbul bermain air sedikit sebanyak mengganggu tumpuan untuk mengesan toman timbul meneguk udara.
Keesokan petang harinya barulah kami memasuki suak yang sekian lama tidak terusik itu. Kami masuk dengan menggunakan dua buah sampan sahaja.
Enjin-enjin sampan disimpan di dangau usang di muka pintu suak yang sudah hampir roboh sepenuhnya.
Sementara keadaan di dalam suak semakin berselirat dengan pokok-pokok tumbang menyulitkan sampan untuk bergerak walaupun tanpa menggunakan enjin.
Sementara aktiviti yang diperlihatkan oleh penghuni-penghuni suak ternyata meningkatkan adrenalin kami. Tanpa perlu berdayung lebih jauh ke dalam suak, sekadar membaling gewang ke reba-reba berdekatan sudah pun menerima sambaran dari toman.
Sama ada gewang permukaan, katak tiruan, atau umpan tiruan plastik, semuanya menerima sambaran dari pemangsa yang majoritinya adalah toman.
Disebabkan banyak pokok tumbang di dalam air, maka banyak jugalah toman-toman bujang menyambar gewang berjaya meloloskan diri dan meninggalkan gewang kami melekat pada reba di dalam air.
Boleh dikatakan sesiapa yang saja masuk dan memancing di dalam suak itu walaupun pertama kali belajar mengilat akan memperoleh banyak strike.
Sepetang di suak itu sahaja kami memperoleh sekurang-kurangnya 50 strike namun hanya beberapa belas ekor toman bujang sahaja yang berjaya didaratkan dan dilepaskan kembali ke habitat asalnya.
Keesokan paginya sebelum bergerak keluar dari tasik empangan itu kami kembali lagi ke suak tersebut.
Biarpun keputusan pagi itu tidak serancak hari sebelumnya, namun kami berjaya juga mendaratkan mama toman yang agak culas untuk membaham gewang.
Malah kami turut berjaya memujuk beberapa ekor sebarau remaja. Yang pasti suak persendirian itu masih lagi dihuni oleh banyak pemangsa dan sedang membesar dengan semulajadi.
Dan pasti juga kami akan kembali lagi ke suak ini untuk berpesta dengan toman-toman yang setahun dari sekarang akan bertambah saiznya dan lebih ganas menyerang gewang-gewang yang kami gunakan.
Korang Tanya Umpan Jawab – Ikan Tak Makan Umpan Sebab Jerebu??

Saya percaya masalah jerebu yang sedang menimpa kebanyakan negeri sekarang ini sedikit sebanyak mempengaruhi industri memancing.
Ia mungkin tidak mempengaruhi tabiat makan ikan secara menyeluruh, tetapi jika tahap Indek Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi pasti akan menjejaskan aktiviti memancing terutamanya di laut.
IPU tinggi yang menghadkan jarak penglihatan pasti mengundang bahaya jika memancing di perairan yang sibuk dengan laluan kapal.
Atas faktor keselamatan kebanyakan pengusaha bot memancing mengambil keputusan membatalkan trip memancing.
Adakah jerebu menyebabkan ikan tak mahu makan umpan? Mungkin benar mungkin tidak dan bergantung kepada tahap jerebu dan spesies ikan.
Sama ada tahap jerebu tinggi atau rendah, ia tidak memberi kesan secara langsung terhadap ikan demersal atau ikan pemakan dasar terutamanya di perairan yang lebih dalam.
Sebaliknya jerebu tebal memberi kesan sedikit sebanyak memberi kesan terhadap keaktifan ikan pelagik yang memburu dan mencari makan di permukaan dan pra
permukaan air. Ia berikutan cahaya matahari tidak dapat memancar secara terus terhadap permukaan laut.
Contoh terdekat kesan daripada jerebu ialah jumlah hasil tangkapan ikan layaran yang amat berkurang ketika kejohanan Royal Pahang International Billfish Challenge yang berlangsung pada minggu lalu, di mana perairan Rompin agak teruk dilanda jerebu.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Panduan Membeli Enjin Bot Baru & Secondhand!!

Mungkin bagi sesetengah pemancing yang mempunyai duit yang lebih melihat enjin baru lebih berbaloi dimiliki. Harga pasaran yang masih konsisten membolehkan pemancing memilih untuk membelinya.
Terdapat pelbagai jenama seperti Yamaha, Suzuki, Mariner, Mercury, Johnson, Honda dan lain-lain jenama seperti Hidea keluaran China terdapat di pasaran tempatan. Enjin 2 lejang atau 4 lejang boleh dipilih mengikut kehendak pemancing tetapi mungkin cuma harganya sedikit berbeza.
Di Malaysia, tiada had penggunaan kuasa kuda terhadap perairan padang pancing kita namun sesetengah negara luar, terdapat penguatkuasaan undang-undang terhadap had penggunaan kuasa enjin sangkut.
Sebenarnya ramai nelayan atau pemancing menjual dan mencari enjin sangkut terpakai. Berbeza dengan membeli enjin sangkut baru, pembeli haruslah meneliti dan melihat sendiri enjin terpakai tersebut supaya tidak kecewa setelah memilikinya.
Terdapat beberapa aspek yang perlu dititikberatkan seperti:-
- Memeriksa badan enjin sangkut.
- Memeriksa kipas enjin.
- Meneliti kebocoran head enjin.
- Memastikan tangki minyak dalam keadaan baik.
- Memastikan hose penyalur minyak tidak bocor.
- Bunyi rod tidak bising.
- Enjin tidak bergegar.
- Gear mudah dimasukkan ke hadapan dan mengundur.
Ia tidak mungkin 100% sempurna namun pembeli harus tahu penyelenggaraan enjin sangkut ini bukan mudah. Bayangkan enjin sangkut berkuasa 15 hp baru sama nilainya dengan sebuah motosikal kapcai. Teliti keadaan enjin sangkut luar dan dalam dan pengetahuan selok-belok alat ganti amat membantu dalam memilih enjin sangkut yang masih elok.
Terdapat penjual enjin sangkut individu dan kedai membaiki enjin sangkut di pasaran. Enjin sangkut yang bermasalah dapat dikesan dengan mendengar bunyi yang agak bising apabila dihidupkan. Sistem rod dan piston mewujudkan bunyi yang agak kasar menandakan enjin sangkut ini dalam keadaan kurang memuaskan.
Kuasa kudanya akan menurun dan tolakan sampan menjadi kurang bertenaga sekiranya digunakan. Ditambah lagi penggunaan minyak akan menjadi lebih kuat berbanding enjin yang masih baik.
Sistem coil api juga perlu dilihat supaya enjin sangkut terpakai ini boleh menyalurkan api yang kuat untuk disalurkan kepada plug. Alat ini amat penting dan adakala ia mudah rosak dan harga alat gantinya boleh tahan juga!
Walau apa jua pilihan pemancing sama ada ingin membeli enjin sangkut baru atau terpakai, penyesuaian terhadap bot amat penting. Padankanlah enjin sangkut sepadan dengan sampan yang digunakan.