Hujung minggu sudah semestinya tidak aku biarkan berlalu begitu sahaja.

Inilah masa terbaik untuk aku mencurahkan segala skill memancing yang aku miliki. Dan minggu ini setelah berbincang dengan teman seangkatan, Razak Abdullah.

Kami sepakat memilih sebuah lombong terbiar sebagai medan menguji kehebatan.

 

Apabila semua barangan keperluan seperti joran, mata kail, batu ladung, lampu suluh, pisau, lima batang joran dan beberapa keperluan lagi disiapkan.

Jam 10 pagi, aku dan Razak Abdullah mula berangkat meninggalkan rumah sewa kami.

 

Kami bercadang untuk mencari umpan atau membelinya di dalam perjalanan nanti. Tidak dilupakan, pelbagai kelengkapan masakan seperti beras, minyak masak, cili api kunyit hidup dan sardin juga turut dibawa.

Kebiasaannya, kami berdua ketika memancing lebih selesa memasak sendiri menggunakan kayu api.

 

Selain dapat menjimatkan kos kerana barangan semua dibawa dari rumah, makanan yang dimasak sendiri lebih sihat dan mengenyangkan.

Setelah yakin semua peralatan telah dibawa, kami berdua memulakan perjalanan.

 

Sebenarnya aku dan Razak bercadang untuk berkhemah dan bermalam di lombong ini sekiranya hasil yang kami dapati lumayan. Kiranya ini pakej dua dalam satu.

Memancing sambil menghayati keindahan alam di tempat yang sunyi dan terpencil.

 

Setelah beberapa jam perjalanan, aku melihat Razak Abdullah sudah lena dibuai mimpi.

Suasana sunyi mengundang kebosanan, walaupun kiri kanan jalan kaya dengan keindahan alam semula jadi, bagi aku sebagai budak kampung ini semua sudah menjadi perkara biasa.

Untuk menghilangkan kesunyian aku menghidupkan radio, tetapi agak perlahan sebab aku tidak mahu mengganggu mimpi Razak Abdullah.

 

Sebaik sampai di tempat yang dituju, kami membeli umpan daripada penjual yang terdapat di situ. Tanpa berlengah lagi kami terus mencari ‘port’ masing-masing.

Aku memilih untuk duduk di bawah rimbunan pokok yang tidak aku ketahui namanya yang terletak betul-betul di tepi lombong.

Begitu juga dengan Razak Abdullah juga memilih port yang baik tidak jauh dari aku.

 

Selang beberapa minit tiga umpanku iaitu menggunakan anak ikan dan cengkerik sudah pun terendam di dalam lombong menunggu mangsa.

Seterusnya aku menyediakan lagi umpan pada joranku yang masih berbaki. Lombong yang digelar Air Hitam ini memang terkenal dengan ikan-ikan air tawarnya.

Ia merupakan bekas lombong bijih timah yang telah lama ditutup operasinya. Pernah kaki pancing berjaya menaikkan ikan belida hampir 8 kg dengan berumpankan anak ikan kap.

 

Begitu juga dengan ikan toman dan sebaraunya. Jadi tidak hairanlah kalau pada hari itu kelihatan agak ramai juga kaki pancing yang lain turut leka dengan joran masing-masing.

Tetapi ada juga antara mereka hanya datang sekadar menonton gelagat pemancing bertarung dengan ikan-ikan di sini.

Zuuuupppp…… zuuuuppppp…… dua lagi pancing aku lepaskan umpan ke tengah lombong.

 

Cukup kelima-lima pancing aku sedia menanti mangsa. Matahari mulai menampakkan cahaya kemerehan di ufuk barat.

Aku sedia menunggu dan mula memasang angan-angan, sambil berkata di dalam hati, waktu inilah, ikan aktif mencari makanan.

Moga-moga pancing aku disambar sang belida, sebarau ataupun ikan lampam.

 

Aku lihat Razak Abdullah juga sudah mula menyandarkan badannya ke pokok berhampiran kami sambil menyedut rokok gudang garam kegemarannya.

Remang senja mulai menjalar menyelimuti suasana, tetapi peliknya satu pun joran aku tidak terusik.

 

Setelah beberapa kali mengganti umpan ternyata pada waktu itu ikan seolah-olah terlalu kenyang.

Begitu juga dengan Razak Abdullah, aku lihat dia juga gelisah menanti, sebatang demi sebatang rokok disambung, ikan tidak dapat-dapat.

 

Perut pun sudah mula menyanyi minta diisi, apa lagi aku pun membuka bungkusan makanan yang dimasak oleh Razak Abdullah di rumah tadi.

Sambil makan mata aku tak lepas dari terus memandang gigi air, entah macam mana ada sesuatu yang menarik perhatian aku seolah-olah sedang menggelepar di atas permukaan air tidak jauh dari tempat aku duduk.

 

Dari jauh kelihatan air lombong itu berbuih-buih. Jantungku berdegup laju. Aku amati objek tersebut betul-betul untuk pastikan apakah bendanya.

Sekali pandang macam ikan terbang pun ada. Tapi hati kecil aku berkata sendiri mana ada ikan terbang dan kalau ada pun takkan bercahaya macam lampu pula.

 

Aku semakin mengamatinya tetapi apa yang lebih memeranjatkan ialah objek tadi tiba-tiba berubah menjadi lembaga seperti kepala manusia dengan rambut panjang menghurai dan muka yang cukup menggerunkan dan matanya yang merah.

Aku separuh menjerit. Ia semakin menghampiri dan aku dapat melihat dengan jelas wajahnya yang buruk serta dipenuhi ulat tersebut.

 

Dalam keadaan ketakutan dan menggigil ini aku cuba melaungkan nama Razak Abdullah tetapi mulutku seakan terkunci dan suaraku seakan-akan hilang.

Dalam pada itu, lembaga tersebut terus terbang menuju ke arahku semakin lama semakin hampir.

Aku terpaku dan tidak tahu yang mampu aku lakukan. . Aku rasa semakin lemah dan akhirnya tidak sedarkan diri.

 

Apabila aku membuka mata, aku sudah berada di rumah sewa dan jiran-jiranku ada di sebelah.

Seribu satu persoalan bermain di benakku, tetapi aku masih lemah untuk bertanya itu semua kepada Razak Abdullah. Rakanku itu hanya memberitahu yang aku disampuk.

 

Apabila mengenang semula apa yang berlaku aku masih tak dapat nak bayangkan rupa sebenar lembaga tersebut.

Rakanku mengatakan dia melihat aku seolah-olah dipukau oleh sesuatu dan langsung tidak menghiraukan panggilannya.

Melihat keadaan aku yang semakin tidak terarah, dia pun segera mengemaskan semua kelengkapan memancing dan dia telah meminta bantuan beberapa orang pemancing lain di situ untuk mengusung aku ke kereta dibawa pulang.

 

Sebaik sampai di rumah sewa kami, Razak Abdullah telah meminta bantuan Pak Imam, (jiran kami) barulah keadaan aku kembali pulih.

Bagaimanapun hingga kini aku masih lagi tidak dapat membayangkan apakah lembaga yang mengganggu aku ketika itu, aku menjadi serik untuk memancing di waktu senja.

Sesungguhnya di dalam dunia ini aku mengerti bahawa pandangan mata kasar manusia memang tidak akan dapat menembusi alam ghaib.

Hidup ini memang penuh dengan misteri.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI